SepangOnline

Monday, January 09, 2006

Pelajar bawa UIAM ke mahkamah, cabar AUKU

Oleh: Faisal Mustaffa

KUALA LUMPUR - Kes perbicaraan pelajar tahun akhir, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Mohaziri Shamsuddin yang menyaman institusi tempat pengajiannya ditangguhkan kerana pihak Peguam Negara gagal menghantar alasan penolakan tuntutan pelajat tersebut sebelum 31 Disember lalu.

Peguam yang mewakili Peguam Negara, Suzana Atan hanya menghantar alasan penolakan Peguam Negara pada pagi hari perbicaraan itu.

Peguam yang mewakili Mohaziri, Hanipa Maidin memohon kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Afrah Wan Ibrahim supaya menolak tuntutan yang dikemukakan kerana gagal menghantar pada masa yang ditetapkan iaitu 31 Disember lalu seperti yang dipersetujui melalui perbicaraan awal 29 September lalu.

Suzana menolak permohonan tersebut dengan mengatakan bahawa tindakan yang dilakukan itu tidak termaktub dalam undang-undang.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa tindakan lewat untuk menghantar penolakan tersebut sama seperti tindakan yang dilakukan oleh peguam UIAM yang difailkan sebelum ini.

"Oleh kerana kelewatan pihak Peguam Negara menghantar penolakan mereka, saya meminta Yang Arif untuk menimbang semula supaya tindakan Peguam Negara (yang lewat) itu ditolak," kata Hanipah.

Selain Hanipah, peguam yang mewakili Mohaziri ialah Mohd Fadzli Mohd Ramli dan Abdullah Abdul Karim. UIAM pula diwakili oleh S Nantha Balan dan Norliza Rasool Khan.

Para pelajar yang hadir memberi sokongan moral kepada Mohaziri seramai lebih kurang 50 orang itu kecewa kerana perbicaraan tidak dapat diteruskan.

Mereka memasuki kamar mahkamah dengan menyemat reben kuning.

Hakim Wan Arfah menetapkan tarikh 24 Februari untuk Hanipah mengemukakan ulasan balas penolakan yang dibuat oleh pihak Peguam Negara.

Mahkamah yang mendengar kes pelajar tahun akhir Sains Kemanusiaan itu, 29 Mei lalu menerima permohonan daripada Peguam Negara untuk menolak tuntutan pemohon (Mohaziri) dengan alasan kes tersebut tidak perlu menuntut sebarang keadilan.

Bagi Peguam Negara, kes yang berlaku di antara pelajar dan universiti itu adalah perkara dalaman dan tidak perlu dibawa ke mahkamah.

Dalam tuntutan Mohaziri, beliau menyaman UIAM yang mengenakan syarat-syarat baru kepada pelajar yang berhasrat untuk menjadi calon dalam pilihanraya kampus.

Antara syarat-syarat ialah calon-calon dikehendaki menduduki beberapa tahap ujian dan mempunyai Kumpulan Gred (CGPA) melebihi 2.8.

Bagi Mohaziri, tindakan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan melanggar hak asasi manusia yang menuntut hak kesaksamaan.

Mohaziri juga mendakwa UIAM tidak sepatutnya melantik Naib Canselor sebagai mengetuai suruhanjaya pilihanraya kampus kerana perjalanan pilihanraya tersebut sepatutnya dijalankan oleh pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP), UIAM.

Sebelum itu, bekas pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Soh Sook Hwa mencabar AUKU kerana mendakwa ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Kesnya akan disebut semula pada Januari 16 akan datang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home