SepangOnline

Thursday, August 18, 2005

Anwar menang RM4.5 juta kes saman Khalid Jefri

"Anugerah ini termasuklah RM4.0 juta untuk fitnah, RM500,000 untuk 'konspirasi dan kecederaan', dan semua kos legal ditanggung oleh defendan."

Oleh SAIDATUL AMANI
KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Hrkh) - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meluluskan tuntutan gantirugi sebanyak RM4.5 juta kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam saman fitnahnya terhadap penulis buku, Khalid Jefri (50 dalil mengapa Anwar tidak boleh menjadi PM).

Hakim, Dato' Hishamuddin Mohd Yunus mengadili perbicaraan pagi tadi.

Penulis buku, Khalid Jafri Bakar Shah, 65, dan isterinya Rozihan Abdul Ghani merupakan penerbit Media Pulau Lagenda dan buku tersebut mengandungi fitnah terhadap Anwar.

Hishamudin berkata, bayaran yang begini besar adalah luar biasa di Malaysia tetapi itulah nilai yang wajar berdasarkan tuduhan yang dibuat terhadap Anwar dalam buku itu dalam kedudukannya yang begitu tinggi ketika itu dan tidak adanya permohonan maaf dan penyesalan dari defendan.

Kata Hakim, buku itu telah disebarkan kepada kesemua perwakilan dalam perhimpunan agung Umno pada bulan Mei 1998.

"Defendan dan lain-lain pihak yang berkonspirasi dengannya telah berjaya mencapai matlamat mereka," katanya.

"Karier politik plaintif (Anwar)telah hancur hasil dari penerbitan buku ini."



"Menghadapi serangan yang hebat terhadap intergritinya dari semua penjuru, yang dilancarkan oleh defendan dengan kerjasama lain-lain pihak, fitnah awam dan tekanan mental yang dihadapi oleh plaintif dan keluarganya tidak ternilai kesannya," kata Hakim.

Anugerah ini termasuklah RM4.0 juta untuk fitnah , RM500,000 untuk "konspirasi dan kecederaan", dan semua kos legal ditanggung oleh defendan.

Sebelum ini, peguam yang mewakili Anwar, Sulaiman Abdullah berhujah, Khalid dan Rozihan bukan sahaja mengaku menulis serta menerbitkan buku tersebut tetapi turut mengedarkan buku tersebut dalam Perhimpunan Agung Umno pada Jun 1998.

Dalam perbicaraan semalam, Sulaiman berhujah anak guamnya menuntut ganti rugi sebanyak RM6.5 juta atas kesalahan memfitnah, menjatuhkan maruahnya serta menjatuhkan reputasi dalam politik.

Anwar syukur kes selesai

Anwar yang ditemui selepas perbicaraan bersyukur kepada Allah SWT kerana kes ini selesai dan cukup memuaskan hati.

Menurut beliau, ini merupakan penghakiman kali pertama yang tegas bukan sahaja mengutuk fitnah jahat tetapi membersihkan sama sekali namanya dan menegaskan wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan saya.

"Saya ulangi penghargaan saya kepada peguam, Azizah dan anak-anak saya yang menjadi mangsa menghadapi masalah dan kesusahan ini. Mungkin orang lain tidak dapat membayangkan apa yang berlaku tujuh tahun lalu tetapi saya tegaskan ianya tidak mudah.

"Saya juga dengar bahawa pihak defedan, Khalid Jefri tidak begitu sihat dan saya harap beliau beransur sembuh," katanya.

Anwar, 58, ditemani isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali serta para penyokong di kalangan Barisan Alternatif (BA).

Menjawab berkenaan dengan jumlah tuntutan ganti rugi yang besar katanya, kes itu begitu serius menyebabkan kesengsaraan serta kesedihan kehidupan keluarganya.

Beliau tidak bermaksud untuk mendapatkan sebarang keuntungan daripada jumlah tersebut sebaliknya beliau akan berbincang untuk manfaatkan wang tersebut demi kebaikan masyarakat.

Anwar menjelaskan terpaksa membawa perkara itu ke mahkamah kerana pada Jun 1998 beliau telah dicabar dengan dituduh sebagai pengkhianat manakala pembantunya, keluarga Azmin Ali turut menjalani pemeriksaan DNA bagi mengesahkan tuduhan liwat ke atasnya.

Katanya, saman itu dilakukan untuk membersihkan nama baiknya serta rakan-rakan yang terlibat kerana dalam maruah itu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.
- mks/zs

0 Comments:

Post a Comment

<< Home