SepangOnline

Saturday, January 14, 2006

Tony Peh: MCA tidak boleh paksa saya

Oleh Zulkifli Mohamed

BUKIT MERTAJAM: Bekas Ketua MCA Bahagian Bukit Mertajam, Tony Peh Choon Peng 51, menganggap dirinya bukan hamba kepada MCA, dan tidak perlu menyerahkan senarai nama 1009 bekas ahli parti itu kepada MCA untuk membuktikan mereka telah menyertai keADILan, 9 Januari lalu.

“Saya bukannya hamba MCA, mereka tidak boleh paksa saya serahkan nama yang terlibat,” tegasnya ketika diminta mengulas gesaan Ketua MCA Bukit Mertajam YB Lau Chiek Tuan supaya mengemukakan nama mereka yang terlibat untuk siasatan dan pengesahan pihaknya.

“Senarai nama ahli-ahli itu adalah sulit,” katanya.

Menurut Tony Peh, beliau terpaksa menghormati permintaan dan berpegang kepada janjinya dengan ahli-ahli yang tidak mahu nama mereka didedahkan.

Tony berkata sekiranya nama itu didedahkan mereka khuatir akan dikenakan tindakan dan tekanan yang boleh memberikan kesan kepada kerjaya dan perniagaan mereka.

Sementara itu Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Chan Kong Choy menafikan ahli-ahlinya telah menyertai keADILan kerana pihaknya tidak menerima sebarang notis daripada ahlinya untuk meninggalkan parti itu.

Mengulas perkara itu, Tony Peh berkata mereka tidak perlu mengemukakan sebarang notis, kerana keahlian MCA secara otomatik terbatal setelah mereka menyertai Keadilan.

Selain itu katanya keahlian mereka juga akan terbatal setelah yuran keahlian MCA tidak lagi dijelaskan

Tambahnya hanya masa akan menentukan sekiranya pemimpin MCA masih tidak percaya dan menganggap perkara itu tidak benar.

Yang pasti, katanya selepas ini MCA akan bertambah lemah kerana lebih ramai ahli-ahlinya akan menyertai keADILan.

Dalam pada itu, menurutnya seorang pemimpin MCA bertaraf Timbalan Menteri pernah menyatakan hasrat beliau untuk mengadakan rundingan dengan pihaknya sebelum ini.

“Bagaimanapun, pertemuan itu tidak menjadi kenyataan kerana kami telah menolak sebarang rundingan dengan mereka, kami tetap memilih Keadilan,” jelasnya.

Tony bersama rakan-rakannya yang dipecat keanggotaannya telah menyerahkan borang permohonan menyertai Keadilan kepada Setiausaha Agung, Datuk Kamarul Baharin Abbas dalam majlis makan malam yang dihadiri kira-kira 2000 tetamu, sebahagian besarnya kaum Tionghua.

Majlis turut dihadiri Penasihat keADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home