SepangOnline

Tuesday, August 23, 2005

Pemimpin yang rompak wang rakyat mesti ditentang habis-habisan – Anwar

Harakah Daily

"Saya boleh maafkan orang yang memukul saya tetapi pemimpin yang merompak wang rakyat mestilah ditentang"

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tegas dengan pendiriannya untuk terus menentang habis-habisan mana-mana pemimpin yang merompak wang rakyat.

"Saya boleh maafkan orang yang memukul saya tetapi pemimpin yang merompak wang rakyat mestilah ditentang habis-habisan," katanya dekat sini.

Beliau berkata demikian semasa berceramah di Parit Pechah, dekat sini. Hadir sama pada majlis ini Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfods Muhamad serta pemimpin-pemimpin PAS dan PKR peringkat negeri dan pusat.

Menurutnya, semua hak rakyat disapu bersih oleh pemimpin yang rakus ini malah program yang kononnya dirancang untuk tingkatkan ekonomi orang melayu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) pun mereka rompak.

Segala khazanah dan kekayaan negara ini dibahagi-bahagikan sesama mereka dan juga sanak saudara mereka, segala kontrak penswastaan dan saham yang sepatutnya dinikmati seluruh rakyat diagih sesama mereka dan akhirnya pemimpin menjadi kaya raya tetapi negeri bangkrup seperti di Johor ini.

Sebagai contoh menurutnya lagi, mana ada pemimpin di Johor ini yang miskin atau hidup dalam keadaan sederhana, mereka hidup dalam kesenangan dan kekayaan yang melimpah ruah tetapi negeri hampir muflis.

"Pemimpin-pemimpin yang seperti inilah yang akan kita tentang habis-habisan dan kita tidak akan berkompromi dengan pemimpin yang merompak wang rakyat ini," tegas beliau.

Beliau yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) selanjutnya berkata, tanggapan bahawa Umno Johor amatlah kuat seperti yang digembar-gemburkan selama ini sebenarnya tidak benar sebaliknya ini hanyalah propaganda dan permainan saikologi sahaja sedangkan apa yang berlaku sebenarnya tidak begitu.

Selama ini orang-orang bawahan Umno tidak mengetahui perangai serta sikap sebenar pemimpin atasan mereka tetapi percayalah satu masa nanti apabila mereka yang selama ini setia menyokong Umno tanpa berbelah bagi ini melihat apa yang sebenarnya berlaku maka mereka pasti akan meninggalkan Umno.

Selanjutnya menurut beliau lagi, Umno sebenarnya sudah tidak boleh dibaiki atau dibaikpulih lagi, apa yang boleh dilakukan hanyalah menggantikan Umno dengan yang lain, ini kerana segala kemelut dan krisis yang berlaku dalam Umno sudah terlalu parah dan tak mungkin dapat dipulihkan lagi.

“Saya merasa cukup yakin orang Melayu Johor khususnya ahli-ahli Umno boleh melakukan perubahan ini kerana Umno sudah tidak mampu membela nasib seluruh rakyat dengan adil dan saksama sebaliknya mereka hanya mementingkan kuasa dan kepentingan peribadi mereka sahaja sedangkan rakyat jelata dibiarkan tanpa pembelaan sewajarnya”, ujar beliau lagi.

PAS dan PKR erat di Johor

Sementara itu semasa berucap pada majlis yang sama Pesuruhjaya PAS Johor, Dato' Dr Mahfods Mohamad, memberi jaminan PAS Johor akan terus mengadakan kerjasama lebih erat dengan PKR khususnya bagi menghadapi Umno Barisan Nasional di negeri ini pada Pilihanraya Umum akan datang.

Kerjasama ini amat penting bagi mewujudkan satu kekuatan untuk berhadapan dengan musuh yang serba lengkap dengan segala kekuatan.

Justeru bagi memastikan parti-parti pembangkang di negeri ini mampu memberi saingan yang sengit maka kerjasama perlulah dipupuk dan dirancang dengan teratur bermula dari sekarang, katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home