BAJET DEFISIT 2007
PENGENALAN
Kita baru saja menyambut perayaan Hari Kemerdekaan ke 49 seminggu yang lalu. Bajet yang dibentangkan Perdana Menteri saya percaya di selami juga dengan semangat Hari Kemerdekaan dan disertai azam untuk melakukan perubahan kepada tahap pencapaian negara di dalam segala aspek kehidupan rakyat serta terhadap sistem pemerintahan negara sebagai sebuah negara merdeka. Ucapan Hari Kemerdekaaan PM juga amat menekankan peri pentingnya rakyat Malaysia menghargai usaha para pejuang kemerdekaan terdahulu dengan memelihara jati diri dan elemen penting negara agar tidak dicemari dengan sentimen tidak bertanggung jawab.
Ditambah pula dengan keadaaan dunia yang semakin tidak aman dimana kita telah menyaksikan bagaimana kuasa besar Amerika Syarikat secara rakus menceroboh negara Iraq yang telah mengakibatkan semakin rancaknya kegiatan keganasan dunia. Tindakan Israel memerangi Wilayah Lebanon lebih memburukkan keadaan yang mana ia telah membawa kemusnahan dan pertumpahan darah yang dahsyat terutama kepada wanita dan kanak-kanak. Kita konsisten menolak dan mengecam sebarang bentuk penaklukan dan penindasan kuasa asing terhadap mana-mana negara yang merdeka dan kita juga mengecam segala bentuk terrorisme meskipun ia dilakukan atas dasar agama, tamaddun mahupun keselamatan antarabangsa. Malangnya, meskipun PM menyatakan kegusaran beliau terhadap suasana dunia yang tidak aman tersebut dan dalam keadaan sebak merayu rakyat Malaysia memelihara keharmonian negara, pada masa yang sama rakyat menyaksikan bagaimana pergolakan di dalam pimpinan kerajaan pada tahap yang merimaskan. Rakyat juga kesal ada pihak-pihak yang cuba mewujudkan sentimen ketegangan kaum walau kita percaya tindakan beliau bukan atas dasar kecintaan yang tinggi terhadap kaumnya tetapi adalah semata-mata mahu menutup keaiban diri dan penyelewengan yang dilakukan. Kita kesal kerana golongan ini sanggup meletakkan keharmonian rakyat sebagai batu galas dan ternyata tindakannya benar-benar memalukan pimpinan hari ini.
Perjuangan berbentuk adu domba sudah tidak mendapat tempat di hati rakyat hari ini. Rakyat mahukan pentadbiran yang benar-benar jujur dan berpaksikan kepada ungkapan sejarah seperti: untuk menegakkan perpaduan, pembebasan dan persamaan dan membentuk pemerintahan daripada rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat .
Izinkan saya ungkapkan semula kata-kata salah seorang pejuang kemerdekaan Dr Burhanuddin suatu ketika dahulu;
Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka.
Bersatupadulah seluruh baka
Membela hak keadilan pusaka!
Tan Sri Yang Dipertua,
Malaysia mencapai kemerdekaan kerana muafakat antara kaum dan kita bersyukur kerana dapat menyambut ulangtahun kemerdekaan pada setiap tahun. Saya prihatin bahawa rakyat di Sabah dan Sarawak lebih senang untuk menerima tarikh penggabungan mereka ke dalam Malaysia pada 16 September 1963. Walau apapun, sambutan hari Merdeka seharusnya bukan hanya untuk berpesta-pestaan jauh sekali untuk bermegah-megah dengan pembaziran. Makna "Merdeka" harus menimbulkan keinsafan dan semangat kebebasan.
Memang rakyat boleh bergembira dan berbangga mengibarkan bendera. Tetapi kita harus menyedari Merdeka seharusnya dinilai dari skop penghayatan yang lebih luas. Justeru, Merdeka tidak bererti sepenuhnya jika ramai rakyat yang masih melarat, miskin atau ditindas. Begitu juga jika rakyat masih dipecah-belahkan melalui pemisahan parti-parti politik berasaskan kaum, di samping perlaksanaan dasar-dasar tertentu yang membeza-bezakan antara kaum di kalangan rakyat Malaysia, nikmat Merdeka sebenarnya masih belum tercapai.
Saya lihat, selagi muafakat Merdeka tidak dihayati, selagi semangat penting dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak dihormati, selagi itulah rakyat menjadi tidak karuan, resah gelisah dan bercakaran sesama sendiri. Justeru, di dalam mempertahankan kedaulatan negara harus disertai dengan kesedaran dan cita-cita untuk menegakkan keadilan tanpa batasan kaum dan agama serta memberi ketuanan kepada rakyat.
MENEGAKKAN MASYARAKAT MADANI
Masyarakat yang cuba kita bina hendaklah masyarakat yang berasaskan kepada prinsip akhlak dan pemerintahan berlandaskan hukum. Kita hendaklah berusaha menyemai benih kebebasan, menyuburkan kemerdekaan diri, memulangkan nilai keperimanusiaan serta membajai sikap berlapang dada.
Kita akui kekuasaan perlu diamanahkan kepada pihak berwibawa yang dipilih secara demokrasi, bukannya dalam genggaman seorang individu. Demokrasi yang dilaksanakan secara saksama, dengan memberi pertimbangan kepada segala kenyataan sosial dan politik, akan menjamin keteraturan dan kestabilan kerana ia memberi ruang untuk meluahkan keluhan dan ketidakpuasan. Isu yang diperselisihkan pula didebatkan secara terbuka. Justeru, demokrasi akan menghalang nafsu serakah dari meledak.
Sdr Anwar Ibrahim pernah mengungkapkan : Masyarakat Madani adalah suatu masyarakat dengan sistem sosial yang subur, cekap dan saksama, berpaksikan prinsip moral, keseimbangan antara kebebasan perseorangan dan kestabilan masyarakat yang mendorong daya usaha dan inisiatif individu, serta pemerintahan yang mengikut undang-undang.
INTEGRASI NASIONAL
Akhir-akhir ini ketegangan kaum nampaknya cuba diperkuatkan oleh ketegangan pandangan tentang beragama dan hak memilih agama. Pandangan yang dilontarkan telah dilakukan secara terbuka dan penuh emosi oleh golongan tertentu. Kita seharusnya merai sebarang bentuk usaha mewujudkan perbincangan tetapi dengan cara yang sederhana, rasional dan penuh tanggungjawab. Perbincangan untuk mencari kebenaran, atau sekurang-kurangnya persetujuan pandangan tidak harus disekat dengan arahan apatah lagi ugutan.
Kami berpendapat, perpaduan sebenarnya mestilah berteraskan kepada nilai keadilan serta nilai-nilai universal bersama yang disuburkan dalam suasana kebebasan dan hormat-menghormati. Kuasa yang ada seharusnya digunakan untuk mengukuhkan nilai-nilai moral yang murni dan bukannya untuk kekuatan dan kemegahan. Persoalan nilai moral atau akhlak sewajarnya menyanjungi semua spektrum dalam kehidupan dan peradaban manusia.
Kita prihatin dengan hubungan antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur yang walaupun usia Persekutuan Malaysia telah mencecah 43 tahun namun jurang dari segi ekonomi, pembangunan sosial, kebudayaan dan pendidikan masih melebar. Meskipun Sabah dan Sarawak banyak menyumbang sumber kekayaan alam dan pertumbuhan ekonomi namun pengagihan kekayaan kepada negeri–negeri tersebut masih rendah. Walaupun Sarawak adalah negeri pengeluar petrol dan gas tetapi Sarawak merupakan negeri yang paling ramai rakyat termiskin. Tindakan kerajaan menaikkan harga petrol kononnya untuk pembangunan pengangkutan awam telah mendiskriminasi rakyat Sarawak yang bukan sahaja pengeluar petrolium tetapi terpinggir pula dari pembangunan infrastruktur.
Pembangunan infrastruktur yang tidak seimbang di Sabah dan Sarawak telah menzalimi rakyat di sana. Kita juga berpendapat Sabah dan Sarawak seharusnya mempunyai Pelan Induk Ekonomi tersendiri. Pelan Induk tersebut hendaklah mengkhususkan kepada pembangunan negeri masing-masing bagi menjana peluang pekerjaan dalam mengatasi masalah pengangguran di sana.
Tan Sri Yang Dipertua,
KEADILAN SOSIO-EKONOMI
Belanjawan 2007 yang dibentangkan oleh PM harus di diselidiki dengan teliti dengan melihat perkembangan global. Ekonomi dunia sedang menyaksikan tempoh pertumbuhan yang belum pernah dilihat sebelum ini. Sebab utamanya ialah pertumbuhan pesat di China, India dan Russia. Tetapi ada risiko yang semakin mencabar akhir-akhir ini. Risiko utamanya berpunca dari ketidakimbangan akaun semasa antara ekonomi-ekonomi utama dunia dan ancaman peningkatan harga minyak yang lebih serius lagi berikutan konflik di Timur Tengah dan kapasiti pengeluaran lebihan yang terhad.
Inflasi semakin menjadi faktor yang harus diambil kira dengan prospek peningkatan kadar faedah dunia yang berterusan. Pasaran kewangan menjadi semakin tidak stabil dan ada persepsi risiko telah bertambah di dalam sistem sejagat. Perbincangan perdagangan Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) telah digantung, menjadikan prospek Rundingan Doha yang berjaya lebih sukar untuk dicapai. Selagi risiko ini terus wujud, kestabilan dan pertumbuhan dunia terus terancam.
Pelancaran RMK-9 baru-baru ini gagal memacu pertumbuhan ke tahap mampan. Peniaga, pengilang dan kontraktor mulai mengalami kesusahan. Indeks utama, termasuk indeks pengeluaran, secara umumnya tidak meningkat. Pertumbuhan Penggunaan Persendirian ( Private Consumption Growth ) telah berkurangan kepada 7.5 peratus pada suku pertama tahun ini, dari 9.0 peratus pada suku ke empat tahun 2005.
Dalam keadaan ekonomi yang lembab sedemikian, kerajaan pula telah menaikkan harga minyak dan menaikkan tarif elektrik sebanyak 12 peratus. Kadar inflasi menunjuk kepada 4.6 peratus indeks pengguna teratas, meskipun indeks sebenar bagi harga barang keperluan adalah lebih tinggi lagi. Secara tunasnya kadar faedah sebenar telah menjadi negatif dengan kadar inflasi yang lebih tinggi. Keadaan ini pastinya menekan kehidupan rakyat, terutama pegawai kerajaan, pekerja kilang, petani, peladang dan nelayan. Sementara itu kadar pengangguran terus meningkat, malah pengangguran di kalangan siswazah telah mencecah 60, 000 orang.
Sejak krisis kewangan 1997, Malaysia sampai hari ini pun belum mampu pulih sepenuhnya, apatah lagi untuk bangkit bersaing dengan negara-negara lain seperti Korea Selatan, Taiwan, China dan India. Kita semakin tertinggal jauh, terutama apabila dibanding pendapatan per-kapita dan diukur dengan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin.
Laporan Pembangunan Manusia (Human Development Report) dua tahun lalu menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai jurang pendapatan antara golongan kaya-miskin yang paling lebar berbanding dengan negara-negara serantau. Nisbah perbezaan antara kaya-miskin di Malaysia ialah 22.1% manakala di Singapura 17.7%, Filipina 16.5%, Thailand 13.4% dan di Indonesia 7.8%.
Di dalam pembentangan perbahasan RMK 9 yang lalu saya telah membentangkan satu agenda ekonomi yang cukup tuntas, yang dikenali sebagai Agenda Ekonomi Baru [AEB] bagi menggantikan Dasar Ekonomi Baru [DEB] yang jelas gagal mencapai matlamat sepenuhnya; gagal bukan sahaja membantu meningkatkan pencapaian ekonomi orang Melayu tetapi tidak releven untuk menjadi pemangkin dalam menjana ekonomi negara keseluruhannya.
Semangat dan roh DEB telah dikhianati apabila ia ditunggangi oleh segelintir elit politik dan ekonomi yang bersekongkol untuk memunggah kekayaan negara. Atas nama Bumiputera, segelintir korporat kroni dan pemimpin politik pemerintah menjadi kaya raya. Penumpuan kekayaan di kalangan mereka menimbulkan jurang sosio-ekonomi semakin buruk. Namun, pemimpin parti pemerintah masih menyebarkan propaganda dengan menanam kebimbangan di kalangan rakyat bahawa nasib orang Melayu akan lebih buruk sekiranya DEB dihapuskan.
Saya tegaskan sekali lagi di sini, sasaran 30% penguasaan ekonomi oleh Bumiputera dalam DEB ternyata gagal, kerana walaupun telah dilaksanakan selama 36 tahun kita hanya mencapai setakat 18% sahaja. Harapan di dalam DEB indah di atas kertas tetapi kenyataannya sangat buruk sekali. DEB nampaknya lebih berjaya mematikan hasrat untuk melahirkan peniaga dan pengusaha yang tulen. Selain itu ia melebarkan lagi jurang pendapatan di antara wilayah, di antara kaum dan juga dalam tiap-tiap kaum, khususnya Melayu.
Mengenai kemiskinan pula, kadar kemiskinan diakui sudah menurun, tetapi jurang di antara miskin-kaya, sebagaimana yang dinyatakan lebih awal, semakin melebar. Sebenarnya, jika garis kemiskinan dinaikkan mengikut taraf hidup terkini dan tidak dibekukan pada garis yang lama, kadar kemiskinan sebenar tidak akan serendah yang ditunjukkan sekarang.
Kemiskinan tidak mengenal kaum. Justeru, segala rancangan untuk membanteras kemiskinan hendaklah dilakukan secara adil dan ini dinyatakan secara tegas di dalam Agenda Ekonomi Baru. Orang Melayu usah gusar dengan propaganda bahawa tanpa DEB Melayu akan terpinggir kerana kenyataannya 70% golongan miskin adalah orang Melayu. Agenda Ekonomi Baru akan menumpukan bantuan kepada golongan miskin ini dan ia melampaui batasan kaum. Nasib orang miskin bukan Melayu akan tetap dibela. Di sinilah konsep "Kepedulian Rakyat" atau konsep "Ekonomi yang Manusiawi" seharusnya diperkenalkan dan laksanakan.
Tan Sri Yang Dipertua,
Bajet Defisit 2007 menyaksikan bagaimana belanjawan dan peruntukan kewangan negara yang tidak berimbang. Sudah lapan tahun bajet yang dibentangkan adalah bajet defisit dan ia telah merimaskan hati rakyat terutama pembayar cukai kerana ia juga menunjukkan bahawa negara ini masih tidak berdaya untuk keluar dari kelembapan ekonomi setanding dengan beberapa negara yang pada tahun 1980-an dan 90-an berada sebaris dengan Malaysia.
Saya tegaskan di sini, dalam keadaan pendapatan negara yang menguncup dan pertumbuhan ekonomi lembab, adalah menjadi aspek utama untuk kerajaan berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat. Namun perkara ini gagal dilakukan kerajaan hari ini berdasarkan bajet yang baru dibentangkan. Apa yang kita lihat kos mengurus dan mentadbir negara telah meningkat sekali ganda sejak tiga tahun kebelakangan ini iaitu mencecah lebih 100 billion ringgit. Bajet 2007 pula telah memperuntukkan kos urustadbir negara meningkat sebanyak 10% untuk menjadi 112 Billion Ringgit. Ini bermakna, meskipun kutipan meningkat 10% ia masih belum mampu menampung kos pengurusan. Akhirnya peruntukan untuk pembangunan tidak dapat dilaksanakan. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan setiap Ringgit yang dikutip dari rakyat hendaklah dibelanjakan bagi kepentingan rakyat.
Saya prihatin dengan ayat al Quran yang dipetik PM semasa membentangkan bajet. Namun saya juga ingin mengingatkan kita semua akan ayat 26 dan 27 surah al Isra' antara lain berbunyi;
"Berikanlah kepada karib kerabatmu hak masing-masing dan kepada orang miskin, dan orang musafir dan janganlah engkau membazir. Sesuingguhnya orang-orang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu amat ingkar akan Tuhannya.."
Kita menggesa kerajaan menghentikan gaya pengurusan ekonomi secara boros dengan peruntukan yang sangat besar diberikan kepada acara pesta dan keraian. Begitu juga belanjawan yang amat tinggi digunakan bagi tujuan pengiklanan misalnya ketika memperkenalkan Tahun Melawat Malaysia. Memang kita mahukan pulangan dari industri pelancongan tetapi keADILan merasakan ada cara lain untuk mendapatlkan pulangan tersebut. Kerajaan seharusnya memberikan insentif dan pengecualian cukai kepada industri pelancongan dan ejensi pelancongan swasta yang berjaya membawa kemasukan pelancong dengan ramai. Begitu juga insentif boleh diberikan kepada syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa seperti Emirates yang berjaya membawa sejumlah pelancong yang menggunakan penerbangan mereka dengan mengecualikan yuran pendaratan (landing fee). Dengan cara ini, tanpa mengeluarkan modal 520 juta ringgit untuk pengiklanan, negara masih mampu mendapat imbuhan dari sektor pelancongan. Ini adalah contoh kecil yang mahu saya kongsi bersama sidang sekelian.
Kenyataan PM bahawa misi Belanjawan 2007 seiring dengan misi nasional untuk meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai yang tinggi tidak terlaksana dalam bajet 2007. Fokus belanjawan lebih mengutamakan pembangunan hartanah yang akan menghasilkan ribuan rumah kediaman, rumah kedai dan kompleks perniagaan yang belum pasti akan ada pembelinya.
Apa yang saya khuatirkan ialah akan wujud lambakan bangunan tanpa ada yang membelinya. Akan bertambah besarlah masalah projek terbelengkalai dan sekali gus akan menekan para pemaju dan kontraktor. Di dalam Dewan ini saya tegaskan, jangan sampai terjadinya keadaan dimana kerajaan pula terpaksa membuat "bailout" terhadap para pemaju dengan membeli atau menyewa bangunan-bangunan tersebut kerana ia akan menambahkan lagi kos dan tanggungjawab kerajaan dan penyalahgunaan wang kutipan cukai dari rakyat.
Bajet 2007 juga tidak menawarkan penyelesaian kepada permasalahan para kontraktor hari ini yang kebanyakannya gulung tikar kerana kegagalan kerajaan membuat bayaran ke atas kerja-kerja yang telah mereka lakukan. Utusan Malaysia pada 26hb Ogos lalu telah melaporkan seramai 18,000 kontraktor dan sub kontraktor yang masih menunggu bayaran dari kerajaan dengan jumlah tertunggak melebihi RM23.7 Billion sejak tahun 2000 hingga 2006. Perkara ini amat serius kerana jika gagal ditangani segera bakal memberi malapetaka kepada industri pembinaan khususnya dan ekonomi negara amnya.
Bajet 2007 juga tidak menyentuh mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas ( FTA ) meskipun ia sedang rancak dibincangkan oleh Kerajaan Malaysia dengan kerajaan Amerika Syarikat. Kita bukan anti atau menentang perdagangan bebas ini tetapi kita mahu mengingatkan kerajaan agar memastikan perjanjian yang ditandatangani itu adalah perjanjian yang tidak berat sebelah dan adil " Fair Trade". Nampaknya kerajaan agak tergesa-gesa di dalam perjanjian ini dan butiran perjanjian tidak pula dibincang dengan pihak-pihak tertentu seperti Kesatuan Sekerja, para pengusaha dan Kesatuan-kesatuan Perniagaan.
Kita maklum FTA pasti akan memberi impak atau kesan mendalam kepada sektor utama negara iaitu sektor pembuatan. Pembangunan ekonomi mesti selaras dengan memberi penekanan kepada peluang pekerjaan dan suasana bekerja yang bertambah baik. Kebajikan pekerja harus diutamakan di dalam syarat FTA dan apa-apa perjanjian berkenaannya. Saya khuatir apa yang berlaku kepada kepada negara jiran seperti Korea Selatan dan Thailand di mana sektor pertanian negara tersebut terkesan teruk akibat perlaksanaan FTA. Ini memandangkan kebanyakan penduduk luar bandar di Malaysia adalah para petani. Kerajaan harus menyediakan rangkaian berbentuk perlindungan untuk memastikan pihak-pihak yang mendapat kesan langsung FTA dapat dilindungi. Kerajaan juga harus memberi pendidikan kepada rakyat akan buruk baik perlaksanaan FTA agar rakyat lebih bersedia menghadapinya. Adalah lebih bijak sekiranya perbincangan secara ilmiah dan komersial dapat diadakan dengan golongan pekerja, industri dan pakar-pakar ekonomi. Apapun yang ingin dilakukan kerajaan, kesejahteraan rakyat harus menjadi asas utama dan penentu tindakan. Belanjawan 2007 juga tidak mempunyai program-program yang berkesan untuk menarik pelabur langsung ( dengan izin "Foreign Direct Investment") yang mana ia merupakan elemen penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara. Bajet 2007 tidak memberi panduan dan arahtuju kepada pelabur luar tentang bidang pelaburan yang menjadi fokus negara yang boleh mereka diceburi. Contohnya jika kerajaan serius di dalam mengembangkan industri pertanian, maka harus di nyatakan prospek menarik di dalam bidang ini seperti kemudahan prasarana dan insentif yang disediakan kerajaan kepada pelabur agar dapat memberi tarikan para pelabur.
Bajet 2007 juga tidak menyediakan garis panduan dan penekanan kepada bank-bank dalam negara agar bersifat lebih "Mesra Rakyat". Tidak terdapat juga usaha-usaha dari kerajaan untuk menyediakan program pendidikan kewangan seperti Khidmat Nasihat Kewangan dengan izin "Financial Advisory". Perkara ini amat penting kerana hari ini ramai rakyat yang terjebak dengan kegiatan 'along' dan pemberi wang tanpa lesen yang tidak bertanggungjawab hingga bukan sahaja mengakibatkan perniagaan peminjam terpaksa ditutup malah ada kes menunjukkan hingga mengorbankan nyawa peminjam dan ahli keluarga mereka.
Tan Sri Yang Dipertua,
REFORMASI PENDIDIKAN
Pendidikan adalah salah satu institusi penting untuk membawa perubahan. Walaupun sistem pendidikan negara mempunyai potensi besar tetapi malang sekali keadaannya semakin buruk. Sebabnya ialah dasarnya sudah kehilangan arah tuju dan perlaksanaannya tidak memuaskan. Akibatnya mutu pendidikan di semua peringkat semakin merosot.
Kerajaan berada dalam keadaan keliru dan kusut untuk membangunkan Sistem Pendidikan Nasional. Memang menteri-menteri sering bercakap kononnya kerajaan serius di dalam bidang pendidikan tetapi pada masa yang sama, peruntukan di dalam bidang Pendidikan Rendah di dalam RMK-9 jauh lebih rendah dari RMK-8.
Kita tidak faham mengapa tiba-tiba Kerajaan boleh menambah peruntukan bagi bidang ketenteraan tetapi mengurangkan kira-kira RM300 juta peruntukan Pendidikan Rendah. Kajian oleh sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ( PBB ) menunjukkan bahawa perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia untuk pendidikan peringkat rendah secara purata adalah lebih rendah daripada perbelanjaan yang dikeluarkan oleh negara-negara di Afrika.
Jelasnya, masih ada sekolah-sekolah rendah di negara ini yang pencapaian peperiksaan dan UPSRnya masih di tahap yang mengecewakan . Dalam satu kajian oleh Persatuan Guru-guru Malaysia, lebih 100,000 murid tahun satu tidak boleh menulis dan membaca dengan baik dalam Bahasa Malaysia, apatah lagi dalam Bahasa Inggeris. Dasar Pembelajaran Bahasa Inggeris bagi subjek Matamatik dan Sains ternyata gagal , terutama di kalangan murid kawasan luar bandar. Angka 100,000 itu tidak dicampur lagi dengan generasi pertama yang menjadi tikus putih kepada eksperimen dasar itu. Namun amat mendukacitakan kerana kerajaan masih belum mahu berganjak dengan keputusan tersebut dan sanggup memperjudikan masa depan dan nasib anak bangsa.
Kesan dari dasar dan perlaksanaan Kerajaan yang tidak tegas terhadap kepentingan bahasa ibunda, Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan seolah-olah dipandang "hina" di tanahair sendiri. Pepatah yang menyatakan "bahasa, bunga bangsa" tidak menggambarkan keadaan sebenar kedudukan Bahasa Malaysia di Malaysia hari ini. Kita mahu kerajaan memandang serius perkara ini dan memastikan penggunaan dan pengajaran bahasa-bahasa ibunda lain dapat ditingkat dan dikembangkan di sekolah-sekolah seluruh negara.
Kita sedar akan kepentingan Bahasa Inggeris, sebagaimana juga kita sedar akan kepentingan bahasa-bahasa lain dunia seperti bahasa Arab, Peranchis. Kami berpendapat, dalam soal meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, adalah sangat perlu kita memperkenalkan semula pembelajaran dan pengajaran matapelajaran Bahasa Inggeris kepada murid-murid sejak di Tahun Satu lagi. Bahkan pada peringkat lebih tinggi pula kita harus menggalakkan pembelajaran Sastera Inggeris.
Begitu juga dengan bahasa-bahasa dunia lainnya. Semua ini perlu dilakukan tetapi tidak dengan mengorbankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perantara (lingua franca) yang diterima sebagai Bahasa Kebangsaan.
Kita berterima kasih kepada kerajaan kerana menghapuskan yuran peperiksaan melalui Bajet 2007. Tetapi itu bukan penyelesaian yang sebenar bagi penurunan mutu pembelajaran dalam negara. Apa yang kita utamakan ialah kualiti pendidikan yang mengalami kemerosotan yang amat membimbangkan.
Penubuhan universiti-universiti baru juga bukanlah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi Pusat Pengajian Tinggi negara. Tambahan pula, ia juga akan meningkatkan lagi jumlah pengangguran di kalangan siswazah. Apa yang menggusarkan kita adalah mutu universiti-universiti tempatan dan juga graduan-graduan yang dikeluarkannya secara umum semakin menurun. Menurut kajian "LLM Guide" pada bulan September 2006 menunjukkan kemerosotan mutu "School of Law" di Universiti Islam Antarabangsa dari no. 198 pada tahun 2005 kepada no. 349 pada tahun 2006 bagi seluruh Universiti di dunia. Manakala menurut "Time Higher Education Guide" pula menunjukkan kemerosotan Universiti Malaya di dalam ranking dunia dari tahap 89 pada tahun 2004 kepada tahap 169 pada tahun 2005. Kemerosotan mutu universiti ini antara lainnya disebabkan oleh hilangnya autonomi Universiti dalam negara kerana gagal bertindak sebagai pusat ilmu yang tulen.
Campurtangan politik juga adalah punca utama kemerosotan mutu ini. Perlantikan pegawai-pegawai penting Universiti ditentukan pada dasar politik dan mengakibatkan pegawai ini gagal memberi pimpinan akademik secara yang berkesan. Perlantikan bagi jawatan-jawatan akademik juga tidak berdasarkan kecemerlangan akademik. Keadaan menjadi lebih rumit apabila wujud pelbagai undang-undang dan pekeliling yang mengongkong fikiran bagi menimbulkan psikologi takut di kalangan pelajar dan tenaga pengajar untuk mengeluarkan pandangan dan menghasil karya yang benar-benar bersifat akademik.
Perlu saya saya tegaskan bahawa sistem pendidikan negara, di semua peringkat, menghadapi pelbagai masalah dari segi mutu, bahasa, kurikulum, kecekapan penuntut, dedikasi guru, peruntukan kewangan, kelakuan anti-sosial, malah rasuah juga makin berleluasa. Kita mengalu-alukan pembinaan Universiti baru, namun pada masa yang sama kita harus cuba memikirkan bagaimana kita boleh membina ( dengan izin) "software" dan bukan sahaja menumpu kepada "Hardware".
Negara hari ini memerlukan Reformasi Pendidikan secara menyeluruh. Kajian secara mendalam serta penuh tanggungjawab mesti dilakukan segera. Kajian ini hendaklah dilakukan oleh sebuah Suruhanjaya bebas serta berwibawa, yang dianggotai oleh wakil-wakil dari pelbagai golongan, aliran, kepentingan dan latar belakang.
Tan Sri Yang Dipertua,
KESIHATAN HAK SEMUA
Sebagai rakyat sebuah negara yang merdeka adalah menjadi hak mutlak rakyat untuk mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan. Perkara ini diakui oleh Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Malaysia menandatangani deklarasi ini. Oleh itu, dengan mengukur pendapatan isi rumah yang masih rendah, penswastaan hospital buat masa ini adalah dasar yang menzalimi rakyat. Kita tegas menolak cadangan ini.
Dasar kita sepatutnya menjurus kepada memberikan rawatan dan penjagaan kesihatan pada kadar bayaran yang paling minima kepada rakyat. Kita boleh menyumbang kepada sektor "pelancongan kesihatan" ( health tourism) untuk menjadikan negara ini destinasi hospital dunia. Hospital swasta boleh didirikan dengan kualiti lima-enam bintang untuk menjadikan negara memperolehi keuntungan dari warga asing yang mahu mendapat perkhidmatan rawatan di sini. Pada masa yang sama, kita harus melahirkan doktor dan doktor pakar yang lebih ramai, yang boleh berkhidmat di hospital-hospital awam. Masalahnya ialah bagaimana hendak memastikan mereka tidak akan berhijrah ke luar negara atau kepada sektor swasta selepas beberapa waktu. Justeru, insentif dan galakan yang sejajar dengan kepakaran mereka harus difikirkan secara serius. Ini termasuk memanggil rakyat Malaysia yang sedang bertugas di luar negara untuk kembali dan bertugas di dalam negara. Di sinilah sebenarnya kewibawaan dan kebijaksanaan kerajaan hari ini terukur dan bajet 2007 gagal memberi perhatian kepada perkara ini. Masalah kos perubatan menjadi lebih teruk apabila penswastaan ubat-ubatan dilaksanakan. Hari ini pengamal perubatan swasta telah dihimpit apabila kerajaan mewajibkan prasarana yang membebankan di klinik-klinik swasta. Peraturan kerajaan tersebut akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat kerana para pengamal perubatan swasta terpaksa menaikkan yuran perkhidmatan mereka demi menampung kos penyelenggaraan yang tinggi
Sekali lagi saya tegaskan, setiap warganegara adalah berhak untuk mendapat kemudahan kesihatan dengan bayaran yang paling rendah. Saya percaya perkara ini boleh dilakukan sekiranya sumber kekayaan negara dibelanjakan secara berhemah dan tidak berlaku ketirisan di dalam pentadbirannya. Saya menegaskan sikap kepedulian terhadap kebajikan rakyat adalah inipati bagi sebuah kerajaan yang adil.
Tan Sri Yang Dipertua,
DEMOKRASI DAN PILIHANRAYA.
Tujuan Bajet dibentangkan ialah untuk memberi panduan kepada rakyat tentang bentuk pembangunan yang akan dilaksanakan kerajaan sepanjang tahun 2007. Pembangunan sesebuah negara hendaklah juga merangkumi kestabilan sosio-ekonomi dan politik. Malaysia sebuah negara demokrasi hendaklah berusaha menyuburkan elemen demokrasi agar setanding dengan negara dunia lainnya.
Pilihanraya yang bebas dan adil adalah asas penting bagi sebuah negara demokrasi. Demokrasi, sekurang-kurangnya secara teori, diterima di seluruh dunia di mana kerajaan dipilih menerusi pilihanraya. Tetapi di banyak negara, pilihanrayanya begitu tempang sehingga menjejaskan nilai demokrasi. Malaysia tergolong di dalam kategori tersebut. Satu kelemahan yang mencemar makna demokrasi ialah proses pilihanraya di dalam negara ini tidak bebas dan tidak adil.
Satu kenyataan perit yang tidak boleh kita terima ialah tahap demokrasi di Malaysia semakin merosot jika dibandingkan dengan negara-negara yang menjadi contoh demokrasi di negara membangun seperti di Turki, India dan Indonesia, yang semakin subur.
Kita menegaskan pembaharuan menyeluruh harus bermula dari sekarang. Pembaharuan sikap harus bermula dari pemerintah, badan-badan masyarakat (NGO) dan rakyat keseluruhannya, untuk menilai betapa pentingnya demokrasi dari sudut pemahaman sistem dan proses pilihanraya. Reformasi menyeluruh harus bermula dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang tidak seharusnya bertindak sebagai sebuah agensi yang menjadi alat parti pemerintah.
Perlantikan Ahli Suruhanjaya termasuk Pengerusi dan Setiausaha SPR mestilah dibuat dengan telus dan bertanggungjawab. Mereka hendaklah dipilih dari kalangan individu yang mendapat kepercayaan orang awam dan bukan dari kalangan pegawai-pegawai pentadbir, sama ada yang sudah bersara atau masih berkhidmat, yang bertanggungjawab terus kepada Ketua Setiausaha Negara. Kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan yang mencukupi supaya pegawai-pegawai yang dilantik oleh SPR untuk mengendalikan pilihanraya bukan dari kalangan Pegawai-Pegawai Daerah. Perkara ini tidak disentuh langsung di dalam Bajet 2007 walaupun ramai berpendapat Bajet 2007 adalah bajet tambat hati dan bajet pilihanraya.
Bagi menghapuskan dakwaan bahawa ada pengundi yang mengundi dua kali atau sebagainya, kita mencadangkan supaya supaya peruntukan diberikan kepada SPR agar dapat memperkenalkan penggunaan dakwat kekal ( indelible ink) bagi mengenal mereka yang sudah mengundi. India, sebuah negara yang mempunyai penduduk seramai lebih satu bilion orang dan mempunyai rekod pengurusan pilihanraya yang kemas dan baik di dunia, telahpun menggunakan sistem ini secara menyeluruh dan ternyata berkesan. Selanjutnya, kita juga mahukan SPR menggunakan peti undi yang lut sinar untuk menjamin kesahihan semasa proses pembuangan dan juga pengiraan undi.
Saya tegaskan di sini, kita benar-benar serius untuk mewujudkan sistem pilihanraya yang bebas telus dan adil. Justeru, kita telah memiliki satu sistem perisian komputer yang mana melalui sistem ini semua data Pilihanraya dapat dianalisis secara saintifik dan sistematik. Kita juga mempunyai asas apabila berkata perlaksanaan pilihanraya dalam negara ini dilakukan secara tempang. Sistem perkomputeran yang kita miliki berupaya untuk membersihkan daftar pengundi dan mengesan penyelewengan dan penipuan seperti pengundi hantu, pengundi yang telah meninggal dunia, pengundi yang terlalu tua - berusia 90 sehingga 122 tahun, pengundi yang tidak mempunyai saluran, pengundi yang menggunakan alamat palsu dan pengundi yang tiada Kad Pengenalan Baru.
Melalui sistem ini kita telah berjaya mengesan sejumlah 223,950 orang pengundi di Selangor yang tidak mempunyai Saluran. Kita juga berjaya mengesan di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pahang, jumlah pengundi yang berumur 90 tahun hingga 122 tahun berjumlah hampir 18,000 orang dan jumlah dan seramai hampir 50,000 orang lagi tidak memiliki kad pengenalan baru.
Sistem ini bukan sahaja boleh mengesan penipuan dan penyelewengan tetapi juga kaedah-kaedah penyelewengan, misalnya pengeluaran jumlah kertas undi yang berbeza bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang terletak di Parlimen yang sama. Malah, kewujudan "Daerah Mengundi Hantu" juga telah dikesan di Negeri Selangor. Terdapat juga pengundi-pengundi yang menggunakan alamat palsu seperti menggunakan alamat yang bercirikan pangsapuri sedangkan tidak wujud sebarang bangunan tinggi di Daerah Mengundi berkenaan.
Saya tegaskan di sini, satu laporan lengkap telah kami sediakan. Laporan yang bertajuk " The Democratic Deficit in Malaysia : A Report on Malaysian Elections" ini dilengkapi dengan bukti-bukti kukuh bagi mendedahkan penyelewengan dan penipuan serta kelemahan-kelemahan dalam sistem pilihanraya di Malaysia, telahpun dihantar kepada YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri, pada 29 Jun 2006 lalu. Namun, tiada sebarang reaksi yang kami terima. Justeru, di dalam Dewan yang mulia ini saya menggesa Perdana Menteri agar meneliti laporan tersebut dan mengambil langkah segera dan tegas untuk mengatasi kelemahan-kelemahan sistem Pilihanraya di negara ini.
PENUTUP
Kekuasaan adalah amanah rakyat yang diberikan kepada kita dan hendaklah kita laksanakan dengan penuh tanggungjawab. Pemerintah daripada rakyat kepada rakyat dan untuk rakyat. Setiap dari kita telah bersumpah untuk melakukan tugas kita dengan penuh amanah demi bangsa agama dan negara agar Malaysia menjadi negara yang aman adil dan sejahtera di dalam hati rakyatnya dan disegani dunia luar.
Sekian, terima kasih. |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home