SepangOnline

Friday, February 24, 2006

KeADILan desak PM jelas isu Heritage Foundation KeADILan desak PM jelas isu Heritage Foundation

Oleh: Faisal Mustaffa

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (keADILan), Dr Syed Husin Ali sekali lagi mendesak Perdana Menteri, Abdullah Badawi untuk menjelaskan isu Heritage Foundation yang mana pihak kerajaan meluluskan pembayaran kepada Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad. Bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin dan Bekas Menteri Dalam Negeri, Megat Junid Megat Ayub.

Menerusi artikel Washingto Post, "Think Tank's Ideas Shifted As Malaysia Ties Grew", bertarikh 17 April 2005, kerajaan Malaysia telah membayar kepada Heritage Foundation untuk melobi mesyuarat di antara Presiden AS George Bush dan Mahathir.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan 18 Februari, Syed Husin berkata terdapat beberapa maklumat tambahan yang mengaitkan bekas Parti Republican, Jack Abramoff, sebagai menerima bayaran daripada kerajaan Malaysia.

Syed Husin yang memetik isi akhbar tersebut yang menyebut bahawa pejabat Kedutaan Malaysia telah membuat bayaran kepada Pusat Antarabangsa Amerika (AIC) USD300,000 (RM1.4 juta).

Abramoff dikatakan menggunakan badan AIC yang diasaskan di Rehoboth Beach oleh Michael Scanlon bagi melindungi kegiatannya.

Rehoboth Beach, Delaware, adalah sebuah resort di Lautan Atlantik yang jauhnya sejam dari Bandar Washington DC. Menurut siasatan yang dibuat oleh akhbar tersebut, bangunan tersebut sebenarnya sebuah rumah di tepi pantai dan kakitangan yang kononnnya ‘think tank’ kepada badan tersebut adalah sebenarnya bekas pasukan penyelamat pantai dan guru yoga.

“Pak Lah perlu menjelaskan pertuduhan yang mana akhbar tersebut melaporkan bahawa pegawai tertinggi di Kedutaan Malaysia di Washington adalah ipar kepada Daim.

”Akhbar Hill Newspaper bertarikh 13 Julai 2005 dalam laporan bertajuk, “Abramoff's Duo Quits US", pula melaporkan bahawa Abramoff dan Scanlon sedang dalam penyiasatan Jabatan Keadilan Amerika kerana kedua-dua mereka terlibat dalam aktiviti perjudian berjumlah USD60 juta.

“Bagaimana pemimpin besar Negara (Malaysia) boleh terlibat dalam kegiatan-kegiatan seumpama itu?” tanya Syed Husin.

Kisah Abramoff bermula dengan usaha yang dijalankan oleh Malaysia untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden AS.

Selepas berlakunya kegawatan ekonomi dan pemecatan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 1998, Malaysia telah dikritik hebat atas rekod hak asasi Mahathir terutama dari kalangan AS sendiri.

Heritage Foundation selepas itu mengadakan kerjasama dengan Malaysia bilamana pentadbiran Clinton sudah bersiap sedia mengecam tindakan Mahathir pada ketika itu.

Pada Februari 1999, presiden Heritage, Edwin J. Fuelner menyokong Naib Presiden Gore yang mengecam amalan kuku besi di Malaysia.

Situasi berubah selepas serangan 9/11 pada tahun 2001. Mahathir yang pada ketika itu anti-Barat tiba-tiba ditawarkan mengadakan usahasama dengan AS menentang keganasan.

Pada tahun 2002, Heritage telah menganjurkan ceramah-ceramah Bekas Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Badawi dan Menteri Pertahanan Najib Razak dalam membina jalan untuk memperkukuhkan hubungan AS-Malaysia dan kerjasama dari segi pertahanan.

“Seperti yang dilaporkan dalam artikel Washington Post, perkara tersebut berlaku serentak dengan pengekalan isteri Presiden Heritage, Linda Fuelner sebagai penasihat yang mengasaskan sebuah firma, Belle Haven Consultants,” ujar Syed Husin.

Belle Haven melantik Alexander Strategy Group, sebuah firma di Washington yang digerakkan oleh Tom DeLay, bagi membantu mewakili perwakilan dari Malaysia.

Berdasarkan rekod yang diperolehi, klien bagi Belle Haven Consultants disenaraikan sebagai PK Baru Energy Sdn Bhd, yang berpusat di 12-4 Level 12, East Wing, Rohas Perkasa, No 8 Jalan Perak, KL 50450.

“Difahamkan syarikat tersebut dipunyai oleh Tan Sri Megat Junid,“ jelas Syed Husin lagi.

Menurut Syed Husin lagi, Megat Junid pada ketika itu mengetuai Persatuan Pertukaran AS-Malaysia, yang ditubuhkan sebagai badan hadapan yang dipertanggungjawabkan untuk mengatur lawatan dan mengagihkan dana.

“Terdapat dakwaan bahawa RM5.3 juta telah dibayar untuk memastikan pertemuan Mahathir di White House. Saya juga difahamkan pada Februari tahun lalu, kerajaan membayar RM40 juta kepada Heritage Foundation melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB),” sambung Syed Husin.

”KeADILan di sini ingin mendesak sekali lagi daripada Pak Lah untuk menjelaskan kepada rakyat peranan yang dimainkan oleh Tun Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin and Tan Sri Megat Junid terhadap bayaran-bayaran tersebut,” kata Syed Husin.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home