SepangOnline

Tuesday, August 23, 2005

Apa Yang Silapnya Dengan Penswastaan?

Tuesday, 23 August 2005
Sebelum kita mula mencurahkan pujian terhadap tindakan segera kerajaan baru-baru ini untuk menstruktur semula Persyarikatan Malaysia dan melantik pengurus-pengurus profesional generasi baru di syarikat-syarikat yang diambilalih, adalah wajar, untuk menyelidiki sebab-sebab kegagalan sebahagian daripada operasi penswastaan tersebut.
Pertamanya, terlalu banyak projek diberi kepada kumpulan usahawan-usahawan yang sama, yang mana di dalam kegopohan mereka untuk melonjak naik menjadi golongan jutawan, telah meminjam keliling pinggang dan mengakibatkan kekurangan dalam bentuk keupayaan pengurusan dan sumber. Dengan demikian, United Engineers (Malaysia) Bhd mungkin dapat bertahan sebagai pengendali jalanraya bertol semata-mata tanpa perlu terperangkap di dalam segala bentuk pelaburan-pelaburan tidak perlu yang dikaitkan dengan pemegang saham majoritinya, Renong, dan pemegang saham terbesar Renong ketika itu, Tan Sri Halim Saad.

Oleh kerana kepentingan-kepentingan para pemilik individu selalunya tidak selari dengan kepentingan syarikat-syarikat mereka, timbul konflik kepentingan yang serius, menguatkan lagi persoalan samada tindakan-tindakan yang di ambil sebenarnya adalah untuk faedah syarikat-syarikat berkenaan ataupun pemegang-pemegang saham individu.

Itulah yang terjadi kepada seorang usahawan yang terlibat di dalam industri penerbangan dan telekomunikasi, dua perniagaan yang sangat berlainan, tidak berkaitan antara satu sama lain dan rumit. Usahawan tersebut memainkan peranan eksekutif dalam kedua-dua perniagaan. Akhirnya, kedua-dua perniagaan terjejas.

Kini, ada kemungkinan yang Tan Sri Tajudin Ramli, bekas pemilik Sistem Penerbangan Malaysia Bhd, mampu memperbetulkan kedudukan kewangan di unit perniagaan telekomunikasi milik beliau yang bermasalah, Technology Resources Industries, setelah menerima tawaran yang sangat besar daripada kerajaan untuk membeli kembali pegangan beliau di dalam Sistem Penerbangan Malaysia pada kadar melebihi dua kali ganda harga saham yang biasa ketika itu.

Barangkali, adalah lebih baik untuk semua, jika beliau hanya menumpukan perhatian kepada bidang telekomunikasi.

Juga, individu-individu yang bercita-cita menjadi jutawan segera yang meminjam untuk membiayai pembelian mereka. Selalunya, pembayaran semula pinjaman berdaya maju hanya jika pasaran saham terus-terusan meningkat kerana dividen-dividen dari pegangan saham berkenaan tidak mencukupi untuk membayar balik pinjaman. Dan jelas terserlah apa yang akan berlaku jika pasaran saham jatuh menjunam.

Kedua, kebanyakan tawaran penswastaan tidak melalui tender-tender terbuka walaupun ia wujud bagi projek penswastaan besar-besaran yang pertama - Projek Lebuhraya Utara Selatan. Ini bermakna perjanjian-perjanjian berkaitan tidak melalui proses penelitian awam. Penelitian awam menghasilkan dua perkara - pertama, ia memastikan ketelusan dan kedua, ia selalunya membuatkan orang ramai dapat melihat masalah-masalah yang para penganjur asal tidak pernah jangkakan.

Tender-tender terbuka membolehkan tawaran penswastaan yang sesuai dan pemeriksaan orang ramai untuk memastikan keadilan wujud, tiada sesiapa yang diberikan kelebihan yang tidak sepatutnya, perletakan harga sesuai dan perjanjian itu berfaedah dan diingini oleh semua pihak.

Ketiga, kita selalu mengalami situasi di mana para usahawan yang mengambilalih projek-projek penswastaan mempunyai sedikit ataupun tiada pengetahuan mengenai perniagaan yang diambilalih. Tetapi mereka tetap berkeras mahu menguruskan sendiri operasi daripada membawa masuk para profesional ke dalam pengurusan atasan. Itu merupakan satu resipi kegagalan yang hampir pasti.

Keempat, syarikat-syarikat yang diswastakan selalu terjejas kerana mereka tidak dibenarkan mendapat semula peningkatan kos dengan mengenakan produk dan perkhidmatan pada kadar pasaran. Tidak semua perjanjian mampu bertahan pada harga yang dikenakan ketika ini untuk perkhidmatan yang disediakan. Jika, atas apa alasan jua, kerajaan tidak membenarkan kenaikan kos ditanggung oleh pengguna, maka kerajaan patut membayar terus subsidi bagi mengimbangi kos yang tidak boleh didapati semula.

Langkah itu menghapuskan ketidakpastian dan memastikan entiti-entiti yang diswastakan dan syarikat-syarikat milik kerajaan kekal berdaya maju dan memberikan pulangan kepada pelaburan yang sepatutnya, terhadap modal yang telah mereka letak dan risiko yang ditanggung.

Yang jelas, pengajaran utama dari penswastaan yang lalu ialah tumpuan sepatutnya bukan untuk menghasilkan para jutawan. Ini pada masa yang lalu telah membawa kepada pinjaman peribadi yang cukup besar oleh mereka yang bercita-cita menjadi jutawan untuk membiayai pemerolehan pegangan mereka dalam projek penswastaan dan tumpuan berikutnya bagi menyelamatkan mereka melalui pengaturan kewangan yang sebahagian besarnya gagal.

Pendekatan baru dengan membawa masuk pengurusan profesional adalah dialu-alukan. Selari dengan itu, mungkin lebih sesuai untuk meletakkan hak milik di tangan institusi. Jika pengurusan profesional tidak menunjukkan prestasi, maka institusi boleh secara bersama menggantikannya sepertimana yang biasa diamalkan di negara-negara yang lebih maju.

Sementara keusahawanan adalah baik dan wajar digalakkan, penswastaan operasi-operasi kerajaan yang menguntungkan sepatutnya bukanlah merupakan satu cara untuk melahirkan para usahawan ñ sebaliknya biarkan mereka menubuhkan perniagaan mereka sendiri dan menjadi usahawan. Lebih baik menginstitusikan para pemegang saham di dalam urus janji penswastaan daripada menumpukannya di tangan beberapa orang sahaja. Tetapi pengecualian mungkin boleh dipertimbangkan dalam beberapa keadaan di mana ahli perniagaan yang telah mantap mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk menyumbang.

Banyak urus janji penswastaan yang dilakukan secara rahsia merupakan petanda buruk untuk urus tadbir korporat dan ketelusan yang betul. Walaupun perkara berkaitan adalah bersih, ia akan membawa kepada dakwaan wujudnya rasuah, yang paling teruk, dan naungan, sekurang-kurangnya.

Jadi, amat mustahak diadakan sistem tender terbuka dan penyebaran maklumat secukupnya untuk dibahaskan oleh awam.

Marilah berharap agar kita mendapat manfaat daripada yang lepas dalam kita menuju ke hadapan. Jika pengajaran-pengajaran dari sejarah tidak dipelajari, sejarah pasti akan berulang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home