SepangOnline

Sunday, September 24, 2006

Perutusan Ramadhan 1427

 23 September 2006

Assalamualaikum wrt dan Salam Sejahtera,

Umat Islam seluruh dunia akan menyambut Ramadhan al Mubarak dengan hati yang penuh debar. Ramadhan adalah bulan mulia dan bulan untuk membuat amal ibadat bagi menyucikan jiwa dan rohani kita dari segala bentuk kejahatan dan pengaruh hawa nafsu. Menjalani segala ibadah di sepanjang bulan ini diharapkan akan menjadikan kita insan yang lebih baik dari bulan-bulan sebelumnya. Ia juga bakal menjadi kayu ukur sejauh mana hubungan kita dengan Pencipta. Malah ia adalah bulan untuk kita bermuhasabah diri dan membetulkan segala kesilapan samada terhadap sesama manusia mahupun terhadap Allah SWT. Junjungan kita Nabi Muhammad SAW juga beramanat bahawa pada bulan Ramadhan umat Islam akan beroleh sekurang-kurangnya dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika berbuka puasa dan ketika menemui Tuhan di akhirat kelak. Kedua-dua kebahagiaan ini akan dinikmati oleh mereka yang berjaya mengharungi ujian-ujian pada bulan Ramadhan dan membuat sebanyak mungkin amalan dengan penuh keimanan dan keinsafan.

Rakyat Malaysia menyambut Ramadhan kali dalam suasana ekonomi yang menekan dengan kenaikan harga barang yang hampir tidak terkawal. Kaum surirumah pastinya lebih merasa terbeban dengan perbelanjaan dapur yang kian meningkat. Apatah lagi bekalan gula yang boleh dikatakan hampir putus dewasa ini. Justeru, adalah lebih baik jika majlis berbuka puasa dan seterusnya persiapan sambutan Hari Raya nanti dilakukan dengan cukup bersederhana. Saya yakin ia bukan sahaja selari dengan semangat Ramadhan itu sendiri tetapi ia juga baik untuk kesihatan kita malah akan dapat mengurangkan masalah tekanan ekonomi yang dihadapi. Manakala pada pihak kerajaan pula, usaha yang lebih berkesan hendaklah segera diambil terhadap permasalahan kekurangan gula ini memandangkan sambutan perayaan kian hampir dan kegagalan menanganinya akan lebih membebankan rakyat.

Ramadhan kali ini juga memperlihatkan keadaan dunia yang semakin tidak aman. Tindakan segelintir kumpulan pelampau telah memberi prasangka kepada Islam. Malah Islam juga telah dihina walau mungkin dalam keadaan yang tidak disengajakan. Harapan kita ialah semoga kedatangan Ramadhan kali ini akan mampu mengukuhkan perhubungan persaudaraan sesama umat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia memandangkan Islam adalah agama yang penuh dengan sifat toleransi. Bagi menghormati bulan mulia ini diharapkan semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk tindakan mahupun kenyataan yang boleh mewujudkan salah faham di kalangan masyarakat dunia dan di kalangan mereka sendiri.

KeADILan melihat peristiwa yang menimpa negara jiran Thailand seharusnya menjadi iktibar kepada kita semua. Rampasan kuasa yang tiba-tiba sahaja berlaku begitu memeranjatkan dunia. Kita yakin jika semua pihak bersedia berbincang dan memahami hak dan tanggungjawab masing-masing sejak dari awal perkara sebegini tidak akan berlaku. Kita juga berpendapat bahawa pencabulan terhadap salah satu elimen utama demokrasi iaitu pilihanraya yang bebas dan adil telah menjadikanThailand kehilangan sistem demokrasi secara total. Justeru, keADILan menyeru agar kerajaan Malaysia memikirkan secara mendalam akan peri pentingnya mewujudkan sebuah kerajaan demokrasi yang adil demi kesejahteraan dan keamanan rakyat.

Saya juga merayu agar seluruh rakyat Malaysia yang pelbagai agama dan bangsa agar menjadikan Ramadhan ini sebagai batu loncatan untuk lebih memahami dan mengenali teman-teman yang beragama Islam. KeADILan sentiasa komited di dalam mewujudkan suasana yang aman dan akan sentiasa menentang sebarang bentuk tindakan yang berupa hasutan yang akan mengakibatkan pertelingkahan antara agama dan kaum di negara ini lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadhan.

Akhir kata saya mewakili saf kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (keADILan), ingin merakamkan ucapan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh pendokong keadilan serta seluruh umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia dengan semangat terungkap di dalamnya.

Sekian , terima kasih

Dr Wan Azizah binti Wan Ismail

Presiden Parti Keadilan Rakyat

Ahli Parlimen Permatang Pauh

0 Comments:

Post a Comment

<< Home