SepangOnline

Tuesday, August 30, 2005

PM diminta yakinkan rakyat beliau bukan anggota konspirasi terhadap Anwar

"Selepas menteri Kabinetnya berkata, mahkamah telah bersihkan Anwar"

Oleh BASIRON ABDUL WAHAB

KUALA LIPIS 29 Ogos (Hrkh) – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar menggesa Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyakinkan rakyat bahawa beliau bukanlah sebahagian daripada konspirasi yang menjatuhkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ seri Anwar Ibrahim.

“Abdullah mesti memperjelaskan beliau bukanlah sebahagian daripada konsprasi tersebut (selepas Mahkamah bersihkan Anwar),” kata Mahfuz ketika berucap pada majlis penerangan dekat sini kelmarin.

Ini kerana Abdullah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Anwar yang dilucutkan jawatan pada 2 September 1998 dan dipecat daripada Umno.

Abdullah sebelum itu hanyalah Naib Presiden Umno kedua dibelakang Dato’ Seri Najib Abdul Razak tetapi Mahathir memilih Abdullah sebagai timbalanya dengan mengenepikan Najib yang lebih kanan daripadanya.

Menurut Mahfuz, jika Abdullah seorang pemimpin yang mempunyai integriti dan ketelusan beliau perlu memperjelaskan bahawa beliau bukannya terhasil daripada konspirasi terhadap Anwar.

“Ia perlu jelaskan kepada rakyat,” tegasnya.

Baru-baru ini mahkamah memerintahkan penulis Dato’ Khalid Jefri serta penerbit buku ’50 dalil kenapa Anwar tidak boleh menjadi PM’ membayar ganti rugi sebanyak RM4.5 juta kepada Anwar kerana memfitnah beliau.

Mahkamah juga memutuskan segala pertuduhan didalam buku tersebut adalah fitnah dan dihasilkan dari satu konspirasi untuk menjatuhkan Anwar.

Sebelum itu pada 2 September 2004, Mahkamah Persekutuan telah membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat, walaupun Anwar sebagaimana diketahui telah merengkok dalam penjara selama beberapa tahun.

Sebelum itu Anwar telah menghabiskan hukuman penjara enam yang dikenakan terhadapnya atas tuduhan rasuah.

Kini buku ‘50 Dalik kenapa Anwar tidak boleh menjadi Perdana Menteri’ yang menjadi asas pertuduhan kepada Anwar telah disahkan mahkamah sebagai fitnah, ini bererti Anwar telah dianaiya dan menjadi mangsa dan menghabiskan masa bertahun-tahun dengan sia-sia di dalam penjara.

“Anwar dimalukan, diaibkan sebegitu rupa, tiba-tiba selepas beberapa tahun mahkamah mengatakan pertuduhan kepadanya yang terkandung didalam buku 50 Dalil kenapa Anwar tidak boleh menjadi PM itu hanyalah fitnah,” kata Mahfuz.

Menurut Mahfuz, jawapan kepada soalan mengenai keputusan mahkamah terhadap isu Anwar oleh Abdullah Badawi membayangkan betapa bercelarukan politik negara ini.

Abdullah berkata, kata Mahfuz, keputusan mahkamah memihak kepada Anwar adalah keputusan mahkamah ia tiada kena mengena dengan Umno.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Dato' Rais Yatim sebagaimana wawancaranya dengan akhbar Siasah bahawa mahkamah telah bersihkan Anwar, Abdullah berkata, "Itu kena tanya Rais.".
-zs

0 Comments:

Post a Comment

<< Home