SepangOnline

Wednesday, February 22, 2006

Polis siasat Anwar yang didakwa buat kenyataan berunsur hasutan

Oleh Arfa'eza A Aziz Petikan drp: MalaysiaKini - Feb 22, 06 7:00pm
--------------------------------------------------------------------------------
Polis sedang menjalankan siasatan terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa membuat kenyataan yang berunsur hasutan dalam ceramahnya sewaktu kempen pilihanraya kecil Pengkalan Pasir tahun lalu.
Anwar telah diarah memberi keterangan bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman tiga tahun penjara dan denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Peguam Sankara Nair memberitahu malaysiakini bahawa pelanggannya itu diarah memberi keterangan, melalui sepucuk surat bertarikh 31 Januari 2006 yang ditandatangani oleh pegawai penyiasat ASP Fazlisyam Abd Majid dari ibupejabat balai polis Pasir Mas.

Katanya, surat tersebut tidak menyatakan siapa yang membuat laporan polis terhadap Anwar yang memberi ceramah di stadium mini Pasir Mas pada 27 November 2005. Ia juga tidak menyebut bila laporan polis itu dibuat.

"Saya tidak dapat memberi banyak komen kerana kami belum diberi salinan laporan polis itu dan kami tidak tahu kenyataan manakah yang didakwa berunsur menghasut yang disebut oleh pelanggan kami."

"Bagaimanapun, kami telah menjawab yang pelanggan kami akan bekerjasama dengan pihak polis dan bersedia memberi keterangan dalam bulan Mac apabila beliau balik bercuti dari Washington," katanya.

Menyatakan kebenaran

Ketika dihubungi, ASP Fazlisyam mengesahkan telah menghantar surat tersebut kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu, tetapi enggan memberi sebarang butiran mengenai kes tersebut. Beliau juga enggan mengesahkan sama ada beliau pegawai penyiasat kes tersebut.

"Saya tidak memberi sebarang maklumat kerana terdapat arahan jangan bercakap apa-apa dengan pihak media. Jika anda mahukan butirannya, anda perlu mendapatkannya dari ketua polis negeri," katanya.

Ketua Polis Kelantan SAC 1 Zulkfili Abdullah tidak dapat memberi sebarang komen kerana beliau sedang menghadiri mesyuarat.

Bercakap mengenai perkara tersebut, Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang turut menghadiri ceramah tersebut, mendakwa, Anwar tidak menyebut apa-apa yang boleh dianggap berunsur hasutan.

"Beliau tidak menyebut apa-apa yang boleh menyinggung mana-mana bangsa dan agama. Beliau mungkin mengkritik parti pemerintah, tetapi apa yang beliau kata semuanya benar. Apa yang benar tidak boleh dianggap hasutan," tegasnya.

Beliau mengesyaki laporan polis itu mungkin satu percubaan untuk mencemarkan Anwar yang secara terbuka mengkritik kerajaan dan dasar-dasarnya.

Anwar berucap kepada kira-kira 10,000 hadirin di Pasir Mas pada 27 November tahun lalu sebagai menyokong calon PAS yang bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Anwar, yang sebelum ini merengkok selama enam tahun dalam penjara atas kesalahan liwat dan rasuah, kini menjadi pensyarah pelawat di Universiti Georgetown di Washington. Beliau dibebaskan pada bulan September 2004 selepas Mahakamah Persekutuan membatalkan tuduhan liwat terhadapnya. Tamat

Copyright © 1999-2005 Mkini Dotcom Sdn Bhd. All rights reserved

Sumber: MalaysiaKini

0 Comments:

Post a Comment

<< Home