Kehakiman Bebas dan Adil Asas Demokrasi
Sistem kehakiman bebas dan adil asas negara demokrasi moden Saya menyokong penuh permintaan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohammed Salleh Abbas dan Majlis Peguam Malaysia supaya suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk mengkaji sebab-sebab krisis kehakiman 1988. Pada suatu masa dahulu, sistem kehakiman negara kita dipandang tinggi di seluruh dunia kerana kebebasan dan integritinya. Walaubagaimanapun, bermula dengan krisis kehakiman 1988, pelbagai peristiwa seperti kes Ayer Molek, perletakan jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah serta perbicaraan saya telah memburukkan imej sistem kehakiman kita, serta negara kita keseluruhannya. Keengganan kerajaan mengkaji semula insiden tersebut bertentangan dengan komitmennya terhadap integriti dan perubahan. Sudah sampai masanya kerajaan melangkaui slogan yang muluk-muluk dengan menunjukkan kepimpinan yang sebenar. Keberanian segelintir hakim harus dipuji, tetapi mereka hanyalah individu yang tidak ramai dalam sistem kehakiman kita. Hanya kajian yang jujur dan bebas dapat memulihkan nama baik mangsa-mangsa krisis kehakiman 1988 dan insiden-insiden berikutnya, serta memulihkan kepercayaan rakyat Malaysia umumnya dengan sistem kehakiman kita. Dalang krisis ini mesti didedahkan. Perubahan juga mesti dibuat dalam perlantikan para hakim untuk memelihara kebebasan mereka. Sistem kehakiman yang bebas dan adil adalah asas sebuah negara demokrasi moden, dengan mengawal kuasa eksekutif, untuk mengelak menjadi kediktatoran yang dipilih. ANWAR IBRAHIM Penasihat Parti Keadilan Rakyat |
0 Comments:
Post a Comment
<< Home