SepangOnline

Thursday, August 18, 2005

Anwar tuntut 6.5 juta dari Khalid Jafri

Oleh: Faisal Mustaffa

KUALA LUMPUR: Mantan Timbalan Perdana Menteri menuntut RM6.5 juta dari penulis '50 Dalil', Datuk Khalid Jafri Abu Bakar Shah, kerana mencemarkan nama beliau dalam buku tersebut.

Ini dinyatakan oleh Anwar dalam tuntutan samannya yang didengar di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur pada 16 Ogos lepas.

Gantirugi tersebut ialah RM500,000 bagi setiap lapan bentuk fitnah yang dinyatakan berjumlah RM4 juta manakala RM500,000 lagi ialah kerana konspirasi yang dikenakan terhadap beliau, RM1 juta kecederaan tambahan (aggrevated damage) serta RM1 juta lagi adalah untuk gantirugi khas.

"Tidak ada jumlah wang yang dapat mengganti kerosakan yang saya alami akibat fitnah yang dilakakukan oleh Khalid Jafri. Walau bagaimanapun, gantirugi mesti dibayar kerana mereka telah dibayar untuk menjalankan konspirasi terhadap saya," kata Anwar.

Menurut beliau, buku '50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM' dan surat layang adalah konspirasi bagi menjatuhkan saya dan menghapuskan karier politik saya.

Anwar memberitahu Hakim Hishamuddin Yunus, kebanyakan daripada bahagian dalam buku tersebut merupakan fitnah dan bersumberkan surat layang yang ditulis oleh Azizan Abu Bakar.

Dalam surat tersebut, Khalid Jafri yang bertanggungjawab menerbitkan buku tersebut, menyebut bahawa Aziz Shamsuddin (setiausaha politik Perdana Menteri ketika itu) memberitahu mereka mempunyai tugas penting bagi memastikan Anwar tidak menjadi Perdana Menteri.

Antara lain, surat itu menyebut, "Selain dari itu Hj Zahar mengatakan bahawa Aziz Shamsuddin sendiri menyampaikan berita kepadanya bahawa PM mengataka Anwar Ibrahim tidak layak menjadi PM. Anwar 'Zero' tidak tahu tentang kewangan. Kita ada tugas penting untuk menentukan bahawa Anwar tidak akan menjadi PM dan semua orangnya mesti dipancong sebelum pemilihan 1999 ini."

Surat itu juga menyebut, "Pada keesokan harinya (tarikh saya lupa) sekali lagi kami bertemu di Pejabat Dato Rais (Bangunan FAS sebelah stadium) kami membincangkan strategi gerakerja menyekat Anwar Ibrahim (TPM) daripada menjadi PM."

Selain daripada itu, ia juga menyatakan "Dato Rais, menyatakan bahawa TPM adalah agen CIA dan mendapat bantuan 1.2 billion US Dollar untuk kempen akan datang."

Aziz adalah setiausaha politik bagi Perdana Menteri dan tewas dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Bahagian Umno Gopeng.

Aziz tidak menyukai Anwar Ibrahim kerana Anwar tidak menyokongnya di dalam pemilihan.

"Bukan satu yang ganjil apabila diketahui Buku tersebut diedarkan dari pejabat Aziz Shamsuddin," kata Anwar lagi.

Ketika disoal peguam apakah kesan daripada fitnah yang dilontarkan terhadap Anwar, beliau berkata pengedaran buku tersebut memberi kesan yang amat dalam kepadanya dan juga seluruh kaum keluarganya.

Dari segi kerjaya politik beliau, akibat daripada pemecatan tersebut, ia menjadi amaran kepada ahli-ahli Umno lain yang menyokongnya yang mungkin akan diambil tindakan yang seperti itu.

Perbuatan fitnah itu juga mengakibatkan Anwar merengkok di penjara selama enam tahun. Beliau juga tidak dapat bertanding dalam mengembangkan karier politiknya sehingga 2009.

Selain daripada itu, beliau juga hilang mata pencarian dan kemudiannya pencennya ditarik.

"Sebagai Menteri Kewangan dan ahli parlimen, saya kehilangan pendapatan sebanyak RM20,000 sebulan. Saya juga hilang wang pencen RM10,000 sebulan," katanya.

Peguam Anwar Ibrahim diketuai oleh Sulaiman Abdullah dan dibantu oleh Faiz Abdullah, Abdul Rahman Adnan dan Leela Jesuthasan.

Selain daripada Khalid Jafri atau nama sebenarnya Abdul Khalid @ Khalid Jafri bin Bakar Shah, defendan lain ialah Rozihan A Ghani yang mewakili Media Pulau Lagenda.

Mereka diwakili oleh V Rajasegan.

Khalid tidak dapat hadir ke mahkamah kerana tenat akibat penyakit kencing manis.

Kaki kanannya terpaksa dipotong pada 2 Ogos lalu. Beliau terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi ICU dan menggunakan bantuan alat pernafasan semasa di pusat rawatan itu.

Beliau kini berada di Hospital Selayang atas permintaan keluarganya.

Perbicaraan disambung 17 Ogos.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home