SepangOnline

Saturday, January 07, 2006

Rampas Suara Keadilan: Pak Lah Mungkir Janji

Saturday, 07 January 2006
oleh Zulkifli Mohamed

PERMATANG PAUH - Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, memungkiri janjinya di Parlimen 27 Oktober lalu untuk meluluskan permit akhbar Suara Keadilan (SK), sebaliknya bertindak melalui kementerian tersebut merampas organ Parti Keadilan Rakyat itu yang dijual di sini, pada 4 Januari lalu.

“Itu satu tindakan yang tidak wajar kerana KDN yang melengahkan kelulusan permohohan kami, lagipun Perdana Menteri sendiri telah berjanji di Parlimen, kerajaan akan meluluskan permit penerbitan SK,” tegas Ketua Penerangan Keadilan, Tian Chua ketika mengulas kejadian rampasan akhbar SK oleh KDN cawangan Pulau Pinang.

Menurut Tian, pihaknya telah menghantar permohonan sejak Mac lalu dan telah memenuhi dan mengemukakan semua dokumen yang berkaitan.

“Semua prosedur telah kami penuhi, jadi apa lagi yang KDN mahukan?” soalnya.

Berikutan itu, pihaknya akan menghantar memo bantahan kepada Perdana Menteri dan KDN dalam masa terdekat.

Difahamkan pada 18 Oktober lalu, Keadilan telah mengutus surat kepada Perdana Menteri menggesanya segera meluluskan permit penerbitan akhbar tersebut.

“Sebagai sebuah parti yang sah di sisi undang-undang, Keadilan berhak menerbitkan akhbar sendiri dua kali sebulan, sebagaimana jaminan oleh Menteri Dalam Negeri pada 2 Mac 2000,” tegas Azizah dalam surat berkenaan.

Abdullah juga pernah memberikan jaminan bertulis bahawa kerajaan akan meluluskan akhbar milik parti politik dengan kekerapan tertentu bagi menjawab pertanyaan lisan oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr Wan Azizah pada sidang Dewan Rakyat 27 Oktober lalu.

Dalam kejadian sekitar 3 petang itu, tiga kakitangan KDN telah merampas SK daripada seorang peniaga.

“Mereka memberikan alasan sebab tiada permit penerbitan, ketika merampas enam naskhah SK yang belum dijual daripada gerai saya,” kata peniaga Saharin Hassan, di Penanti.

Menurutnya, kejadian itu merupakan rampasan kali kedua dalam tempoh dua tahun.

Katanya dia menjual semua akhbar dan majalah tanpa mengambilkira soal politik kepartian bagi meraih keuntungan.

“Saya menjual SK kerana permintaannya tinggi di sini, jadi dapatlah sedikit untung untuk menyara keluarga,” jelas bekas pemandu bas itu.

Dalam pada itu, seorang peniaga yang hanya mahu dikenali ‘Kak Mah’ berkata kerajaan tidak sepatutnya bersikap ‘double standard’ untuk tidak meluluskan permit penerbitan SK.

“Apa yang kerajaan takutkan sangat, lagipun mereka telah menguasai semua media cetak dan elektronik,” katanya yang ‘terselamat’ kerana akhbar berkenaan telah habis dijual.

Tinjauan yang dibuat mendapati hanya beberapa gerai akhbar menjadi sasaran operasi KDN.

Sementara itu, KDN negeri ini gagal dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Keadilan cuba mendapatkan permit penerbitan apabila kementerian menolak permintaannya untuk memperbaharui dan memindahkan permit akhbar Suara PRM iaitu organ rasmi Parti Rakyat Malaysia (PRM) kepada Suara Keadilan.

PRM telah bergabung dengan Parti Keadilan Nasional dan membentuk PKR pada Ogos 2003. Justeru, KDN telah mengarahkan Keadilan membuat permohonan baru di bawah nama Keadilan.

KDN dalam suratnya pada 19 Oktober lalu mengesahkan menerima dan sedang menimbangkan permohonan Keadilan itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home