SepangOnline

Friday, January 27, 2006

Anwar Saman Dr Mahathir RM100 juta

Oleh Andrew Ong
Petikan drp: MalaysiaKini - Jan 27, 06 7:19pm

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman malu RM100 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Saman malu Anwar itu difailkan oleh peguamnya, Sankara N Nair di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Saya mahu meneruskan kehidupan biasa saya selepas dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada September 2004. Malangnya, Tun Mahathir terus menuduh saya yang bukan-bukan. Saya tidak mempunyai pilihan, kecuali meneruskan saman malu ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Sankara.

Selain Sankara, barisan peguam Anwar yang diketuai oleh Raja Aziz Addrus itu, turut dianggotai oleh Param Cumaraswamy dan Anuar Shaddat.

"Kami yakin anak guam kami akan memenangi kes ini. Saya juga mahu mengulangi bahawa pelanggan saya bukan seorang homoseksual atau sodomis," kata Sankara lagi.

Pada 20 September lalu, Anwar berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir jika bekas Perdana Menteri itu tidak meminta maaf kerana menuduhnya seorang sodomis.

Tuduhan Dr Mahathir itu dibuat pada bulan yang sama tahun lalu ketika bercakap kepada media selepas selesai satu majlis anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di ibunegara.

Dr Mahathir bagaimana menolak permintaan Anwar itu dan mencabarnya meneruskan tindakan undang-undang terhadapnya.

Dalam kenyataan tuntutannya, Anwar berkata, Dr Mahathir sengaja menuduhnya seorang sodomis walaupun beliau tahu mengenai keputusan mahkamah yang membebaskannya daripada tuduhan berkenaan.

Anwar juga meminta perintah mahkamah untuk menghalang Dr Mahathir daripada membuat tuduhan yang serupa terhadapnya. Tamat

Copyright © 1999-2005 Mkini Dotcom Sdn Bhd. All rights reserved
Sumber: MalaysiaKini

0 Comments:

Post a Comment

<< Home