SepangOnline

Thursday, February 23, 2006

Angkatan Muda Keadilan beri tempoh 2 minggu kepada Dr M

Oleh Zulkifli Mohamed

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat akan melaporkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamed enggan mendedahkan ‘individu’ yang membiayai pertemuan beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) George W.Bush pada Mei 2002 yang membabitkan pembayaran sebanyak RM4.6 juta.

“Kita memberikan tempoh dua minggu kepada Dr Mahathir untuk berbuat demikian,” jelas Naib Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin yang dihubungi Malaysia Today.

Menurutnya berdasarkan jumlah bayaran tersebut dan kedudukannya selaku Perdana Menteri ketika itu, bayaran sebanyak itu mungkin daripada khazanah negara.

“Kita meragui kemungkinan Dr Mahathir menggunakan kedudukannya ketika itu menggunakan duit rakyat untuk membayar kepada pelobi tersebut,” katanya.

“Sekiranya beliau tidak mampu mendedahkannya kita yakin terdapat salahlaku rasuah…,” jelasnya.

Shamsul berkata tindakan itu diambil kerana ia melibatkan kepentingan negara.

Menurutnya akta rasuah negara ini membolehkan pendakwaan ke atas mana-mana individu walaupun selepas bersara.

Beliau mengulas penafian Mahathir, Isnin yang mendakwa tidak menggunakan wang kerajaan sebagai bayaran perkhidmatan kepada pelobi Jack Abramoff bagi menjayakan pertemuan di White House ketika itu.

Baru-baru ini, Jack Abramoff telah didapati bersalah atas kesalahan melakukan penipuan dan rasuah.

Akhbar Washington Post, 17 April tahun lalu mendedahkan Kerajaan Malaysia menggunakan perkhidmatan sebuah yayasan milik pelobi Yahudi, Heritage Foundation bagi mengatur pertemuan Bush-Mahathir yang melibatkan bayaran jutaan ringgit.

Sebuah syarikat Malaysia, PK Baru Energy, yang ditubuhkan pada pada tahun 2000 turut dikaitkan dengan Heritage Foundation.

Pemegang saham utamanya ialah bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub dan anak lelakinya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home