SepangOnline

Friday, October 06, 2006

Anwar ramal pilihanraya umum sebelum April 2008

Muda Mohd Noor (Malaysiakini)

KUALA LUMPUR, 6 Okt - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan pilihanraya umum akan diadakan sebelum April 2008.

“Pada tarikh tersebut saya tidak boleh bertanding, tetapi penyokong saya mesti menyokong orang lain yang boleh bertanding. Ramai penyokong bimbang jika saya tidak boleh bertanding dalam pilihanraya akan datang.


“Saya beritahu mereka, kita mesti kerja kuat untuk mencapai kemenangan. Saya tidak percaya akan ada perubahan besar jika kita tidak ada komitmen,” katanya dalam ceramah di rumahnya di ibu negara malam tadi.

Ekoran hukuman penjara yang dijalani sebelum ini, Anwar tidak boleh bertanding dalam pilihanraya selama lima tahun dari tarikh dia dibebaskan. Beliau yang juga Penasihat PKR, hanya boleh bertanding selepas April 2008. Sebelum itu, beliau bersama isterinya Datin Seri Wan Azizah Ismail yang juga Presiden PKR mengadakan majlis berbuka puasa yang dihadiri oleh kira-kira 300 orang.

Beliau berkata, beribu orang Kadazan yang beragama Kristian mahu menyertai PKR sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan penyokong yang beragama Islam.

“Saya beritahu mereka, prinsip PKR adalah jelas. Perkara 11 iaitu mengenai kebebasan beragama menjelaskan bahawa kedudukan Islam dan Mahkamah Syariah adalah terjamin,” katanya.

Kebenaran terserlah

Anwar berkata, konsep Islam Hadhari yang yang diperkenalkan oleh kerajaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menyimpang dari konsep asal.

“Bukan slogan dan janji tetapi yang kita perlukan ialah penghayatan. Adakah rasuah dan penyelewengan dibenarkan dalam Islam Hadhari,” katanya.

Menurutnya, selepas tujuh tahun beliau dipenjarakan kini satu persatu kebenaran terserlah dan rakyat boleh menilainya dengan mata sendiri.

“Ada yang telah meninggal, ada yang naik pangkat dan ada yang merana kerana kehilangan kuasa,” katanya tetapi tidak menyebut mereka yang berkenaan.

Anwar turut menyentuh tentang kalangan lulusan Cambridge, Yale dan Oxford yang didakwanya apabila balik ke Malaysia, merampas ‘harta sesuka hati’.

Katanya, apakah maknanya semua ini sedangkan mereka berpendidikan tinggi, berfikiran terbuka tetapi melakukan kegiatan tidak bermoral.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home