Khalid Ibrahim: DEB adalah barah masyarakat Malaysia (Bhg 1)
Muhammad Razif dan Bede Hong (Malaysiakini) Nama Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah sinonim dengan industri amanah saham negara ini. Beliau juga tidak boleh dipisahkan dari dunia korporat Melayu dan Malaysia setelah turun naik lebih 20 tahun dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan kumpulan Guthrie Berhad. Khalid juga merupakan antara penyokong kuat Dasar Ekonomi Baru (DEB), dasar ‘affirmative’ serampang dua mata yang bertujuan membasmi kemiskinan dan meningkatkan ekonomi bumiputera. Bagaimanapun, sejak menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dilantik sebagai bendahari parti itu Julai lalu, Khalid dengan lantang mahukan DEB yang dilancarkan sejak tahun 1971 itu tidak dilanjutkan lagi kerana baginya dasar itu telah merosakkan negara ini. Pandangan drastik Khalid itu memeranjat banyak pihak kerana beliau adalah salah seorang anggota kumpulan pemikir DEB. Khalid, 60, meninggalkan kumpulan Guthrie pada tahun 2003 selepas berlaku perebutan dalam pemilikan kumpulan perladangan tersebut. Sebelum itu, beliau diamanahkan mengasaskan PNB pada awal 1980-an dan menjadi ketua eksekutif badan pelaburan bumiputera itu selama lebih 20 tahun. Kini beliau mengendalikan syarikat pengurusan dananya sendiri selain menjadi “pensyarah tamu” di Universiti Oxford. Malaysikini baru-baru ini mewawancara beliau di rumahnya di Bukit Damansara berkaitan ekonomi negara, bajet 2007 dan pertelagahan antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Berikut adalah artikel pertama daripada dua bahagian. Malaysiakini: Apa pandangan Tan Sri terhadap ekonomi negara ketika ini dan Bajet 2007? Khalid: Bagi saya dalam keadaan ekonomi yang nampaknya sedang menuju kelembapan dan ditekan pula oleh kenaikan harga minyak mentah, kerajaan perlu mengurangkan kos operasi. Malah sangat penting bagi kerajaan untuk lebih berhati-hati dalam perbelanjaannya sekarang. Sudah sampai masanya bagi kerajaan memikirkan bagaimana untuk mengurangkan kos perbelanjaan, memotongnya 10 hingga 20 peratus bagi mengekalkannya di paras yang munasabah, tanpa sebarang pembaziran. Kos operasi sebanyak RM112 bilion, termasuk menampung kerja-kerja penyelenggaraan kompleks Putrajaya adalah satu jumlah yang amat besar untuk bajet kali ini. Kalau kerajaan bermaksud mahu mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara dengan kos operasi yang besar itu, saya rasa ia adalah satu kesilapan. Kerajaan sepatutnya menyerahkan kepada sektor swasta untuk memacu ekonomi negara. Kerajaan telah memainkan peranannya dengan strategi itu ketika krisis ekonomi 10997/1998 dengan memacu ekonomi negara dengan pelbagai projek pembinaan. Ketika itu negara terlalu bergantung pada projek-projek seperti Putrajaya, Cyberjaya, KLIA dan menara berkembar Petronas untuk menggerakkan ekonomi. Kita sepatutnya mencari pilihan lain yang lebih produktif selain daripada bergantung pada sektor pembinaan. Saya bangkitkan perkara ini kerana apabila kerja pembinaan siapa kelak, kerajaan terpaksa mengeluarkan modal tambahan kerana perlu menanggung pula kos penyelenggaraannya. Ini adalah projek-projek yang tidak mempunyai nilai tambahan. Ya...kita boleh gembar-gemburkan bahawa orang datang melawat dan bergambar di depan Menara Petronas, tetapi sumbangan itu terlalu kecil. Malaysiakini: Sebagai bekas pengurus dana, pada pendapat Tan Sri mampukah bajet ini menarik pelabur? Khalid:Belanjawan kali ini tidak menyelesaikan masalah asas ekonomi kita. Sepatutnya kerajaan merangka strategi menyelesaikan masalah fundamental itu, memilih industri yang sesuai untuk memacu ekonomi negara dan sesuai dengan kita. Bajet kali ini tidak menggerakkan pelabur asing datang ke sini. Sepatutnya kerajaan “melabur” mewujudkan kumpulan pemikir yang dinamik untuk merangka satu bajet yang baik. Dengan adanya proses globalisasi, kerajaan sepatutnya meletakkan Malaysia di landasan yang betul untuk bersaing dengan masyarakat antarabangsa. DEB patut diketepikan kerana ia mendatangkan gambaran buruk kepada negara ini. Kita perlu berubah, kita tidak boleh lagi berada di zon selesa sama ada dari aspek politik atau ekonomi. Malaysiakini: Menyentuh tetang DEB, mengapa secara tiba-tiba Tan Sri berubah pendirian sedangkan Tan Sri adalah orang yang mempromosi dan melaksanakannya 20 tahun dulu? Khalid: Pada awal karier saya, saya adalah antara orang yang memulakan pelaksanaan DEB dan menubuhkan PNB. Saya tahu ramai orang terperanjat mengapa sebagai orang yang kuat mempromosi DEB satu ketika dulu, kini secara tiba-tiba pula mahu mengenepikan dasar itu. Bagi menjawab persoalan ini, kita kena tahu konsep sebenar DEB. Dasar ini hanyalah satu tindakan 'affirmative'. Kita tahu dasar 'affirmative' cuba memperbetulkan beberapa ketidakseimbangan dalam ekonomi. Tujuan dan definisi tindakan 'affirmative' amat jelas, ia adalah satu amalan diskriminasi positif. Melalui dasar ini, kita mendiskriminasi satu pihak bagi memberi peluang kepada orang lain membaiki dirinya dengan harapan, jurang perbezaan dalam komuniti dapat dirapatkan dan memberi peluang kepada semua warganegara bersaing secara adil di negara ini. Dasar itu amat jelas ketika itu. Tetapi DEB sekarang telah disalahgunakan oleh sekelompok kecil masyarakat bumiputera untuk membolot kekayaan korporat. DEB sekarang menjadi alat untuk mengkayakan anggota masyarakat yang terpilih, mereka membolot kontrak yang dikeluarkan oleh kerajaan. Adalah amat memalukan apabila DEB dijadikan alat untuk menguntungkan kumpulan tertentu sahaja. Sebagai contoh, dalam pemberian kontrak bekalan komputer ke sekolah-sekolah, pihak yang mendapat kontrak berkenaan adalah orang yang tidak mempunyai pengetahuan tentang komputer. Tetapi mereka tetap dipilih kerana mereka adalah proksi atau “front runner” bagi orang tertentu. Akhirnya projek itu di subkontrakkan kepada orang lain. Dalam kes ini, jelas sekali telah berlaku penyelewengan dan akibatnya kita tidak mendapat produk dan hasil kerja yang baik, sumber-sumber dibazirkan akibat ketidak-keberkesanan, pengedaran komputer tidak digunakan sepenuhnya oleh sekolah dan akhirnya kita melakukan pembaziran yang besar. Malaysiakini: Nampaknya DEB gagal memenuhi matlamat serampang dua matanya tapi kerajaan masih mahu mengekalkannya... Khalid: Ya...DEB telah disalahgunakan dengan meluas dalam pelbagai cara. Semua orang tahu semua Ketua Bahagian Umno berpeluang mendapat kontrak dari kerajaan bagi mengumpul dana untuk membiayai aktiviti politik mereka. Malah dalam banyak kes, mereka tahu berapa jumlah yang perlu ditawarkan untuk merebut sesuatu kontrak itu. Kerap berlaku mereka tidak tahu apa-apa tentang projek berkenaan dan ini menyebabkan mereka dijadikan “orang depan” oleh bukan bumiputera yang mahukan projek tersebut. Akhirnya ini menjadi satu tabiat dan norma. Sekarang ini, seluruh negara telah rosak. Malah kalau kita teliti pertelagahan antara Tun Dr Mahathir dengan Datuk Seri Abdullah sekarangpun, ia tertumpu kepada soal pengagihan kontrak, bukannya tentang nasib orang miskin yang semakin hari semakin terpinggir. Perdebatan antara kedua-dua pemimpin ini tidak sedikitpun menyentuh nasib orang miskin di Sabah, umpamanya, di mana statistik menunjukkan kadar kemiskinan amat tinggi di negeri itu. Ketara sekali DEB telah dijadikan alat untuk meraih pendapatan tanpa perlu berkerja. Kelompok tertentu mendapat pendapatan secara percuma daripada hubungan mereka dengan kerajaan. Akibat dari gejala ini, perbelanjaan kerajaan dibazirkan dan pembayar cukai tidak mendapat nilai dari perbelajaan yang dibuat itu. DEB pada peringkat awalnya berjaya melahirkan institusi bumiputera yang kukuh dan berjaya seperti PNB, Tabung Haji, Felda dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Hingga kini pun semua institusi ini terus bergerak maju tetapi malangnya DEB tidak dikemaskinikan sejajar kejayaan institusi-institusi tersebut. Kerajaan cuba menggunakan DEB untuk melahirkan tokoh korporat bumiputera dan usahawan. Tetapi di manakah mereka yang kononnya tokoh korporat dan usahawan itu? Kalau kita namakan tokoh korporat bertaraf dunia, mana dia nama orang Melayu atau bumiputera? Kita akan temui nama seperti Ananda Krishnan, Yeoh Tiong Lay, Ling Goh Tong, Robert Kuok...kalau begini keadaannya saya rasa lebih baik kita jadikan DEB dasar untuk semua kaum, biarkan semua kaum menikmatinya kerana sebahagian besar orang Melayu tidak mendapat faedah darinya. Dalam perbincangan kami mengenai dasar ini, kami dapati sejak dari tahun 1980-an dan 90-an lagi, penerima utama faedah DEB ialah bukan bumiputera. Buktinya, banyak syarikat pembinaan bukan bumiputera berkembang menjadi syarikat besar dengan urusniaga berjuta-juta ringgit setahun. Tetapi hingga kini mereka kekal sebagai sub-kontraktor di negara ini. Mengapa ini berlaku, kalau kita analisis secara sinis, kontraktor bukan bumiputera ini telah berjaya menggunakan orang Melayu untuk mendapatkan kontrak untuk mereka, walaupun kontrak itu sekadar di sub-kontrakkan, namun mereka yang untung besar. Kesan dari amalan ini siapa yang rugi? Kos sesuatu projek melambung tinggi akibat dari rasuah berbentuk kuasa dan wang dalam usaha mendapatkan kontrak-kontrak berkenaan. Sub-kontraktor terpaksa menaikkan sebutharga mereka bagi menampung rasuah yang diberi kepada “orang depan” atau “runner” yang mendapatkan kontrak berkenaan. Dalam keadaan begini, adakah anda fikir Malaysia boleh mempunyai urustadbir korporat yang telus? Bagaimana kita mahu melihat negara kita dipandang tinggi sebagai sebuah negara yang telus? Bagi saya DEB telah merosakkan kita semua, menjahanamkan segala-galanya. Ia gagal menggembirakan sebahagian besar orang Melayu, ia juga tidak menjadikan sebahagian besar orang Cina atau India seronok, malah ia telah merosakkan amalan perniagaan yang baik. DEB telah dipalit dengan watak jahat. Oleh itu kita tidak boleh lagi mengekalkannya. DEB perlu dihentikan! DEB akan menjadi alat yang akan membunuh kita dan negara ini. Ia sudah menjadi barah masyarakat. Untuk menyelesaikan “penyakit barah” ini, ia tidak boleh dirawat, sebaliknya perlu dipotong terus. Malaysiakini: Apa agaknya akan berlaku kalau DEB dihentikan atau diubahsuai beberapa tahun lalu... Khalid: Saya yakin kalau tiada DEB, kita boleh mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi kerana kita dapat menggunakan sumber-sumber dengan lebih baik. Mungkin pertumbuhan tahunan ekonomi kita boleh meningkat lebih tinggi antara tiga hingga empat peratus lagi Kalau kita bandingkan keadaan di Singapura dan Malaysia, kedua-dua negara bermula pada masa yang agak sama dengan pendapatan per kapita yang sama satu ketika dulu. Tetapi sekarang Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura, pendapatan per kapita kita kurang daripada AS$5,000 tetapi Singapura antara AS$15,000-AS$20,000. Apakah maknanya ini? Perlukah kita berbincang tentang DEB lagi? Logik dari hujah ekonomi yang teknikal ini menunjukkan DEB menjejaskan pertumbuhan ekonomi, sedangkan tujuan dilaksanakan DEB ketika saya menerajui PNB ialah untuk mewujudkan kestabilan politik. Tanpa kestabilan politik, tiada ruang untuk industri berkembang. Tetapi keadaan sudah berubah sekarang, pelabur asing takut untuk datang ke negara ini kerana adanya DEB. Mereka tahu jika melabur di sini, mereka akan dicukai sebanyak 30 peratus oleh “orang depan” berkenaan. Pada pendapat saya DEB juga telah menjejaskan profesionalisme dalam pentadbiran dan pengurusan kerana apabila para pegawai berkenaan memberi sesuatu projek kepada kawan-kawan mereka, persoalan sama ada seseorang itu efisyen atau tidak, sudah tidak diambilkira lagi. Malah mereka boleh meletakkan harga tinggi sesuka hati. Sekarang ini kerana mahu melindungi segala penyelewengan pengurusan ini, kerajaan telah menjadi tidak telus. Kerajaan kini menggunakan OSA (Akta Rahsia Rasmi) untuk melindungi segala kepincangannya. Sekarang ini mana ada pemisahan antara sistem eksekutif, perundangan dan kehakman. Ketiga-tiga birokrasi ini berada dalam satu kumpulan bagi memudahkan mereka saling tolong menolong dan sokong menyokong antara satu sama lain. Hakikatnya sekarang kerajaan telah bertukar menjadi sebuah pakatan di mana semua pihak saling sokong menyokong. Beberapa orang menteri dan pegawai tinggi kerajaan menggunakan kelicikan mereka untuk mengubahsuai keperluan dan peraturan dalam perintah am bagi memenuhi kehendak masing-masing. Kita saksikan sekarang orang politik bersekongkol dengan eksekutif untuk membolehkan mereka bermain golf atau bercuti secara percuma di luar negara di bawah nama lawatan sambil belajar atau meninjau peluang pelaburan. Anda dapat saksikan sendiri ketika kes (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dibicarakan bagaimana hubungan hakim, Peguam Negara, pegawai tinggi kerajaan dan para menteri. Mereka menjadi satu pasukan. Inilah negara kita sekarang...semua ini adalah hasil daripada percubaan untuk melaksanakan DEB. Dasar ini adalah makhluk yang akan menghancurkan generasi Melayu akan datang. Malaysiakini: Sudah adakah alternatif yang realistik kepada DEB ketika ini... Khalid: Dalam soal ini kita akui semua pihak mempunyai cadangan dan agenda sendiri. DAP dan PAS mungkin ada cara dan agenda sendiri bagi memastikan pembayar cukai tidak didiskriminasi. Tetapi bagi saya, sudah sampai masanya sifat mengutamakan agenda sendiri ini dihentikan. Marilah kita merangka satu agenda nasional yang memberi kebaikan dan keuntungan kepada seluruh anggota masyarakat. Itulah sebenarnya matlamat asal DEB, malangnya sekarang ini ia telah dicemari dan disalahgunakan dengan teruk. Sekarang ini kami sedang berusaha ke arah itu. Kami sedang merangka satu cadangan yang akan memberi kebaikan dan kebajikan kepada semua rakyat Malaysia. Cadangan yang akan membuka dan memberi peluang kepada semua pihak. Idealisme cadangan ini tidak sama dengan DEB kerana DEB mengamalkan diskriminasi kaum. Kami akan menerangkan perkara ini kepada rakyat. Kami mahu rakyat tahu bahawa mereka telah tertipu dan perlu bangkit menuntut perubahan. Kita jangan harapkan kerajaan akan berfikir dan dengan mudah menerima cadangan ini kerana mata mereka sudah lama ditutup oleh kepentingan peribadi masing-masing. Tidak mudah bagi mereka untuk membunuh “angsa yang memberi telur emas “ kepada mereka selama ini . Malaysiakini: Jadi bagaimana caranya untuk membuat kerajaan tunduk kepada kehendak rakyat.... Khalid: Para pengundi yang akan menentukannya. Inilah masanya bagi para pengundi memahami keadaan ini. Kami telah bercakap dengan DAP dan semua pihak perlu bersama-sama menerangkannya kepada rakyat. Pengundi perlu disedarkan bahawa jika mereka berdiam diri, mereka terpaksa membayar harga yang sangat mahal satu hari nanti. Kita tahu menjelang pilihanraya nanti kerajaan akan menawarkan pelbagai “gula-gula” dan “duit kopi” kepada rakyat. Kami akan terangkan kepada rakyat semua “duit kopi” dan “gula-gula” itu akhirnya akan menuntut harga yang tinggi dari mereka. Ia adalah perbuatan rasuah yang akan menghancurkan masa depan generasi akan datang. Rasuah kecil ini adalah racun. Rakyat mungkin boleh mengambil semua “gula-gula” itu tetapi pastikan jangan memberi undi anda kepada mereka. Malaysiakini: Apa pula pandangan Tan Sri tentang statistik pencapaian 45 peratus bumiputera dalam DEB yang dikeluarkan oleh Institut Strategik dan Kepimpinan Asia (Asli) baru-baru ini? Khalid: Dalam soal ini saya rasa terdapat banyak kekeliruan. Kita kena berhati-hati dalam menganalisis statistik ini kerana kalau tersilap langkah ia boleh mendatangkan implikasi besar, ia mungkin mendatangkan kesan sebaliknya kepada orang bukan Melayu. Kalau GLC, umpamanya Petronas secara rasmi diisytiharkan sebagai sebahagian dari pada ekuiti bumiputera, apa akan jadi kalau orang Melayu menuntut seluruh saham atau dividen Petronas diberikan kepada mereka sahaja? Saya telah melihat data-data yang dikemukakan oleh Asli itu dan saya rasa tidak berguna kalau berdasarkan statistik itu kita berhujah DEB tidak relevan atau telah melampaui tempohnya. Ia tidak membantu langsung malah mungkin akan “backfire”. Malaysiakini: Sebagai orang yang terbabit dengan GLC sebelum ini, bagaimanapun Tan Sri mengukur pencapaian GLC kita sekarang? Khalid: Jika GLC hanya beroperasi di Malaysia, itu bermakna syarikat-syarikat ini mengambil kesempatan dari elemen-elemen dalam negara. Sepatutnya ujian sebenar bagi mereka ialah di luar negara. Di pasaran luar baru anda boleh meningkatkan kemahiran dan daya kompetitif untuk bersaing di arena antarabangsa. Cuba lihat pada Temasek Holdings (agensi pelaburan Singapura), 70 peratus operasinya adalah di luar negara dan ia memberikan pulangan 18 peratus setahun. Itulah kayu ukuran sebenarnya. Anda membuktikan bahawa anda bukan sekadar jaguh kampung. Kita mesti tekankan GLC diuruskan dengan telus dan profesional. Semua pengurus GLC mesti diberitahu tugas mereka ialah membuat keuntungan dan biarkan pemegang saham memikirkan soal pengaihan keuntungan berkenaan. Pastikan bila anda membuat keuntungan, ia diperolehi dari pengurusan yang profesional di bawah urus tadbir korporat yang terbaik. Saya rasa sudah tiba masanya negara kita mengendalikan perniagaan dengan tegas dan telus. Semua ketua industri perlu bertanggungjawab. Kita perlu mencontohi Korea Selatan di mana semua kapten industri hingga ke presiden negara itu dipertanggungjawabkan terhadap sebarang penyelewengan pengurusan. Amalan ini belum diamalkan di sini, kita perlu memperkenalkannya. Dalam soal ini, tiada kongsi kuasa, jika anda melakukannya, anda harus terima hukuman kerana itu tanggungjawab anda. (Disambung di bahagian 2) |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home