SepangOnline

Tuesday, January 10, 2006

KENYATAAN MEDIA/MAKLUMAN PARTI KEADILAN RAKYAT

PERUTUSAN AIDIL ADHA 1426 H
DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

--------------------------------------------------------------------------------

9 Januari 2006
PERUTUSAN AIDIL ADHA 1426 H
DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Mewakili saf kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (keADILan), kami ingin merakamkan ucapan Selamat Aidil Adha kepada seluruh pendokong keadilan serta rakyat Malaysia, dengan semangat yang terungkap di dalamnya .

Sesungguhnya Aidil Adha mempunyai pelbagai dimensi dalam sebuah perjuangan hidup insan dengan memberikan fokus kepada nilai pengorbanan. Iktibar pengorbanan telah dibuktikan dalam tinta sejarah dan susurgalur perjuangan sejak zaman Nabi Adam a.s. akan kepentingannya dalam melakar sesuatu kejayaan. Kesediaan berkorban dengan niat dan cara yang betul amat didambakan sebagai prasyarat kejayaan samaada kepada sebuah perjuangan dakwah, perjuangan politik, perjuangan ekonomi maupun ketenteraan.

Penghayatan Aidil Adha membawa dimensi makna Rabbani dengan amalan takbir, tahmid dan ibadah korban. Ia sesungguhnya mampu menghantar jiwa manusia yang ikhlas ke tahap penghayatan Rabbani. Manakala amalan sadaqah, menggembirakan sesama manusia dan memanjangkan silaturrahim membawa dimensi makna insani yang tergambar daripada penghayatan Aidil Adha.

Justeru itu, sebuah perjuangan untuk membawa perubahan sesungguhnya amat mendambakan kesediaan untuk berkorban. Kelazimannya mana-mana pihak berkuasa yang memerintah terutama yang terlibat dengan pelbagai penyelewengan dan tindakan zalim akan menentang sebarang langkah perubahan yang boleh menggugat hegemoni mereka. Pengorbanan bermaksud kesediaan untuk bersabar, istiqamah , ikhlas dan terus
berjuang sehingga kejayaan dicapai.

Dalam menjana tenaga kemenangan, ia sesungguhnya memerlukan suatu gerakkerja perjuangan yang sistematis, strategis dan dinamis. Pelan tindakan yang telah digariskan semestinya memerlukan perlaksanaan dan susulan yang berterusan bagi menjamin kejayaan . Sebagai sebuah perjuangan politik yang mewakili aspirasi rakyat, sewajarnya keADILan tekal dalam gerak langkahnya bagi menjamin harapan menggunung yang digalas.

Senario semasa negara dan antarabangsa jelas membayangkan ada banyak agenda umat dan kemanusiaan yang memerlukan perhatian sewajarnya. Ia meliputi perjuangan ke arah proses globalisasi yang lebih adil, pembahagian kekayaan dunia dengan lebih saksama dan agenda keamanan dunia yang lebih konkrit. Manakala dalam kontek negara rakyat terus dihantui oleh kos kehidupan yang membebankan, amalan rasuah yang tidak ditangani dengan tegas dan gejala keruntuhan akhlak yang tidak disantuni dengan berkesan.

KeADILan dengan ini menyeru seluruh rakyat Malaysia dan atas semangat perjuangan dan pengorbanan sempena Aidil Adha agar turut serta bersama kami di dalam memastikan semua kepincangan dan kecuaian di dalam pentadbiran negara hari ini dapat diatasi. Ini memandangkan bahawa kita boleh mengimpikan untuk mereka dan mencipta, dan membina sebuah negara yang begitu indah di dunia ini tetapi ia memerlukan sokongan rakyat untuk menjadikan impian kita satu kenyataan.

Buat kesekian kalinya saya mewakili warga keADILan merakamkan selamat Aidil Adha dengan iringan doa semoga Allah SWT menganugerahkan kekuatan , kesabaran dan al-Falah kepada kita semua.

Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Presiden
Parti Keadilan Rakyat - 10.01.2006

0 Comments:

Post a Comment

<< Home