SepangOnline

Tuesday, October 03, 2006

Anwar selar sikap perkauman Lee Kuan Yew

Malaysiakini

KUALA LUMPUR, 2 Okt - Penasihat Parti Keadilan Nasional (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew kerana masih terperangkap dalam pemikiran perkauman lapuk.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, tuduhan Kuan Yew mengenai nasib orang Cina negara ini dan Indonesia yang dipinggirkan secara sistematik oleh kerajaan masing-masing, mendedahkan susuk perkauman yang terpendam dalam dirinya selama ini.

Lebih dikesali, katanya, bekas Perdana Menteri Singapura itu hanya nampak masalah orang Cina di luar negaranya sedangkan kegelisahan masyarakat Melayu Singapura tidak dipedulikan langsung.

"Kuan Yew sepatutnya merenung permasalahan kaum dan pembangunan bersendikan paksi keadilan bagi semua kaum,”kata Anwar dalam satu kenyataan.

Menurut beliau lagi, bekas Perdana Menteri Singapura itu perlu menerima kenyataan bahawa suara menuntut pembahruan ke arah kebebasan dan keadilan bagi semua rakyat kini lebih semarak dan lantang.

Rosakkan imej

Kenyataan Kuan Yew itu telah mendapat bantahan meluas masyarakat negara ini, termasuk para pemimpin Gerakan dan MCA.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengutus surat meminta penjelasan Menteri Mentor itu dan Duta Singapura di Kuala Lumpur telah dipanggil ke Wisma Putra. Kuan Yew telah menjawab surat tersebut.

Menurut Anwar lagi, sikap perkauman Kuan Yew itu telah merosakkan lagi imejnya sebagai salah seorang negarawan ulung di Asia.

“Sebelum ini kehebatan beliau telah tercemar oleh tindakan menghalang kebebasan bersuara, memenjara dan menekan musuh politiknya.

“Penglibatan syarikat negara itu dalam beberapa syarikat di negara jiran, masih dipertikai dari sudut ketelusannya. Gagasan beliau mengenai “nilai Asia” yang diwar-warkan hebat dahulunya kini dihumban sebagai jumud oleh Amartya Sen” tekan Anwar lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home