SepangOnline

Monday, May 29, 2006

Protes Minyak: Malaysians Hit The Street, FRU Hit Malaysians

Oleh Jeffrey Lim





Sepanduk menarik

KLCC, 28 Mei - Cikgu Badrul Hisham Shaharin, Exco Angkatan Muda, Salahuddin Ayub, MP Kube Keghie, Ronnie Liu, AJK DAP Pusat dan 15 aktivis lain termasuk 2 orang wanita telah ditahan oleh pihak polis dalam tunjuk perasaan membantah kenaikan harga petrol dan tarif elektrik di depan Petronas Twin Towers kira-kira pukul 10:50 pagi tadi.

Demonstrasi aman ini berakhir dengan penuh penderitaan apabila pihak polis memecahkan himpunan para pnunjuk perasaan dengan keganasan, sehingga seorang mangsa yang terluka di bahagian kepala terpaksa dikerjakan ke hospital.

Menurut laporan Harakahdaily, anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mulai berganas pada kira-kira pukul 10:41 pagi. Mereka yang ditangkap telah dibawa ke Balai Polis Hang Tuah (Penjara Pudu).





Pengganas FRU ditangkap basah

Demonstrasi membantah rejim Barisan Nasional (BN) yang menaikkan harga bahan api dan tarif elektrik secara mendadak, sekaligus mengakibatkan harga hampir semua keperluan harian naik ini, telah menyaksikan lebih daripada 2,000 orang, menurut Harakahdaily, atau lebih kurang 500 orang, menurut Malaysiakini, berkumpul di sekitar KLCC sejak 9:30 pagi. Menurut blogger yang jadi little bird kita di KLCC bilangan orang hari ini jauh lebih ramai daripada demonstrasi pada 10 Mac lepas.

Menurut laporan Malaysiakini, protes berjalan lancar di pintu utama Petronas Twin Towers sehingga wakil DAP, Ronnie Liu berterima kasih kepada warganegara kerana sudi memberi sokongan jitu kepada calon-calon pembangkang di pilihanraya Sarawak akhir-akhir ini di mana 8 wakil pembangkang terpilih.





Rakyat Malaysia betul-betul marah

Lebih kurang 100 pengganas rejim BN yang bersenjatakan cota serta rifel berada di kawasan hadapan menara tersebut, bersama beberapa water cannons, manakala helikopter polis dilihat berlegar-legar di udara.

Menurut laporan Agence France-Presse (AFP), para penunjuk perasaan telah melaung slogan "Protest" dan membawa sepanduk yang membaca "Kroni Kaya, Pekerja Terseksa". Terdapat juga slogan sepanduk yang membaca "Rakyat Menderita, Bolehkah Siswa Buat Tak Tau?" (人民受苦,大專生其能坐視不理?).





Dr. Hatta Ramli, penganjur protes

"Setiap orang menderita kerana kenaikan harga minyak. Kini tarif elektrik pun akan naik. Kedua-dua kenaikan harga ini akan terus menyusahkan kita, tak kira gaji kita besar atau kecil," Hatta memberitahu orang ramai.

Ronnie pula berkata, "Kenaikan harga mesti dihentikan, kalau tidak, kita akan terus menderita."

Tiba-tiba pihak polis memberi amaran untuk menyuraikan orang ramai, namun amaran itu tidak diambil berat oleh para penunjuk perasaan yang berdemonstrasi secara aman, yang sedang mengamalkan hak mereka seperti terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Lima minit kemudian, water cannon mula beraksi.





Senjata rahsia kesayangan rejim BN

Walaupun basah kuyup sepenuhnya, ramai orang terus kekal bertahan di tempat masing-masing, sehingga polis berpakaian awam bergerak masuk dan menangkap secara rawak sesuka hati.

"Rombongan" FRU yang terus giat mengganas pada hari Ahad ini termasuk tiga trak besar dan dua trak kecil. Senjata kesayangan rejim BN, water cannon, pula memancutkan air ke arah penunjuk perasaan, demi menyuraikan mereka daripada terus menyuarakan kebencian terhadap BN.




Zakir Hassan vs Pengganas

Saksi juga melaporkan keganasan yang menjijikkan digunakan FRU ke atas para demonstrans termasuk Timbalan Setiausaha Agong, Zahir Hassan yang berulang kali disepak terajang apabila tertiarap jalan.

Zahir sedang beredar ke tepi kawasan demonstrasi bersama dua anak perempuan beliau yang kedua-dua berumur 20 lebih, apabila pengganas FRU rejim BN berulang kali menolak Zahir dari belakang.





Ditolak pengganas FRU

Kemudian mereka pula cuba menyentuh dan seterusnya menolak salah seorang anak perempuan Zahir. Zahir yang marah cuba melindungi anak-anak perempuannya daripada kemaraan pengganas FRU.

Sebaliknya, Zahir pula dizalimi oleh sekumpulan pengganas FRU, ditolak ke jalan, mengalami beberapa pukulan dan sekurang-kurangnya tiga sepakan, dua di bahagian belakang dan satu di bahagian perut, menyebabkan anak-anak beliau menjerit secara histerikal.







Jatuh ke jalan dan disepak

Sementara dizalimi tali barut rejim BN, Zahir memelukkan buku-buku risalah bantahan kenaikan harga minyaknya.

Menurut Ketua Penerangan, Tian Chua, Zahir yang ditahan polis telah dihantar ke hospital untuk berubat dan mengambil gambar X-ray sebelum dimasukkan ke Balai Polis Hang Tuah iaitu Penjara Pudu.

Kelihatan juga darah yang bertaburan di pintu utama KLCC di mana pergaduhan di antara pengganas FRU dan seorang protestor yang belum dikenali telah berlaku. Mangsa ini, Amran Zulkifli, telah dikejarkan ke Pusat Rawatan Islam (Pusrawi). Menyaksikan semua ini, secara tiba-tiba rakyat berasa kita seperti warga Palestine yang berhadapan dengan IDF Israel.




Amran Zulkifli Mangsa Keganasan Polis (Merdeka Review)

Walau bagaimanapun, orang ramai yang turun berdemonstrasi secara aman termasuk para pemimpin Keadilan, Pas, DAP dan NGO-NGO terus berhimpun dan tidak sekali berganjak dari "date" kita pada Ahad yang indah ini.

Menurut wartawan Malaysiakini lagi, apabila ditanya sama ada keganasan itu munasabah, OCPD Daerah Dang Wangi, ACP Kamal Pasha mendakwa anak buahnya hanya bertindak demi pertahankan diri konon.






ACP Kamal Pasha, OCPD

"Diorang (penunjuk perasaan) cuba elakkan penahanan. Diorang yang mula-mula sepak. Balas dendam tu pertahankan diri kita. Keganasan minima je yang pakai," tegaskan bos pengganas itu.

Selepas pengganas FRU balik, 300 lebih penunjuk perasaan yang masih ada berhimpun kembali untuk mengikuti ucapan Dr. Hatta Ramli.

Beliau memberitahu orang ramai bahawa protes-protes sebelumnya telah dijalankan dengan lancar dan aman, protes terakhir sebelum mereka lancarkan kempen protes baru ini pula dikacau oleh FRU.

Apabila beliau bertanya kepada orang ramai sama ada protest jalanan harus diteruskan memandangkan protest hari ini ditimpa keganasan polis, rata-rata menjerit-jerit untuk menyuarakan persetujuan.







Cikgu Badrul ditangkap lagi

Lebih kurang 100 orang berkumpul di luar Balai Polis Hang Tuah untuk menunjukkan sokongan kepada mereka yang ditahan.

AJK Pas Pusat dan ketua penganjur protes ini, Dr. Hatta Ramli sedang menyusunkan pertolongan demi membebaskan mangsa-mangsa tahanan. Pada pukul 3:30 petang menurut Harakahdaily, dan lebih kurang pukul 4 petang menurut Malaysiakini, kesemua 18 tahanan dibebaskan dengan ikat jamin polis. Tiada sesiapa yang dikenakan pendakwaan.

Menurut Salahuddin, dalam soal siasat kesemua aktivis yang ditahan mengambil pendekatan untuk tidak mahu menjawab sebarang soalan dari pihak berkuasa, katanya.

"Kita cabar polis agar mendakwa kami ke mahkamah. Kita akan berjumpa di sana," ujar Salahudin.







Amannya Malaysia ini.

Mengulas kejadian itu Salahudin berkata, penahanan beliau dan beberapa aktivis lain menunjukkan betapa tidak demokratiknya kerajaan yang dipimpin Abdullah Ahmad Badawi

Para penunjuk perasaan juga meluahkan keinginan mereka untuk melaporkan keganasan Polis Diraja Malaysia hari ini kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Sementara itu menurut Harakahdaily, Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa menyelar pihak polis dan menyifatkan tindakan pihak berkuasa terhadap perhimpunan aman membantah kenaikan harga minyak di KLCC hari ini sebagai tindakan yang tidak bertamadun.

"PAS berasa amat dukacita dengan tindakan polis, kerana kami berhimpun secara aman untuk mewakili rakyat Malaysia mambantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik baru-baru ini.

Kita juga akan cuba mendapatkan pandangan para pemimpin Parti Keadilan untuk disiarkan di sini.

DPM suruh change lifestyle, kita seru Regime Change!

Thursday, May 18, 2006

Cahaya perubahan kian cerah: Anwar Ibrahim

Malaysia Today

Anwar Ibrahim, penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), berkata, dia terharu dengan sambutan yang memberansangkan ketika lawatan kempen pilihan rayanya di luar Kuching.

"Rakyat sudah jemu dengan perniagaan besar yang dikuasai oleh ahli-ahli politik dan rakan-rakan mereka.

"Saya berjalan selama tujuh jam dan sepanjang perjalanan tersebut, orang ramai faham, sebaik saja kami bercakap mengenai isu-isu tanah.”

"Kami hanya perlu sebut 'CMS' (Cahaya Mata Sarawak), 'RHB' (Rashid Hussein Bank) dan orang ramai jelas dan tanpa berbelah bagi menentang korupsi dan nepotisme," katanya.

Anwar menambah, "Kami yakin, rakyat akan berikan pembangkang sokongan kuat di Sarawak kali ini."

Anwar Ibrahim telah dipetik berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, selepas kembali dari Miri.

Apabila bercakap mengenai lawatannya ke Belaga dan kem penempatan semula Bakun, Anwar jelas kelihatan kecewa dengan apa yang telah disaksikannya di tapak penempatan tersebut.

"Saya memberitahu mereka bahawa mereka akan dapat tanah dan kemudahan ketika saya pengerusi jawatankuasa Kabinet mengenai Empangan Hidroelektrik Bakun, sepuluh tahun lepas..

"Saya telah memujuk mereka supaya berpindah, tetapi sehingga hari ini, mereka hanya diberi 3 ekar tanah dan masyarakat pribumi ini yang sudah sedia miskin, kini dipaksa membayar untuk rumah mereka."

Anwar berkata, beliau mempunyai bukti berlakunya korupsi besar-besaran kerana beliau mendapat akses kepada fail semasa berada dalam JK Kabinet mengenai Bakun.

"Saya tahu siapa mahu apa dan siapa yang telah diaugerahkan kontrak walaupun kami membantah."

Mengenai persoalan rakyat Sarawak akan terima parti politik dari Semenanjung, Anwar menjawab, "Wan Zainal rakyat Sarawak; BBS (Barisan Bersatu Sarawak) ialah parti Sarawak."

"Tetapi mereka yang korup dan mereka yang mencuri beribu-ribu ekar tanah adalah rakyat Sarawak juga, dan mereka menyalurkan kepada rakan-rakan Sarawak mereka," tambahnya.

Anwar juga berkata dia menjangka serangan ke atas peribadinya akan lebih hebat.

"Ini kerana mereka tidak dapat menjawab soalan-soalan kita, sebagai contoh, mengapa berjuta-juta ekar tanah telah diambil oleh ahli-ahli politik dan rakan-rakan mereka tetapi tidak diberikan kepada rakyat."

Mengenai soalan bahawa terdapat ramai Mak Nyah di lapangan terbang menyambut ketibaannya, dia menjawab, “Saya gembira dengan mana-mana kumpulan yang menyambut saya tetapi bukan dengan niat bagi memfitnah saya untuk tujuan politik, seperti apa yang telah berlaku di masa lalu.

"Mereka yang korup akan sentiasa cuba mencari jalan mengalihkan isu," tambahnya.

Anwar juga memberi komen mengenai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa, badan tersebut masih belum bebas dan adil. Sebagai contoh, dari segi media, SPR gagal menegakkan standard yang minima.

"Mereka yang kaya dan berkuasa menggunakan media untuk mengelirukan rakyat..dan kita tidak punya ruang untuk menjawab tuduhan-tuduhan palsu mereka."

Pada sidang media yang sama, Wan Zainal Wan Senusi, pengerusi perhubungan negeri
KeADILan Sarawak, mencabar ADUN Norodin Majais yang telah menuduh ahli-ahli KeADILan menduduki tanah di Gedong dan Simunjan secara haram.

"Kira-kira seratus orang yang merupakan petani dan pekebun kecil yang berjaya, sudah mengusahakan tanah di situ bertahun-tahun lamanya.

"Norodin Majais telah berohong kepada orang ramai dengan mengeluarkan saham kosong daripada dua syarikat yang tidak beroperasi untuk beribu-ribu ekar tanah.

Anwar tetap optimistik akan perubahan di Sarawak.

"Harapan untuk perubahan sangat cerah, tetapi tetap akan berlaku, ketika di mana peti-peti undi akan hilang dan berjuta-juta ringgit akan bertukar tangan.

"Saya merayu kepada rakan-rakan di Sarawak untuk memastikan pilihan raya kali ini bersih, bagi melindungi Sarawak," kata Anwar.

Wednesday, May 10, 2006

Jangan terpengaruh dakyah negara akan huru-hara: Anwar

Oleh Zulkifli Mohamed (Malaysia-Today)

SEBERANG JAYA: Rakyat khususnya bukan Melayu diingatkan tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu, akan berlaku huru-hara sekiranya Barisan Alternatif (BA) mengambilalih teraju pemerintahan negara ini.

Perkara itu tidak akan berlaku, kerana ia hanyalah peralihan kuasa daripada sebuah kerajaan yang korup, kepada pemerintahan yang berlandaskan prinsip keadilan untuk semua kaum.
Malah, pilihan raya akan datang, akan dipantau badan bebas antarabangsa seperti mana berlaku di Indonesia, Turki dan negara-negara lain.

Demikian penjelasan Dato Seri Anwar Ibrahim pada majlis dialog dengan pemimpin masyarakat Cina yang mewakili pelbagai pertubuhan, di Hotel Sunway, di sini, 7 Mei lalu.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) itu berkata, kerajaan yang bakal dibentuk itu akan memberikan peluang sama rata kepada rakyat yang berkelayakan, tanpa mengira kaum.

Tegasnya, beliau tidak mahu masyarakat bukan Melayu dilayan sebagai rakyat ‘Kelas 2’.

Umpamanya, kata Anwar pelajar-pelajar Cina yang cemerlang tetapi tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana masalah kemiskinan, mereka wajar dibantu.

Naib Canselor (Universiti) akan dilantik berdasarkan kelayakan, tanpa berasaskan bangsa bagi menjamin peningkatan kualiti pendidikan.

“Kita mahu mewujudkan persaingan yang sihat demi masa depan negara,” katanya.

Tambahnya, sekiranya ada calon Melayu yang tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan, mereka akan diberikan latihan sebelum dilantik ke jawatan tersebut.

Tolak DEB

Beliau juga mengulangi pendiriannya menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Katanya matlamat asal DEB adalah untuk mengurangkan jurang kemiskinan antara kaum, bagaimanapun ia tidak tercapai, ekoran penyelewengan pemimpin yang hanya mengayakan segelintir puak dan kroni tertentu.

Pendirian itu, katanya telah dinyatakan secara terbuka bukan sahaja kepada bukan Melayu, bahkan kepada masyarakat Melayu sendiri.

Justeru itu, BA menjanjikan dasar ekonomi yang memberikan peluang dan hak sama rata kepada semua kaum.

Perkara 121 (1A)

Kerajaan BN, kata Anwar enggan menyelesaikan perkara 121 (1A), bertujuan menimbulkan ‘ketakutan’ di kalangan rakyat bagi menjamin kelangsungan pemerintahan yang ada.

“Supaya orang Hindu marahkan orang Melayu, orang Melayu marahkan Hindu, marahkan orang Cina. Perkara sebegini tidak boleh. Inilah strategi politik lapuk mereka,” jelasnya.

Sambil merujuk kes S.Moorty, Anwar berkata, adalah hak orang Islam membawa kes tersebut ke mahkamah syariah, sementara bukan Islam berhak merujuk kes berkenaan ke mahkamah sivil.

“Inilah understanding kita dalam perlembagaan,” jelasnya.

Petronas jual minyak secara ‘forward selling’

Menjawab soalan peserta, adakah benar Petronas telah menjual 'minyak dalam tanah' Anwar mengakuinya bahawa, Dr Mahathir telah menjual khazanah negara itu secara 'forward selling' dengan harga lebih murah daripada harga pasaran.

Katanya, urusniaga itu dilakukan bagi menampung projek-projek mega, impian bekas Perdana Menteri itu.

Dipercayai urusniaga tersebut menyebabkan negara kerugian ‘berbilion ringgit’.

Bagaimanapun, jelasnya jumlah sebenar tidak dapat dipastikan kerana akaun kewangan Petronas dikawal sepenuhnya oleh (bekas) Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.

Anwar juga menjelaskan, ketika krisis ekonomi, Mahathir telah menyuntik dana Petronas untuk ‘bailout’ syarikat perkapalan milik anaknya, Mirzan yang kerugian, setelah permohonannya ditolak oleh Anwar di Kementerian Kewangan.

Rasuah penyebab kadar tol naik

Beliau turut ditanya tentang perjanjian konsesi pembinaan Lebuh raya Utara Selatan (PLUS), yang membebankan rakyat dengan kenaikan kadar tol.

Katanya perjanjian itu dimeterai oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudin dengan Syarikat Hati Budi, milik Umno.

Jelasnya, selepas beliau mengambilalih jawatan daripada Daim, terdapat permohonan daripada pegawai tertinggi PLUS, untuk menaikkan kadar tol dengan alasan kenaikan kos operasi.

Bagaimanapun beliau menolaknya, setelah pegawai berkenaan mengakui bahawa PLUS terpaksa membayar ‘kos’ kepada beberapa Menteri, Exco dan para pegawai terbabit.

“Sebab itu, setelah saya dipecat pada bulan September 1998, pada bulan Oktober – November kadar tol terus dinaikkan,” jelasnya.

‘Signal’ daripada Abdullah?

Anwar turut ditanya kemungkinan beliau kembali menyertai Umno, kerana desas-desus di kalangan bukan Melayu mempercayai beliau mendapat ‘signal’ daripada Abdullah Ahmad Badawi.

Sambil tersenyum, Anwar mengakui beliau terus dipujuk beberapa pemimpin Umno agar menyertai semula parti itu.

“Mereka memujuk, inilah masanya yang sesuai untuk memenuhi agenda saya sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya beliau telah menolaknya dengan baik kerana yakin Umno tidak mampu membawa perubahan.

“Baik pemimpin Melayu atau Cina dalam BN, adakah mereka berani bercakap soal ‘justice’, soal keadilan, soal rasuah, untuk membawa perubahan?” soalnya.

Yakin Anwar sebagai PM

Seorang peserta, Teh Kim Lye, 66, penuh emosi bangun menyatakan keyakinannya bahawa Anwar bakal Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.

“Saya benar-benar yakin, tanpa ragu-ragu Datuk Seri Anwar akan menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas ini,” kata bekas guru yang mendapat tepukan gemuruh peserta lain.

Saturday, May 06, 2006

Tarif elektrik naik: Amaran Protes jadi kenyataan

Oleh Azamin Amin KUALA LUMPUR, 5 Mei (Hrkh) - Ramalan Gabungan Memprotes Kenaikan Minyak (Protes) bahawa kos sara hidup rakyat akan bertambah berikutan kenaikan harga bahan bakar 28 Februari terbukti apabila kerajaan bercadang menaikkan kadar tarif elektrik.

Ini adalah lanjutan daripada kenyataan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato' Seri Lim Keng Yaik bahawa kadar tarif elektrik akan dinaikkan bermula bulan depan, kata Penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli.

Beliau yang juga Bendahari PAS, mendakwa kerajaan cuba mengelirukan rakyat apabila menjanjikan kadar tarif tersebut tidak akan dinaikkan dalam masa terdekat.

"Belum sampai tiga bulan harga minyak naik, pengumuman yang menakutkan itu dikeluarkan," katanya kepada Harakahdaily hari ini bagi mengulas isu kenaikan kadar tarif elektrik.

Beliau berkata salah satu punca TNB menaikkan kadar tarif elektrik adalah kerana kos operasi meningkat berikutan kenaikan harga bahan bakar.

Protes juga meramalkan kenaikan tarif air tidak lama lagi, katanya.

"Tindakan rakus kerajaan jelas membebankan rakyat. Protes meminta kerajaan menimbang semula menurunkan harga minyak supaya kesan kos utiliti seperti elektrik dan air dapat dikurangkan, seterusnya meringankan kesusahan rakyat," katanya. - lanh

Thursday, May 04, 2006

Rakyat tertekan, 100 ribu barangan naik harga

Oleh Azmi Yusof KUALA TERENGGANU, 4 Mei (Hrkh) - Pengerusi Teras, Haji Azmi Abdul Hamid berkata, lebih kurang 100 ribu jenis barangan makanan dalam dan luar negeri yang dijual di seluruh negara mendapat kesan kenaikan harga minyak 30 sen oleh kerajaan.

Katanya, daripada 430 barangan itu, 13 adalah barangan kawalan yang pernah diumumkan oleh kerajaan.

“Mengikut perangkaannya kenaikan itu antara 18 peratus hingga 25 peratus dan apa yang sebut oleh kerajaan tidak akan berlaku kenaikan harga barang dan tidak akan menyusahkan rakyat itu tidak betul sama sekali,” ujarnya.

Malah, katanya mengikut laporan kajian dan perbandingan yang dibuat oleh Persatuan Pengguna dan Kementerian Kewangan sendiri sekarang ini sudah meningkat kesan jurang kaya dan miskin di kalangan rakyat di negara ini.

“Jurang perbezaan kaya miskin semakin meluas sebagaimana yang dinyatakan sendiri oleh salah seorang pegawai di Putrajaya kepada saya, baru-baru ini,” ujarnya

Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai ahli panel 'Forum Penjelasan Isu Kenaikan Harga Minyak', di Pekan Manir, baru-baru ini.

Menurut Azmi, kesan daripada kenaikan 30 sen itu menyebabkan Kementerian Kewangan terpaksa mengkaji bagaimana untuk mengawalnya.

Selain itu, katanya pihak kementerian juga memperakui dalam sektor pengangkutan bahawa kos cukai jalan raya di negara ini adalah yang tertinggi di Asean.

“Cukai jalan di Thailand dengan Malaysia, kita lebih 90 peratus tinggi daripada Thailand dan cukai jalan kita sangat-sangat mahal. Barangan berkaitan dengan pengangkutan daripada tayar hingga ke alat ganti kita juga adalah yang tertinggi di Asean,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kos kesihatan juga akan naik tidak kurang daripada 20 peratus sama ada ketika rakyat ke klinik atau membeli ubat di farmasi.

Wednesday, May 03, 2006

Hari Kebebasan Media Sedunia: Pemimpin PKR berkampung di KKDN

Oleh Anis Nazri KUALA LUMPUR, 3 Mei (Hrkh) - Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) mendapat tarikh pertemuan untuk berbincang dengan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) berhubung permohonan permit akhbar rasmi parti tersebut, Suara Keadilan.

Tarikh berkenaan, iaitu pada 15 Mei nanti, diperolehi setelah Ketua Penerangannya, Tian Chua, Ketua Pengarang Suara Keadilan, Zunar dan beberapa pimpinan serta penyokong parti itu bertindak menyerbu pejabat KKDN beberapa kali sebelum ini.

Hari ini, sempena Hari Kebebasan Media Sedunia, sekali lagi Tian dan beberapa pimpinan parti itu berhimpun di KKDN untuk bertemu dengan pihak yang bertanggungjawab meluluskan permit akhbar mereka.

Bagaimanapun, pegawai yang terbabit tiada di pejabat dan diwakili pembantunya yang dikenali sebagai 'Yakob'. Beliau yang enggan menyebut namanya ketika ditanya wartawan tidak mempunyai sebarang persediaan dalam pertemuan berkenaan.

Justeru, Tian mendesak 'Yakob' untuk mendapatkan tarikh pertemuan dengan ketuanya pada waktu itu juga walaupun pegawai berkenaan kelihatan agak keberatan.

Setelah berbincang dan mendesak beberapa kali, beliau akhirnya bersetuju mengaturkan pertemuan tersebut, di samping itu Tian dan ahli PKR yang lain terus berkampung di pejabat KKDN.

Hari ini, genap setahun KeADILan memohon permit akhbar, bagaimanapun sejak awal lagi tidak diendahkan oleh KKDN.

Turut serta berkumpul di KKDN ialah wakil Dewan Muslimat PAS Pusat, Athirah Aiman Al-Jundi, dan beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam perkembangan sama, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) turut mengambil kesempatan sempena hari kebebasan media hari ini untuk menyerahkan memorandum kepada KKDN berhubung beberapa tekanan yang dikenakan ke atas akhbar arus perdana berbahasa Cina.

Harakahdaily difahamkan, kolumnis Lee Ban Chen dan juga Tian Chua tidak dibenarkan untuk menulis di akhbar-akhbar Cina ekoran arahan 'pihak atas'.

Lee, ketika sidang media selepas menyerahkan memorandum berkenaan, berkata, beliau meminta pihak KKDN supaya menjelaskan apa dan siapa yang dimaksudkan dengan 'pihak atasan' tersebut.

Turut hadir ketika penyerahan itu Penyelaras Suaram, Yap Swee Seng dan S. Arutchelvan dan beberapa wakil NGO. - mns

Kerajaan banding naik harga minyak tidak tepat - MTUC

Oleh Khairul Azlam Mohmad KUALA TERENGGANU, 3 Mei (Hrkh) - Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud berkata, perbandingan harga minyak yang dibuat oleh kerajaan bagi menghalalkan cara kenaikan harga 30 sen satu liter pada 28 Februari lalu adalah tidak tepat.

Katanya, kerajaan membandingkan harga minyak negara dengan beberapa buah negara luar kononya lebih tinggi daripada Malaysia sekadar helah politik.

“Kerajaan bandingkan harga minyak kita dengan beberapa harga minyak di negara lain di dunia seperti Venezuela, Mesir, Algeria, Brunei, Malaysia, Bangladesh, Singapura, Indonesia dan sampai kepada United Kindom, England.

“Kerajaan bandingkan harga minyak kita dengan negara luar. Saya hendak beritahu di England harga seliter petrol RM5.97 tetapi dia (kerajaan) lupa gaji seorang pembersih atau tukang sapu di England ialah RM253 sehari bukan sebulan,” katanya ketika berucap sebagai ahli panel Forum Penjelasan Isu Kenaikan Harga Minyak, di Pekan Manir, kelmarin.

Begitu juga, katanya di Australia, satu liter petrol RM3.06 tetapi gaji pekerjanya adalah RM1,500.

Menurut Syed Shahir lagi kenaikan harga minyak dalam negara ini bagi tempoh 21 bulan sebanyak 102 peratus bagi petrol dan 152 peratus bagi diesel.

“Harga petrol kita naik daripada RM1.62 kepada RM1.92 seliterbagi gred RON97 iaitu naik 18.5 peratus dalam tempoh tujuh bulan, harga diesel naik 30 sen atau 23.4 peratus dari RM1.281 kepada RM1.581 seliter dan turut naik harga gas petroleum cecair (LPG) daripada RM1.45 kepada RM1.75 sekilogram,” jelasnya.

Soalnya, bagaimana dengan gaji pekerja, adakah kerajaan menaikkan sebanyak 102 peratus juga dalam masa 21 bulan.

“Ini mimpi dan saya tidak fikir kita boleh dapat dalam negara kita Malaysia yang dikatakan mewah dan makmur ini,” ujarnya.

Isu Jambatan: Malaysia Jadi Bahan Ketawa Sedunia

KUALA LUMPUR - Pertikaian mengenai keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membatalkan pembinaan jambatan ke Singapura bagi menggantikan Tambak Johor menggambarkan kekeliruan dan kelemahan pimpinannya, kata Datuk Yeop Adlan Rose.

Bekas duta Malaysia ke Mexico tersebut berkata demikian dalam satu surat kepada media hari ini. Datuk Yeop kini merupakan Pengerusi Biro Luar dan Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat.

"Ini satu lagi gambaran bagaimana kerajaan BN tidak melakukan kajian terperinci sebelum sesuatu projek sehingga rakyat terpaksa menanggung kerugian yang besar." Kredibiliti Malaysia, kata Dato' Yeop, kini menjadi bahan ketawa sedunia.


Di dalam suratnya tersebut, Dato' Yeop Adlan turut mempersoalkan mengapa diteruskan juga pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang dijangka memakan belanja melebihi RM1 billion. "Ini disamping RM250 juta untuk Syarikat Gerbang Perdana sebagai ganti rugi kepada pembatalan tersebut." Yang agak memeranjatkan ialah bagaimana kompleks tersebut terus dibina sedangkan pembinaan jambatan telahpun dibatalkan.

Dato' Yeop juga telah menarik perhatian kepada Linkedua antara Singapura dan Malaysia yang telah juga menelan belanja berjuta-juta ringgit. "Mengapa kita ingin membina jambatan kedua sedangkan Linkedua tidak digunakan sepenuhnya? Mengapa ingin ditambah beban kerajaan dengan dua projek untuk menyelesaikan masalah yang sama?"

Monday, May 01, 2006

Gaji minimum pekerja perlu dinaikkan - MTUC

Oleh Harakahdaily KUALA LUMPUR, 1 Mei (Hrkh) - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ingin sekali melihat tindakan yang akan diambil kerajaan untuk menjayakan agenda Rancangan Malaysia Ke sembilan (RMK9) terutama nya dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan.

Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud mengingatkan kerajaan bahawa negara mempunyai lebih 43 peratus keluarga yang gaji bulanannya (keseluruhan) kurang dari RM1500. "Gaji minimum para pekerja perlu dinaikkan menjadi sekurang-kurangnya RM900 untuk merapatkan jurang perbezaan pendapatan" katanya kepada wartawan semasa menghadiri perhimpunan hari pekerja di Dataran Merdeka pada malam sehari sebelum sambutan dibuat.

MTUC juga, katanya, akan terus memperjuangkan supaya dihentikan langkah `outsourcing' (menyumberluarkan) serta pengambilan pekerja secara kontrak, kerana ia menyebabkan pekerja tidak berasa yakin dengan masa depan mereka.

"Ia menjadi hak pekerja untuk mendapat jaminan pekerjaan dan jaminan sosial. MTUC menyokong dengan peningkatan produktiviti dan peningkatan daya saing, selagi ia membawa kebaikan kepada pekerja," katanya.

MTUC juga berharap kerajaan akan memberi peluang untuk berdialog dengannya pada masa terdekat bagi mengatasi beberapa masalah pekerja yang perlu diatasi segera, katanya.

Syed Shahir berkata, sesi dialog itu perlu membabitkan tiga pihak utama iaitu kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja.

"Tak cukup kalau sekadar buat memorandum. Setakat ini, dialog memang pernah dibuat tapi cuma untuk berbincang soal isu tertentu sahaja," katanya.

Kira-kira 1,000 pekerja dari pelbagai kesatuan gabungan hadir pada majlis yang dianjurkan oleh MTUC sempena Hari Pekerja pada 1 Mei itu. - wn

Pekerja terus dihimpit dalam era Globalisasi - KeADILan

Oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Kenyataan 1 Mei

PARTI KEADILAN RAKYAT (KeADILan) ingin mengucapkan terima kasih kepada golongan pekerja hari ini sempena kita memperingati perjuangan, kejayaan dan pencapaian yang telah dicurahkan oleh pekerja dan gerakan pekerja.



Pada tahun ini, kaum pekerja ditekankan lagi dengan keputusan kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 30sen seliter. Kenaikan tersebut merupakan kadar kenaikan tertinggi dalam sejarah Malaysia sudah pasti menghiris dan membelah kalbu rakyat lantaran kos besar yang terpaksa ditanggung oleh mereka.

Kenaikan yang tertinggi pernah berlaku itu secara tidak langsung menaikkan kos penghidupan. Namun, gaji pula masih di tokok lama.

Tambah membebankan golongan pekerja ialah kesan globalisasi yang memberi impak mendalam terhadap teknologi dan kemahiran, idea dan nilai-nilai yang merentas sempadan.

Pertumbuhan ekonomi secara global tidak selaras dengan keperluan pekerjaan. Negara kita terpaksa berhadapan dengan krisis pekerjaan yang mana ianya menambahkan lagi kadar pengangguran dan kemiskinan.

Malaysia masih berada di tampok pendapatan para pekerja yang rendah. Jurang kekayaan juga bertambah luas apabila lebih ramai pekerja diberhentikan dan dibayar gaji yang tidak setimpal.

Pekerja-pekerja di sektor perladangan getah dan kelapa sawit adalah golongan yang mengalami tekanan hebat dan sering menuntut gaji minima. Berpuluh-puluh tahun para pekerja lading dibayar upah berdasarkan kepada hari bekerja.

Harga pasaran, kuantiti yang berjaya diperolehi dan factor-faktor lain bukan menjadi pengukuran kepada upah yang sepatutnya mereka perolehi.

Kerja-kerja tersebut tidak lagi dilihat dari aspek tahap bahaya kerja yang dijalankan, Apa yang penting bagi mereka ialah untuk mendapat gaji bagi menampung kos sarahidup keluarga. Oleh yang demikian, mereka terpaksa mengabaikan waktu-waktu kualiti yang sepatutnya diperuntukkan untuk keluarga mereka.

Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) menyetujui bahawa asset yang paling berharga ialah rakyatnya. Pembangunan modal insan, peningkatan kapsiti mental dan intelek merupakan cabaran terbesar dalam RMK9.

Sekiranya kita berhasrat untuk menjadi sebuah rantau yang berasaskan kepada pengetahuan (knowledge-based economy), pembangunan modal insane perlulah diletakkan sebagai keutamaan.

Dalam konteks globalisasi, kualiti tinggi modal insan telah menjadi satu keperluan, bukannya satu kemewahan.

Konsep modal insan telah disalahtafsirkan sebagai sebuah komoditi bagi mempertingkatkan komoditi bukannya rakan dalam memastikan pertumbuhan negara.

Selain itu, pelbagai cabaran perlu diatasi apabila berhadapan dengan kerajaan mahupun majikan. Sungguhpun Artikel 10 (Kebebasan Berpersatuan) memberi peruntukkan kepada setiap warganegara untuk menjadi ahli kepada persatuan, ianya tidak semudah yang disangkakan.

Kaum pekerja yang berhasrat untuk menubuhkan kesatuan di organisasi mereka terpaksa berjuang, bersengkang mata dan berbincang dalam suasana yang hangat hanya untuk menengakkan hak mereka menubuhkan kesatuan.

Keadaan ini berlaku dalam masa ini, selepas Malaysia merdeka hampir 50 tahun bukannya satu yang berlaku di zaman kuno.

Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden Parti Keadilan Rakyat)/wn.