SepangOnline

Thursday, August 18, 2005

Anwar jadi PM jika BA berjaya dalam pilihan raya umum akan datang

Oleh EKMAL YUSOF
BAGAN SERAI, 17 Ogos (Hrkh) - PAS yakin, bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas pilihan raya ke 12 nanti jika Barisan Alternatif (BA) berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang ada.

Naib Presiden PAS, Dato' Dr Hassan Ali berkata, bagi PAS, Anwar adalah Perdana Menteri jika BA berjaya memerintah negara ini.


"Perkara tersebut bukan jadi rahsia lagi ianya telah pun dibincangkan oleh pimpinan tertinggi PAS dan BA dimana kini sedang diaturkan kepada perbincangan pimpinan PAS seluruhnya tidak lama lagi," kata beliau ketika berceramah di Masjid Tinggi di sini malam semalam.

Walau pun kini Anwar sebagai pensyarah jemputan di Universiti Oxford, Amerika, tapi insyaallah pada tahun 2008 beliau akan bersama-sama dengan BA dan kemungkinan bertanding dalam calon BA nanti, tegas beliau diikuti laungan takbir bersemangat orang ramai yang hadir.

Sebelum ini, dalam Ucapan Dasar Muktamnar PAS di Kota Bharu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah berkata, PAS menerima Anwar sebagai pemimpin Barisan Alternatif.

Baru-baru ini pula, Anwar telah mempengerusikan pertemuan antara para pemimpin PAS dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di rumahnya dekat Kuala Lumpur.

"Maknanya, kemahuan orang ingin melihat Anwar, sokongan kepada Anwar menarajui pimpinan kita dalam Malaysia sangat-sangat menonjol.

"Dan PAS terbuka untuk menerima Anwar. Kita akan terangkan nanti kepada teman-teman dan rakan-rakan seperjuangan PAS yang belum lagi ada kefahaman," kata Hassan Ali.



"Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz dan Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka menyatakan bahawa Anwar adalah Perdana Menteri sekiranya Barisan Alternatif berjaya mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya ke-12 iaitu 2 tahun 6 bulan sahaja lamanya dari sekarang," tegas beliau.

Bagi beliau, Anwar patut kembali mentadbir negara pada tahun 2008 kerana terlalu banyak isu mengenai keburukan Umno/BN, isu-isu mengenai kejelekan atau kehodohan Umno.

"Misalnya isu Dato' Seri Rafidah Aziz kini tidak berani keluar rumah kerana takut diburu oleh para wartawan berikutan senarai nama yang mendapat AP tidak lengkap," ujarnya.
- zs

0 Comments:

Post a Comment

<< Home