SepangOnline

Sunday, February 05, 2006

Anak Muda Terus Sokong Keadilan

Muda Mohd Noor (Malaysiakini)

KUALA LUMPUR - Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, golongan muda, terutama pelajar dan kakitangan kerajaan menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara senyap-senyap kerana takut dikenakan tindakan oleh kerajaan.

Berikutan itu, katanya, mereka hanya menjadi aktivis PKR, iaitu dengan menjalankan kerja-kerja untuk parti secara senyap-senyap.

“Mereka ini kita panggil sebagai aktivis parti, iaitu menyokong PKR tetapi tidak menjadi ahli parti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shamsul berkata demikian sebagai mengulas dakwaan seorang pemimpin kanan PKR bahawa sokongan golongan muda terhadap parti itu semakin berkurangan berbanding di peringkat awal penubuhannya pada 1999.

Pemimpin PKR itu mendedahkan, sokongan orang muda terhadap parti itu merosot teruk berbanding tahun 1999 kerana beberapa faktor, termasuk kegagalan pemimpin turun mendekati mereka.

Katanya, pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga gagal menarik sokongan orang muda terhadap parti itu.

Sehubungan itu, Shamsul berkata, aktivis ini bertindak sebagai ejen parti di seluruh negara dengan sebahagian besarnya bergerak aktif di kawasan Lembah Kelang.

Pilihanraya kampus

Katanya, tugas aktivis parti ialah menyampaikan maklumat dan program parti, mengedarkan risalah dan dalam masa tertentu menghadiri program parti.

“Mereka bertindak lebih sebagai jurucakap parti dengan menyebarkan berita parti kepada kumpulan tertentu di kawasan masing-masing,” tambahnya.

Beliau berkata, kesedaran politik orang muda, terutama pelajar hari ini semakin meningkat menyebabkan kerajaan terpaksa campurtangan dalam pilihanraya kampus.

Shamsul juga mengulas mengenai keenganan kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini.

Shamsul mendakwa, ini kerana kerajaan melalui Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mahu mengawal aktiviti pelajar supaya terus berada di bawah kawalan mereka.

Katanya, sejak dulu lagi pelajar aktif berpersatuan dan ini menimbulkan kebimbangan bahawa mereka akan menentang kerajaan.

Sehubungan itu, Shamsul mencabar kerajaan supaya memberi kebebasan kepada pelajar untuk membabitkan diri dengan persatuan dan aktiviti luar termasuk politik.

“Jika pemikiran pelajar dikongkong, bagaimana untuk melahirkan masyarakat glokal? Saya anggap kenyataan itu sebagai retorik semata-mata,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home