SepangOnline

Wednesday, February 15, 2006

GERAK kesal menteri korupsi kekal

Oleh Zukifli Mohamed

Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd Nor, berkata pengekalan beberapa menteri yang jelas terlibat dalam korupsi dalam rombakan kabinet, Selasa, sebagai sesuatu yang amat mendukacitakan.

“Kita mengharapkan suatu pembersihan berlaku dalam rombakan kabinet, tetapi perkara ini tidak berlaku,” jelasnya yang dihubungi Malaysia Today.

Justeru, katanya rombakan itu jelas satu tindakan mengundur ke belakang, dari sudut membina negara ini bebas dari korupsi.

Ezam berkata tindakan itu bertentangan dengan apa yang dilaungkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu untuk membanteras korupsi.

“Apa yang berlaku hari ini memperlihatkan sikap retoriknya,”

Menurutnya, Abdullah gagal untuk melakukan perubahan kerana tidak dapat menterjemahkan kata-katanya itu melalui tindakan.

“Sama ada beliau menipu kita atau sememangnya beliau tidak mampu melakukan perubahan, tetapi apa yang jelas beliau gagal melakukan perubahan yang diharapkan,” jelas Ezam.

Ezam yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan pernah dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah seksyen Petaling Jaya di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Beliau didakwa mendedahkan dokumen rahsia iaitu kertas pertuduhan terhadap Menteri Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz daripada Bahagian pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Mac 1995, berkaitan peruntukan 1,500,000 unit saham Leader Universal Holdings Bhd, kepada menantunya, Fazrin Azwar Mohd Noor.

Rafidah merupakan pengerusi Jawatankuasa Pembahagian Saham Khas Bumiputera, yang meluluskan saham berkenaan.

Dengan hukuman itu bermakna mahkamah mengesahkan bahawa dokumen yang didedahkan oleh Ezam itu asli dan benar bukan bahan rekaannya.

Walaupun begitu Abdullah masih mengekalkan Rafidah di portfolio yang sama, meskipun beliau terus diselubungi kontroversi, terbaru tentang isu permit import (AP).

Sebelum itu, Pengerusi Majlis Bertindak Rakyat Kelantan Datuk Ibrahim Ali terkejut dengan pengekalan jawatan Rafidah.

Menurutnya, walaupun Rafidah berpengalaman, tetapi beliau adalah Menteri yang diselubungi pelbagai konstroversi.

Katanya, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed sendiri pernah menuduh Rafidah menyalahgunakan kuasanya, berkaitan pembahagian permit AP.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home