SepangOnline

Wednesday, February 22, 2006

Mengapa Kedutaan Malaysia bayar RM1.1 juta?

Petikan drp: MalaysiaKini - Feb 22, 06 5:31pm
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan Isnin lalu yang kerajaan telah membayar AS$1.2 juta (RM4.6 juta) kepada pelobi Amerika, Jack Abramoff, untuk menguruskan pertemuan beliau dengan Presiden George W Bush pada tahun 2002.

Bagaimanapun, beliau mengakui, bayaran berjumlah berjuta-juta ringgit dibayar kepada Abramoff - yang sebelum ini, telah mengaku bersalah melakukan penipuan dan rasuah - tetapi berkata bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak tahu siapa yang membiayai bayaran tersebut.

"Saya difahamkan beberapa orang telah membayar sejumlah wang kepada pelobi-pelobi di Amerika tetapi saya tidak tahu siapa mereka ini dan bukan daripada kerajaan Malaysia," kata Dr Mahathir kepada pemberita.

Tetapi mengapa satu invois telah dihantar kepada Kedutaan Malaysia di Washington DC oleh Abramoff bagi menuntut bayaran sebanyak AS$300,000 (RM1.1 juta) bagi 'perkhidmatan' yang tidak dinyatakan secara khusus.

Invois satu muka surat itu, yang dikeluarkan pada 15 Jun 2001, dialamatkan kepada Dr Fauziah Mohamad Taib, yang ketika itu berjawatan Deputy Chief the Mission di Kedutaan Malaysia di Washington DC.

Dua tahun kemudiannya Fauziah dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Fiji dan kini menjadi Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar, Kementerian Luar.

Mengikut invois tersebut, sejumlah RM1.1 juta dikenakan bagi 'perkhidmatan' bagi tempoh dua bulan - dari 19 Jun kepada 19 Ogos 2001. Ia bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut mengenai bentuk perkhidmatan tersebut.

Menurutnya, cek bayaran hendaklah dibuat atas nama American International Center (AIC), sebuah badan pemikir palsu yang ditubuhkan oleh rakan kongsi Abramoff - Michael Scanlon - yang berpejabat di sebuah rumah pantai di Delaware dekat Washington DC.

Invois tersebut adalah sebahagian daripada rekod rasmi Jawatankuasa Senat Amerika mengenai Hal-Ehwal Kaum Peribumi Indian, yang dipengerusikan oleh Senator John McCain, yang menjalankan siasatan ke atas Abramoff kerana menipu kaum tersebut yang mendapatkan bantuannya untuk mewujudkan operasi perjudian mereka.

Kedutaan Malaysia itu didapati telah mengeluarkan cek berjumlah AS$300,000 kepada AIC, bertarikh 6 Mac 2002. Tidak dapat dipastikan daripada mana datangnya wang tersebut sekiranya ianya bukan daripada pihak kerajaan, seperti yang didakwa oleh Dr Mahathir.

Firma pelobi

Sebelum ini, Abramoff dan Scanlon mengaku menggunakan AIC untuk mengutip berjuta-juta ringgit bagi perkhidmatan lobi yang dijalankan untuk pelanggan mereka.

Dengan cara itu, Abramoff menyatakan dalam borang maklumat lobi persekutuan bahawa para pelanggannya adalah dari Delawar dan dengan itu dapat mengelak daripada mendaftar dengan Jabatan Kehakiman sebagai ejen negara asing.

Bagaimanapun, Abramoff bukanlah satu-satunya pelobi yang diberi bayaran untuk mengatur perjumpaan Dr Mahathir-Bush itu.

Sekurang-kurangnya satu lagi firma pelobi di Washington - Alexander Strategies, yang diuruskan oleh rakan Abramoff - turut mendapat habuan kerana membantu menaikkan reputasi Malaysia di Washington.

Firma tersebut terbabit dalam menguruskan pertemuan di Rumah Putih itu dan lawatan berasingan bagi pemimpin utama Kongres dan beberapa ahli Demokrat, ke Malaysia.

Alexander Strategies dikaitkan dengan badan pemikir Heritage Foundation, yang telah dibayar lebih AS$1 juta (RM$3.7 juta) antara tahun 2001 dan 2003 bagi melobi bagi kepentingan Malaysia.

Bayaran tersebut dibuat melalui syarikat yang berpejabat di Hong Kong, Belle Haven Consultants, yang dikaitkan dengan Presiden Heritage Edwin Feulner dan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub, yang merupakan penyokong kuat Dr Mahathir.

Belle Haven - di mana Megat Junid yang dipercayai mempunyai kepentingan - telah diberi tugas menjalankan kempen lobi membabitkan AS$1.4 juta (RM5.3 juta), dengan menggunakan platform Heritage Foundation.

Sebahagian wang tersebut dibayar oleh PK Baru Energy, sebuah syarikat Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2000 dengan pemegang sahama utamanya ialah Megat Junid dan anak lelakinya.

Kempen lobi yang membabitkan berjuta-juta ringgit itu membawa hasil. Dr Mahathir akhirnya dapat mengadakan pertemuan dengan Bush pada bulan Mei 2002.

Di samping itu, Heritage juga menjadi hos majlis penyampaian ucapan mengenai hubungan AS, oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tahun 2002. Tamat

Copyright © 1999-2005 Mkini Dotcom Sdn Bhd. All rights reserved

Sumber: MalaysiaKini

0 Comments:

Post a Comment

<< Home