Khalid Ibrahim: Dr M ibarat seorang Samurai... (Bhg 2)
Muhammad Razif (Malaysiakini) Dalam bahagian akhir ini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bercakap tentang punca beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan krisis bekas “bos”nya, Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Khalid juga menganalisis pertelagahan bekas Perdana Menteri itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Guthrie Berhad ini juga bercerita tentang perangai bekas “bos”nya itu . Malaysiakini: Mengapa Tan Sri menyertai PKR? Khalid: Ada dua sebab.....pertama ialah alasan peribadi. Saya tidak boleh lari dari alasan ini. Saya mengenali Anwar (bekas Timbalan Perdana, Datuk Seri Anwar Ibrahim) sejak 30 tahun lalu, dari zaman universiti lagi. Kali saling mengenali sebagai kawan, bukan sebagai professional. Jadi kami kerap bertemu, malah ketika beliau dipenjara pun, kami masih berjumpa. Sebagai kawan, kita dapat merasai sama keperitan yang dialaminya, kita tahu dia perlukan pertolongan. Saya tahu Anwar tidak perlukan harta benda atau wang ringgit tetapi dia perlukan kehadiran kawan-kawan. Saya rasa saya telah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang kawan. Saya telah melakukannya dan saya gembira. Saya juga berpendapat Anwar telah dianiaya. Ketidakadilan begitu jelas dan terbukti. Ketidakadilan terhadap Anwar bukan cerita rekaan dan kini seluruh negara melihat dan memahaminya. Menuduh Anwar menumbuk matanya sendiri kerana mahu meraih simpati adalah suatu yang sukar untuk dipercayai. Saya memang tidak percaya dakwaan tersebut tetapi setelah berapa tahun ini saya sendiri ada bertanya pada Anwar mengenainya sekali lagi.....Saya tanya Anwar, mungkinkah ada sedikit kebenaran dalam dakwaan itu? Anwar hampir mencekik saya bila mendengar soalan itu..... Saya amat yakin dia dianiaya...dan kini kebenaran telah muncul. Tetapi harga yang perlu dibayar oleh Anwar amat besar. Selepas disumbat di penjara selama enam tahun baru sekarang kebenaran terserlah. Kalau ia terjadi pada saya atau orang lain, mungkin orang yang membuat fitnah itu saya cekik... Begitulah hubungan kami sebagai kawan....selepas itu Anwar bertanya adakah saya sudi membantunya mengejar cita-cita politiknya. Dia mahu saya menyertai Keadilan. Dia bercita-cita untuk melakukan sesuatu yang betul untuk negara ini. Pada mulanya saya amat keberatan. Tapi Anwar terus mempelawa dan akhirnya saya terima. Saya terima, pertama sekali atas dasar seorang kawan. Kedua, saya fikir dengan pengalaman yang ada pada saya, saya juga boleh menyumbnag untuk membawa perubahan kepada negara ini. Pengalaman saya adalah dalam sektor korporat manakala Anwar pula dalam bidang politik. Jadi saya rasa kami boleh bergandingan serta berkerjasama dengan pihak-pihak lain untuk membawa perubahan. Bagaimanapun ketika menerima tawaran Anwar itu saya tegaskan bahawa saya juga telah lama menunaikan “khidmat negara” kepada negara ini. Malah kalau dihitung, mungkin “khidmat negara “ saya jauh melebihi orang lain. Jadi saya fikir dengan apa yang telah saya lakukan untuk negara ini dan pengalaman yang ada, saya boleh membantu membawa perubahan di samping menolong seorang kawan mencapai cita-cita nasionalnya. Saya tidak akan rugi apa-apa.... Saya gembira dengan keputusan saya itu. Sebenarnya saya tidaklah bercita-cita tinggi dalam politik. Saya tidak seperti Anwar. Anwar mahu membawa perubahan dalam negara, saya cuma salah seorang pemain dalam pasukannya. Malaysiakini: Ada cakap-cakap mendakwa Tan Sri menyertai PKR kerana kecewa dengan kegagalan urusniaga Guthrie Berhad? Khalid: Samaada masalah Guthrie ada atau tidak, ia tiada kaitan langsung dengan keputusan saya menyertai PKR. Orang kata saya masuk PKR kerana kecewa....? Kalaulah kerana Guthrie saya masuk politik.....rasanya lebih baik saya pilih parti kerajaan? Ia akan lebih memudahkan hidup saya. Hakikatnya, saya menyertai PKR kerana seorang berfikiran bebas dan berpegang pada prinsip. Saya bukan jenis orang yang “kow tow” kepada sesiapapun. Saya berpegang pada sikap bebas ini sejak dari zaman PNB saya lagi. Saya seorang yang bebas dan berkerja kuat serta profesional dalam apa yang saya lakukan. Saya tidak “kow tow”. Semasa menerajui PNB ramai orang politik datang meminta saham, ada yang mahu membeli dan ada juga yang mahu secara percuma. Semuanya tidak saya layan. Malah saya katakan pada mereka, memang benar mereka berhak terhadap saham-saham itu tetapi bahagian mereka hanya satu daripada empat bilion. Sebanyak itu sahaja yang mereka boleh dapat. Kesimpulannya saya sertai PKR bukan kerana kecewa, bukan kerana Guthrie tetapi kerana prinsip... Malaysiakini: Apa pendapat Tan Sri tentang pertelagahan antara Tun Dr Mahathir dengan Datuk Seri Abdullah sekarang....adakah ia akan menakutkan para pelabur? Khalid: Saya tidak fikir itu akan berlaku. Para pelabur sekarang jauh lebih canggih. Anda dapat saksikan sendiri umpamanya di Thailand di mana kerajaannya sering bertukar, tetapi pelabur tetap pergi ke negara itu. Sebenarnya yang paling penting ialah fundamental. Asas ekonomi mesti kukuh kalau kita mahu menarik pelabur tempatan dan asing. Yang mungkin terjejas oleh pergolakan ini ialah pelabur-pelabur yang duduk di bawah naungan Dr Mahathir. Dr Mahathir memang mempunyai ramai kawan di luar negara tetapi secara keseluruhannya krisis ini tidak akan memberi kesan besar kepada pelaburan asing di negara ini. Saya rasa pihak yang akan lebih terjejas ialah masyarakat tempatan. Malaysiakini: Apa pendapat Tan Sri tentang Dr Mahathir...dulu dan sekarang? Khalid: Dia seorang pemimpin yang dikagumi. Ramai orang yang amat menghormatinya. Tetapi malangnya keadaan sudah berubah sekarang, kesan dari kerenahnya sendiri, Dr Mahathir kini telah merendahkan diri menjadi seorang rakyat biasa. Itulah Dr Mahathir sekarang... Kita akui dia mempunyai hujah yang betul dan munasabah terhadap Pak Lah. Tetapi cara dia menangani krisisnya dengan Pak Lah tak kena, bukan cara seorang pemimpin besar Tuhan telah buktikan Dr Mahathir tidak kebal, tidak selama-lamanya akan menang. Tuhan mahu tunjukkan bahawa setinggi mana kita pergi, kalau kita ada lakukan kesalahan, satu hari nanti kita kan terima balasannya. Tiba-tiba isu jambatan bengkok telah menjatuhkan Dr Mahathir ke satu tahap yang tidak pernah difikirkan oleh beliau selama ini. Bagi kami orang Islam, ini adalah takdir atau qadar dari Allah. Dr Mahathir telah menghukum ramai orang. Sekarang beliau mula menerima balasan dari perbuatannya itu walaupun ia dalam bentuk lain. Umpamanya dalam kes “mata lebam”, dia telah mendapat balasannya walaupun dalam konotasi yang lain....Apa yang berlaku sekarang menunjukkan kalau kita buat salah pada seseorang, balasannya tetap akan datang satu hari nanti... Pernahkah anda terfikit isu jambatan bengkok akan memerangkap Dr Mahathir? Sepatutnya beliau mendiamkan diri dan tinggal aman damai di Argentina. Saya pasti kalau dia kembali ke Malaysia selepas itu, dia akan disambut oleh rakyat dengan permaidani merah. Kalau dia ke kedia kopi, orang akan berlumba-lumba mahu membayar harga minumannya. Tapi sekarang nasi dah jadi bubur... Saya berkerja lama di bawahnya. Dia mempunyai akal yang sangat tajam, Dr Mahathir dapat memahami sesuatu fakta dengan pantas. Tiada siapa boleh kelentong beliau. Kalau anda cuba permainkannya, anda akan kehilangan pekerjaan anda. Dia seorang yang mempunyai berkemampuan mental dan daya kepimpinan yang tinggi serta mampu menulis dengan baik. Pak Lah tak boleh dibandingkan dengan Dr Mahathir. Pak Lah adalah pemain divisyen tiga atau empat. Dr Mahathir adalah pemain divisyen satu manakala Pak Lah pula belum tentu boleh bermain di divisyen dua. Kalau anda suruh saya menilai Dr Mahathir sepintas lalu...saya berani katakan dia seorang yang bijak. Tetapi Tuhan lebih berkuasa, Dr Mahathir tidak bijak dalam serba serbi.... Saya telah berkerja dengan Dr Mahathir selaku Setiausaha di Yayasan Pelaburan Bumiputera. Tugas saya ketika itu ialah melaporkan terus kepada beliau segala program yayasan itu. Setiap kali saya menghantar laporan kepadanya, dia akan membaca sepintas lalu dokumen-dokumen itu. Dengan sekali baca sahaja dia akan bertanya itu dan ini serta menyatakan pendapatnya serta memberikan cadangan... Analisisnya begitu pantas walaupun perkara yang dilaporkan itu bersifat teknikal. Dr Mahathir mempunyai ingatan yang sangat kuat. Dia memang baik tetapi kadang kala jahat juga....Jangan sekali-kali anda memperkecilkannya di khalayak ramai. Dia akan pancung anda terus.... Malaysiakini: Apa agaknya benda yang membuat Dr Mahathir sangat marahkan Pak Lah? Khalid: Dari penilaian saya....dia sangat marahkan Pak Lah kerana Pak Lah membebaskan Anwar. Dia tak tidur malam bila Anwar bebas. Selain itu adalah beberapa sebab lain yang menyemarakkan kemarahannya. Anda kena tahu, Dr Mahathir mempunyai ego yang sangat besar, malah lebih besar dari Putrajaya. Dia tahu kemampuannya dan dia sangat bangga dengan kemampuannya itu. Sesetengah orangpun memiliki kemampuan yang tinggi namun mereka bersikap merendah diri, tetapi tidak dengan Dr Mahathir. Saya pernah berkerja dengan dia dan abang iparnya allahyarham Tun Ismail Ali pada satu masa. Tun Ismail yang menjadi Pengerusi PNB juga seorang yang berfikiran terbuka dan bebas. Kedua-dua mereka ada ego masing-masing dan mereka tidak boleh bertemu... Bila ada mesyuarat Yayasan Pelaburan Bumiputera, Dr Mahathir akan telefon saya dulu dan bertanya; “Khalid, Tun (Tun Ismail Ali) datang tak? Sayalah yang menjadi orang tengah untuk mereka berdua. Mereka berkomunikasi melalui saya. Malaysiakini: Apakah kesudahan krisis mereka ini? Khalid: Bagi saya kesimpulannya amat mudah. Kalau Dr Mahathiur ada caranya, dia tidak akan berhenti. Prinsip Dr Mahathir mirip pahlawan Samurai. Seorang Samurai apabila telah mengeluarkan pedangnya, itu bermakna salah seorang akan mati. Dr Mahathir tidak akan berundur dan sejarah telah membuktikannya. Dr Mahathir telah pun menghunuskan pedangnya...... |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home