SepangOnline

Monday, May 01, 2006

Pekerja terus dihimpit dalam era Globalisasi - KeADILan

Oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Kenyataan 1 Mei

PARTI KEADILAN RAKYAT (KeADILan) ingin mengucapkan terima kasih kepada golongan pekerja hari ini sempena kita memperingati perjuangan, kejayaan dan pencapaian yang telah dicurahkan oleh pekerja dan gerakan pekerja.



Pada tahun ini, kaum pekerja ditekankan lagi dengan keputusan kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 30sen seliter. Kenaikan tersebut merupakan kadar kenaikan tertinggi dalam sejarah Malaysia sudah pasti menghiris dan membelah kalbu rakyat lantaran kos besar yang terpaksa ditanggung oleh mereka.

Kenaikan yang tertinggi pernah berlaku itu secara tidak langsung menaikkan kos penghidupan. Namun, gaji pula masih di tokok lama.

Tambah membebankan golongan pekerja ialah kesan globalisasi yang memberi impak mendalam terhadap teknologi dan kemahiran, idea dan nilai-nilai yang merentas sempadan.

Pertumbuhan ekonomi secara global tidak selaras dengan keperluan pekerjaan. Negara kita terpaksa berhadapan dengan krisis pekerjaan yang mana ianya menambahkan lagi kadar pengangguran dan kemiskinan.

Malaysia masih berada di tampok pendapatan para pekerja yang rendah. Jurang kekayaan juga bertambah luas apabila lebih ramai pekerja diberhentikan dan dibayar gaji yang tidak setimpal.

Pekerja-pekerja di sektor perladangan getah dan kelapa sawit adalah golongan yang mengalami tekanan hebat dan sering menuntut gaji minima. Berpuluh-puluh tahun para pekerja lading dibayar upah berdasarkan kepada hari bekerja.

Harga pasaran, kuantiti yang berjaya diperolehi dan factor-faktor lain bukan menjadi pengukuran kepada upah yang sepatutnya mereka perolehi.

Kerja-kerja tersebut tidak lagi dilihat dari aspek tahap bahaya kerja yang dijalankan, Apa yang penting bagi mereka ialah untuk mendapat gaji bagi menampung kos sarahidup keluarga. Oleh yang demikian, mereka terpaksa mengabaikan waktu-waktu kualiti yang sepatutnya diperuntukkan untuk keluarga mereka.

Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) menyetujui bahawa asset yang paling berharga ialah rakyatnya. Pembangunan modal insan, peningkatan kapsiti mental dan intelek merupakan cabaran terbesar dalam RMK9.

Sekiranya kita berhasrat untuk menjadi sebuah rantau yang berasaskan kepada pengetahuan (knowledge-based economy), pembangunan modal insane perlulah diletakkan sebagai keutamaan.

Dalam konteks globalisasi, kualiti tinggi modal insan telah menjadi satu keperluan, bukannya satu kemewahan.

Konsep modal insan telah disalahtafsirkan sebagai sebuah komoditi bagi mempertingkatkan komoditi bukannya rakan dalam memastikan pertumbuhan negara.

Selain itu, pelbagai cabaran perlu diatasi apabila berhadapan dengan kerajaan mahupun majikan. Sungguhpun Artikel 10 (Kebebasan Berpersatuan) memberi peruntukkan kepada setiap warganegara untuk menjadi ahli kepada persatuan, ianya tidak semudah yang disangkakan.

Kaum pekerja yang berhasrat untuk menubuhkan kesatuan di organisasi mereka terpaksa berjuang, bersengkang mata dan berbincang dalam suasana yang hangat hanya untuk menengakkan hak mereka menubuhkan kesatuan.

Keadaan ini berlaku dalam masa ini, selepas Malaysia merdeka hampir 50 tahun bukannya satu yang berlaku di zaman kuno.

Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden Parti Keadilan Rakyat)/wn.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home