SepangOnline

Saturday, February 04, 2006

Anwar pimpin gabungan pembangkang gempur BN di Sarawak

Oleh Hakim BujangBekas

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berkampung di Sarawak di musim pilihan raya negeri bagi membantu pimpinan gabungan pembangkang Sarawak melawan Barisan Nasional.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali dalam ucapan beliau di sesi dialog di Kampung Tengah, Gedong, Sarawak berkata Anwar akan turun padang bagi membantu calon-calon PKR, DAP, PAS, MDC dan SNAP di seluruh Sarawak. "Anwar akan berkampung di Gedong, Simunjan, Kuching malahan menjelajah seluruh Sarawak kali ini," kata beliau.

Azmin yang berucap di majlis dialog itu terkilan kerana majlis yang dirancang PKR di sebuah Rumah Panjang di Temiang disabotaj oleh Pegawai Daerah, Kakitangan Kemas serta anggota polis sehinggakan mereka terpaksa berpindah lokasi di saat-saat akhir. Petanda itu menurut beliau menunjukkan BN kini gusar dan merasakan cabaran yang bakal diberikan oleh PKR dalam pilihan raya kali ini.

"Saya bukannya Menteri atau wakil rakyat, saya dengan Wan Zainal (Wan Senusi) cumalah orang kecil tetapi mengapa mereka menghalang saya untuk berkunjung ke sebuah rumah panjang?

"Ini kerana mereka sudah takut dan rakyat sudah tahu bahawa PKR bukannya pencuri atau perompak tanah rakyat, dan rakyat sudah tahu perkara sebenar dan bakal berkata ‘enough is enough’," katanya.

Beliau menegaskan BN pasti mempersundalkan isu PKR sebagai sebuah parti semenanjung bagi mengelirukan rakyat agar terus melihat parti itu sebagai tidak mempunyai paksi di Sarawak. "PKR bukannya parti bersikap kenegerian, tetapi sebuah parti bersifat nasional yang memperjuangkan keadilan," tegasnya.

Beliau berkata BN pasti menerima tamparan hebat kerana ribuan penyokong gabungan BN sudah bertindak meninggalkan parti itu untuk menyertai PKR di Sabah dan Pulau Pinang. "Ribuan penyokong PBS di Sabah sudah mengucapkan selamat tinggal kepada BN."

"Di Pulau Pinang ribuan orang penyokong serta pemimpin MCA juga sudah mengisytiharkan diri mereka memasuki PKR dan bakal berbuat demikian secara rasmi tidak lama lagi," tegasnya.

Azmin berkata walaupun pemimpin BN berusaha keras bagi memburuk-burukkan imej Anwar di Malaysia, Penasihat PKR itu mendapat sanjungan tinggi di mata dunia. "Bayangkanlah sendiri doktor yang membedahnya tidak mahu dibayar, manakala Raja Arab Saudi menghantar jet untuk membawa Anwar sebagai tetamu negara untuk mengerjakan Umrah."

"Malahan, mana-mana usahawan Malaysia yang ingin mengintai projek di Turki sudah diarahkan oleh pemimpin negara itu supaya memintanya daripada Anwar," katanya.

Selain itu, Azmin berkata penghormatan yang diberikan oleh negara-negara besar dunia seperti India dan Indonesia terhadap Anwar juga menggusarkan pimpinan BN.

"Ketika TPM Datuk Seri Mohd Najib Razak di Indonesia, Anwar yang kebetulan berada di sana mendapat ruang muka depan akhbar tiga hari berturut-turut dengan gambar berwarna sedangkan Najib cuma berada di muka surat tujuh tanpa gambar," jelas beliau.

Azmin berkata walaupun segala jenis penghinaan sudah dilemparkan terhadap Anwar, segala usaha itu tidak menjejaskan beliau malahan menaikkan lagi imejnya di mata dunia. Azmin mengakui prestasi PKR dalam pilihan raya yang lalu agak hambar, tetapi kini segalanya bakal berubah.

"Dulu ketua kita di dalam kini beliau sudah berada di luar maka kita akan membacakan talkin untuk menguburkan BN," tegas beliau.

Azmin berkata pihaknya akan melakukan pendedahan demi pendedahan di musim pilihan raya yang akan datang kerana rakyat berhak untuk tahu perkara sebenar.

"Jika pemimpin-pemimpin boleh diberikan tanah ratusan malah ribuan ekar, masakan rakyat meminta tanah sekangkang kera untuk dijadikan tapak rumah pun tidak boleh," katanya.

Terdahulu, pemimpin PKR Sarawak Wan Zainal Wan Senusi berkata pihaknya akan menyerahkan notis bantahan rasmi kepada pejabat Daerah Simunjan atas tindak-tanduk Pegawai Daerah menghalang lawatan PKR ke rumah Panjang di Kampung Temiang.

"Kita merupakan sebuah parti politik berdaftar dan mempunyai hak untuk menerangkan agenda politik kita kepada rakyat, kita bukannya pengganas komunis. Mengapa pula DO bertindak mewakili parti pemerintah untuk mengganggu dan menggagalkan rancangan kami.”

"Jika dia ingin hendak masuk politik, letak jawatan dan masuklah politik sepenuh masa," kata Wan Zainal. Beliau berkata perkara itu tidak akan melemahkan semangat penyokong serta pimpinan PKR untuk menghampiri rakyat.

Malah tindakan menghalang mereka dari menaiki rumah panjang secara rasmi itu membuka jalan kepada mereka bagi menghampiri penduduk rumah panjang melalui jalan alternatif.

Wan Zainal berkata pihaknya akan mendedahkan penyelewengan BN dalam pilihan raya kali ini supaya rakyat tidak terus ditipu dalam pilihan raya akan datang.

"Dulu mereka menggunakan syarikat mati bernama Punggur Wibawa dan Sadong Wibawa untuk menerbitkan saham bernilai RM1 kepada pengundi.”

"Malah janji untuk memberikan tanah 5 ekar seorang kepada setiap penduduk kampung di Gedong dan Simunjan dalam pilihan raya 2001 masih tidak ditunaikan sehingga hari ini.”

"Selain itu, kita juga tidak tahu dimanakah letaknya tanah 24 ribu ekar yang dibangunkan bagi penduduk Melayu Gedong dan Simunjan seperti yang dijanjikan," kata beliau. Majlis itu turut dihadiri oleh Pengerusi protem Malaysia Dayak Congress, Nicholas Bawin serta Ketua Pemuda SNAP, Dayrell Walter Entrie.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home