Jeffrey kembali warnai politik
Dr Jeffrey Kitingan kembali mewarnai politik Sabah SEPANJANG dua minggu lalu, cuaca buruk melanda Sabah. Akibatnya, tanah runtuh di cerun tinggi. Lereng bukit mendap. Kawasan rendah ditenggelami banjir. Bahagian Pantai Barat paling teruk terjejas. Satu bencana alam. Beberapa hari kemudian, jerebu pula melanda. Menyelubungi sebahagian besar ruang udara Negeri Bawah Bayu ini. Ketika cuaca mulai pulih dan mentari memancar cerah, tiba-tiba langit kembali mendung. Kali ini horizon politiknya pula diselaputi jalur- jalur kelabu. Dan untuk beberapa ketika, orang memperkatakan mengenainya – tekong politik, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Perkembangan itu menghimpunkan ribuan rakyat ke daerah kelahirannya, Tambunan di mana asas perjuangan barunya itu diumumkan melalui apa yang disebutnya sebagai Deklarasi Tambunan. Ia disebut sebagai deklarasi mungkin dengan niat untuk memberi gambaran mengenai kehebatan agendanya. Antara perkara terkandung dalam janji politiknya itu ialah meningkatkan royalti minyak Sabah, melantik Timbalan Perdana Menteri Kedua bagi Malaysia Timur, meningkatkan peranan Sabah dalam Kabinet Persekutuan, memperkenalkan semula agihan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak mengikut formula asal serta penyertaan lebih besar dalam perkhidmatan diplomatik.. Namun, meneliti intipati deklarasi itu ia sebenarnya tidak jauh berbeza dengan nada suara, irama isu dan keluhan rasa parti-parti pembangkang Sabah sebelum ini. Malah, sebahagian daripadanya ada disebutkan, sama ada secara langsung atau sepintas lalu, dalam manifesto pilihan raya mereka. Tidak hairanlah, perkara yang diringkaskan dalam deklarasi itu disifatkan oleh kalangan pemimpin Barisan Nasional Sabah sebagai lagu lama dan gimik politik semata-mata. Apa pun, kemunculan semula Jeffrey dalam panggung politik Sabah mengundang minat dan perhatian ramai, setidak-tidaknya kepada pelakon, peminat dan penonton wayang politik. Ini mungkin disebabkan Jeffrey mempunyai aura melakukan persembahan dan adegan drastik. Sebagai rekod, sejarah perjuangan politik Jeffrey cukup panjang dan berliku. PKR adalah parti politik keempat disertainya selepas Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan abangnya, Datuk Joseph Pairin Kitingan. Sebelum itu beliau bersama Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang diterajui rakannya, Tan Sri Joseph Kurup, dan Angkatan Keadilan Rakyat Bersatu (Akar) yang sudah pun dibubarkan. Penganalisis politik berpendapat kembalinya Jeffrey yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ke arena politik, tidak akan mengubah senario dan landskap politik Sabah. Ini kerana karismanya masih kurang berbisa dan isu yang dibawa pula adalah olahan daripada isu lama selain lebih bersandarkan kepada sentimen, manakala misinya tidak berpaksi kepada realiti. Bagi mereka, rakyat Sabah termasuk yang tinggal di pedalaman tidak lagi mudah digula-gulakan dengan janji politik yang manis di bibir saja. Hakikat inilah disuarakan oleh beberapa pemimpin Barisan ketika memberikan reaksi terhadap tindakan Jeffrey menyertai PKR yang melaungkan slogan 'Keadilan untuk Sabah’ bagi membakar perasaan dan sentimen kenegerian. Timbalan Presiden PBS, Datuk Dr Maximus Ongkili, misalnya berkata dalam pengamatannya, isu yang diketengahkan oleh Jeffrey telah ditolak oleh rakyat Sabah sebelum ini. Dr Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata rakyat Sabah kini memandang ke hadapan dan mahu menikmati hasil pembangunan seperti program Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9). Katanya, rakyat amat arif dengan ketidakupayaan Jeffrey membawa perubahan, malah mereka memahami pendirian serta pendekatannya yang bersifat anti-kerajaan sejak meninggalkan PBS dahulu. Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Salleh Said Keruak, pula berpendapat penyertaan Jeffrey dalam PKR tidak menjejaskan kekuatan Umno dan Barisan di Sabah. "Majoriti rakyat Sabah memihak kepada Barisan dan tiada sebab untuk berpaling tadah. Mereka terus menyokong kerajaan sekarang demi pembangunan berterusan dan masa depan yang lebih cerah," katanya. Setiausaha Agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko) Datuk Wilfred Madius Tangau, juga sependapat bahawa PKR tidak akan membawa impak politik sekalipun dengan penyertaan Jeffrey di dalam "Ini kerana sistem yang diamalkan oleh Barisan ternyata memberi sumbangan terbaik dan diterima oleh rakyat Sabah serta rakyat negara ini keseluruhannya," katanya, sambil menegaskan tiada parti politik secara bersendiri boleh mentadbir negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum. Setiausaha BN Sabah, Datuk Karim Bujang dan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk V K Liew, turut menyifatkan apa yang dibangkitkan oleh Jeffrey sebagai lagu lama dan gimik politik semata-mata. Mereka merumuskan bahawa kemunculan Jeffrey bersama PKR tidak membawa ombak tsunami politik di negeri ini, sebagaimana diramalkan oleh mereka yang bersimpati dengan perjuangan pembangkang. Jeffrey, dalam komen balasnya menegaskan bahawa lagu lama yang didendangkannya sekarang ini adalah soal keadilan dan menyifatkan mereka yang menentangnya sebagai 'menentang keadilan’. Sehubungan itu, beliau mencabar mereka yang mengkritiknya supaya tampil menyatakan secara terbuka bahawa mereka menentang enam perkara asas yang dirumuskannya dalam Deklarasi Tambunan. Sama ada Jeffrey dan PKR mampu merubah keadaan, hanya masa menentukan. Yang pasti, cuaca langit politik Sabah semakin sukar diramalkan sebagaimana fenomena alam tidak menentu yang melanda negeri ini sepanjang dua minggu lalu. |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home