SepangOnline

Monday, February 27, 2006

Kenaikan cukai tanah: Keadilan buka kaunter aduan

Oleh Zulkifli Mohamed

KULIM: Kenaikan mendadak kadar cukai tanah sehingga mencecah 400 peratus, mendorong Parti Keadilan Rakyat Kulim Bandar Baru dan Padang Serai membuka kaunter aduan orang ramai untuk mengumpul tandatangan bagi memohon kerajaan negeri mengkaji semula keputusan tersebut.

Menurut Naib Ketua Kulim Bandar Baru, Chu Maw Nian pihaknya akan mengumpulkan sebanyak mungkin aduan dan tandatangan yang akan dihantar kepada Menteri Besar Datuk Mahdzir Khalid sebagai tanda bantahan.

“Ia sebagai saluran orang ramai untuk melahirkan protes mereka terhadap kenaikan yang membebankan itu,” jelasnya yang ditemui di Pasar Besar Kulim, 26 Feb lalu.Katanya ada yang mengadu menghadapi kenaikan antara 100 sehingga 400 peratus.

Berikutan itu, katanya telah timbul kesedaran orang ramai perlunya negeri ini mempunyai barisan pembangkang yang kuat.Kaunter yang pertama kali dibuka itu, menerima lebih 100 aduan dalam masa sejam bermula 9.30 pagi.

“Memandangkan sambutan yang menggalakkan, kami bercadang membuka kaunter ini setiap minggu,” jelasnya.

Sementara Ketua Bahagian Padang Serai, Abdul Hamid Othman berkata selain membuka kaunter tersebut, pihaknya juga berkempen dari rumah ke rumah.

“Kita menjangkakan sambutan akan lebih menggalakkan pada bulan Mei, iaitu tarikh akhir bayaran cukai sebelum penalti dikenakan kerana bayaran lewat,” jelasnya.

Pada 18 Januari lalu, kerajaan negeri mengumumkan kenaikan kadar baru antara 20 hingga 156 peratus berkuatkuasa 1 Januari hingga 31 Disember 2015.

Menteri Besar berkata keputusan itu dibuat kerana semakan semula terhadap kadar tersebut tidak pernah dibuat sejak 1994.

Dalam perkembangan berkaitan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Ismail Hamid berkata kerajaan negeri tidak akan mengkaji semula atau menangguhkan kenaikan cukai tersebut kerana kadar itu bersesuaian dengan nilai hartanah masa kini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home