SepangOnline

Tuesday, August 30, 2005

Angkatan Muda selar kenyataan menteri dalam usaha bendung inflasi

Oleh: Faisal Mustaffa

Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Mohd Shafie Apdal yang bersedia untuk mengkaji semula pembekuan kelulusan pembinaan pasar raya besar mendapat kritikan daripada Angkatan Muda Keadilan.

Shafie membuat kenyataan tersebut di akhbar tempatan 5 Ogos 2005 menyatakan bahawa kajian itu dilakukan akan berupaya untuk membendung inflasi.

Menurut Pengerusi Biro Bencana dan Hal Ehwal Masyarakat, Badrul Hisham Shaharin, dari satu faktor memang tidak dinafikan konsep pasaraya besar mampu menawarkan pengguna dengan harga yang agak murah dan urusan membeli-belah yang mudah.

"Tetapi satu kajian mendalam perlu dilakukan sebelum tindakan tersebut diambil kerana jika dilihat dari sudut pertumbuhan ekonomi negara hal seperti ini akan mewujudkan kurangnya daya saing antara pengusaha runcit tempatan," kata Badrul lagi yang mengulas kenyataan menteri itu.

Menurut Badrul, kesan daripada monopoli oleh pasar raya besar akan membantutkan usaha kerajaan dalam melahirkan peniaga-peniaga tempatan terutamanya di kalangan bumiputera.

"Lebih memberikan kesan kepada ekonomi rakyat terbanyak apabila kebanyakan pasar raya besar bukan milik rakyat Malaysia sepenuhnya, majoriti daripada saham dimiliki oleh pengusaha asing," terang Badrul Hisham lagi.

Kenyataan yang dibuat pada 15 Ogos itu juga menyatakan, konsep monopoli itu menyebabkan amat sukar untuk peniaga kecil tempatan bersaing dengan syarikat gergasi dunia yang telah mempunyai logistik meluas dalam mendapatkan barangan runcit.

"Shafie seharusnya melihat kesan jangka panjang yang akan menimpa peruncit dan peniaga kecil sebagai contoh sudut peruncitan antarabangsa di mana kerajaan Perancis telah mengenakan sekatan melalui Royer Law 1973 demi menjaga kepentingan peniaga kecil daripada ditindas oleh pasar raya besar," katanya lagi.

Dalam kenyataan medianya, Badrul Hisham juga memberitahu bahawa kerajaan Jepun juga turut memperkenalkan undang-undang untuk mengurangkan pertumbuhan pasar raya besar dan itu membuktikan bahawa negara-negara lain telah melaksanakan sekatan kewujudan pasar raya besar.

Menurut beliau, kajian seharusnya meneliti impak kesan ekonomi kepada masyarakat jangka panjang sebelum membuat keputusan mengenainya.

"Sebenarnya tindakan mengkaji semula pembekuan kelulusan itu setelah kerajaan menyedari bahawa rakyat terpaksa menanggung segala bebanan kos hidup ekoran kenaikan harga diesel dan petrol," kata Badrul.

Secara tidak langsung kerajaan mengakui kesan kenaikan petrol dan diesel, kenaikan yang berturut-turut dalam tahun ini telah meningkatkan Indeks Harga Pengguna (IHP) melepasi paras tiga peratus berbanding 1.4 peratus tahun lalu.

Beliau juga memberitahu bahawa kerajaan sepatutnya sedar bahawa kenaikan kadar inflasi adalah disebabkan kegagalan kerajaan mentadbir ekonomi negara khususnya dengan tindakan kekerapan kerajaan menaikkan harga minyak petrol dan diesel bukan kerana peniaga kecil yang terpaksa menaikkan harga barang.

"Yang paling penting rakyat perlu sedar kesalahan itu bukan hanya diletakkan di bahu peniaga kecil yang menaikkan sedikit harga barang tetapi kerana kerajaan gagal mengawal inflasi dalam negara," kata Badrul lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home