Oleh Rustam A Sani Pemerintahan Malaysia biasanya amat sensitif jika ada pihak luar mempersoalkan kemurnian sistem 'demokrasi' yang diamalkannya. Dua jenis alasan sering dikemukakan bagi menjawab dakwaan yang demikian. Sistem demokrasi di Malaysia tidak boleh disamakan dengan sistem demokrasi di negara lain, kerana ciri-ciri masyarakat negara ini berlainan daripada negara-negara lain;
Kebebasan adalah suatu gagasan yang subjektif, dan kebebasan tidak mungkin wujud dalam bentuknya yang mutlak. Alasan-alasan itu yang sudah merupakan semacam klise kosong itu biasanya tidak dapat meyakinkan sesiapa, namun tetap juga terus dikemukakan demi menegakkan benang basah. Penindasan media Suatu ciri demokrasi kita yang biasanya menjadi sumber perasaan serba salah kepada pemerintah ialah aspek kebebasan media. Negara ini memang terkenal kerana penindasannya terhadap kebebasan media sebagai suatu unsur penting dalam sistem demokrasi yang tulen. Malah terdapat sebilangan undang-undang yang secara formal membuktikan wujudnya penindasan tersebut. Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan jika Perdana Menteri yang lalu, Mahathir Mohamad, selama beberapa tahun berturut-turut telah diletakkan di kalangan 10 orang penindas media yang terulung di dunia – namanya diletakkan sebaris dengan "tokoh-tokoh" lain seperti Fidel Castro, Robert Mugabe, Kim Jung-Il dan sebagainya. Di bawah PM baru, Abdullah Badawi, situasi kebebasan media di negara ini tampaknya masih tidak juga berubah – malah dalam hal-hal tertentu keadaannya malah menjadi lebih buruk berbanding zaman sebelumnya. Misalnya, akhbar-akhbar berbahasa Cina, yang dulunya agak bebas berbanding dengan akhbar-akhbar lain, kini mejadi lebih seragam lagi nada dan suaranya - kerana akhbar-akhbar itu kini telah dikuasai sepenuhnya oleh beberapa pemilik yang memihak kepada kerajaan. Dengan terdapatnya kini seorang Menteri Penerangan yang baru, Zainuddin Maidin, situasi media di negara ini memperlihatkan potensi untuk menjadi lebih buruk dan lebih menindas. Meskipun Zainuddin seorang bekas wartawan, namun beliau tidak sedikitpun memperlihatkan kepekaan dan kefahamannya – lebih-lebih lagi simpati – akan konsep kebebasan media. Zam perketatkan lagi penindasan Malah Zainuddin telah beberapa kali membuat kenyataan tentang hasratnya untuk memperketatkan lagi situasi penindasan media dan hak asasi bersuara di negara ini – malah untuk memperluaskan lagi penindasan itu sehingga meliputi bidang-bidang baru yang dimungkinkan oleh perkembangan teknologi maklumat – seperti portal berita dan kegiatan blogging yang mulai berkembang rancak di negara ini. Kebebasan media di Malaysia merupakan salah satu topik yang tampaknya perlu di hadapi PM Abdullah Badawi dalam rancangan wawancaranya dengan CNN – "Talk Asia" – baru-baru ini. Untuk menafikan wujudnya pengawalan – atau lebih buruk lagi saringan (censorship) – terhadap media di negara ini tentulah tidak mungkin, kerana realiti kawalan dan penyaringan itu sudah terang bagaikan siang. Oleh yang demikian, bagaimanakah hendak dijelaskan perkara itu kepada pihak luar (dalam temuramah itu “diwakili” oleh wartawan CNN Anjali Rao) yang sukar memahami keperluan melakukan penindasan tersebut? Menarik sekali bahawa kali ini Abdullah Badawi terpaksa memanfaatkan suatu strategi yang sudah sering digunakan oleh pihak berkuasa – dari zaman Mahathir hinggalah ke zaman Abdullah sekarang ini. Strategi yang saya maksudkan itu ialah strategi berselindung di sebalik technicality atau takrifan. Baik Mahathir maupun Abdullah, misalnya, dengan beraninya mendakwa bahawa mereka tidak pernah membantu anak pinak mereka dalam perniagaan kerana mereka tidak pernah menulis surat rasmi kepada institusi-institusi kewangan supaya memberi pinjaman kepada anak pinak itu. Seorang menteri tidak mengaku melakukan suatu kesalahan dengan menganugerahkan saham-saham kepada menantunya – kerana dia tidak menghadiri mesyuarat rasmi yang memberikan saham-saham tersebut. Yang terakhir, TPM Najib Razak mendakwa bahawa kerajaan tidak pernah menekan pihak Asli supaya tidak mengeluarkan hasil kajiannya tentang penagihan pemilikan (ekuiti) di kalangan pelbagai kelompok kaum – semata-mata kerana kerajaan tidak pernah mengeluarkan “arahan” rasmi kepada Asli tentang langkah tersebut. Pada hakikatnya, meskipun dari segi takrifnya tindakan mengeluarkan arahan kepada institusi kewangan itu tidak dilakukan maka itu tidaklah dengan sendirinya membuktikan bahawa amalan nepotisme juga tidak berlaku pada hakikatnya – meskipun tidak dari segi teknik dan takrifannya. Menurut amalan dan kebiasaan dalam masyarakat kita, jika seseorang itu mempunyai ikatan kekeluargaan dengan orang politik berkuasa maka institusi kewangan itulah yang akan menawarkan bantuan, baik diminta maupun tidak. Faktor Kalimullah Sebagai bukti, lihatlah sahaja pengakuan Kalimullah Hassan tentang inisiatifnya mengusahakan pinjaman dari ECM Libra untuk Khairy Jamaluddin untuk membeli saham bank pelaburan itu. Dari segi tekniknya, rasuah dan nepotisme tidak berlaku, tetapi dari segi realitinya.. ? Dalam hal kebebasan media ini juga Abdullah tampaknya telah memanfaatkan strategi berselindung di sebalik technicality seperti yang demikian itu. Kerana situasi media yang terdapat di negara ini, tentulah tidak mungkin baginya untuk menafikan bahawa terdapat kawalan media yang ketat, namun dia juga tidak wajar mengakui wujudnya kawalan tersebut. Mengakui yang demikian itu bererti mengakui betapa pincangnya demokrasi yang diamalkan di negara ini. Oleh yang demikian, Abdullah dengan wajah selamba menyatakan bahawa tidak terdapat penyaringan media (media censorship) di Malaysia . Dilihat semata-mata dari segi technicalitynya dakwaan PM Abdullah itu memanglah sukar untuk ditolak. Jika dengan saringan itu dimaksudkan kerajaan meletakkan di pejabat-pejabat akhbar dan media elektronik para pegawai yang senantiasa duduk di sebelah editor untuk memilih berita yang boleh digunakan dan tidak boleh digunakan, maka amalan penyaringan yang demikian memanglah tidak wujud di Malaysia . Amalan demikian memang biasa dilakukan dalam pemerintahan yang menindas terutamanya pada waktu-waktu darurat dalam sejarah – pada waktu perang dan rampasan kuasa, misalnya. Dan ternyata bahawa keadaan yang demikian tidak berlaku di bilik-bilik berita di negara ini. Para editor di negara ini bekerja seperti para editor di negara-negara demokrasi yang tulen – tidak diganggu, dikawal maupun diselia oleh sesiapa. Namun demikian, bagaimanakah pula hendak dihuraikan hakikat tentang betapa tidak seimbangnya dan tidak adilnya media di negara ini – yakni hakikat bahawa kandungan akhbar dan media di negara ini hampir seragam semuanya, hampir tidak terdapat laporan tentang kegiatan-kegiatan dan pandangan pihak pembangkang, hampir tidak menyiarkan sama sekali rencana-rencana yang bersifat kritikan terhadap dasar-dasar pemerintah. Maka bagaimanakah Abdullah dapat menjelaskan kepincangan demokrasi Malaysia ini kepada dunia? Dalam hal ini Abdullah tampaknya mengajukan gagasan "penyaringan diri" (self-censorship) . Akan tetapi konsep ini tidak dikemukakannya sebagai suatu konsep yang negatif, malah sebagai konsep yang positif. Baginya konsep saringan diri itu seolah-olah menggambarkan sifat bertanggungjawab dan berdisiplin, sebagai suatu sumbangan media terhadap memelihara kestabilan masyarakat di negara berbilang kaum ini. Malah, Abdullah terus berhujah bahawa di mana-mana jua "kebebasan" tidak mungkin bersifat tulen dan mutlak – mesti ada batasan-batasan yang ditetapkan oleh masyarakat terhadap kebebasan sesuatu institusi, termasuklah institusi media. Namun dia lupa bahawa kenyataannya itu sebenarnya suatu perkara biasa yang tidak perlu diulang-ulang pengutaraannya. Dalam semua bidang kehidupan kita dalam masyarakat memanglah terdapat batasan-batasan yang sudah sedia wujud – ditetapkan oleh kebiasaan, oleh budaya, oleh agama, malah oleh undang-undang. Jadi apakah perlunya negara mengadakan peraturan-peraturan dan undang-undang khas bagi membataskan kebebasan media? Abdullah juga seolah-olah terlupa menjelaskan bahawa saringan diri dalam kegiatan media itu tidak berlaku dalam keadaan hampawa. Saringan itu merupakan kesan suatu situasi kompleks yang sedang mencekik kebebasan akhbar di negara itu. Situasi mencekik itu berlaku melalui pemilikan media oleh tenaga-tenaga yang pro-kerajaan dan menafikan hak pemilikan syarikat media kepada pihak-pihak lain. Perlantikan editor kanan Saringan itu berlaku dalam kerangka sistem yang menuntut pendaftaran semula syarikat media setiap tahun dan kemungkinan menarik balik pendaftaran bila-bila sahaja dirasakan perlu oleh kerajaan. Saringan itu berlaku dalam suasana perlantikan para editor kanan ditentukan dan dikawal sepenuhnya pihak kerajaan. Abdullah juga patut menjelaskan bahawa suasana kompleks yang mencengkam dunia media kita secara keseluruhannya itu pada akhirnya mendatangkan kesan terhadap dunia media itu seolah-olah sama seperti dalam keadaan wujudnya penyaringan. Oleh yang demikian, tidak wujudnya saringan atau censorship itu hanyalah suatu technicality sahaja, bukan suatu realiti. Dan Abdullah sekadar menggunakan technicality itu sebagai tempat untuk berselindung dan bersembunyi daripada realiti yang sebenarnya. Disaring atau menyaring diri, sama sahaja kesannya bagi kebebasan media di Malaysia . (suara-rustam. blogspot. com) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home