SepangOnline

Thursday, October 05, 2006

Lee Ban Chen: Bangkai gajah tidak dapat ditudung dengan nyiru...

Lee Ban Chen

Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu – berasaskan laporan awal – telah mengakui penyelewengan berlaku dalam kerja pembaikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Yu di Muar, di mana kos projek yang dibelanja hanya sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sahaja, tetapi dibayar sebanyak RM29,500.

Pengakuan Samy Vellu tersebut membuktikan ulasan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ong Tee Kiat bahawa terdapat pegawai kerajaan yang melesapkan wang peruntukan khas untuk beberapa buah SJKC di Johor, selepas menerima aduan lembaga sekolah terbabit, memang benar dan berasas.

Sebaliknya, penafian Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Dzulkarnain Awang tentang penyelewengan dalam pelaksanaan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf SJKC Aik Hwa dan SJKC Kung Yu, nyata sekali merupakan usaha yang sia-sia, umpama bangkai gagah cuba ditudung dengan nyiru!

Selepas penyelewengan terbabit disahkan, Tee Keat menegaskan bahawa beliau membuat dakwaan tersebut demi menegakkan kebenaran. Hujahnya, apa yang benar dan yang beliau ketahui terpaksa disampaikan kerana beliau juga takut kepada Tuhan.

Apa kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sekarang? Beliau melenting dan menyelar Tee Keat, malah membawa kes tersebut kepada kabinet, sehingga menyebabkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed meminta maaf bagi pihak timbalannya itu, yang kononnya telah mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menyinggung perasaan para pegawai Kementerian Pelajaran.

Biasanya siapa yang makan cili dia/merekalah yang rasa pedasnya. Dalam kes ini, kenapa pula pegawai Jabatan Kerjaraya yang makan cili, tetapi pegawai Kementerian Pelajaran pula yang rasa pedasnya? Atau ada pegawai dari Kementerian Pelajaran yang turut terlibat dalam kes tersebut?

‘Tutup penyelewengan’

Sukar juga difahami kenapa Menteri Pelajaran perlu melenting dan menyelar Tee Keat yang hanya bercakap benar bahawa ada pegawai kerajaan yang terlibat dalam penyelewengan dan ingin menutupi skandal terbabit?

Tidak dapat dinafikan bahawa kes penyelewengan tersebut cukup serius. Peruntukan RM30,000 manakala kerja-kerja pembaikan hanya RM3,000...hampir 90 peratus wang peruntukan itu telah dilesapkan. Maklumlah ada ketirisan di sana sini, tetapi 90 peratus yang dilesapkan. Apakah bezanya dengan perompakan di siang hari?

Mungkinkah mana-mana menteri atau timbalan menteri yang kononnya menyokong dasar anti-rasuah Pak Lah, sanggup membisu dan mengentengkan aduan dan kemarahan orang ramai terhadap “perompakan” secara terang-terangan itu?

Ong Tee Keat hanya mengaku sesuatu yang tidak dapat dinafikan oleh akal yang siuman bahawa tentu ada pegawai kerajaan yang terlibat dan cuba hendak menutup penyelewengan terbabit.

Jika tiada pegawai kerajaan yang terlibat, kontraktor terbabit tentu tidak berani menipu. Sukar dipercayai Hishammuddin begitu dangkal sehingga tidak sedar adanya pegawai kerajaan yang terlibat dalam penyelewengan terbabit.

Jika sedar, kenapa beliau tampil juga ke hadapan untuk mempertahankan sesuatu yang tidak dapat dipertahankan? Patut difikirkan juga, kenapa bukan Samy Vellu yang melenting dan melatah? Kenapa bukan Samy Vellu yang menyelar Tee Keat dan membawa kes terbabit ke kabinet? Dan kenapa hanya pegawai pelajaran yang merasa tersinggung terhadap dakwaan penyelewengan?

Omong kosong

Cuba gambarkan lagi, kenapa bukan Hashammuddin yang menemani Samy Vellu ke sekolah terbabit untuk membuat siasatan. Kenapa beliau begitu pasif dalam mencari bukti tetapi beromong kosong tentang beliau sendiri akan membuat laporan polis jika ada bukti? Kesemua soalan tersebut perlu dijawabkan oleh Hishammuddin untuk membersihkan dirinya.

Lebih menghairankan ialah beliau tidak tergamak membangkitkan perkara tersebut dalam Jemaah Menteri yang memutuskan bahawa tidak wajar seorang anggota pentadbiran membuat kritikan terbuka terhadap kementerian lain, dan Datuk Mustapa Mohamed terpaksa meminta maaf bagi pihak timbalannya.

Perbezaan pokok antara sikap Tee Keat dan Hishammuddin ialah Tee Keat bercakap benar dan bersikap positif terhadap pendedahan penyelewengan pegawai kerajaan yang terbabit, sementara Hishammuddin mengambil sikap defensif, malah cuba menutupi penyelewengan yang melibatkan pegawai kerajaan.

Kesal sekali, keputusan Jemaah Menteri memihak kepada sikap defensif Hishamuddin dan para menteri, termasuk empat orang menteri MCA dalam Jemaah Menteri gagal mempertahankan Tee Keat yang padahal tidak bersalah kerana bersikap positif terhadap pendedahan mengenai penyelewengan.

Sikap negatif kerajaan itu diperkuatkan seterusnya menerusi arahan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri kepada pihak media supaya menyekat laporan tentang pendedahan selanjutnya kes-kes melesapkan peruntukan wang pembaikan dan naik taraf SRJK lain, umpamanya SRJK Mah Hua di Kepala Batas, Pulau Pinang dan SRJK Sin Bin di Klang, Selangor.

Penyelewengan dan rasuah bukan perkara terasing dalam satu-satu kementerian saja. Ia ibarat barah yang telah menular ke semua kementerian kerajaan. Berlatarbelakangkan seriusnya barah terbabit, sikap negatif Hishammuddin dan Jemaah Menteri dalam mempertahankan pegawai kerajaan yang terlibat dalam penyelewengan, amat dikesali.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home