SepangOnline

Thursday, January 12, 2006

Azmin dedahkan dokumen pelantikan ejen Israel dalam MAS

Petikan drp: MalaysiaKini - Jan 12, 06 2:46pm

Masa untuk menjalankan siasatan! Itulah mesej Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali kepada kerajaan dengan mendedahkan dokumen-dokumen bagi menyokong dakwaannya mengenai pelantikan seorang bekas pegawai perisikan Israel berkhidmat di Penerbangan Malaysia (MAS).

Pada 24 Disember lalu, Azmin membuat beberapa dakwaan mengenai MAS, termasuk dakwaan pelantikan seorang juruperunding IT yang merupakan bekas ejen perisikan Israel dan beberapa individu lain dengan membayar gaji yang terlalu tinggi.

Ketika membuat dakwaan itu tempoh hari, Azmin enggan mendedahkan kepada media dokumen-dokumen tersebut. Sebaliknya, beliau memberi tempoh 24 jam kepada pihak kerajaan untuk memberi penjelasan mengenainya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Pertahanan, dilaporkan berkata, beliau tidak menyedari perkara tersebut, tetapi menegaskan, dakwaan Azmin akan disiasat. Azmin kemudiannya melanjutkan tempoh penjelasan tersebut sehingga tujuh hari.

Ketika memberi salinan dokumen-dokumen tersebut kepada malaysiakini baru-baru ini, Azmin berkata, beliau kecewa kerana Najib gagal memberi penjelasan mengenainya kepada umum.

Ekoran itu, katanya, beliau perlu mendedahkan dokumen-dokumen tersebut demi kepentingan keselamatan negara kerana ia membabitkan sebuah sektor yang strategik.

Tajaan visa

Salah satu dokumen tersebut merupakan salinan permohonan mendapatkan pas lawatan bagi bekas pegawai perisik Israel tersebut yang berusia 41 tahun. Butiran peribadinya termasuk namanya (tidak disiarkan sehingga disahkan), maklumat mengenai pasport dan butiran maklumat diri.

Borang bertarikh 6 Disember 2005 itu, mengemukakan permohonan untuk mendapatkan 'visa berulangkali perjalanan' ke Malaysia. Ia ditaja oleh seorang pegawai kanan pengurusan operasi IT.

Lelaki itu dicatatkan sebagai warganegara Perancis, walaupun tempat kelahirannya ialah di bandaraya perindustrian Haifa di Israel.

Maklumat dirinya pula menyebut dia pernah bertugas sebagai pegawai berpangkat leftenan dalam unit perisikan tentera Israel di antara tahun 1983 dan 1988 serta telah mewujudkan seksyen yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah yang mempunyai kesan strategik terhadap negara berkenaan.

Azmin juga menyerahkan satu salinan dokumen yang mengesan rekod para pegawai MAS yang mempunyai akses kepada sistem data syarikat penerbangan tersebut. Ia menunjukkan lelaki berkenaan telah mengakses sistem tersebut, termasuklah ketika waktu tengah malam.

Azmin bagaimanapun mendakwa nama lelaki tersebut telah dibuang daripada sistem tersebut.

"Setakat yang saya tahu, identitinya telah dibuang daripada sistem MAS selepas pendedahan saya (tempoh hari). Sama ada dia telah diminta berhenti daripada syarikat tersebut ataupun identitinya telah ditukar," dakwanya lagi.
Beri penjelasan

Azmin juga mempersoalkan mengapa MAS membayar gaji yang terlalu tinggi kepada beberapa perunding IT setiap bulan, sedangkan penyumberan jabatan IT syarikat penerbangan itu telahpun dikendalikan oleh syarikat komputer gergasi IBM mulai 2003 untuk tempoh 10 tahun, yang bernilai AS$100 juta.

Beliau juga menunjukkan salinan kontrak perjanjian antara MAS dan seorang juruperunding warga Australia bertarikh 5 September tahun lalu. Juruperunding tersebut dibayar RM4,400 bagi setiap hari kontrak - atau kira-kira RM100,000 sebulan - untuk tempoh setahun, dengan pilihan kontrak itu dilanjutkan sehingga 12 bulan.

Tiga salinan invois berasingan - bertarikh antara Julai dan September tahun lalu, berjumlah RM298,202 - juga dikeluarkan kepada MAS oleh sebuah agensi perkhidmatan pekerjaan berpejabat di Kuala Lumpur. Invois tersebut adalah untuk bayaran perkhidmatannya mendapatkan tiga pegawai bagi syarikat penerbangan tersebut.

Menurut invois-invois tersebut, MAS membayar tiga pegawai berkenaan - seorang pengurus besar bagi perkhidmatan sokongan, seorang 'enterprise architect' dan seorang pengurus arkitek - masing-masing RM68,750, RM17,000 dan RM15,000 setiap bulan. Nama mereka juga disebut dalam dokumen tersebut.

Seorang pengurus kanan di jabatan perkhidmatan dan perancangan IT MAS, bertanggungjawab meluluskan perlantikan tiga pegawai berkenaan serta perlantikan seorang juruperunding warga Australia.

Azmin mempersoalkan mengapa jabatan berkenaan diwujudkan dan mengapa perlantikan itu dibuat sedangkan penyumberannya dilakukan oleh IBM, sambil menambah, MAS dan pihak kerajaan bertanggungjawab menjelaskan perkara tersebut.

Menurut laporan sebelum ini, di bawah persetujuan penyumberan itu, IBM akan menguruskan operasi harian jabatan IT MAS bagi meningkatkan prestasi perniagaan syarikat penerbangan itu.

Ditanya sama ada beliau memperolehi dokumen-dokumen tersebut dari orang dalam MAS, Azmin menjawab: "Itu bukan isunya [...] biar kita fokus kepada isu-isu lebih penting yang membabitkan kepentingan negara."
MAS sebelum ini memberitahu malaysiakini yang pihaknya 'tidak dapat memberi komen' berhubung dakwaan Azmin itu.

Syarikat penerbangan itu menjadi tumpuan bulan lalu berikutan isu pembelian tiga buah lukisan berharga RM1.55 juta dan melantik juruperunding asing -bekas kakitangan Air New Zealand, Chris Andrew - dengan bayaran RM7,525 sehari.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu dilaporkan berkata, pembelian lukisan tersebut merupakan satu pelaburan korporat dan dan perkhidmatan juruperunding diperlukan.

Bagaimanapun, Andrew telah meletakkan jawatannya lewat bulan. Pada masa ini, beliau merupakan pengurus besar kanan, yang mengendalikan maklumat teknologi mengenai keperluan penyumberan. Tamat

Copyright © 1999-2005 Mkini Dotcom Sdn Bhd. All rights reserved
Sumber: MalaysiaKini Kiriman:

0 Comments:

Post a Comment

<< Home