Kisah Sebenar di sebalik kenaikan harga minyak di Malaysia
--------------------------------------------------------------------------------
Assalamualaikum w.b.t.
Rupanya naik lagi harga minyak dipasaran Malaysia. Sebenarnya saya cuba memerhatikan ketidakseimbangan harga minyak dipasaran dunia beberapa bulan yang lalu. Rata-rata ada juga sesekali harga minyak dunia mengalami penurunan. Walaupun begitu, media arus perdana di Malaysia tidak mengambil kisah akan perubahan positif itu. Benar juga kata Pak Samad, surat khabar Malaysia membosankan !
Sesungguhnya pasaran minyak di dunia ini amat 'liar' untuk dijinakkan. Rata-rata iklim untuk kenaikan harga minyak tertumpu kepada "Rancangan memperkayakan uranium" di Iran, krisis pemberontakan dan penculikan di kawasan kemudahan minyak Nigeria, dan terbaru ancaman pengganas di Kingdom's Abqaiq Refining Center Arab Saudi.
Harga Minyak Pernah Turun
Sebelum peristiwa-peristiwa itu berlaku, pasaran harga minyak dunia pernah mencecah harga terendah semenjak dari krisis harga minyak pada Julai 2005 iaitu serendah US Dollar 56.93 se-barrel. Namun pada Isnin 15 November 2005, harga meningkat kembali ke paras US Dollar 58 se-barrel. (AMEinfo.com)
Pada 16 November 2005, harga minyak kekal pada harga US Dollar 57 se-barrel. Dimana pada masa itu harga "US light crude" turun 21 sen kepada US Dollar 56.71 (terendah semenjak 21 Julai 2005) dan harga "London Brent crude" pada paras US Dollar 54.98 se-barrel iaitu menurun 20 sen. (AMEinfo.com)
Harga Minyak Mula Naik
Berita AMEinfo.com melaporkan minyak ditutup pada paras lingkungan US Dollar 60 se-barrel dimana "US light crude" berada pada paras US Dollar 59.30. Pada masa ini, keadaan musim sejuk menyebabkan permintaan minyak tinggi di negara-negara Eropah yang mula mengalami musim sejuk.
Pada 8 Disember 2005, harga minyak naik kembali ke paras melebihi US Dollar 60 se-barrel. Dimana "US light crude" meningkat 43 sen kepada US Dollar 60.87 se-barrel pada harga pembukaan dan "London Brent crude meningkat 46 sen kepada US Dollar 58.07 se-barrel.
Pada masa ini, pengeluaran minyak negara-negara Opec mula ditingkatkan untuk mengimbangi kenaikan harga ini iaitu naik pada kadar purata 30,000 barrel sehingga 30.25 juta bpd (barrel per day) pada bulan November. Saudi meningkatkan pengeluaran kepada 120,000 barrel sehingga 9.62 juta bpd, iaitu tertinggi semenjak November 2004.
Pada rabu, 28 Disember 2005, harga minyak dunia menurun kepada US Dollar 58 se-barrel. Manakala para penganalisa menjangkakan harga minyak berada pada tahap US Dollar 57.34 pada tahun 2006, berdasarkan sumber Reuters.
Namun pada 5 Januari 2006, "US light crude" mencecah paras US Dollar 63 se-barrel berikutan kebimbangan krisis gas Russia. Selepas itu, harga minyak mula "menggila" pada 10 Januari 2006 apabila naik melebihi US Dollar 6 sebarrel semenjak minggu terakhir 2005.
Pada 15 Januari 2006, "US oil futures" ditutup pada US Dollar 63.40 pada 13 Januari 2006, iaitu turun 34 sen selepas Shell meneruskan mengepam 120,000 bpd di Nigeria berikutan krisis penculikan di sana. Namun begitu pengeluaran 100,000 bpd masih ditutup disebabkan letupan pipeline di sana.
Pada 18 Januari 2006, minyak dijangkakan mencecah pada harga US Dollar 65 se-barrel di New York selama 3 bulan berikutan krisis Nigeria serta krisis nuklear di Iran. Selepas itu bermacam-macam spekulasi yang timbul keatas kebimbangan tenaga nuklear Iran yang agak meruncing pada ketika itu sehinggakan ada spekulator yang menjangkakan harga minyak akan mencecah US Dollar 70.
Pada masa itu daripada 55 penganalisa, seramai
29 menjangkakan harga meningkat
8 menjangkakan menolak
18 pula menjangkakan akan mengalami sedikit perubahan.
Nampaknya apa yang dijangkakan itu menjadi kenyataan apabila harga minyak hampir mencecah US Dollar 70 sebarrel apabila "US crude oil" berada pada paras US Dollar 69.20 sebarrel pada 24 Januari 2006 namun masih tidak setinggi rekod tertinggi pada Ogos 2005 iaitu pada US Dollar 70.85.
Tetapi pada 25 Januari 2006, harga minyak tergelincir ke paras US Dollar 67 se-barrel. Dimana "US light crude" menurun 32 sen kepada US Dollar 66.74 se-barrel sementara "London Brent" turun 34 sen kepada US Dollar 65 se-barrel.
Pada 9 Februari 2006, harga minyak turun lagi kepada paras US Dollar 63 se-barrel setelah para pelabur yakin dengan kekuatan "US stockpiles". Pada ketika ini "US light crude" jatuh kepada US Dollar 63.04 se-barrel dan pernah turun sehingga US Dollar 62.76 se-barrel.
Selepas itu harga minyak turun lagi pada 14 Februari 2006 walaupun pada mulanya menjangkakan inventori "US crude" tinggi. Pada masa ini "US light crude" turun 29 sen kepada US Dollar 60.95 se-barrel.
Harga Minyak Mula menampakkan kestabilan pada US Dollar 60 se-barrel.
Keadaan Penculikkan ke atas pekerja minyak di Nigeria
Seperti yang saya sebutkan tadi, penculikkan oleh pemberontak di Nigeria masih lagi berlangsung. Namun pada 19 Februari 2006, berita melaporkan pemberontak telah membebaskan 9 pekerja minyak yang diculik itu. Maka harga minyak berada kembali pada paras US Dollar 2006 pada minggu sebelumnya. Iklim minyak di Nigeria turut memainkan peranan harga minyak dunia memandangkan Nigeria adalah negara ke-8 pengeksport minyak terbesar di dunia.
Keadaan menjadi gawat lagi apabila pemberontak di sana mengebom pipeline dan tanker terminal terbesar menyebabkan pengeluaran negara itu berkurangan 19 peratus. Ini menyebabkan harga pada 20 Februari 2006 meningkat sebanyak US Dollar 1.50. Shell bertindak menutup pengeluaran sebanyak 340,000bpd di platform Forcados tanker serta menutup 115,000 bpd lagi apabila mereka menutup pelantar EA field (Reuters).
Krisis pengeboman di telaga minyak Arab Saudi mengeruhkan suasana.
Pada Ahad, 26 Februari 2006, pengebom berani mati bertindak mengebom telaga minyak disana menyebabkan harga minyak meningkat pula kepada US Dollar 63 se-barrel.
Namun pada hari semalam, iaitu 27 Februari 2006, harga minyak turun sebanyak US Dollar 1.00 setelah mendapat laporan bahawa serangan militan di Arab Saudi tidak mengganggu pengeluaran minyak. Berita terbaru menunjukan bahawa pihak berkuasa Saudi berjaya membunuh 5 orang militan yang dipercayai mempuyai kaitan dengan pengebom berani mati pada jumaat yang lalu. Pada masa kini, harga "US light crude" turun 91 sen kepada US Dollar 61.99 se-barrel.
Keadaan Minyak Di Malaysia.
Mutakhir ini, Malaysia melalui BERNAMA hari ini melaporkan Harga Minyak Naik 30 Sen Mulai Selasa iaitu berkuatkuasa hari ini. Ternyata iklim sementara di Nigeria serta serangan pengebom berani mati di Arab Saudi menjadi "senjata" utama untuk kerajaan Malaysia menaikkan harga minyak. Ketika harga minyak dunia mencecah paras US Dollar 57 se-barrel penganalisa tidak ambil pusing tetapi apabila berada berada pada paras US Dollar 63 se-barrel walaupun mungkin untuk sementara waktu, "alert" pula kerajaan Malaysia memanipulasikan keadaan.
Jika dahulunya pihak kerajaan Malaysia melihat keadaan yang agak lama untuk menaikkan harga petroleum tetapi kini lain pula kisahnya. Mungkin jika keadaan di Saudi serta Nigeria selesai, harga minyak turun lagi walaupun para penganalisa minyak sedunia begitu memberi perhatian kepada iklim Iran-Amerika Syarikat dengan Isu nuklearnya.
Kini saya ambil petikan dari berita BERNAMA,
"Kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak 30 sen seliter serta harga runcit LPG sebanyak 30 sen sekilogram berkuatkuasa esok (Selasa)," kata kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri Isnin malam.
Kenaikan tersebut, kata kenyataan itu adalah bagi menangani impak kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia serta membendung pertambahan subsidi yang perlu ditanggung.
Bagaimanapun, kenyataan itu menyatakan kerajaan memberi jaminan bahawa harga runcit barangan petroleum tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini.
Kali terakhir kerajaan menaikkan harga runcit barangan petroleum ialah pada 31 Julai, 2005 iaitu petrol sebanyak 10 sen seliter, diesel sebanyak 20 sen seliter dan LPG sebanyak 5 sen sekilogram.
Harga Petrol RON 97 kini berharga 192 sen seliter, Petrol RON 92 -- 188 sen seliter, Diesel -- 158.1 sen seliter dan LPG -- 175 sen sekilogram.
Bagi Sabah pula, Petrol RON 97 berharga 190 sen seliter, Petrol RON 92 -- 188 sen seliter, Diesel -- 158.4 sen seliter dan LPG -- 183 sen sekilogram.
Di Sarawak, Petrol RON 97 berharga 191 sen seliter, Petrol RON 92 -- 188 sen seliter, Diesel 157.8 sen seliter dan LPG -- 183 sen sekilogram. Semua harga baru itu mengalami kenaikan sebanyak 30 sen. - Bernama, 28 Februari 2006
Bagi saya kerajaan tidak perlu gusar dengan subsidi kepada harga minyak di Malaysia memandangkan jika benarlah khabarnya Malaysia akan mula mengeluarkan biodiesel berasaskan kelapa sawit pada tahun depan. Malah mengikut sumber BBC News, Malaysia sedang berada pada landasan betul untuk menjadi pengeluar biodiesel di Eropah !
"Apa sudah jadi ni Pak Lah...?"
SILA LAWATI: http://amirulreza.blogdrive.com
Sekian.