SepangOnline

Tuesday, September 26, 2006

Keengganan kerajaan buka kes 1988 bertentangan komitmen pulih integriti - Anwar

Oleh Lanh (Harakah)

KUALA LUMPUR, 26 Sept - Penasihat Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, keengganan kerajaan mengkaji semula krisis kehakiman pada tahun 1988 bertentangan dengan komitmen kerajaan terhadap integriti dan perubahan.

Menurut Anwar, sudah sampai masanya kerajaan melangkaui slogan yang 'muluk-muluk' dengan menunjukkan kepimpinan yang sebenar.
Beliau berkata demikian semalam ketika mengulas isu cadangan membuka semula siasatan kes bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohammed Salleh Abbas dan cadangan mengadakan suruhanjaya bebas menangani krisis kehakiman 1988 dan berikutnya.

Keberanian segelintir hakim harus dipuji, tetapi mereka hanyalah individu yang tidak ramai dalam sistem kehakiman negara mutakhir ini, katanya.

Hanya kajian yang jujur dan bebas dapat memulihkan nama baik mangsa-mangsa krisis kehakiman 1988 dan insiden-insiden berikutnya, serta memulihkan kepercayaan rakyat Malaysia umumnya dengan sistem kehakiman Malaysia, kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Justeru beliau menyokong penuh permintaan Salleh Abbas dan Majlis Peguam Malaysia supaya sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk mengkaji sebab-sebab krisis kehakiman 1988.

Menurut Anwar, pada suatu ketika dahulu, sistem kehakiman negara ini dipandang tinggi di seluruh dunia kerana kebebasan dan integritinya.
Bagaimanapun, bermula dengan krisis kehakiman 1988, pelbagai peristiwa seperti kes Ayer Molek, perletakan jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Dato' Syed Ahmad Idid Syed Abdullah serta perbicaraan kes beliau (1998) telah memburukkan imej sistem kehakiman dan negara ini secara keseluruhannya.

"Dalang krisis ini mesti didedahkan. Perubahan juga mesti dibuat dalam pelantikan para hakim untuk memelihara kebebasan mereka. Sistem kehakiman yang bebas dan adil adalah asas sebuah negara demokrasi moden, dengan mengawal kuasa eksekutif, untuk mengelak menjadi kediktatoran yang dipilih," kata Anwar.

Sebelum ini, Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mencadangkan agar kerajaan membuka semula kes pemecatan Salleh dan beberapa kes mencetus krisis kehakiman negara termasuk kes suaminya, Anwar .

Banyak pihak menyokong saranan itu termasuk bekas Naib Presiden PAS, Dato' Mustafa Ali yang turut mahu kes itu diteliti semula bagi memulihkan sistem kehakiman negara.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas seminar bersama wartawan Harakah di sebuah hotel di Maluri, Cheras, minggu lalu.
Menurut Mustafa, PAS sentiasa komited dengan sebarang usaha mana-mana pihak yang mahu menggerakkan proses memulihkan demokrasi negara termasuk dalam aspek perundangan. - lanh

Monday, September 25, 2006

Kehakiman Bebas dan Adil Asas Demokrasi

 Sistem kehakiman bebas dan adil asas negara demokrasi moden

Saya menyokong penuh permintaan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohammed Salleh Abbas dan Majlis Peguam Malaysia supaya suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk mengkaji sebab-sebab krisis kehakiman 1988.

Pada suatu masa dahulu, sistem kehakiman negara kita dipandang tinggi di seluruh dunia kerana kebebasan dan integritinya. Walaubagaimanapun, bermula dengan krisis kehakiman 1988, pelbagai peristiwa seperti kes Ayer Molek, perletakan jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah serta perbicaraan saya telah memburukkan imej sistem kehakiman kita, serta negara kita keseluruhannya.

Keengganan kerajaan mengkaji semula insiden tersebut bertentangan dengan komitmennya terhadap integriti dan perubahan. Sudah sampai masanya kerajaan melangkaui slogan yang muluk-muluk dengan menunjukkan kepimpinan yang sebenar. Keberanian segelintir hakim harus dipuji, tetapi mereka hanyalah individu yang tidak ramai dalam sistem kehakiman kita.

Hanya kajian yang jujur dan bebas dapat memulihkan nama baik mangsa-mangsa krisis kehakiman 1988 dan insiden-insiden berikutnya, serta memulihkan kepercayaan rakyat Malaysia umumnya dengan sistem kehakiman kita. Dalang krisis ini mesti didedahkan. Perubahan juga mesti dibuat dalam perlantikan para hakim untuk memelihara kebebasan mereka.

Sistem kehakiman yang bebas dan adil adalah asas sebuah negara demokrasi moden, dengan mengawal kuasa eksekutif, untuk mengelak menjadi kediktatoran yang dipilih.

ANWAR IBRAHIM

Penasihat Parti Keadilan Rakyat

Sunday, September 24, 2006

Perutusan Ramadhan 1427

 23 September 2006

Assalamualaikum wrt dan Salam Sejahtera,

Umat Islam seluruh dunia akan menyambut Ramadhan al Mubarak dengan hati yang penuh debar. Ramadhan adalah bulan mulia dan bulan untuk membuat amal ibadat bagi menyucikan jiwa dan rohani kita dari segala bentuk kejahatan dan pengaruh hawa nafsu. Menjalani segala ibadah di sepanjang bulan ini diharapkan akan menjadikan kita insan yang lebih baik dari bulan-bulan sebelumnya. Ia juga bakal menjadi kayu ukur sejauh mana hubungan kita dengan Pencipta. Malah ia adalah bulan untuk kita bermuhasabah diri dan membetulkan segala kesilapan samada terhadap sesama manusia mahupun terhadap Allah SWT. Junjungan kita Nabi Muhammad SAW juga beramanat bahawa pada bulan Ramadhan umat Islam akan beroleh sekurang-kurangnya dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika berbuka puasa dan ketika menemui Tuhan di akhirat kelak. Kedua-dua kebahagiaan ini akan dinikmati oleh mereka yang berjaya mengharungi ujian-ujian pada bulan Ramadhan dan membuat sebanyak mungkin amalan dengan penuh keimanan dan keinsafan.

Rakyat Malaysia menyambut Ramadhan kali dalam suasana ekonomi yang menekan dengan kenaikan harga barang yang hampir tidak terkawal. Kaum surirumah pastinya lebih merasa terbeban dengan perbelanjaan dapur yang kian meningkat. Apatah lagi bekalan gula yang boleh dikatakan hampir putus dewasa ini. Justeru, adalah lebih baik jika majlis berbuka puasa dan seterusnya persiapan sambutan Hari Raya nanti dilakukan dengan cukup bersederhana. Saya yakin ia bukan sahaja selari dengan semangat Ramadhan itu sendiri tetapi ia juga baik untuk kesihatan kita malah akan dapat mengurangkan masalah tekanan ekonomi yang dihadapi. Manakala pada pihak kerajaan pula, usaha yang lebih berkesan hendaklah segera diambil terhadap permasalahan kekurangan gula ini memandangkan sambutan perayaan kian hampir dan kegagalan menanganinya akan lebih membebankan rakyat.

Ramadhan kali ini juga memperlihatkan keadaan dunia yang semakin tidak aman. Tindakan segelintir kumpulan pelampau telah memberi prasangka kepada Islam. Malah Islam juga telah dihina walau mungkin dalam keadaan yang tidak disengajakan. Harapan kita ialah semoga kedatangan Ramadhan kali ini akan mampu mengukuhkan perhubungan persaudaraan sesama umat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia memandangkan Islam adalah agama yang penuh dengan sifat toleransi. Bagi menghormati bulan mulia ini diharapkan semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk tindakan mahupun kenyataan yang boleh mewujudkan salah faham di kalangan masyarakat dunia dan di kalangan mereka sendiri.

KeADILan melihat peristiwa yang menimpa negara jiran Thailand seharusnya menjadi iktibar kepada kita semua. Rampasan kuasa yang tiba-tiba sahaja berlaku begitu memeranjatkan dunia. Kita yakin jika semua pihak bersedia berbincang dan memahami hak dan tanggungjawab masing-masing sejak dari awal perkara sebegini tidak akan berlaku. Kita juga berpendapat bahawa pencabulan terhadap salah satu elimen utama demokrasi iaitu pilihanraya yang bebas dan adil telah menjadikanThailand kehilangan sistem demokrasi secara total. Justeru, keADILan menyeru agar kerajaan Malaysia memikirkan secara mendalam akan peri pentingnya mewujudkan sebuah kerajaan demokrasi yang adil demi kesejahteraan dan keamanan rakyat.

Saya juga merayu agar seluruh rakyat Malaysia yang pelbagai agama dan bangsa agar menjadikan Ramadhan ini sebagai batu loncatan untuk lebih memahami dan mengenali teman-teman yang beragama Islam. KeADILan sentiasa komited di dalam mewujudkan suasana yang aman dan akan sentiasa menentang sebarang bentuk tindakan yang berupa hasutan yang akan mengakibatkan pertelingkahan antara agama dan kaum di negara ini lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadhan.

Akhir kata saya mewakili saf kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (keADILan), ingin merakamkan ucapan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh pendokong keadilan serta seluruh umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia dengan semangat terungkap di dalamnya.

Sekian , terima kasih

Dr Wan Azizah binti Wan Ismail

Presiden Parti Keadilan Rakyat

Ahli Parlimen Permatang Pauh

Saturday, September 23, 2006

Ezam bertemu pelajar ASEAN di Mesir

Oleh Harakahdaily

KAHERAH, 20 Sept (Hrkh) - Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) Ezam Mohamad Nor meminta pelajar-pelajar ASEAN bergabung tenaga bagi menjadikan ASEAN rantau demokratik dan progresif.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri forum anjuran Ikatan Cendiakiawan Muslim (ICMI) bersama pelajar-pelajar ASEAN di Universiti al-Azhar Mesir.

Forum bertajuk Masa depan rantau ASEAN itu dipengerusikan oleh Pengerusi ICMI Arifin MA dihadiri oleh pelajar dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Brunei.

Dalam ucapannya, Ezam meminta pelajar-pelajar ASEAN di Universiti al-Azhar agar memperkukuh hubungan dan membina jaringan anak muda yang kuat ke arah melahirkan rantau ASEAN yang lebih demokratik dan bebas dari cengkaman rasuah.

"Ini amat penting terutamanya ketika kita berdepan dengan rejim yang rasuah dan menindas demokrasi di negara-negara ASEAN," katanya.

Ezam juga menyentuh keperluan dibina semula jaringan peringkat kerajaaan dan bukan kerajaan seperti forum serantau yang pernah dipelopori oleh bekas Presiden Indonesia BJ Habibie dan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim semasa mereka ditampuk pemerintahan dahulu.

"Hubungan akrab yang lebih mendalam dan bukan hanya di atas kepentingan perniagaan semata-mata akan memudahkan negara-negara ASEAN menyelesai masalah bersama.

Ketika ditanya tentang penglibatan politik beliau khususnya sebagai Ketua Angkatan Muda KeADILan, Ezam menjelaskan bahawa beliau akan memberi laluan kepada anak muda bawah umur 40 tahun mengetuai Angkatan Muda Disember tahun in, sesuai dengan pindaan perlembagaan yang dibuat dalam kongres parti KeADILan baru-baru ini.

"Ini merupakan langkah progressif untuk menjadikan organisasi muda dipimpin oleh orang muda. Sementara saya akan memberi tumpuan kepada usaha-usaha membina masyarakat demokratik dan anti korupsi melalui GERAK selepas ini," kata beliau.

Ezam dijangka mengadakan pertemuan khusus dengan pelajar-pelajar Malaysia di luar Kaherah Rabu ini dan mengadakan pertemuan dengan pimpinan ABIM Mesir dan pimpinan Parti Keadilan Sejahtera cawangan Mesir.

Ezam dijangka ke Jeddah mengerjakan ummrah dan pulang pada minggu pertama Ramadan.

Wednesday, September 20, 2006

Laporan BPR terhadap Samy Vellu

Projek 'hilang': Laporan BPR terhadap Samy Vellu

Oleh: Muda Mohd Noor (Malaysiakini.com)

Sep 20, 06 -- Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah terhadap Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Samy Vellu, dua kontraktor dan individu yang didakwanya terbabit dengan `kehilangan’ projek persimpangan (interchange) serta jejambat bernilai RM86.3 juta di Sungai Buloh-Damansara Damai.

Laporan tersebut dibuat oleh Naib Ketua Angkatan Muda PKR, S Manikavasagam di Ibu Pejabat BPR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi tadi. Ia diterima oleh Penolong Pengarah BPR, Abu Zubir Mahfouz.

Abu Zubir berkata, pihaknya akan menghantar laporan tersebut kepada Ibu Pejabat BPR di Putrajaya kerana ia merupakan satu dakwaan yang serius.
Dalam laporannya, Manikavasagam mendakwa dua kontraktor tersebut ialah Konsortium Melati Ehsan (M) Sdn Bhd dan Desa Purnama Sdn Bhd. Bagaimanapun, nama individu yang didakwa terbabit itu, tidak disebut dalam laporan kepada BPR itu.
Beliau mendakwa, Menteri Kerjaraya telah membuat kenyataan mengenai pembinaan persimpangan dan jejambat tersebut tetapi ia tidak dibina.

“Oleh itu, PKR mahu BPR menyiasat mengapa perkara itu berlaku,” kata Manikavasagam kepada wartawan selepas membuat laporan tersebut.
Menurutnya lagi, laporan akhbar pada 2 Disember 2003 memetik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Datuk Lam Weng Keong sebagai berkata, kontraktor akan memulakan kerja pembinaan di simpang Damansara Damai terlebih dahulu dan akan siap dalam tempoh enam bulan.
Menurut Manikavasagam, tiga pemaju – MK Land, Talam Corp dan Prima Damansara – melabur RM18 juta untuk pembinaan projek tersebut.

Kesesakan lalulintas
Mengikut perancangan awal, katanya lagi, kedua-dua projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada akhir bulan ini, tetapi sehingga hari ini tidak ada sebarang kerja pembinaannya dijalankan.
Menurutnya, pada 10 Mac 2005, Samy Vellu dilaporkan berkata, Konsortium Melati Ehsan dan Desa Purnama akan membina laluan Damansara Damai-Sungai Buloh bernilai RM86.3 juta.
“Dalam katalog yang dikeluarkan oleh pemaju MK Land, projek tersebut membabitkan pembinaan enam lorong dengan jejambat dan dijangka siap pada September 2006,” katanya lagi.
Beliau berkata, para penduduk Damansara Damai dan kawasan sekitar akan mengambil tindakan undang-undang jika masalah tersebut tidak dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Katanya, mereka akan menemui peguam bagi mendapatkan pandangan mengenai perkara tersebut sebelum tindakan undang-undang diambil.
“Penduduk merasa tertipu dan amat kecewa kerana mereka telah dijanjikan pembinaan laluan persimpangan bertingkat (interchange) dan jejambat tetapi tiba-tiba ‘lesap’,” katanya.
Beliau berkata, kini kira-kira 50,000 penduduk Damansara Damai dan kawasan sekitar menghadapi masalah kesesakan lalulintas yang teruk setiap hari akibat ketiadaan laluan persimpangan dan jejambat tersebut.

"Bajet 2007 & Masa Depan Ekonomi Malaysia"

Print E-mail

KeADILan anjurkan dua Forum Economi di Ipoh & KL: "Bajet 2007 & Masa Depan Ekonomi Malaysia"

19hb Sept 2006

Parti Keadilan Rakyat akan mengadakan DUA forum "Bajet 2007 dan Masa Depan Ekonomi Malaysia" yang ahli panel utama adalah Bendahari Agung, Tan Sri Khalid Ibrahim, pada Khamis (Ipoh) dan Jumaat (KL) ini.

Di bawah maklumat:

Ipoh, Perak
Tarikh : 21hb Sept 2006 (Khamis)
Masa : 8.00mlm - 10.30mlm
Tempat: Ballroom-Tingkat ke-14, Hotel Excelsior Ipoh
(Jln Sultan Abdul Jalil, Ipoh)

Ahli Panel:

1. Tan Sri Khalid Ibrahim (Bendahari Agung KeADILan, bekas CEO Kumpulan Guthrie dan Permodalan
Nasional Berhad, PNB);
2. Tian Chua (Ketua Penerangan KeADILan; Sarjana Pengajian Buruh ISS, Hague, Belanda);

Pengerusi Forum: Naib-Presiden Dr Lee Boon Chye
Tiket kemasukan: RM10

Kuala Lumpur
Tarikh : 22hb Sept 2006 (Jumaat)
Masa : 8.00mlm - 10.30mlm
Tempat: Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor (No. 1, Jalan Maharajalela, KL)

Ahli Panel:

1. Tan Sri Khalid Ibrahim
2. Syed Shahir (Presiden MTUC)
3. Soon Hoh Sing (Kolumnis Oriental Daily News)

Kemasukan: Percuma

Ahli Panel utama bagi kedua-dua forum, Bendahari Agung KeADILan Tan Sri Khalid Ibrahim, merupakan satu nama yang begitu popular di kalangan elitis korporat dan bisnes Malaysia.

Khalid akan membuat analisa rapi terhadap Bajet dan
implikasinya kepada ekonomi negara ini. Beliau
bersedia membuat bandingan polisi terhadap Bajet
terbaru dengan DEB dan RMK9, serta memperkukuh hujahan
pendirian KeADILan dengan kandungan jati dasar ekonomi
parti AEB, atau lebih dikenali sebagai Agenda Ekonomi
Baru, yang sudah diseiras dengan penasihat KeADILan
Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli-ahli panel lain seperti Tian Chua dan Syed Shahir
akan memberi analisa dari segi sudut pandangan
kesatuan pekerja dan politik semasa, sementara
kolumnis ekonomi Soon Hoh Sing membawa pandangan
masyarakat Cina.

Bagi mereka yang ingin hadir, sila hubungi:
Forum KL : 03-40440063 atau 012-6693453.

Forum Ipoh: hubungi atau SMS June 019-5210106, Bobo
016-5922647, Tang 012-5058517 bagi pembelian tiket
atau pertanyaan; atau kunjungi pusat-pusat jualan
tiket:
1. Happy Learning Book Store: 260, Jalan Sultan
Iskandar, Jalan Huge Low, 30000 Ipoh. Tel/Fax:
05-2532204, 016-5375703
2. Newtech Inkjet Advertising: 262, Jalan Sultan
Iskandar, 30000 Ipoh. Tel/Fax: 05-2433262, 2433261,
012-5175809
3. Suite 7, Lee Boon Chye Heart Spec.Clinic, Ipoh
Specialist Hospital, 26, Jalan Raja DiHilir, 30350
Ipoh. Tel/Fax: 05-2533720

KeADILan Tegas Usaha Penggalakan Dialog Demi Kefahaman Agama

KeADILan menyesali ucapan Pope Benedict XVI di mana beliau memetik gambaran yang diberikan oleh seorang maharaja Bizantin pada zaman dahulu yang ternyata tidak tepat dan buta sejarah lantas telah menghina Islam.

Dalam keadaan dunia yang semakin tidak aman kenyataan Pope ini telah mengeruhkan lagi hubungan antara agama, khususnya Islam dan Kristian di seluruh dunia. Kekeruhan tersebut membuktikan pihak gereja harus lebih peka dan hendaklah menghentikan sebarang bentuk tindakan mahupun kenyataan yang boleh mewujudkan salah faham di kalangan masyarakat dunia dan di kalangan mereka sendiri.

Kami menegaskan Islam tidak tersebar melalui pedang tetapi menerusi komitmennya terhadap kebebasan, toleransi dan nilai-nilai akhlak yang tinggi. Meskipun kami menerima kenyataan maaf dari Pope, kami mendesak agar Pope mengeluarkan kenyataan yang benar dan jelas serta menarik balik ucapan yang di luar fakta tersebut.

Pada masa yang sama, kami meminta umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia untuk berlapang dada dengan kepercayaan-kepercayaan lain sebagaimana dituntut oleh Al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Kita seharusnya terus menekankan usaha penggalakan dialog agar dapat mewujudkan kefahaman antara satu sama lain. Dialog hendaklah dijalankan secara profesional berhemah dan bertanggungjawab.

Kami merayu agar seluruh rakyat Malaysia mengutamakan keamanan dengan mengelak dari melakukan sebarang bentuk hasutan yang akan mengakibatkan pertelingkahan antara agama dan kaum di negara ini. Sifat masyarakat majmuk kita dengan pelbagai bangsa dan agama sepatutnya dilihat sebagai satu kekuatan bagi mewujudkan kerjasama dan persefahaman dalam dunia yang semakin berpecah belah hari ini. Marilah kita bina negara Malaysia yang adil aman makmur dan sejahtera.

Dr Wan Azizah binti Wan Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat
Ahli Parlimen Permatang Pauh

Tuesday, September 19, 2006

Isu 92 Suara Keadilan Sudah Terbit!

 Langkah pertama KeADILan sebelum kuasai Malaysia

Tawan P. Pinang - Anwar

PENASIHAT KeADILan, Anwar Ibrahim berkata parti KeADILan kini benar-benar bersedia untuk menjadi
saingan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang.
“Kita cukup bersedia dan bersungguh-sungguh kali ini.
Tidak perlu sedu-sedan, tidak perlu sedih tentang cerita lama.

Demo tuntut permit Suara Keadilan

PULAU PINANG: Ahli KeADILan dari seluruh negara memberikan mandat kepada Ketua Penerangan parti Tian
Chua untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi menuntut permit Suara Keadilan yang dinafikan oleh
kerajaan Abdullah Ahmad Badawi.
Mandat besar tersebut diperolehi sebulat suara dalam Kongres Nasio-nal Ketiga yang diadakan di Hotel Equatorial di sini 3 September.

Tahniah Musa Hassan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Disember 1998

Fernando: Saya katakan kepada kamu tarikh pertuduhan dipinda kepada 1993 sebab bangunan (Tivoli Villa)
belum siap untuk diduduki?

Azizan: Saya tak tahu.

Fernando: Adakah anda setuju dengan cadangan saya tadi?

Azizan: Ya.

Bajet Defisit!

Ketidakcekapan k’jaan sebabkan kos urustadbir RM112 bilion - Wan Azizah

PRESIDEN KeADILan Wan Azizah Ismail menyifatkan Bajet yang dibentangkan Perdana Menteri selaku Menteri
Kewangan, Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini sebagai bajet defisit kerana belanjawan dan peruntukan
kewangan negara yang tidak seimbang.
Dan, menurut beliau defisit yang sudah lapan kali berturut-turut ini bukan saja merimaskan hati rakyat
terutama pembayar cukai, tetapi menunjukkan kelemahan ekonomi.

Sunday, September 17, 2006

Ulangtahun Hari Malaysia ke-43

Perutusan Dr Wan Azizah binti Wan Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat
dan Ahli Parlimen Permatang Pauh
Sempena Ulangtahun Hari Malaysia ke-43
16 September 2006

Pada 16 September 2006 genap 43 tahun penggabungan di antara Tanah Semenanjung dengan dua negeri di Borneo; Sabah dan Sarawak bagi mewujudkan Persekutuan Malaysia. Jangkamasa 43 tahun bukanlah satu jangkamasa yang pendek terutama jika mahu mengukur keberkesanan usaha-usaha yang dilakukan dalam mewujudkan intergrasi nasional yang mantap bagi negeri-negeri di dalam Persekutuan. Hakikatnya, apa yang kita lihat ialah jurang di antara Tanah Semenanjung dan kedua-dua negeri di Borneo ini tetap melebar khususnya dalam bidang ekonomi, pembangunan sosial, prasarana infrastruktur, budaya dan pendidikan.

Walaupun Sabah dan Sarawak memiliki sumber alam yang cukup kaya dan telah memberi sumbangan yang besar kepada pertubuhan ekonomi negara, namun mereka mendapat pembahagian kekayaan yang amat kurang. Pembangunan infrastruktur yang tidak seimbang di Sabah dan Sarawak telah menzalimi rakyat di sana dan menjadikan mereka kumpulan yang terpinggir akibat dari perlaksanaan dasar yang tidak adil dan budaya pentadbiran yang tidak telus Kerajaan Barisan Nasional.

Rakyat Sabah dan Sarawak terdiri dari pelbagai kaum dan etnik dan ia merupakan satu khazanah negara yang amat berharga. Suku kaum Iban Malanau Orang Ulu Khadazandusun Murut dan Bidayuh adalah antara suku kaum yang tinggi nilai budayanya. Malangnya tiada usaha-usaha yang serius dilakukan Kerajaan bagi mengembangkan penggunaan bahasa dan budaya kaum-kaum tersebut dan ia telah dengan sendirinya menjejaskan usaha-usaha mewujudkan integrasi nasional di antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur.

Sejak tahun 2000 Kerajaan telah menetapkan perayaan Hari Merdeka disambut mulai dari 31 Ogos hingga 16 September sebagai tanda pengiktirafan hari pembentukan Malaysia. Walau apapun, sambutan hari Merdeka seharusnya disambut bukan hanya untuk berpesta-pestaan apatah lagi untuk bermegah-megah dengan pembaziran. Sambutan Hari Merdeka, biar ia bersempena hari negara mencapai kemerdekaan, mahupun bersempena pembentukan Persekutuan Malaysia, sewajarnya turut menimbulkan rasa keinsafan dan semangat kemerdekaan yang tulin.

Justeru, Merdeka tidak bererti sepenuhnya jika ramai rakyat yang masih melarat, miskin dan tertindas. Apatah lagi jika rakyat masih dipecah-belahkan melalui pemisahan parti-parti politik berasaskan kaum, di samping perlaksanaan dasar-dasar tertentu yang membeza-bezakan antara kaum di kalangan rakyat Malaysia, maka nikmat Merdeka sebenarnya masih belum dikecapi.

Hari Malaysia tahun ini telah memberi makna yang sangat luar biasa kerana ia disambut dengan kesedaran yang tinggi rakyat terhadap peri pentingnya menentukan pentadbiran negara. Buat pertama kalinya barisan Parti Pembangkang berjaya mencapai keputusan yang menggalakkan di dalam pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Parti Keadilan Rakyat (keADILan) sendiri telah memenangi satu kerusi di DUN Padungan dan mendapat sokongan rakyat yang sangat menggalakkan di setiap kerusi yang ditandingi. Fenomena ini membuktikan bahawa rakyat Sarawak mahukan sebuah parti yang memperjuangkan hak rakyat tanpa mengira kaum, mengatasi batasan agama dan budaya. Pada masa yang sama ia juga menunjukkan bahawa parti perkauman telah mula tidak mendapat tempat di hati rakyat.

Manakala di Semenanjung pula kemasukan lebih dari 2000 orang kaum India baru-baru ini telah dengan lebih jelas menggambarkan keinginan rakyat yang mahukan pentadbiran negara diterajui oleh parti yang benar-benar melambangkan situasi sebenar porla penduduk negara. Begitu juga dengan kemasukan beramai-ramai kaum Khadazan dari Sabah telah membuktikan bahawa semangat Persekutuan telah mula dirasai di dalam keADILan.

Sempena ulangtahun Hari Malaysia ke-43, keADILan menegaskan sekali lagi Kerajaan hendaklah menghormati kehendak dan kepentingan rakyat Borneo. Asas utama pembentukan Persekutuan Malaysia ialah berdasarkan muafakat Kesatuan Negeri-negeri bagi memberi kesejahteraan kepada semua rakyat di dalam Persekutuan dan jangan hendaknya asas ini dianiayai.

KeADILan juga berpendapat Sabah dan Sarawak seharusnya mempunyai Pelan Induk Ekonomi tersendiri. Pelan itu hendaklah mengkhususkan kepada pembangunan bagi menjana peluang pekerjaan dalam mengatasi masalah pengangguran. Persetujuan 20 Perkara yang dimeterai semasa pembentukan Malaysia hendaklah dipatuhi dan dikotakan tanpa berdolak dalih lagi.

Saturday, September 16, 2006

Tun Dr M tewas dan Budaya Politik UMNO

Petikan daripada BLOG ANWARIBRAHIM 3.0

Umum mengetahui sikap saya terhadap Tun Dr M yang kini menjadi mangsa dasar dan pelakuan yang beliau semai tatkala berkuasa sekian lama. Tatkala berkuasa beliau mengetepikan isu hak dan prinsip dengan mendabik dada menegaskan bahawa individu tidak penting, dan yang harus dipertahankan adalah parti. Parti adalah segala-galanya, perpaduan UMNO bererti mentaati pemimpin yang dipilih........Dan inilah yang diulang saban kali hingga muak kami mendengarnya. Maka pudarlah sudah idealisme perjuangan, tidak berbangkit soal penyalahgunaan kuasa, penyelewengan malah pengkhianatan terhadap amanah perjuangan membela nasib bangsa dan mengangkat martabat negara. Kini senjata tersebut telah menikam Tun Dr M. Jarang berlaku pemimpin negara tersungkur di kubu sendiri, ditempelak oleh perwakilan Kubang Pasu. Yang dirayu bukannya untuk dipilih ke jawatan utama di peringkat bahagian tetapi satu dari tujuh wakil ka Persidangan Agung UMNO.

Saya memang mempertikaikan maksud TDM melakukan serangan bertubi-tubi terhadap PM Abdullah dan merasa aneh kalangan yang memilih untuk bersekongkol dengan beliau. Ini justeru kerana beliau masih pertahankan segala kedurjanaan yang dilakukan semasa berkuasa tanpa sedikit pun tawadduk, memohon maaf terhadap keterlanjuran. Dan tatkala beliau menyerang PM Abdullah, nada dan lagaknya begitu angkuh mempertahankan kebebasan bersuara, membanteras rasuah!

Kendatipun begitu kita harus menghormati hak TDM menyatakan pandangannya. Kesilapan besar yang dilakukan oleh PM Abdullah adalah kerana menggunakan kuasa, media dan jentera Kerajaan menghalang TDM dari bersuara. Dan lebih parah lagi manakala Abdullah gagal memberikan jawapan benar dan meyakinkan. Dasar dan tindakan hanyalah mengulangi cara kasar menekan kebebasan bersuara dan memperbodohkan rakyat.

Maka meskipun saya menjangka bahawa TDM mungkin saja akan dapat bertapak di Kubang Pasu sebagai wakil, senjata yang digunakan dahulu termasuk sogokan wang telah membenam harapan beliau. Manakala ini berlaku, budaya yang disemai beliau sekian lama telah berakar dalam UMNO. Dan budaya yang dimaksudkan adalah penyembahan kuasa dan wang, tidak lagi cita-cita murni perjuangan, atau kesopanan dan nilai akalbudi.

Perkembangan ini akan membantu mematangkan fahaman kita mengenai politik dan budaya. Kita sedang menyaksikan pertarungan dua tokoh yang saling mendedahkan kezaliman, nepotisme dan rasuah masing-masing. Tindakan kita yang paling waras dan bijak ialah merangka gagasan politik dan budaya politik baru. Amat malang seandainya sebahagian kita merasakan terdesak dan berhelah untuk berkiblat kapada mana-mana gerombolan yang tidak bersedia dengan tegas menolak kezaliman dan rasuah.

- Anwar

Tuesday, September 12, 2006

KeADLan lancar peperangan dengan SPR

Oleh: Faisal Mustaffa

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) melancarkan peperangan dengan mendesak Pengarah Pilihan Raya Malaysia, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman meletakkan jawatan.

Presiden Parti, Dr Wan Azizah berkata keADILan telah mengumpulkan bukti yang cukup agar Pengerusi SPR meletakkan jawatan serta-merta.

Angkatan Muda KeADILan yang bersidang pada 1 September lalu juga mengusulkan perkara yang sama dan perkara itu dibawa ke perwakilan seluruh Negara tanpa bahas.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mengingatkan bahawa perlantikan Ahli Suruhanjaya termasuk Pengerusi dan Setiausaha SPR mestilah dipilih dari kalangan individu yang mendapat kepercayaan orang awam dan bukan dari kalangan pegawai-pegawai pentadbir, sama ada yang sudah bersara atau masih berkhidmat, yang bertanggungjawab terus kepada Ketua Setiausaha Negara.

“Kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan yang mencukupi supaya pegawai-pegawai yang dilantik oleh SPR untuk mengendalikan pilihanraya bukan dari kalangan Pegawai-Pegawai Daerah, katanya.

Menurut beliau dalam pembentangan bajet 2007 pada 7 September lalu, perjalanan pilihan raya di Malaysia begitu tempang sehingga menjejaskan nilai demokrasi.

“Pros es pilihan raya di negara ini tidak bebas dan tidak adil dan kelemahan ini mencemar makna demokrasi,” katanya.

Menurut Azizah, Rashid perlu meletakkan jawatannya kerana tahap demokrasi di Malaysia semakin merosot jika dibandingkan dengan negara-negara yang menjadi contoh demokrasi di negara membangun seperti di Turki, India dan Indonesia, yang semakin subur.

Justeru, sewaktu Kongres Nasional Tahunan KeADILan 2 September lalu, beliau telah merasmikan buku laporan yang bertajuk “The Democratic Deficit in Malaysia : A Report on Malaysian Elections”.

Laporan tersebut dilengkapi dengan bukti-bukti kukuh bagi mendedahkan penyelewengan dan penipuan serta kelemahan-kelemahan dalam sistem pilihanraya di Malaysia. Laporan tersebut telahpun dihantar kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, 29 Jun 2006 lalu.

KeADILan dalam kertas cadangannya mencadangkan agar peruntukan diberikan kepada SPR agar dapat memperkenalkan penggunaan dakwat kekal (indelible ink) bagi mengenal mereka yang sudah mengundi.

Penggunaan dakwat kekal itu, menurut Azizah akan mengatasi keraguan dalam pengundi yang mengundi dua kali.

India, sebuah negara yang mempunyai penduduk seramai lebih satu bilion sudah pun mempunyai rekod pengurusan pilihanraya yang kemas dan baik di dunia, telahpun menggunakan sistem ini secara menyeluruh dan ternyata berkesan.

KeADILan juga mencadangkan agar SPR menggunakan peti undi yang lut sinar untuk menjamin kesahihan semasa proses pembuangan dan juga pengiraan undi.

Bagi menunjukkan keseriusan dalam memastikan sistem demokrasi di negara ini terjamin, keADILan telah memperkenalkan satu sistem perisian komputer yang mana melalui sistem ini semua data Pilihanraya dapat dianalisis secara saintifik dan sistematik. Ia juga dilancarkan semasa Kongres mereka dan sebuah jawatankuasa dibentuk di setiap peringkat parti dalam memberi penerangan mengenai penggunaan perisian tersebut.

Sistem perkomputeran tersebut berupaya untuk membersihkan daftar pengundi dan mengesan penyelewengan dan penipuan seperti pengundi hantu, pengundi yang telah meninggal dunia, pengundi yang terlalu tua; berusia 90 sehingga 122 tahun, pengundi yang tidak mempunyai saluran, pengundi yang menggunakan alamat palsu dan pengundi yang tiada Kad Pengenalan Baru.

Melalui sistem itu, keADILan telah berjaya mengesan sejumlah 223,950 orang pengundi di Selangor yang tidak mempunyai Saluran. KeADILan juga berjaya mengesan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pahang, jumlah pengundi yang berumur 90 tahun hingga 122 tahun berjumlah hampir 18,000 orang dan jumlah dan seramai hampir 50,000 orang lagi tidak memiliki kad pengenalan baru.

Sistem itu didakwa mampu mengesan penipuan dan penyelewengan serta kaedah-kaedah penyelewengan, misalnya pengeluaran jumlah kertas undi yang berbeza bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang terletak di Parlimen yang sama.

Jawatankuasa yang dipertanggungjawab untuk meneliti pemalsuan demokrasi itu juga telah berjaya mengesan “Daerah Mengundi Hantu” di Selangor.

Sistem tersebut juga mampu mengesan pengundi-pengundi yang menggunakan alamat palsu seperti menggunakan alamat yang bercirikan pangsapuri sedangkan tidak wujud sebarang bangunan tinggi di Daerah Mengundi berkenaan.

Saturday, September 09, 2006

Ucapan Perbahasan Bajet 2007 oleh Dr Wan Azizah (MP Permatang Pauh)

BAJET DEFISIT 2007

PENGENALAN

Kita baru saja menyambut perayaan Hari Kemerdekaan ke 49 seminggu yang lalu. Bajet yang dibentangkan Perdana Menteri saya percaya di selami juga dengan semangat Hari Kemerdekaan dan disertai azam untuk melakukan perubahan kepada tahap pencapaian negara di dalam segala aspek kehidupan rakyat serta terhadap sistem pemerintahan negara sebagai sebuah negara merdeka. Ucapan Hari Kemerdekaaan PM juga amat menekankan peri pentingnya rakyat Malaysia menghargai usaha para pejuang kemerdekaan terdahulu dengan memelihara jati diri dan elemen penting negara agar tidak dicemari dengan sentimen tidak bertanggung jawab.

Ditambah pula dengan keadaaan dunia yang semakin tidak aman dimana kita telah menyaksikan bagaimana kuasa besar Amerika Syarikat secara rakus menceroboh negara Iraq yang telah mengakibatkan semakin rancaknya kegiatan keganasan dunia. Tindakan Israel memerangi Wilayah Lebanon lebih memburukkan keadaan yang mana ia telah membawa kemusnahan dan pertumpahan darah yang dahsyat terutama kepada wanita dan kanak-kanak. Kita konsisten menolak dan mengecam sebarang bentuk penaklukan dan penindasan kuasa asing terhadap mana-mana negara yang merdeka dan kita juga mengecam segala bentuk terrorisme meskipun ia dilakukan atas dasar agama, tamaddun mahupun keselamatan antarabangsa.

Malangnya, meskipun PM menyatakan kegusaran beliau terhadap suasana dunia yang tidak aman tersebut dan dalam keadaan sebak merayu rakyat Malaysia memelihara keharmonian negara, pada masa yang sama rakyat menyaksikan bagaimana pergolakan di dalam pimpinan kerajaan pada tahap yang merimaskan. Rakyat juga kesal ada pihak-pihak yang cuba mewujudkan sentimen ketegangan kaum walau kita percaya tindakan beliau bukan atas dasar kecintaan yang tinggi terhadap kaumnya tetapi adalah semata-mata mahu menutup keaiban diri dan penyelewengan yang dilakukan. Kita kesal kerana golongan ini sanggup meletakkan keharmonian rakyat sebagai batu galas dan ternyata tindakannya benar-benar memalukan pimpinan hari ini.

Perjuangan berbentuk adu domba sudah tidak mendapat tempat di hati rakyat hari ini. Rakyat mahukan pentadbiran yang benar-benar jujur dan berpaksikan kepada ungkapan sejarah seperti: untuk menegakkan perpaduan, pembebasan dan persamaan dan membentuk pemerintahan daripada rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat .

Izinkan saya ungkapkan semula kata-kata salah seorang pejuang kemerdekaan Dr Burhanuddin suatu ketika dahulu;

Di atas robohan Kota Melaka

Kita dirikan jiwa merdeka.

Bersatupadulah seluruh baka

Membela hak keadilan pusaka!

Tan Sri Yang Dipertua,

Malaysia mencapai kemerdekaan kerana muafakat antara kaum dan kita bersyukur kerana dapat menyambut ulangtahun kemerdekaan pada setiap tahun. Saya prihatin bahawa rakyat di Sabah dan Sarawak lebih senang untuk menerima tarikh penggabungan mereka ke dalam Malaysia pada 16 September 1963. Walau apapun, sambutan hari Merdeka seharusnya bukan hanya untuk berpesta-pestaan jauh sekali untuk bermegah-megah dengan pembaziran. Makna "Merdeka" harus menimbulkan keinsafan dan semangat kebebasan.

Memang rakyat boleh bergembira dan berbangga mengibarkan bendera. Tetapi kita harus menyedari Merdeka seharusnya dinilai dari skop penghayatan yang lebih luas. Justeru, Merdeka tidak bererti sepenuhnya jika ramai rakyat yang masih melarat, miskin atau ditindas. Begitu juga jika rakyat masih dipecah-belahkan melalui pemisahan parti-parti politik berasaskan kaum, di samping perlaksanaan dasar-dasar tertentu yang membeza-bezakan antara kaum di kalangan rakyat Malaysia, nikmat Merdeka sebenarnya masih belum tercapai.

Saya lihat, selagi muafakat Merdeka tidak dihayati, selagi semangat penting dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak dihormati, selagi itulah rakyat menjadi tidak karuan, resah gelisah dan bercakaran sesama sendiri. Justeru, di dalam mempertahankan kedaulatan negara harus disertai dengan kesedaran dan cita-cita untuk menegakkan keadilan tanpa batasan kaum dan agama serta memberi ketuanan kepada rakyat.

MENEGAKKAN MASYARAKAT MADANI

Masyarakat yang cuba kita bina hendaklah masyarakat yang berasaskan kepada prinsip akhlak dan pemerintahan berlandaskan hukum. Kita hendaklah berusaha menyemai benih kebebasan, menyuburkan kemerdekaan diri, memulangkan nilai keperimanusiaan serta membajai sikap berlapang dada.

Kita akui kekuasaan perlu diamanahkan kepada pihak berwibawa yang dipilih secara demokrasi, bukannya dalam genggaman seorang individu. Demokrasi yang dilaksanakan secara saksama, dengan memberi pertimbangan kepada segala kenyataan sosial dan politik, akan menjamin keteraturan dan kestabilan kerana ia memberi ruang untuk meluahkan keluhan dan ketidakpuasan. Isu yang diperselisihkan pula didebatkan secara terbuka. Justeru, demokrasi akan menghalang nafsu serakah dari meledak.

Sdr Anwar Ibrahim pernah mengungkapkan : Masyarakat Madani adalah suatu masyarakat dengan sistem sosial yang subur, cekap dan saksama, berpaksikan prinsip moral, keseimbangan antara kebebasan perseorangan dan kestabilan masyarakat yang mendorong daya usaha dan inisiatif individu, serta pemerintahan yang mengikut undang-undang.

INTEGRASI NASIONAL

Akhir-akhir ini ketegangan kaum nampaknya cuba diperkuatkan oleh ketegangan pandangan tentang beragama dan hak memilih agama. Pandangan yang dilontarkan telah dilakukan secara terbuka dan penuh emosi oleh golongan tertentu. Kita seharusnya merai sebarang bentuk usaha mewujudkan perbincangan tetapi dengan cara yang sederhana, rasional dan penuh tanggungjawab. Perbincangan untuk mencari kebenaran, atau sekurang-kurangnya persetujuan pandangan tidak harus disekat dengan arahan apatah lagi ugutan.

Kami berpendapat, perpaduan sebenarnya mestilah berteraskan kepada nilai keadilan serta nilai-nilai universal bersama yang disuburkan dalam suasana kebebasan dan hormat-menghormati. Kuasa yang ada seharusnya digunakan untuk mengukuhkan nilai-nilai moral yang murni dan bukannya untuk kekuatan dan kemegahan. Persoalan nilai moral atau akhlak sewajarnya menyanjungi semua spektrum dalam kehidupan dan peradaban manusia.

Kita prihatin dengan hubungan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur yang walaupun usia Persekutuan Malaysia telah mencecah 43 tahun namun jurang dari segi ekonomi, pembangunan sosial, kebudayaan dan pendidikan masih melebar. Meskipun Sabah dan Sarawak banyak menyumbang sumber kekayaan alam dan pertumbuhan ekonomi namun pengagihan kekayaan kepada negeri–negeri tersebut masih rendah. Walaupun Sarawak adalah negeri pengeluar petrol dan gas tetapi Sarawak merupakan negeri yang paling ramai rakyat termiskin. Tindakan kerajaan menaikkan harga petrol kononnya untuk pembangunan pengangkutan awam telah mendiskriminasi rakyat Sarawak yang bukan sahaja pengeluar petrolium tetapi terpinggir pula dari pembangunan infrastruktur.

Pembangunan infrastruktur yang tidak seimbang di Sabah dan Sarawak telah menzalimi rakyat di sana. Kita juga berpendapat Sabah dan Sarawak seharusnya mempunyai Pelan Induk Ekonomi tersendiri. Pelan Induk tersebut hendaklah mengkhususkan kepada pembangunan negeri masing-masing bagi menjana peluang pekerjaan dalam mengatasi masalah pengangguran di sana.

Tan Sri Yang Dipertua,

KEADILAN SOSIO-EKONOMI

Belanjawan 2007 yang dibentangkan oleh PM harus di diselidiki dengan teliti dengan melihat perkembangan global. Ekonomi dunia sedang menyaksikan tempoh pertumbuhan yang belum pernah dilihat sebelum ini. Sebab utamanya ialah pertumbuhan pesat di China, India dan Russia. Tetapi ada risiko yang semakin mencabar akhir-akhir ini. Risiko utamanya berpunca dari ketidakimbangan akaun semasa antara ekonomi-ekonomi utama dunia dan ancaman peningkatan harga minyak yang lebih serius lagi berikutan konflik di Timur Tengah dan kapasiti pengeluaran lebihan yang terhad.

Inflasi semakin menjadi faktor yang harus diambil kira dengan prospek peningkatan kadar faedah dunia yang berterusan. Pasaran kewangan menjadi semakin tidak stabil dan ada persepsi risiko telah bertambah di dalam sistem sejagat. Perbincangan perdagangan Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) telah digantung, menjadikan prospek Rundingan Doha yang berjaya lebih sukar untuk dicapai. Selagi risiko ini terus wujud, kestabilan dan pertumbuhan dunia terus terancam.

Pelancaran RMK-9 baru-baru ini gagal memacu pertumbuhan ke tahap mampan. Peniaga, pengilang dan kontraktor mulai mengalami kesusahan. Indeks utama, termasuk indeks pengeluaran, secara umumnya tidak meningkat. Pertumbuhan Penggunaan Persendirian ( Private Consumption Growth ) telah berkurangan kepada 7.5 peratus pada suku pertama tahun ini, dari 9.0 peratus pada suku ke empat tahun 2005.

Dalam keadaan ekonomi yang lembab sedemikian, kerajaan pula telah menaikkan harga minyak dan menaikkan tarif elektrik sebanyak 12 peratus. Kadar inflasi menunjuk kepada 4.6 peratus indeks pengguna teratas, meskipun indeks sebenar bagi harga barang keperluan adalah lebih tinggi lagi. Secara tunasnya kadar faedah sebenar telah menjadi negatif dengan kadar inflasi yang lebih tinggi. Keadaan ini pastinya menekan kehidupan rakyat, terutama pegawai kerajaan, pekerja kilang, petani, peladang dan nelayan. Sementara itu kadar pengangguran terus meningkat, malah pengangguran di kalangan siswazah telah mencecah 60, 000 orang.

Sejak krisis kewangan 1997, Malaysia sampai hari ini pun belum mampu pulih sepenuhnya, apatah lagi untuk bangkit bersaing dengan negara-negara lain seperti Korea Selatan, Taiwan, China dan India. Kita semakin tertinggal jauh, terutama apabila dibanding pendapatan per-kapita dan diukur dengan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin.

Laporan Pembangunan Manusia (Human Development Report) dua tahun lalu menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai jurang pendapatan antara golongan kaya-miskin yang paling lebar berbanding dengan negara-negara serantau. Nisbah perbezaan antara kaya-miskin di Malaysia ialah 22.1% manakala di Singapura 17.7%, Filipina 16.5%, Thailand 13.4% dan di Indonesia 7.8%.

Di dalam pembentangan perbahasan RMK 9 yang lalu saya telah membentangkan satu agenda ekonomi yang cukup tuntas, yang dikenali sebagai Agenda Ekonomi Baru [AEB] bagi menggantikan Dasar Ekonomi Baru [DEB] yang jelas gagal mencapai matlamat sepenuhnya; gagal bukan sahaja membantu meningkatkan pencapaian ekonomi orang Melayu tetapi tidak releven untuk menjadi pemangkin dalam menjana ekonomi negara keseluruhannya.

Semangat dan roh DEB telah dikhianati apabila ia ditunggangi oleh segelintir elit politik dan ekonomi yang bersekongkol untuk memunggah kekayaan negara. Atas nama Bumiputera, segelintir korporat kroni dan pemimpin politik pemerintah menjadi kaya raya. Penumpuan kekayaan di kalangan mereka menimbulkan jurang sosio-ekonomi semakin buruk. Namun, pemimpin parti pemerintah masih menyebarkan propaganda dengan menanam kebimbangan di kalangan rakyat bahawa nasib orang Melayu akan lebih buruk sekiranya DEB dihapuskan.

Saya tegaskan sekali lagi di sini, sasaran 30% penguasaan ekonomi oleh Bumiputera dalam DEB ternyata gagal, kerana walaupun telah dilaksanakan selama 36 tahun kita hanya mencapai setakat 18% sahaja. Harapan di dalam DEB indah di atas kertas tetapi kenyataannya sangat buruk sekali. DEB nampaknya lebih berjaya mematikan hasrat untuk melahirkan peniaga dan pengusaha yang tulen. Selain itu ia melebarkan lagi jurang pendapatan di antara wilayah, di antara kaum dan juga dalam tiap-tiap kaum, khususnya Melayu.

Mengenai kemiskinan pula, kadar kemiskinan diakui sudah menurun, tetapi jurang di antara miskin-kaya, sebagaimana yang dinyatakan lebih awal, semakin melebar. Sebenarnya, jika garis kemiskinan dinaikkan mengikut taraf hidup terkini dan tidak dibekukan pada garis yang lama, kadar kemiskinan sebenar tidak akan serendah yang ditunjukkan sekarang.

Kemiskinan tidak mengenal kaum. Justeru, segala rancangan untuk membanteras kemiskinan hendaklah dilakukan secara adil dan ini dinyatakan secara tegas di dalam Agenda Ekonomi Baru. Orang Melayu usah gusar dengan propaganda bahawa tanpa DEB Melayu akan terpinggir kerana kenyataannya 70% golongan miskin adalah orang Melayu. Agenda Ekonomi Baru akan menumpukan bantuan kepada golongan miskin ini dan ia melampaui batasan kaum. Nasib orang miskin bukan Melayu akan tetap dibela. Di sinilah konsep "Kepedulian Rakyat" atau konsep "Ekonomi yang Manusiawi" seharusnya diperkenalkan dan laksanakan.

Tan Sri Yang Dipertua,

Bajet Defisit 2007 menyaksikan bagaimana belanjawan dan peruntukan kewangan negara yang tidak berimbang. Sudah lapan tahun bajet yang dibentangkan adalah bajet defisit dan ia telah merimaskan hati rakyat terutama pembayar cukai kerana ia juga menunjukkan bahawa negara ini masih tidak berdaya untuk keluar dari kelembapan ekonomi setanding dengan beberapa negara yang pada tahun 1980-an dan 90-an berada sebaris dengan Malaysia.

Saya tegaskan di sini, dalam keadaan pendapatan negara yang menguncup dan pertumbuhan ekonomi lembab, adalah menjadi aspek utama untuk kerajaan berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat. Namun perkara ini gagal dilakukan kerajaan hari ini berdasarkan bajet yang baru dibentangkan. Apa yang kita lihat kos mengurus dan mentadbir negara telah meningkat sekali ganda sejak tiga tahun kebelakangan ini iaitu mencecah lebih 100 billion ringgit. Bajet 2007 pula telah memperuntukkan kos urustadbir negara meningkat sebanyak 10% untuk menjadi 112 Billion Ringgit. Ini bermakna, meskipun kutipan meningkat 10% ia masih belum mampu menampung kos pengurusan. Akhirnya peruntukan untuk pembangunan tidak dapat dilaksanakan. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan setiap Ringgit yang dikutip dari rakyat hendaklah dibelanjakan bagi kepentingan rakyat.

Saya prihatin dengan ayat al Quran yang dipetik PM semasa membentangkan bajet. Namun saya juga ingin mengingatkan kita semua akan ayat 26 dan 27 surah al Isra' antara lain berbunyi;

"Berikanlah kepada karib kerabatmu hak masing-masing dan kepada orang miskin, dan orang musafir dan janganlah engkau membazir. Sesuingguhnya orang-orang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu amat ingkar akan Tuhannya.."

Kita menggesa kerajaan menghentikan gaya pengurusan ekonomi secara boros dengan peruntukan yang sangat besar diberikan kepada acara pesta dan keraian. Begitu juga belanjawan yang amat tinggi digunakan bagi tujuan pengiklanan misalnya ketika memperkenalkan Tahun Melawat Malaysia. Memang kita mahukan pulangan dari industri pelancongan tetapi keADILan merasakan ada cara lain untuk mendapatlkan pulangan tersebut. Kerajaan seharusnya memberikan insentif dan pengecualian cukai kepada industri pelancongan dan ejensi pelancongan swasta yang berjaya membawa kemasukan pelancong dengan ramai. Begitu juga insentif boleh diberikan kepada syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa seperti Emirates yang berjaya membawa sejumlah pelancong yang menggunakan penerbangan mereka dengan mengecualikan yuran pendaratan (landing fee). Dengan cara ini, tanpa mengeluarkan modal 520 juta ringgit untuk pengiklanan, negara masih mampu mendapat imbuhan dari sektor pelancongan. Ini adalah contoh kecil yang mahu saya kongsi bersama sidang sekelian.

Kenyataan PM bahawa misi Belanjawan 2007 seiring dengan misi nasional untuk meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai yang tinggi tidak terlaksana dalam bajet 2007. Fokus belanjawan lebih mengutamakan pembangunan hartanah yang akan menghasilkan ribuan rumah kediaman, rumah kedai dan kompleks perniagaan yang belum pasti akan ada pembelinya.

Apa yang saya khuatirkan ialah akan wujud lambakan bangunan tanpa ada yang membelinya. Akan bertambah besarlah masalah projek terbelengkalai dan sekali gus akan menekan para pemaju dan kontraktor. Di dalam Dewan ini saya tegaskan, jangan sampai terjadinya keadaan dimana kerajaan pula terpaksa membuat "bailout" terhadap para pemaju dengan membeli atau menyewa bangunan-bangunan tersebut kerana ia akan menambahkan lagi kos dan tanggungjawab kerajaan dan penyalahgunaan wang kutipan cukai dari rakyat.

Bajet 2007 juga tidak menawarkan penyelesaian kepada permasalahan para kontraktor hari ini yang kebanyakannya gulung tikar kerana kegagalan kerajaan membuat bayaran ke atas kerja-kerja yang telah mereka lakukan. Utusan Malaysia pada 26hb Ogos lalu telah melaporkan seramai 18,000 kontraktor dan sub kontraktor yang masih menunggu bayaran dari kerajaan dengan jumlah tertunggak melebihi RM23.7 Billion sejak tahun 2000 hingga 2006. Perkara ini amat serius kerana jika gagal ditangani segera bakal memberi malapetaka kepada industri pembinaan khususnya dan ekonomi negara amnya.

Bajet 2007 juga tidak menyentuh mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas ( FTA ) meskipun ia sedang rancak dibincangkan oleh Kerajaan Malaysia dengan kerajaan Amerika Syarikat. Kita bukan anti atau menentang perdagangan bebas ini tetapi kita mahu mengingatkan kerajaan agar memastikan perjanjian yang ditandatangani itu adalah perjanjian yang tidak berat sebelah dan adil " Fair Trade". Nampaknya kerajaan agak tergesa-gesa di dalam perjanjian ini dan butiran perjanjian tidak pula dibincang dengan pihak-pihak tertentu seperti Kesatuan Sekerja, para pengusaha dan Kesatuan-kesatuan Perniagaan.

Kita maklum FTA pasti akan memberi impak atau kesan mendalam kepada sektor utama negara iaitu sektor pembuatan. Pembangunan ekonomi mesti selaras dengan memberi penekanan kepada peluang pekerjaan dan suasana bekerja yang bertambah baik. Kebajikan pekerja harus diutamakan di dalam syarat FTA dan apa-apa perjanjian berkenaannya. Saya khuatir apa yang berlaku kepada kepada negara jiran seperti Korea Selatan dan Thailand di mana sektor pertanian negara tersebut terkesan teruk akibat perlaksanaan FTA. Ini memandangkan kebanyakan penduduk luar bandar di Malaysia adalah para petani. Kerajaan harus menyediakan rangkaian berbentuk perlindungan untuk memastikan pihak-pihak yang mendapat kesan langsung FTA dapat dilindungi. Kerajaan juga harus memberi pendidikan kepada rakyat akan buruk baik perlaksanaan FTA agar rakyat lebih bersedia menghadapinya. Adalah lebih bijak sekiranya perbincangan secara ilmiah dan komersial dapat diadakan dengan golongan pekerja, industri dan pakar-pakar ekonomi. Apapun yang ingin dilakukan kerajaan, kesejahteraan rakyat harus menjadi asas utama dan penentu tindakan.
Belanjawan 2007 juga tidak mempunyai program-program yang berkesan untuk menarik pelabur langsung ( dengan izin "Foreign Direct Investment") yang mana ia merupakan elemen penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. Bajet 2007 tidak memberi panduan dan arahtuju kepada pelabur luar tentang bidang pelaburan yang menjadi fokus negara yang boleh mereka diceburi. Contohnya jika kerajaan serius di dalam mengembangkan industri pertanian, maka harus di nyatakan prospek menarik di dalam bidang ini seperti kemudahan prasarana dan insentif yang disediakan kerajaan kepada pelabur agar dapat memberi tarikan para pelabur.

Bajet 2007 juga tidak menyediakan garis panduan dan penekanan kepada bank-bank dalam negara agar bersifat lebih "Mesra Rakyat". Tidak terdapat juga usaha-usaha dari kerajaan untuk menyediakan program pendidikan kewangan seperti Khidmat Nasihat Kewangan dengan izin "Financial Advisory". Perkara ini amat penting kerana hari ini ramai rakyat yang terjebak dengan kegiatan 'along' dan pemberi wang tanpa lesen yang tidak bertanggungjawab hingga bukan sahaja mengakibatkan perniagaan peminjam terpaksa ditutup malah ada kes menunjukkan hingga mengorbankan nyawa peminjam dan ahli keluarga mereka.

Tan Sri Yang Dipertua,

REFORMASI PENDIDIKAN

Pendidikan adalah salah satu institusi penting untuk membawa perubahan. Walaupun sistem pendidikan negara mempunyai potensi besar tetapi malang sekali keadaannya semakin buruk. Sebabnya ialah dasarnya sudah kehilangan arah tuju dan perlaksanaannya tidak memuaskan. Akibatnya mutu pendidikan di semua peringkat semakin merosot.

Kerajaan berada dalam keadaan keliru dan kusut untuk membangunkan Sistem Pendidikan Nasional. Memang menteri-menteri sering bercakap kononnya kerajaan serius di dalam bidang pendidikan tetapi pada masa yang sama, peruntukan di dalam bidang Pendidikan Rendah di dalam RMK-9 jauh lebih rendah dari RMK-8.

Kita tidak faham mengapa tiba-tiba Kerajaan boleh menambah peruntukan bagi bidang ketenteraan tetapi mengurangkan kira-kira RM300 juta peruntukan Pendidikan Rendah. Kajian oleh sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ( PBB ) menunjukkan bahawa perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia untuk pendidikan peringkat rendah secara purata adalah lebih rendah daripada perbelanjaan yang dikeluarkan oleh negara-negara di Afrika.

Jelasnya, masih ada sekolah-sekolah rendah di negara ini yang pencapaian peperiksaan dan UPSRnya masih di tahap yang mengecewakan . Dalam satu kajian oleh Persatuan Guru-guru Malaysia, lebih 100,000 murid tahun satu tidak boleh menulis dan membaca dengan baik dalam Bahasa Malaysia, apatah lagi dalam Bahasa Inggeris. Dasar Pembelajaran Bahasa Inggeris bagi subjek Matamatik dan Sains ternyata gagal , terutama di kalangan murid kawasan luar bandar. Angka 100,000 itu tidak dicampur lagi dengan generasi pertama yang menjadi tikus putih kepada eksperimen dasar itu. Namun amat mendukacitakan kerana kerajaan masih belum mahu berganjak dengan keputusan tersebut dan sanggup memperjudikan masa depan dan nasib anak bangsa.

Kesan dari dasar dan perlaksanaan Kerajaan yang tidak tegas terhadap kepentingan bahasa ibunda, Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan seolah-olah dipandang "hina" di tanahair sendiri. Pepatah yang menyatakan "bahasa, bunga bangsa" tidak menggambarkan keadaan sebenar kedudukan Bahasa Malaysia di Malaysia hari ini. Kita mahu kerajaan memandang serius perkara ini dan memastikan penggunaan dan pengajaran bahasa-bahasa ibunda lain dapat ditingkat dan dikembangkan di sekolah-sekolah seluruh negara.

Kita sedar akan kepentingan Bahasa Inggeris, sebagaimana juga kita sedar akan kepentingan bahasa-bahasa lain dunia seperti bahasa Arab, Peranchis. Kami berpendapat, dalam soal meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, adalah sangat perlu kita memperkenalkan semula pembelajaran dan pengajaran matapelajaran Bahasa Inggeris kepada murid-murid sejak di Tahun Satu lagi. Bahkan pada peringkat lebih tinggi pula kita harus menggalakkan pembelajaran Sastera Inggeris.

Begitu juga dengan bahasa-bahasa dunia lainnya. Semua ini perlu dilakukan tetapi tidak dengan mengorbankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perantara (lingua franca) yang diterima sebagai Bahasa Kebangsaan.

Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana menghapuskan yuran peperiksaan melalui Bajet 2007. Tetapi itu bukan penyelesaian yang sebenar bagi penurunan mutu pembelajaran dalam negara. Apa yang kita utamakan ialah kualiti pendidikan yang mengalami kemerosotan yang amat membimbangkan.

Penubuhan universiti-universiti baru juga bukanlah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi Pusat Pengajian Tinggi negara. Tambahan pula, ia juga akan meningkatkan lagi jumlah pengangguran di kalangan siswazah. Apa yang menggusarkan kita adalah mutu universiti-universiti tempatan dan juga graduan-graduan yang dikeluarkannya secara umum semakin menurun. Menurut kajian "LLM Guide" pada bulan September 2006 menunjukkan kemerosotan mutu "School of Law" di Universiti Islam Antarabangsa dari no. 198 pada tahun 2005 kepada no. 349 pada tahun 2006 bagi seluruh Universiti di dunia. Manakala menurut "Time Higher Education Guide" pula menunjukkan kemerosotan Universiti Malaya di dalam ranking dunia dari tahap 89 pada tahun 2004 kepada tahap 169 pada tahun 2005. Kemerosotan mutu universiti ini antara lainnya disebabkan oleh hilangnya autonomi Universiti dalam negara kerana gagal bertindak sebagai pusat ilmu yang tulen.

Campurtangan politik juga adalah punca utama kemerosotan mutu ini. Perlantikan pegawai-pegawai penting Universiti ditentukan pada dasar politik dan mengakibatkan pegawai ini gagal memberi pimpinan akademik secara yang berkesan. Perlantikan bagi jawatan-jawatan akademik juga tidak berdasarkan kecemerlangan akademik. Keadaan menjadi lebih rumit apabila wujud pelbagai undang-undang dan pekeliling yang mengongkong fikiran bagi menimbulkan psikologi takut di kalangan pelajar dan tenaga pengajar untuk mengeluarkan pandangan dan menghasil karya yang benar-benar bersifat akademik.

Perlu saya saya tegaskan bahawa sistem pendidikan negara, di semua peringkat, menghadapi pelbagai masalah dari segi mutu, bahasa, kurikulum, kecekapan penuntut, dedikasi guru, peruntukan kewangan, kelakuan anti-sosial, malah rasuah juga makin berleluasa. Kita mengalu-alukan pembinaan Universiti baru, namun pada masa yang sama kita harus cuba memikirkan bagaimana kita boleh membina ( dengan izin) "software" dan bukan sahaja menumpu kepada "Hardware".

Negara hari ini memerlukan Reformasi Pendidikan secara menyeluruh. Kajian secara mendalam serta penuh tanggungjawab mesti dilakukan segera. Kajian ini hendaklah dilakukan oleh sebuah Suruhanjaya bebas serta berwibawa, yang dianggotai oleh wakil-wakil dari pelbagai golongan, aliran, kepentingan dan latar belakang.

Tan Sri Yang Dipertua,

KESIHATAN HAK SEMUA

Sebagai rakyat sebuah negara yang merdeka adalah menjadi hak mutlak rakyat untuk mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan. Perkara ini diakui oleh Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Malaysia menandatangani deklarasi ini. Oleh itu, dengan mengukur pendapatan isi rumah yang masih rendah, penswastaan hospital buat masa ini adalah dasar yang menzalimi rakyat. Kita tegas menolak cadangan ini.

Dasar kita sepatutnya menjurus kepada memberikan rawatan dan penjagaan kesihatan pada kadar bayaran yang paling minima kepada rakyat. Kita boleh menyumbang kepada sektor "pelancongan kesihatan" ( health tourism) untuk menjadikan negara ini destinasi hospital dunia. Hospital swasta boleh didirikan dengan kualiti lima-enam bintang untuk menjadikan negara memperolehi keuntungan dari warga asing yang mahu mendapat perkhidmatan rawatan di sini.

Pada masa yang sama, kita harus melahirkan doktor dan doktor pakar yang lebih ramai, yang boleh berkhidmat di hospital-hospital awam. Masalahnya ialah bagaimana hendak memastikan mereka tidak akan berhijrah ke luar negara atau kepada sektor swasta selepas beberapa waktu. Justeru, insentif dan galakan yang sejajar dengan kepakaran mereka harus difikirkan secara serius. Ini termasuk memanggil rakyat Malaysia yang sedang bertugas di luar negara untuk kembali dan bertugas di dalam negara. Di sinilah sebenarnya kewibawaan dan kebijaksanaan kerajaan hari ini terukur dan bajet 2007 gagal memberi perhatian kepada perkara ini.

Masalah kos perubatan menjadi lebih teruk apabila penswastaan ubat-ubatan dilaksanakan. Hari ini pengamal perubatan swasta telah dihimpit apabila kerajaan mewajibkan prasarana yang membebankan di klinik-klinik swasta. Peraturan kerajaan tersebut akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat kerana para pengamal perubatan swasta terpaksa menaikkan yuran perkhidmatan mereka demi menampung kos penyelenggaraan yang tinggi

Sekali lagi saya tegaskan, setiap warganegara adalah berhak untuk mendapat kemudahan kesihatan dengan bayaran yang paling rendah. Saya percaya perkara ini boleh dilakukan sekiranya sumber kekayaan negara dibelanjakan secara berhemah dan tidak berlaku ketirisan di dalam pentadbirannya. Saya menegaskan sikap kepedulian terhadap kebajikan rakyat adalah inipati bagi sebuah kerajaan yang adil.

Tan Sri Yang Dipertua,

DEMOKRASI DAN PILIHANRAYA.

Tujuan Bajet dibentangkan ialah untuk memberi panduan kepada rakyat tentang bentuk pembangunan yang akan dilaksanakan kerajaan sepanjang tahun 2007. Pembangunan sesebuah negara hendaklah juga merangkumi kestabilan sosio-ekonomi dan politik. Malaysia sebuah negara demokrasi hendaklah berusaha menyuburkan elemen demokrasi agar setanding dengan negara dunia lainnya.

Pilihanraya yang bebas dan adil adalah asas penting bagi sebuah negara demokrasi. Demokrasi, sekurang-kurangnya secara teori, diterima di seluruh dunia di mana kerajaan dipilih menerusi pilihanraya. Tetapi di banyak negara, pilihanrayanya begitu tempang sehingga menjejaskan nilai demokrasi. Malaysia tergolong di dalam kategori tersebut. Satu kelemahan yang mencemar makna demokrasi ialah proses pilihanraya di dalam negara ini tidak bebas dan tidak adil.

Satu kenyataan perit yang tidak boleh kita terima ialah tahap demokrasi di Malaysia semakin merosot jika dibandingkan dengan negara-negara yang menjadi contoh demokrasi di negara membangun seperti di Turki, India dan Indonesia, yang semakin subur.

Kita menegaskan pembaharuan menyeluruh harus bermula dari sekarang. Pembaharuan sikap harus bermula dari pemerintah, badan-badan masyarakat (NGO) dan rakyat keseluruhannya, untuk menilai betapa pentingnya demokrasi dari sudut pemahaman sistem dan proses pilihanraya. Reformasi menyeluruh harus bermula dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang tidak seharusnya bertindak sebagai sebuah agensi yang menjadi alat parti pemerintah.

Perlantikan Ahli Suruhanjaya termasuk Pengerusi dan Setiausaha SPR mestilah dibuat dengan telus dan bertanggungjawab. Mereka hendaklah dipilih dari kalangan individu yang mendapat kepercayaan orang awam dan bukan dari kalangan pegawai-pegawai pentadbir, sama ada yang sudah bersara atau masih berkhidmat, yang bertanggungjawab terus kepada Ketua Setiausaha Negara. Kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan yang mencukupi supaya pegawai-pegawai yang dilantik oleh SPR untuk mengendalikan pilihanraya bukan dari kalangan Pegawai-Pegawai Daerah. Perkara ini tidak disentuh langsung di dalam Bajet 2007 walaupun ramai berpendapat Bajet 2007 adalah bajet tambat hati dan bajet pilihanraya.

Bagi menghapuskan dakwaan bahawa ada pengundi yang mengundi dua kali atau sebagainya, kita mencadangkan supaya supaya peruntukan diberikan kepada SPR agar dapat memperkenalkan penggunaan dakwat kekal ( indelible ink) bagi mengenal mereka yang sudah mengundi. India, sebuah negara yang mempunyai penduduk seramai lebih satu bilion orang dan mempunyai rekod pengurusan pilihanraya yang kemas dan baik di dunia, telahpun menggunakan sistem ini secara menyeluruh dan ternyata berkesan. Selanjutnya, kita juga mahukan SPR menggunakan peti undi yang lut sinar untuk menjamin kesahihan semasa proses pembuangan dan juga pengiraan undi.

Saya tegaskan di sini, kita benar-benar serius untuk mewujudkan sistem pilihanraya yang bebas telus dan adil. Justeru, kita telah memiliki satu sistem perisian komputer yang mana melalui sistem ini semua data Pilihanraya dapat dianalisis secara saintifik dan sistematik. Kita juga mempunyai asas apabila berkata perlaksanaan pilihanraya dalam negara ini dilakukan secara tempang. Sistem perkomputeran yang kita miliki berupaya untuk membersihkan daftar pengundi dan mengesan penyelewengan dan penipuan seperti pengundi hantu, pengundi yang telah meninggal dunia, pengundi yang terlalu tua - berusia 90 sehingga 122 tahun, pengundi yang tidak mempunyai saluran, pengundi yang menggunakan alamat palsu dan pengundi yang tiada Kad Pengenalan Baru.

Melalui sistem ini kita telah berjaya mengesan sejumlah 223,950 orang pengundi di Selangor yang tidak mempunyai Saluran. Kita juga berjaya mengesan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pahang, jumlah pengundi yang berumur 90 tahun hingga 122 tahun berjumlah hampir 18,000 orang dan jumlah dan seramai hampir 50,000 orang lagi tidak memiliki kad pengenalan baru.

Sistem ini bukan sahaja boleh mengesan penipuan dan penyelewengan tetapi juga kaedah-kaedah penyelewengan, misalnya pengeluaran jumlah kertas undi yang berbeza bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang terletak di Parlimen yang sama. Malah, kewujudan "Daerah Mengundi Hantu" juga telah dikesan di Negeri Selangor. Terdapat juga pengundi-pengundi yang menggunakan alamat palsu seperti menggunakan alamat yang bercirikan pangsapuri sedangkan tidak wujud sebarang bangunan tinggi di Daerah Mengundi berkenaan.

Saya tegaskan di sini, satu laporan lengkap telah kami sediakan. Laporan yang bertajuk " The Democratic Deficit in Malaysia : A Report on Malaysian Elections" ini dilengkapi dengan bukti-bukti kukuh bagi mendedahkan penyelewengan dan penipuan serta kelemahan-kelemahan dalam sistem pilihanraya di Malaysia, telahpun dihantar kepada YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri, pada 29 Jun 2006 lalu. Namun, tiada sebarang reaksi yang kami terima. Justeru, di dalam Dewan yang mulia ini saya menggesa Perdana Menteri agar meneliti laporan tersebut dan mengambil langkah segera dan tegas untuk mengatasi kelemahan-kelemahan sistem Pilihanraya di negara ini.

PENUTUP

Kekuasaan adalah amanah rakyat yang diberikan kepada kita dan hendaklah kita laksanakan dengan penuh tanggungjawab. Pemerintah daripada rakyat kepada rakyat dan untuk rakyat. Setiap dari kita telah bersumpah untuk melakukan tugas kita dengan penuh amanah demi bangsa agama dan negara agar Malaysia menjadi negara yang aman adil dan sejahtera di dalam hati rakyatnya dan disegani dunia luar.

Sekian, terima kasih.

Friday, September 08, 2006

Agenda Ekonomi Baru berkonsep Kepedulian Rakyat

Malaysia Today

Di dalam pembentangan perbahasan RMK9 yang lalu, Presiden Parti Keadilan Rakyat yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah membentangkan satu agenda ekonomi yang cukup tuntas, yang dikenali sebagai Agenda Ekonomi Baru (AEB) bagi menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang jelas gagal mencapai matlamat sepenuhnya; gagal bukan sahaja membantu meningkatkan pencapaian ekonomi orang Melayu tetapi tidak releven untuk menjadi pemangkin dalam menjana ekonomi negara keseluruhannya.

Menurut Azizah lagi, atas nama Bumiputera, segelintir korporat kroni dan pemimpin politik pemerintah menjadi kaya-raya. Penumpuan kekayaan di kalangan mereka menimbulkan jurang sosio-ekonomi yang semakin parah. Namun, pemimpin parti pemerintah masih menyebarkan propaganda dengan menanamkan kebimbangan di kalangan rakyat bahawa nasib orang Melayu akan lebih buruk sekiranya DEB dihapuskan.

Sasaran 30% penguasaan ekonomi oleh Bumiputera dalam DEB ternyata gagal, kerana walaupun telah dilaksanakan selama 36 tahun, ia hanya mencapai setakat 18% sahaja. Harapan di dalam DEB indah di atas kertas tetapi kenyataannya sangat buruk sekali. DEB nampaknya lebih berjaya mematikan hasrat untuk melahirkan peniaga dan pengusaha yang tulen. Selain itu ia melebarkan lagi jurang pendapatan di antara wilayah, di antara kaum dan juga dalam tiap-tiap kaum, khususnya Melayu.

Azizah juga menyentuh mengenai kemiskinan. Kadar kemiskinan diakui sudah menurun, tetapi jurang di antara miskin dan kaya, semakin melebar.

Sejak krisis kewangan 1997, Malaysia sampai hari ini masih belum pulih sepenuhnya, apatah lagi untuk bangkit bersaing dengan negara-negara lain seperti Korea Selatan, Taiwan, China dan India. Negara semakin tertinggal jauh, terutama apabila dibanding pendapatan per kapita dan diukur dengan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin.

Laporan Pembangunan Manusia (Human Development Report) dua tahun lalu menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai jurang pendapatan antara golongan kaya-miskin yang paling lebar berbanding dengan negara-negara serantau. Nisbah perbezaan antara kaya-miskin di Malaysia ialah 22.1% manakala di Singapura 17.7%, Filipina 16.5%, Thailand 13.4% dan di Indonesia 7.8%.

Sebenarnya, jika garis kemiskinan dinaikkan mengikut taraf hidup terkini dan tidak dibekukan pada garis yang lama, kadar kemiskinan sebenar tidak akan serendah yang ditunjukkan sekarang.

Kemiskinan tidak mengenal kaum. Justeru, segala rancangan untuk membanteras kemiskinan hendaklah dilakukan secara adil dan ini dinyatakan secara tegas di dalam Agenda Ekonomi Baru.

Azizah menyeru agar orang Melayu tidak gusar dengan propaganda Umno bahawa tanpa DEB Melayu akan terpinggir, kerana hakikatnya, 70% golongan miskin adalah orang Melayu. Agenda Ekonomi Baru (AEB) akan menumpukan bantuan kepada golongan miskin dan ia melampaui batasan kaum. Nasib orang miskin bukan Melayu akan tetap dibela. Di sinilah konsep ”Kepedulian Rakyat” atau konsep ”Ekonomi yang Manusiawi” seharusnya diperkenalkan dan laksanakan.

RMK9 gagal pacu pertumbuhan tahap mampan - Wan Azizah

Malaysia Today

Pelancaran RMK9 baru-baru ini gagal memacu pertumbuhan ke tahap mampan. Peniaga, pengilang dan kontraktor mulai mengalami kesusahan. Indeks utama, termasuk indeks pengeluaran, secara umumnya tidak meningkat. Pertumbuhan Penggunaan Persendirian (Private Consumption Growth) telah berkurangan kepada 7.5 peratus pada suku pertama tahun ini, dari 9.0 peratus pada suku ke empat tahun 2005. Perkara tersebut dinyatakan oleh anggota Parlimen Permatang Pauh yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan perbahasannya mengenai Bajet 2007 baru-baru ini.

Dalam keadaan ekonomi yang lembab sedemikian, kerajaan pula telah menaikkan harga minyak dan menaikkan tarif elektrik sebanyak 12 peratus. Kadar inflasi menunjuk kepada 4.6 peratus indeks pengguna teratas, meskipun indeks sebenar bagi harga barang keperluan adalah lebih tinggi lagi. Secara tunasnya kadar faedah sebenar telah menjadi negatif dengan kadar inflasi yang lebih tinggi. Keadaan ini pastinya menekan kehidupan rakyat, terutama pegawai kerajaan, pekerja kilang, petani, peladang dan nelayan. Sementara itu, kadar pengangguran terus meningkat, malah pengangguran di kalangan siswazah telah mencecah 60,000 orang.

Azizah menambah bahawa Bajet Defisit 2007 menyaksikan bagaimana belanjawan dan peruntukan kewangan negara yang tidak berimbang. Sudah lapan tahun bajet yang dibentangkan adalah bajet defisit dan ia telah merimaskan hati rakyat terutama pembayar cukai kerana ia juga menunjukkan bahawa negara ini masih tidak berdaya untuk keluar dari kelembapan ekonomi setanding dengan beberapa negara yang pada tahun 1980-an dan 90-an berada sebaris dengan Malaysia.

Dalam keadaan pendapatan negara yang menguncup dan pertumbuhan ekonomi lembab, adalah menjadi aspek utama untuk kerajaan berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat. Namun, perkara ini gagal dilakukan kerajaan hari ini berdasarkan bajet yang baru dibentangkan. Apa yang dapat dilihat ialah kos mengurus dan mentadbir negara telah meningkat sekali ganda sejak tiga tahun kebelakangan ini iaitu mencecah lebih 100 bilion ringgit. Bajet 2007 pula telah memperuntukkan kos urustadbir negara meningkat sebanyak 10% untuk menjadi 112 bilion ringgit. Ini bermakna, meskipun kutipan meningkat 10% ia masih belum mampu menampung kos pengurusan. Akhirnya, peruntukan untuk pembangunan tidak dapat dilaksanakan. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan setiap Ringgit yang dikutip dari rakyat hendaklah dibelanjakan bagi kepentingan rakyat.

Azizah menggesa kerajaan menghentikan gaya pengurusan ekonomi secara boros dengan peruntukan yang sangat besar diberikan kepada acara pesta dan keraian. Begitu juga belanjawan yang amat tinggi digunakan bagi tujuan pengiklanan misalnya ketika memperkenalkan “Tahun Melawat Malaysia”. Memang negara mahukan pulangan dari industri pelancongan tetapi keADILan merasakan ada cara lain untuk mendapatlkan pulangan tersebut. Kerajaan seharusnya memberikan insentif dan pengecualian cukai kepada industri pelancongan dan ejensi pelancongan swasta yang berjaya membawa kemasukan pelancong dengan ramai.

Dengan cara ini, tanpa mengeluarkan modal 520 juta ringgit untuk pengiklanan, negara masih mampu mendapat imbuhan dari sektor pelancongan.

Kenyataan PM bahawa misi Belanjawan 2007 seiring dengan misi nasional untuk meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai yang tinggi, tidak kelihatan dapat dilaksanakan dalam bajet 2007. Fokus belanjawan lebih mengutamakan pembangunan hartanah yang akan menghasilkan ribuan rumah kediaman, rumah kedai dan kompleks perniagaan yang belum pasti akan ada pembelinya.

Dibimbangi akan wujud lambakan bangunan tanpa ada yang membelinya. Akan bertambah besarlah masalah projek terbengkalai dan sekali gus akan menekan para pemaju dan kontraktor.

Azizah menegaskan agar jangan sampai kerajaan terpaksa membuat ”bailout” terhadap para pemaju dengan membeli atau menyewa bangunan-bangunan tersebut kerana ia akan menambahkan lagi kos dan tanggungjawab kerajaan dan penyalahgunaan wang kutipan cukai dari rakyat.

Azizah juga menyentuh mengenai permasalahan para kontraktor yang kebanyakannya gulung tikar kerana kegagalan kerajaan membuat bayaran ke atas kerja-kerja yang telah mereka lakukan. Utusan Malaysia pada 26hb Ogos lalu telah melaporkan seramai 18,000 kontraktor dan sub kontraktor yang masih menunggu bayaran dari kerajaan dengan jumlah tertunggak melebihi RM23.7 bilion sejak tahun 2000 hingga 2006.

Bajet 2007 juga tidak menyentuh mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) meskipun ia sedang rancak dibincangkan oleh Kerajaan Malaysia dengan kerajaan Amerika Syarikat. Rakyat bukan anti atau menentang perdagangan bebas tersebut tetapi kerajaan perlu ingat bahawa menjadi tanggungjawabnya memastikan perjanjian yang ditandatangani itu adalah perjanjian yang tidak berat sebelah dan adil ” Fair Trade”. Kerajaan tergesa-gesa dalam menandatangani perjanjian tersebut dan butiran perjanjian tidak pula dibincang dengan pihak-pihak tertentu seperti Kesatuan Sekerja, para pengusaha dan Kesatuan-kesatuan Perniagaan.

FTA pasti akan memberi impak atau kesan mendalam kepada sektor utama negara iaitu sektor pembuatan. Pembangunan ekonomi mesti selaras dengan memberi penekanan kepada peluang pekerjaan dan suasana bekerja yang bertambah baik. Kebajikan pekerja harus diutamakan di dalam syarat FTA dan apa-apa perjanjian berkenaannya. Beliau menyatakan kekhuatirannya mengenai apa yang berlaku kepada negara jiran seperti Korea Selatan dan Thailand di mana sektor pertanian negara tersebut terkesan teruk akibat perlaksanaan FTA. Ini memandangkan kebanyakan penduduk luar bandar di Malaysia adalah para petani. Kerajaan harus menyediakan rangkaian berbentuk perlindungan untuk memastikan pihak-pihak yang mendapat kesan langsung FTA dapat dilindungi. Kerajaan juga harus memberi pendidikan kepada rakyat akan buruk baik perlaksanaan FTA agar rakyat lebih bersedia menghadapinya. Adalah lebih bijak sekiranya perbincangan secara ilmiah dan komersil dapat diadakan dengan golongan pekerja, industri dan pakar-pakar ekonomi. Apapun yang ingin dilakukan kerajaan, kesejahteraan rakyat harus menjadi asas utama dan penentu tindakan.

Belanjawan 2007 juga tidak mempunyai program-program yang berkesan untuk menarik pelaburan langsung (Foreign Direct Investment) yang mana ia merupakan elemen penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. Bajet 2007 tidak memberi panduan dan arahtuju kepada pelabur luar tentang bidang pelaburan yang menjadi fokus negara yang boleh mereka ceburi. Contohnya jika kerajaan serius di dalam mengembangkan industri pertanian, maka harus dinyatakan prospek menarik di dalam bidang ini seperti kemudahan prasarana dan insentif yang disediakan kerajaan kepada pelabur agar dapat memberi tarikan kepada para pelabur.

Bajet 2007 juga tidak menyediakan garis panduan dan penekanan kepada bank-bank dalam negara agar bersifat lebih ”Mesra Rakyat”. Tidak terdapat juga usaha-usaha dari kerajaan untuk menyediakan program pendidikan kewangan seperti Khidmat Nasihat Kewangan (Financial Advisory). Perkara ini amat penting kerana kini, ramai yang terjebak dengan kegiatan ’along’ dan pemberi wang tanpa lesen yang tidak bertanggungjawab hingga bukan sahaja mengakibatkan perniagaan peminjam terpaksa ditutup malah ada kes menunjukkan hingga mengorbankan nyawa peminjam dan ahli keluarga mereka.

Thursday, September 07, 2006