Dalam bulan ini ingatan kita akan mengimbas kembali rentetan peristiwa dan perjuangan rakyat yang berkemuncak dengan Kemerdekaan dimasyhurkan. Saya menggunakan perkataan ‘dimasyhurkan’ kerana itulah istilah yang digunakan ketika itu, dan dokumen yang bernama ‘Pemasyhuran Kemerdekaan’ itu diedarkan secara meluas kesetiap pelusuk taman dan desa. Tarikh pemasyhuran tersebut terungkap sebagai tarikh keramat , menjanjikan kebebasan daripada cengkaman penjajah, menyelamatkan martabat hidup rakyat. Tarikh tersebut telah menjadi unsur penting dalam ingatan kolektif kita. Tetapi bagaimana kita dapat mengingatinya , apakah makna tarikh tersebut hari ini, akan menjadi penentu kepada persoalan makna diri.
Tekad baru untuk memahami makna diri Malaysia sebagai bangsa merdeka juga menuntut kita untuk memahami bagaimana kita menjadi tidak merdeka ; bagaimana kita hilang kemerdekaan sebelum kita memperolehinya kembali.
Perspektif Sejarah Mari kita toleh kepada puisi panjang Luiz Vaz de Camoes yang bertajuk Os Lusiadas. Ditulis di abad ke-16, puisi ini bukan sekadar epik bangsa Portugis, tetapi juga puisi teragong Eropah di zaman kebangkitan semulanya, iaitu Renaissance. Dan di antara pucak-puncak tertinggi imaginasi Eropah yang sedang keluar dari zaman gelapnya, bangsa kita – iaitu Melaka, yang merupakan rupa-bentuk awal bangsa kita hari ini, di sebut : Kamu, dengan kekayaan dan tempat letak mu, tidak akan lepas dari sambaran dia Di situ, Gedung Agung pada fajar menyinsing Melaka yang kaya sungguh ( Opulanta Malaca ) dan ternama ! Mata panah mu yang berlumurkan racun Keris lengkok mu jadi senjata, dengan Pahlawan Melayu yang berahi (Malaios namorandos ) dan Jawa yang berani (Jaus valentes ), Semuanya akan kecundang dengan Portugis.
Sekiranya Aeneid puisi besar Virgil mengesahkan penemuan dan pembentukkan Rom sebagai bangsa imperial, Os Lusiadas merupakan gurindam bangsa Portugis ; bagaimana Vasco da Gama di lambung ombak, mengelilingi benua Afrika dan merintis arah ke Timur, membuka jalan kepada Afonso de albuquerque menawan Goa (1510), Melaka (1511) dan Ormuz (1515).
Dari perspektif sejarah semasa, pengembaraan Vasco da Gama dan penaklukan Albuqueque merupakan peristiwa-peristiwa penentu tamadun moden Eropah, bahkan membantu mencorak tamadun moden keseluruhannya. Penyair de Camoes penuh sedar, dan melalui puisinya memberitahu masyarakat Eropah, bahawa apa yang lakukan oleh sang pengembara dan sang penakluk dari semenanjung Iberia itu adalah mengisytiharkan kedatangan Zaman Baru – Novo Reino -- dan akan menjadikan mereka masyhur sepanjang zaman. Tetapi Sultan Mahmud Syah dan bendahara baginda—menurut rekod Portugis benama Naina Chatu—tidak mengetahuinya.
Hanya setelah hampir lima ratus tahun peristiwa itu berlaku, barulah kita memiliki perspektif terhadap konteks bangsa kita yang kehilangan kemerdekaannya. Hari ini, bila kita mahu membangun semula makna diri bangsa, kita perlu memahaminya dari dari latar belakang tamadun global, nilai sejagat dan amalan antarabangsa. Kita tidak boleh lagi hidup di bawah tempurung kaum masing-masing, atau memahami diri kita semata dalam lingkungan sempadan negara.
Perspektif yang diperlukan adalah perspektif yang diilhamkan dari gagasan sejarah yang pernah dilontarkan oleh sejarawan Arnold Toynbee. Sejarah nasional, tegas beliau, adalah suatu yang tidak dapat dipertahankan dari kaca mata falsafah disiplin tersebut. Sejarah hanya bermakna dalam konteks ketamadunan. Maka, makna kemerdekaan tidak akan dapat digarap dengan sepenuhnya dari kaca mata nasional semata-mata. Apa lagi kalau dilihat dari sudut sempit dan kelam sesebuah parti politik tertentu.
Kemerdekaan, jika ianya perjuangan rakyat, perlu di lihat dari perspektif rakyat keseluruhannya ; perjuangan pelbagai kaum, menggunakan pelbagai wadah, dan melibatkan pelbagai aliran pemikiran.
Dalam kesatuan semangat untuk menentang penjajah dan imperialisme Barat, pada ketika yang sama berlaku pergelutan ideologi di kalangan perjuang-pejuang tersebut. Generasi terdahulu yang sama-sama berjuang untuk kemederkaan, dan mereka yang menempoh zaman mudanya di masa awal kemerdekaan menjadi saksi kepada kepelbagaian aliran dan wadah perjuangan rakyat.
Tetapi penulisan sejarah kemerdekaan yang disampaikan kepada generasi hari ini masih belum berlaku adil kerana fakta yang bercampur propaganda. Ini merupakan beban dan tanggungjawab kepada ahli-ahli sejarah kerana tanpa histografi atau pensejarahan yang adil, kita tidak akan dapat melihat dan menemui makna dan rupa diri bangsa kita yang sebenarnya. Akhirnya, yang penting bukanlah fakta tentang penubuhan parti-parti, parti mana yang mahu bekerjasama dan tidak mahu bekerjasama dengan British untuk memperolehi kemerdekaan. Yang perlu kita ambil dan kekalkan adalah nilai dan makna.
Para hadirin sekalian, Kebebasan Kemerdekaan adalah untuk kebebasan dan keadilan. Inilah tiang seri bangsa; hukum dan seni kenegaraan yang dijanjikan kepada kita pada 31 Ogos 1957. Kita tahu, hanya bangsa yang pernah melalui gelita penjajahan akan mengerti makna cahaya kemerdekaan. Bagitu juga, hanya diri yang pernah kebebasannya diragut akan memakrifati nilai kebebasan.
Lebih dua ribu tahun yang lalu, Brutus berpidato di pasar kota imperial Rom menjelaskan mengapa Ceaser dibunuh. Dia mencabar Rom dalam kata-katanya : siapakah yang begitu hina sehingga mahu hidup sebagai hamba ? Ceaser mahu menjadi diktator, manusia bernafsu besar, mahu mempunya kuasa yang tidak terbatas dan mahu meletakkan Rom dalam genggamannya. Pertentangan antara Brutus dengan Ceaser adalah pertentangan antara kekebasan dengan nafsu kekuasan tidak terbatas.
Sejak negara kita merdeka kita masih bergelut dengan pertentangan ini. Kebebasan – kebebasan bersuara, kebeasan media, kebebasan institusi kehakiman sentiasa mahu disekat oleh penguasa. Bahkan kebebasan asasi yang termaktub dalam perlembagaan, perlembagaan yang gubal khusus untuk melindungai kebebasan tersebut, turut di batasi.
Selama enam tahun saya renungi perkara ini dari belakang tembok penjara. Betapa banyak penyelewengan dan penyalahgunaan berlaku justru kerana kebebasan tidak dijadikan unsur yang penting dalam struktur dalam negara dan masyarakat. Kita harus insaf bahawa kebebasan adalah sebahagian dari keadilan. Penafian kebebasan merupakan pencerobohan kepada keadilan itu sendiri. Dan kongkongan kepada kepada kebebasan akan menutup sesuatu masyarakat dari sumber kreatifnya, sumber untuk mencipta hasil akliah dan kebudayaan yang akan memperkaya kehidupan.
Saudara-saudara sekelian, Gelombang Besar Islam Demokratik Dalam perjalanan pulang ke tanah air, saya dan Dr Wan Azizah singgah di Istanbul sebagai tetamu kepada Perdana Menteri Recep Tayyip Erdorgan. Turki perlu kita perhatikan. Negara tersebut menjalani sejarah yang getir dan kontrovesi di zaman moden ini.
Ketika Turki adalah sebahagian daripada Empayar Uthmaniah, bangsa tersebut memimpin satu empayar terbesar yang punya hayat yang paling lama dalam sejarah dunia. Namun, empayar itu berakhir selepas Perang Dunia Pertama dengan Mustaffa Kamal menghapuskan sistem kekhalifahan. Tetapi Turki juga merupakan Negara Muslim yang pertama menjadi demokratik dan berani melakukan eksprerimen pemerintahan berparlimen. Penyair-filasuf Muhammad Iqbal mengkritik keras tindakan Kamal mahu memisahkan Turki dari warisan agama dan kebudayaannya. Tetapi beliau memuji langkah negara itu memperkenal sistem parlimen dan beliau melihat institusi tersebut sebagai perlaksanaan kepada sistem syurak.
Kemenangan Tayyip Erdorgan dan partinya dua tahun lalu mencerminkan Turki kembali mencari akar dan budaya bangsanya. Turki di bawah pentadbiran sekarang gigih untuk memperkukuhkan institusi demokrasi yang sering digugat oleh pihak tentera yang melihat dirinya sebagai pelindung sekularisme ala Kamalisme.
Di rantau ini, kita melihat Indonesia, negara yang telah menangkis tuduhan bahawa Islam itu tidak demokratik, atau tidak sejajar dengan prinsip-prinsip demokrasi. Sekiranya Negara Islam terbesar ini berjaya mengamal demokrasi secara aman dan bebas maka teori yang cuba mengambarkan ketidakserasian Islam dan demokrasi gugur bersepai.
Indonesia dan Turki adalah negara majoriti penduduknya Islam. Indonesia sekarang adalah negara Islam demokratik yang terbesar sementara Turki pula adalah negara demokratik umat Islam yang pertama. Hasil perbincangan saya dengan Perdana Menteri Turki, pemimpin-pemimpin tertinggi Indonesia, ulamak dan cendekiawan Muslim di negara-negara Arab dan di Barat meyakinkan saya bahawa satu Gelombang Besar Islam Demokratik sedang berlaku di kalangan umat Islam di semua benua.
Sekiranya diberikan kebebasan untuk memilih, umat Islam sudah pasti akan memilih demokrasi. Kerana, seperti yang ditegaskan oleh pemikir agama Reinold Nuebuer kecenderungan manusia kepada kebaikan dan keadilan memungkinkan demokrasi terjadi; tetapi kecenderungan manusia kepada keburukan dan kezaliman menjadikan demokrasi sebagai satu keperluan.
Persoalan demokrasi di kalangan umat adalah persoalan dalaman. Ianya bukan persoalan tekanan dari luar. Demokrasi perlu dilaksanakan sebagai satu matlamat, dan juga sebagai satu instrumen untuk melaksanakan pelbagai reformasi. Apabila kita menyebut demokrasi sudah pasti kita mahukan satu satu demokrasi yang tulen, bukan satu demokrasi yang tempang.
Tidak akan ada demokrasi tanpa pilihanraya. Tetapi piliharaya tidak akan bermakna tanpa kebebasan media. Demokrasi juga akan cacat sekiranya institusi kehakiman tidak bebas. Demokrasi seharusnya menyuburkan perdebatan dan meraikan perbedaan pendapatan. Sekiranya professor-professor di universiti merasakan dirinya tidak bebas menyuarakan pendapat, mahasiswa di larang dan diugut dari mendengar pidato bukan pemerintah kita sesungguhya telah jauh mundur.
Tidak ada guna untuk kita berbicara tentang pembangunan, sekiranya ruang kebebasan demokrasi semakin sempit, kerana pembangunan hanya akan menjadi omong kosong tanpa melalui jalan kebebesan. Tidak ada gunanya kita bercakap tentang kemajuan, sekiranya tidak lahir manusia yang bebas, kreatif dan yang mampu untuk mandiri. Dan tidak ada gunanya untuk kita menyebut tentang Islam sederhana sekiranya institusi masyarakat sekiranya tidak ada demokrasi tulen. Kerana Islam dalam keadaan itu hanyalah menjadi topeng untuk menutup wajah pemerintah yang leluasa mengawal dan mengikat rakyat dengan undang-undang dan akta bukan hanya daripada untuk bercakap benar terhadap segala penyelewengan yang dilakukan, tetapi juga tidak boleh untuk mengajukan soalan atas apa yang dilakukan pemerintah.
Ini kerana, untuk sebuah pemerintahan authoritarian, mengajukan soalan adalah sebuah subversif. Kerana itu, menjadi tugas para cendekiawan dan intelektual untuk membuang sikap pesimis terhadap kebebasan, kerana hanya dengan sikap optimis akan lahir kejernihan pandangan untuk mencari alternatif-alternatif dalam menyelesaikan sebarang permasalahan dan kerumitan, walaupun dalam peringkat teoritis.
Dalam keadaan politik dunia yang tidak memihak kepada umat Islam, umat Islam tidak boleh lagi bersikap apologetik terhadap sebarang tindakan yang menceroboh kebebasan, juga tindakan yang tidak menghormati prinsip kemanusian; dalam hal ini hanya optimisme akan membawa keyakinan untuk membolehkan kita merumuskan jawapan yang tegas terhadap sebarang tuduhan kepada umat Islam.
Saudara-saudara sekelian. DEB Baru-baru ini, DEB dan affiirmative action kembali berkocak. Dasar tersebut dan penentangan terhadapnya bila-bila masa boleh menjadi bahan api bagi oportunis politik yang selamanya muflis idea, kering pemikiran kecuali tidak habis-habisnya memainkan isu perkaumnya, ibarat langau yang tidak dapat lari dari najis dan bangkai.
Kenapakah bangsa Malaysia di abad ke 21 ini masih tidak mahu memanjat naik, melompat lepas dan keluar daripada pagar, tembok dan kokongan perkauman? Telah kita ketahui, dari ajaran semua para Rasul, guru-guru agung dan filasuf besar bahawa, sesungguhnya keadilan itu adalah nilai sejagat. Tidak ada keadilan sekiranya keadilan itu hanya untuk kaum dan kelompok tertentu sahaja. Keadilan dalam maknanya yang sebenar, lagi murni terlepas bebas melepasi segala tembok bangsa, agama dan kaum.
Mengapakah orang Melayu hanya mahu memperjuangkan keadilan untuk orang Melayu sahaja, dan Cina untuk Cina sahaja, India semata untuk India sahaja, Kadazan, Iban, hanya untuk kaum masing-masing. Keadilan tidak akan tercapai melalui program-program yang bersifat tolak-ansur; menolak satu kaum, dan ‘mengansur’ kaum yang lain. Suvival bangsa kita hanya akan terjamin dengan merumuskan satu gagasan keadilan untuk Bangsa Malaysia.
Kita akur bahawa dalam mana-mana negara terdapat jurang ekonomi dan social dan jurang ini berlaku mengikut kaum. Jiwa progresif mahukan jurang ini dikurangkan. Justru itu dasar-dasar social dilakasanakan. Tetapi pelbagai Kajian perbanding di peringkat antarabangsa telah dilaksanakan menunjukkan Dasar-dasar yang bertujuan murni ini disalahgunakan. Dasar yang khusus untuk membela kaum tertentu di-hijack oleh segelintir elit kaum tersebut.
Di negara Malaysia sendiri kita menyaksikan bagaiman Dasar ini disalahguna untuk memperkayakan keluarga, sahabat dan rakan-rakan politik – nepotisme, kronisme dan rasuah. Kita mengakui satu Dasar untuk mencapai keadilan social itu adalah perlu. Tetapi Dasar tersebut mestilah untuk semua, bukan terbatas kepada mana-mana kaum. Perlaksanaannya perlu sentiasa disemak untuk mempastikan ianya tidak menghasilkan diskriminasi pada yang berhak dan rasa cemburu antara kaum. Dalam konteks hari dan berdasarkan pengalaman perlaksanaan DEB satu Kajian yang komprehesif diperlu untuk mengelakannya dari Dasar tersebut menjadi sarang nepositme, kronisme dan rasuah.
Saudara-saudari sekelian, Kita berkomunikasi dengan bahasa. Tetapi bahasa bukan sekadar bersifat utilitarian, sebagai perantara untuk kita saling memahami satu dengan lain. Bahasa juga cermin pribadi dan jiwa bangsa. Benar, kita boleh mengukur mutu kemerdekaan dengan kemewahan ekonomi. Tetapi ukuran itu adalah ukuran yang berat sebelah. Bangsa yang kaya ekonominya boleh pada ketika yang sama muflis jiwanya. Setiap bangsa perlukan suara. Bangsa yang tidak bersuara tidak akan dikenali oleh dunia. Tetapi suara yang yang authentic atau sahih adalah dalam bahasanya sendiri. Maka peranan bahasa sebagai pembentuk makna diri bangsa Malaysia tidak boleh diperkecilkan. Bahkan ini sudah menjadi satu muafakat pelbagai kaum dan telah menjadi satu Dasar terpenting dalam agenda nasional.
Bagaimana muafakat ini boleh diketepikan dengan begitu mudah, dengan hujah yang separuh masak, tanpa sebarang Kajian teliti, hanya mencerminkan sikap gelojoh dan tidak demokratik orang yang memaksakan perubahan tersebut.
Dalam kerajaan Melaka di abad ke-15 terdapat 22 bahasa dituturkan dalam wilayahnya. Maka mempelajari bahasa asing itu tidak menjadi persoalan. Bangsa yang tidak mahu mempelajari bahasa asing adalah bangsa yang terkurung dalam kepompongnya. Tetapi hakikatnya adalah bangsa itu dikenali memalui bahasanya. Bahkan Munsyi Abdullah yang sering dilabel sebagai pro-penjajah namun begitu tegas sekali dengan pendiriannya dengan mereka yang mengabaikan bahasa sendiri. Tetapi sesuatu bahasa berkembang dan menjadi kaya hasil dari kegiatan inteleknya. Dasar tidak akan mengayakan bahasa kerana bahasa hanya boleh dikayakan oleh pengkaryanya. Oleh itu kita harus berani dan yakin membicarakan ilmu dalam bahasa kita, perbanyakkan terjemahan dan memperbesarkan perbahasan ilmu dalam bahasa kebangsaan kita.
Sebenar tanggungjawab menganggat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan tamadun terletak pada pena – atau word processing -- pemikirnya Rantau Asia Tenggara tidak pernah putus daripada pelbagai gelocak politik, dan cabaran demi cabaran harus ditempuhi oleh para demokrat untuk mencapai tujuan kebebasan rakyat.
Ada para pemimpin yang nampak seakan-akan nampak seperti mahu menegakkan demokrasi, menjamin kebebasan rakyat dan bercakap mengenai sikap berat sebelah Barat, tetapi dalam masa yang sama, di dalam negara sendiri, tidak kurangnya berlaku zalim. Pemerintahan militer di Myanmar telah berkali-kali mengulang-ulang janji untuk membebaskan pejuang demokrasi, Ang Sang Su Ski, tetapi, sampai detik ini beliau masih berada di bawah perintah tahanan rumah oleh pemerintahan militer.
Pengalaman rakyat di Asia Tenggara sepanjang jejak melebarkan ruang kebebasan adalah seperti munculnya fajar baru. Saya yakin ruang demokrasi bakal memberikan harapan baru kepada kemajuan rantau Asia Tenggara keseluruhannya. Keyakinan ini ditambah apabila kita menyelak-nyelak lembaran sejarah rantau Asia Tenggara ini bahawa setiap diktator nampaknya tidak akan selalu selamat. Pernah berlaku kebangkitan rakyat yang besar di Filipina, Indonesia, Thailand, bahkan juga gelombang inagatan yang tidak kurang hebatnya di negara kita kira-kira tujuh tahun dahulu.
Namun bemikian, jangan mudah kita lupa, di negara kita hari ini masih ada ratusan lagi orang yang ditahan di bawah akta ISA, tidak sekalipun dibawa ke muka pengadilan, dan tahanan mereka disambung tanpa alasan yang jelas dan munasabah. Sikap sedikit ‘berlembut’ yang cuba ditunjukan oleh pentadbiran baru sama sekali tidak bermakna sebagai asas untuk menjamin kebebasan benar-benar sudah wujud.
Ketika beberapa negara-negara rakan di Asia Tenggara ada yang berkembang maju demokrasinya, Malaysia masih tidak menunjukkan tanda-tanda yang jelas untuk mewujudkan persekitaran seumpama. Saya ingin mengulangi pendirian bahawa pandangan lapuk negara-negara anggota ASEAN untuk tidak campur tangan dalam urusan kebebasan dan demokrasi negara-negara rakan lainnya adalah sama sekali sudah tidak releven lagi. Satu tekad dan kesedaran baru harus timbul, dan doktrin tersebut harus dihapuskan segera demi memastikan pancaran demokrasi dapat dinikmati oleh semua penduduk ASEAN.
Di awal tadi saya menyebutkan koteks ketamadunan di mana negara kita dijajah dan hilang kemerdekaan. Eropah muncul kembali melalui Renaissance dan bangsa Portugis yang meneroka dan menakluki beberapa kota pelabuhan Asia adalah anak-anak yang dilahirkan melalui ledakan tenaga di zaman Renaissance Eropah. Tidak ada bukti yang sampai kepada kita bahawa masyarakat Melaka ketika itu memahami atau cuba memahami kekuatan kebudayaan di belakang kapal-kapal perang dan meriam Portugis. Kapal-kapal perang, senjata, peta pelayaran hanya tanda-tanda zahir kepada revolusi pemikiran dan kebudayaan yang membentuk jiwa baru Eropah. Melaka menemui Eropah tetapi tidak memahaminya, justeru itu rantau tersebut dihukum untuk mengalami penjajahan demi penjajahan.
Apabila kita ingin membangun semula kemerdekaan kita, maka kita perlu mempunyai tekad untuk memahami zaman ini, tamaddunnya dan semangatnya. Semangat zaman ini adalah kebebasan dan demokrasi telah menjadi keteraturan universal. Sekiranya kita mahu berdegil untuk meneruskan saki baki peninggalan feudal, atau mahu memperkokohkan lembaga-lembaga sistem otoritarianisme kita akan melawan arus global. Tarian kita akan caggung dengan rentak irama antarabangsa dan kita akan terpinggir. Sudah pasti kita tidak mahu menjadi bangsa yang terpinggir. Bangsa Malaysia tidak miskin dengan sumber daya manusianya. Dengan paras pembangunan yang telah dicapai dan kekayaan yang kita miliki Malaysia boleh menjadi negara yang besar. Dan kita perlu yakin bahawa Malaysia boleh menjadi bangsa yang besar. Tetapi kita tidak boleh menjadi bangsa yang besar sekiranya rakyatnya tidak bebas dan merdeka. Sekian.