SepangOnline

Tuesday, October 03, 2006

Penswastaan ambulans tanda ketidakcekapan kementerian – keADILan

Malaysia Today

Tindakan kerajaan untuk 'penyumberaan semula' (outsourcing) perkhidmatan ambulans kepada pihak swasta adalah satu bentuk penganiayaan terhadap rakyat terutamanya golongan miskin dan yang tidak berkemampuan dalam mendapatkan perkhidmatan dalam sistem kesihatan awam di negara ini.

Tindakan tersebut merupakan sikap yang tidak bertanggungjawab terhadap obligasi sosial kerajaan.

Timbalan Setiausaha Agong, Parti Keadilan Rakyat Dr Xavier Jayakumar dalam kenyataannya memberitahu bahawa penyumberaan semula itu jelas menunjukkan kelemahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam sistem urustadbir kementerian selama ini. Menterinya sendiri Dr. Chua Soi Lek telah memberitahu bahawa KKM mempunyai banyak masalah menyediakan kakitangan yang cekap dan mencukupi dalam mengendalikan serta menyelenggara kenderaan-kenderaan ambulans.

Disebabkan ketidakcekapan KKM, ia mengambil jalan mudah dengan menswastakan satu lagi 'sayap' penting KKM iaitu perkhidmatan ambulans dalam sistem kesihatan awam.

Menurut Dr Xavier, bahagian kejuruteraan dan bahagian dobi (laundry) merupakan bahagian-bahagian yang paling awal diswastakan oleh pihak kerajaan di hospital-hospital awam di seluruh negara, kemudian diikuti pula bahagian dispensari dan stor ubat-ubatan.

Tindakan penswastaan akan menambahkan beban rakyat jelata kerana lebih 80% dari pesakit-pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital-hospital awam terdiri dari golongan rakyat yang berpendapatan rendah.

Masyarakat luarbandar yang tidak mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik di kawasan masing-masing merupakan golongan yang paling teruk menerima impak dari penswastaan perkhidmatan ambulans tersebut.

Difahamkan apabila dikuatkuasakan nanti, orang ramai akan dikenakan caj bayaran sebanyak RM150 hingga RM300 (bergantung kepada berapa jauhnya lokasi tempat/rumah pesakit dengan hospital terdekat) bagi setiap kali menggunakanya. Bayaran ini sahaja akan membebankan pesakit, belum lagi termasuk bayaran katil, ubatan-ubatan, rawatan atau kos-kos pembedahan dan sebagainya, jelas Dr Xavier.

Dalam kenyataan Dr. Chua Soi Lek ada menyebut bahawa pihak kerajaan dalam masa yang sama akan membelanjakan peruntukan di bawah RMK9 untuk membeli 800 buah lagi kenderaan ambulans baru. Kos sebuah kenderaan ambulans dianggarkan dalam lingkungan RM150,000 hingga RM200,000 setiap sebuah. Itu bermakna kerajaan dijangka akan membelanjakan kira-kira RM160 juta Ringgit untuk mendapatkan 800 buah ambulan baru tersebut.

Kemudian, ambulans tersebut akan diserahkan kepada syarikat-syarikat swasta yang telah diberikan tender untuk mengendalikan perkhidmatan tersebut.

Xavier mempersoal di manakah kewajaran kerajaan membelanjakan RM160 juta wang rakyat untuk membeli kenderaan ambulans dan kemudian menyerahkan secara 'percuma' kepada syarikat-syarikat swasta tersebut. Yang lebih menakjubkan syarikat swasta tersebut bukan sahaja mendapat aset-aset tersebut secara percuma sebaliknya mengenakan bayaran yang mahal kepada rakyat yang menggunakan perkhidmatannya.

“keADILan merakamkan bantahan keras terhadap tindakan kerajaan dalam proses penswastaan ambulans dan meminta kerajaan memberhentikan perancangan penswastaan ini dengan serta merta,” tegas Xavier.

Adalah wajar pihak kerajaan memberikan tumpuannya dalam menambahbaik sistem kesihatan yang sedia ada dengan perancangan yang lebih teliti dan komprehensif. Perbincangan diadakan terlebih dahulu secara terbuka dengan pelbagai pihak yang prihatin (concerned groups) dalam masyarakat serta NGO-NGO terbabit bagi mendapatkan maklumbalas sebelum sesuatu polisi dalam sistem kesihatan awam dilaksanakan.

Kerajaan patut menambahkan perbelanjaannya secara berhemah dalam penyediaan kakitangan yang mencukupi dan terlatih dalam pengendalian kenderaan-kenderaan ambulans tersebut.

Perbelanjaan yang mencukupi harus juga diberikan untuk kerja-kerja servis dan penyelenggaraan terhadap lebih 1,000 buah kenderaan ambulans yang sedia ada di seluruh negara. Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan tanpa perlu membebankan 'wang poket' rakyat.

Xavier menyatakan kebimbangannya sekiranya 'trend' penswastaan kenderaan-kenderaan pengangkutan kerajaan ini tidak dibendong ianya bakal menjadi contoh ikutan bagi kementerian/jabatan lain untuk ikut sama atas alasan bagi menjimatkan kos penyelenggaraan kenderaan kerajaan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home