SepangOnline

Tuesday, February 28, 2006

MINYAK NAIK LAGI

Oleh Tun Telanai - Laman M@RHAEN

--------------------------------------------------------------------------------
Assalamu’alaikum wm.wrt.,
Dengan tidak semena-mena selepas mesyuarat MKT UMNO, kilat tiada, guruh tiada tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Dengan satu pengumuman pendek, harga petrol dinaikkan lagi sebanyak RM0.30 di Semenanjung mulai 28.2.2006. Sebelum ini, sebarang kenaikan harga runcit petrol ada klu-klunya, tetapi kenaikan pada kali ini tidak sebarang klu, tiba-tiba harga petrol dinaikkan secara drastic mengejutkan seluruh rakyat. Rakyat tergamam. Terkedu. Mulut ternganga.

Tindakan kerajaan pada kali ini dianggap sebagai tindakan seorang samseng. Bertindak mengikut hawa nafsu tanpa memperhitungkan keselamatan orang ramai, asalkan dia mendapat keuntungan daripada hasil rompakan harta tersebut.

Pada kali ini kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi bertindak paling kurang ajar dan biadap terhadap amalan demokrasi yang memerlukan perbincangan dengan pelbagai pihak sebelum sesuatu dasar atau peraturan baru yang hendak dilaksanakan kerana ia melibatkan kepentingan orang ramai. Baru di awal bulan Febuari yang lalu, tambang bas sekolah dinaikkan.

Dollah menganggap bahawa seluruh rakyat Malaysia adalah lembu-lembu pawah yang tidak akan berani bertindak melawan tuannya. Lembu-lembu ini akan terus memakan apa sahaja jenis rumput yang diberikan sama ada rumput kering atau hijau, tanpa banyak bersoal-jawab. Maka dengan itu, kerajaan pimpinannya berani buat apa sahaja terhadap rakyat yang dungu dan bodoh ini. Mereka akan menerima apa sahaja alasan yang kerajaan berikan.

Seperti biasa, media massa arus perdana akan mempertahankan kenaikan ini, pada kebiasaannya mereka tetap memberi alasan bahawa kenaikan harga petrol ini masih rendah berbanding dengan Singgapura dan Thailand. Kata media-media ini lagi kerajaan akan memastikan kenaikan ini tidak membebankan rakyat khususnya kenaikan harga barangan dan perkhidmatan akan dikawal oleh kerajaan. Ditambahkan lagi untuk menyedapkan hati bahawa kerajaan sangat prihatin terhadap nasib rakyat, maka akan dikelentong lagi bahawa kerajaan tidak mampu lagi menampung subsidi, bayaran subsidi itu akan disalurkan kepada pembangunan Negara. Nikmat pembanguan Negara ini sebenarnya hanya dinikmati oleh anak-menantu, sahabat handai dan kroni-kroni terdekat. Rakyat hanya makan hampas sahaja hasil buangan kelompok tersebut. Inilah alasan-alasan yang sering diberi kepada rakyat yang dungu dan bodoh ini yang termakan dengan umpan dan gula-gula yang diberi oleh kerajaan UMNO ini.

Tetapi hakikat sebenarnya setiap kali harga petrol dan desel dinaikkan, maka setiap kali itu juga harga barangan dan perkhidmatan terus meningkat membebankan rakyat dan rakyat terpaksa menanggung kos sosial yang mahal. Rakyat akan terus dibelenggu dengan kemiskinan. Pendapatan [kuasa beli] tidak dapat bersaing dengan kenaikan kos di pasaran yang tinggi. Rakyat terus berada dalam keadaan papa kedana. Kenaikan terbaru ini juga tetap memberi kesan kepada harga barang-barang keperluan. Kadar inflasi akan meningkat dan taraf hidup rakyat akan menurun.

Sebut sahaja Petronas, apa yang segera tergambar adalah sebuah syarikat minyak terkemuka yang mengaut keuntungan berbilion-billion ringgit dan perlumbaan kereta Formula Satu (F1) dengan berbagai projek meganya yang tidak pernah membawa faedah kepada rakyat secara langsung. Keupayaannya mencatatkan keuntungan kasar pada paras rekod sebanyak RM58.03 billion bagi tahun kewangan 31 Mac 2005, kenaikan 55 peratus berbanding tahun 2004, tetapi sayang keuntungannya itu tidak pernah sekali pun semenjak ia ditubuhkan untuk mengeluarkan zakat untuk membantu fakir miskin. Duit Petronas dihabiskan untuk membina ego pemimpin UMNO.

Lihatlah harga minyak sepanjang zaman [dalam masa 15 tahun- sejak 1990] :

Sebelum 90 - RM 0.89
tahun 1990 - RM 1.10 (kenaikan RM 0.21)
01/10/2000 - RM 1.20 (kenaikan RM 0.10)
20/10/2001 - RM 1.30 (kenaikan RM 0.10)
01/05/2002 - RM 1.32 (kenaikan RM 0.02)
31/10/2002 - RM 1.33 (kenaikan RM 0.01)
01/03/2003 - RM 1.35 (kenaikan RM 0.02)
01/05/2004 - RM 1.37 (kenaikan RM 0.02)
01/10/2004 - RM 1.42 (kenaikan RM 0.05)
05/05/2005 - RM 1.52 (kenaikan RM 0.10)
31/07/2005 - RM 1.62 (kenaikan RM 0.10)
28/02/2006 – RM1.92 (kenaikan RM0.30)
Sudah tiba masanya rakyat menunjukkan 'civil minded' sebagaimana yang berlaku di negara-negara Barat, di Filipina, di Thailand dan di negara-negara lain di mana rakyatnya amat sensitif sehingga kerajaan tidak berani untuk menaikkan harga keperluan sewenang-wenangnya. Mereka bangun dan bangkit serentak beramai-ramai menentang kenaikan tersebut sehingga boleh menggugat kerajaan yang memerintah.
Untuk rakyat Malaysia yang masih berada dalam `zon selesa', saya merayu kepada saudara-saudara semua keluarlah daripada zon itu serta tunjukkan kepada kerajaan bahawa kita tidak rela dibebankan dengan kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan.

Kepada NGO-NGO, persatuan-persatuan pengguna, parti-parti politik, saya merayu tolonglah gerakkan hati nurani rakyat supaya bangunlah bangkit menentang kezaliman kerajaan UMNO ini yang bertindak dengan sewenang-wenangnya tanpa memperhitungkan kebajikan dan nasib rakyat marhaen. Tunjukkanlah kesatuan dan perpaduan kita seperti mana kita bangkit menentang kes penghinaan terhadap Nabi Besar kita Muhammad s.a.w. Tunjukkanlah penentangan ini di seluruh Negara. Sudah berkali-kali harga petrol dan diesel dinaikkan, tetapi penentangan kita amat lemah menyebabkan kerajaan UMNO ini berani berbuat apa sahaja kerana kita tidak melawan. Kali ini jangan biarkan keadaan serupa berlaku lagi. Kita perlu turun padang ajak rakyat bersama kita menentang kenaikan tersebut yang tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Sekian. Wassalam.

- Tun Telanai -

0 Comments:

Post a Comment

<< Home