SepangOnline

Tuesday, August 30, 2005

Abdullah pertahankan keputusan yang salah, kata Azizah

Oleh Zulkifli Mohamed

PERMATANG PAUH: Presiden Parti Keadilan Rakyat Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan alasan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ‘menghalalkan’ keputusan Umno memecat bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mempertahankan keputusan yang salah kerana keterlanjuran pemimpin terdahulu.

“Kita tidak boleh mempertahankan keputusan yang salah atas alasan sudah terlanjur.”

Katanya ketika diminta mengulas kenyataan Abdullah yang menyifatkan pemecatan itu dibuat atas faktor disiplin walaupun mahkamah baru-baru ini memutuskan bekas Timbalan Perdana Menteri itu menjadi mangsa fitnah.

Abdullah menyifatkan pemecatan itu sebagai sebahagian daripada prosedur parti dan tidak ada hubungkait dengan kes mahkamah.

"Kes-kes yang berkaitan dengan disiplin itu bukan perkara yang boleh dibawa ke mahkamah."

Kata Abdullah yang dipetik Bernama ketika mengulas kenyataan Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dalam akhbar tabloid ‘Siasah’ bahawa pemecatan Anwar yang dikaitkan dengan buku `50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM’ sudah tidak relevan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, 18 Ogos lalu, memutuskan kandungan buku berkenaan berunsur fitnah dan mengarahkan penulis dan penerbit buku itu Datuk Khalid Jafri membayar gantirugi kepada Anwar sejumlah RM4 juta kerana fitnah, manakala RM500,000 lagi bagi tindakan yang membawa mudarat berserta kos.

8 Julai lalu, Khalid dihukum setahun penjara oleh Hakim Mahkamah Seksyen Ampang, Mohamed Saman kerana menulis maklumat palsu dalam buku tersebut yang membawa peristiwa pemecatan Anwar.

Anwar kini sebagai Penasihat Parti Keadilan Rakyat dipecat pada 2 September 1998 oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, berasaskan tuduhan dalam buku tersebut.

Azizah sebelum itu ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan Keadilan Pulau Pinang, di Hotel Summit, di sini menyifatkan keputusan mahkamah tersebut telah menyemarakkan lagi kesedaran rakyat.

“Apa yang kita beritahu kepada rakyat selama ini, bahawa Anwar mangsa fitnah sememangnya betul.

“Lebih penting, mahkamah juga mengesahkan wujud konspirasi dalam penerbitan buku itu,” tambahnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home