Rang Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan (Pindaan) 2005 (RUUKI) yang diluluskan dalam Dewan Negara pada 22 Disember 2005 lalu telah menimbulkan banyak bantahan dan seterusnya kekeliruan. Pertubuhan-pertubuhan wanita khususnya, telah membantah dengan keras pindaan-pindaan yang diluluskan, mendakwa ia telah mendiskriminasi wanita. Kekecohan yang ditimbulkan telah membuatkan masyarakat menjadi keliru, malah menteri-menteri dan Perdana Menteri turut tertekan dalam isu pindaan tersebut, sehingga Datuk Seri Abdullah mengarahkan ditangguhkan perlaksanaannya dahulu.
Wanita Keadilan Rakyat merasa terpanggil dan merasa bertanggungjawab meleraikan kekeliruan dan kontroversi yang tercetus disebabkan:
1) pihak menteri yang membawa RUUKI tidak menyemak dengan teliti, pindaan yang diambil bulat-bulat daripada Enakmen Keluarga Islam (Selangor) 2003 dan tidak bersedia apabila timbul kekeliruan,
2) pihak yang membantah hanya melihat pindaan dari pespektif gender tanpa melihatnya secara holistik.
Setelah mengkaji dari perspektif gender dan syariah, Wanita Keadilan Rakyat ingin menyatakan PEMERHATIAN, PENDIRIAN dan SARANAN kami seperti berikut:
PEMERHATIAN Wanita Keadilan Rakyat,
1) terdapat kelemahan dari segi cara seluruh proses pindaan tersebut dikemukakan dan selepas itu diluluskan. Orang ramai tidak mendapat penjelasan dan pendidikan akan Pindaan yang dikemukakan, serta masih terdapat “loopholes” dalam RUUKI yang dipinda, yang ada kemungkinan ia akan disalahtafsir dan berlaku ketidakadilan.
2) kesilapan besar oleh kedua-dua dewan; Dewan Rakyat dan Dewan Negara, walaupun sudah meluluskan RUUKI, tidak dapat mempertahankan pindaan yang telah diluluskan sehingga terpaksa menangguhkan RUUKI dari diwartakan.
3) sikap para menteri dan kementerian masing-masing yang berlepas tangan mengenai pindaan tersebut apabila timbul kontroversi. Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil dipetik sebagai berkata, apabila kementeriannya menerima aduan, perkara tersebut diserahkan kepada JAKIM atas alasan kementeriannya tiada kepakaran dalam Undang-undang Syariah. (The Sun, January 16, 2006)
4) Rang Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini sudah pun digunapakai di negeri Selangor semenjak 2003 [Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor (2003)] Tetapi mengapa tidak ada pihak atau 'women's interest group' yang membantahnya sehingga kini? Sedangkan ianya merupakan edisi terkini kepada undang-undang keluarga yang diluluskan. Ini menimbulkan persoalan kemungkinan ada pihak yang mengambil kesempatan membawa agenda mereka tersendiri.
II. PENDIRIAN Wanita Keadilan Rakyat seperti berikut:
1) Amat tidak wajar bagi Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat di bawah Datuk Shahrizat Abd Jalil, menyerahkan perkara berkaitan wanita kepada JAKIM hanya dengan alasan tidak mempunyai kepakaran dalam Undang-undang Syariah, sedangkan kementerian beliau bertanggungjawab menjaga kepentingan semua wanita sama ada Islam atau bukan Islam. Sepatutnya beliau mengambil inisiatif mengkaji, mengadakan dialog dan perbincangan, mencadangkan pindaan yang sesuai bagi menjaga kepentingan wanita seluruhnya.
2) Pindaan yang dibuat merupakan inisiatif positif ke arah penambahbaikan peruntukan yang ada di dalam kod undang-undang yang asal. Ia bertujuan untuk memartabatkan Undang-undang Keluarga Islam di negara kita. Namun, i. ia telah tidak dilakukan dengan kemas,
ii. terdapat kelemahan pentadbiran di pihak kerajaan dan cara
pengendaliannya telah menimbulkan keraguan orang ramai,
iii. kurang teliti dalam merangka pindaan terutama dari segi penggunaan
perkataan yang sesuai dan tepat,
iv. kurang kepekaan kepada hak kumpulan minoriti yang mana boleh
membuka ruang kepada kemungkinan berlaku ketidakadilan dalam pengendalian dan interpretasi/gunapakai undang-undang tersebut.
1) Kita semua amat yakin bahawa Undang-undang Keluarga Islam digubal dan digarap berasaskan al-Quran, al-Sunnah dan juga pandangan jumhur ulama, bertujuan memberi keadilan kepada semua pihak di dalam mana-mana keluarga. Justeru itu, ia tidak boleh dilihat dari satu perspektif semata-mata. Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna pindaan yang dibuat tiada kelemahan yang boleh menimbulkan ketidakadilan kepada wanita dalam perlaksanaannya kelak
(Lihat Memorandum - Cadangan menambahbaikan Rang Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan, yang akan diserahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nazri Aziz, Datuk Abdullah Mat Zin)
1) Usaha tersebut seharusnya membawa kepada keseragaman undang-undang dan peraturan Islam di seluruh negeri-negeri di Malaysia. Sekiranya selepas ini, Rang Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (2005) ini diluluskan dan diwartakan serta digunapakai oleh semua negeri-negeri yang lain seperti yang dicadangkan oleh YAB Perdana Menteri, maka ianya adalah satu jalan ke arah keseragaman Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia yang selama ini memang sentiasa diperjuangkan oleh pelbagai pihak.
III. Wanita Keadilan Rakyat menegaskan adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk memastikan RUUKI benar-benar membawa kebaikan dan maju ke hadapan. Dengan itu, SARANAN Wanita Keadilan Rakyat seperti berikut mesti dilaksana dengan segera:
1) Rang Undang-undang ini diwartakan secepat mungkin dengan perubahan yang sewajarnya dengan mengambilkira cadangan pihak-pihak yang prihatin.
2) Keseragaman Undang-undang Keluarga Islam di setiap negeri di Malaysia. Penyeragaman tersebut harus turut bergerak ke hadapan yang melibatkan undang-undang yang lain seperti Undang-undang Jenayah Syariah.
3) Penyelarasan perlaksanaan undang-undang dengan mengalihkan bidang kuasa ke peringkat Pusat, dan tidak lagi di bawah negeri masing-masing. Ini tidak mustahil dilakukan, contohnya undang-undang Tanah di mana tanah dibawah penguatkuasaan negeri tetapi pengawasan berada di peringkat pusat.
4) Menaiktaraf Mahkamah Syariah dengan mencadangkan perkara-perkara berikut:
i - Menambahkan bilangan Hakim Syarie untuk menangani kes yang bertambah serta membaiki bangunan Mahkamah agar lebih kondusif
ii - Mengkaji semula skim gaji serta beban kerja Hakim-hakim syarie agar bersifat kompetatif dan bersesuaian
iii - Membuat tambahan peruntukan supaya kakitangan sokongan boleh ditambah di seluruh negeri di Malaysia untuk melancarkan perlaksanaan dan tindakan yang diambil
iv - Menyediakan latihan secukupnya kepada semua Hakim-hakim Syarie supaya mereka lebih bersedia dan kreatif dalam mencari penyelesaian dan memutuskan kes-kes yang dibawa di hadapan mereka (tidak terlalu literalist dan mengikut buku)
v - Membuat pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 agar bidangkuasa Mahkamah Syariah diperluaskan lagi untuk memastikan ianya dihormati
HJH FUZIAH SALLEH
KETUA WANITA
WANITA PARTI KEADILAN RAKYAT