SepangOnline

Wednesday, May 10, 2006

Jangan terpengaruh dakyah negara akan huru-hara: Anwar

Oleh Zulkifli Mohamed (Malaysia-Today)

SEBERANG JAYA: Rakyat khususnya bukan Melayu diingatkan tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu, akan berlaku huru-hara sekiranya Barisan Alternatif (BA) mengambilalih teraju pemerintahan negara ini.

Perkara itu tidak akan berlaku, kerana ia hanyalah peralihan kuasa daripada sebuah kerajaan yang korup, kepada pemerintahan yang berlandaskan prinsip keadilan untuk semua kaum.
Malah, pilihan raya akan datang, akan dipantau badan bebas antarabangsa seperti mana berlaku di Indonesia, Turki dan negara-negara lain.

Demikian penjelasan Dato Seri Anwar Ibrahim pada majlis dialog dengan pemimpin masyarakat Cina yang mewakili pelbagai pertubuhan, di Hotel Sunway, di sini, 7 Mei lalu.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) itu berkata, kerajaan yang bakal dibentuk itu akan memberikan peluang sama rata kepada rakyat yang berkelayakan, tanpa mengira kaum.

Tegasnya, beliau tidak mahu masyarakat bukan Melayu dilayan sebagai rakyat ‘Kelas 2’.

Umpamanya, kata Anwar pelajar-pelajar Cina yang cemerlang tetapi tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana masalah kemiskinan, mereka wajar dibantu.

Naib Canselor (Universiti) akan dilantik berdasarkan kelayakan, tanpa berasaskan bangsa bagi menjamin peningkatan kualiti pendidikan.

“Kita mahu mewujudkan persaingan yang sihat demi masa depan negara,” katanya.

Tambahnya, sekiranya ada calon Melayu yang tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan, mereka akan diberikan latihan sebelum dilantik ke jawatan tersebut.

Tolak DEB

Beliau juga mengulangi pendiriannya menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Katanya matlamat asal DEB adalah untuk mengurangkan jurang kemiskinan antara kaum, bagaimanapun ia tidak tercapai, ekoran penyelewengan pemimpin yang hanya mengayakan segelintir puak dan kroni tertentu.

Pendirian itu, katanya telah dinyatakan secara terbuka bukan sahaja kepada bukan Melayu, bahkan kepada masyarakat Melayu sendiri.

Justeru itu, BA menjanjikan dasar ekonomi yang memberikan peluang dan hak sama rata kepada semua kaum.

Perkara 121 (1A)

Kerajaan BN, kata Anwar enggan menyelesaikan perkara 121 (1A), bertujuan menimbulkan ‘ketakutan’ di kalangan rakyat bagi menjamin kelangsungan pemerintahan yang ada.

“Supaya orang Hindu marahkan orang Melayu, orang Melayu marahkan Hindu, marahkan orang Cina. Perkara sebegini tidak boleh. Inilah strategi politik lapuk mereka,” jelasnya.

Sambil merujuk kes S.Moorty, Anwar berkata, adalah hak orang Islam membawa kes tersebut ke mahkamah syariah, sementara bukan Islam berhak merujuk kes berkenaan ke mahkamah sivil.

“Inilah understanding kita dalam perlembagaan,” jelasnya.

Petronas jual minyak secara ‘forward selling’

Menjawab soalan peserta, adakah benar Petronas telah menjual 'minyak dalam tanah' Anwar mengakuinya bahawa, Dr Mahathir telah menjual khazanah negara itu secara 'forward selling' dengan harga lebih murah daripada harga pasaran.

Katanya, urusniaga itu dilakukan bagi menampung projek-projek mega, impian bekas Perdana Menteri itu.

Dipercayai urusniaga tersebut menyebabkan negara kerugian ‘berbilion ringgit’.

Bagaimanapun, jelasnya jumlah sebenar tidak dapat dipastikan kerana akaun kewangan Petronas dikawal sepenuhnya oleh (bekas) Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.

Anwar juga menjelaskan, ketika krisis ekonomi, Mahathir telah menyuntik dana Petronas untuk ‘bailout’ syarikat perkapalan milik anaknya, Mirzan yang kerugian, setelah permohonannya ditolak oleh Anwar di Kementerian Kewangan.

Rasuah penyebab kadar tol naik

Beliau turut ditanya tentang perjanjian konsesi pembinaan Lebuh raya Utara Selatan (PLUS), yang membebankan rakyat dengan kenaikan kadar tol.

Katanya perjanjian itu dimeterai oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudin dengan Syarikat Hati Budi, milik Umno.

Jelasnya, selepas beliau mengambilalih jawatan daripada Daim, terdapat permohonan daripada pegawai tertinggi PLUS, untuk menaikkan kadar tol dengan alasan kenaikan kos operasi.

Bagaimanapun beliau menolaknya, setelah pegawai berkenaan mengakui bahawa PLUS terpaksa membayar ‘kos’ kepada beberapa Menteri, Exco dan para pegawai terbabit.

“Sebab itu, setelah saya dipecat pada bulan September 1998, pada bulan Oktober – November kadar tol terus dinaikkan,” jelasnya.

‘Signal’ daripada Abdullah?

Anwar turut ditanya kemungkinan beliau kembali menyertai Umno, kerana desas-desus di kalangan bukan Melayu mempercayai beliau mendapat ‘signal’ daripada Abdullah Ahmad Badawi.

Sambil tersenyum, Anwar mengakui beliau terus dipujuk beberapa pemimpin Umno agar menyertai semula parti itu.

“Mereka memujuk, inilah masanya yang sesuai untuk memenuhi agenda saya sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya beliau telah menolaknya dengan baik kerana yakin Umno tidak mampu membawa perubahan.

“Baik pemimpin Melayu atau Cina dalam BN, adakah mereka berani bercakap soal ‘justice’, soal keadilan, soal rasuah, untuk membawa perubahan?” soalnya.

Yakin Anwar sebagai PM

Seorang peserta, Teh Kim Lye, 66, penuh emosi bangun menyatakan keyakinannya bahawa Anwar bakal Perdana Menteri Malaysia yang ke-6.

“Saya benar-benar yakin, tanpa ragu-ragu Datuk Seri Anwar akan menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas ini,” kata bekas guru yang mendapat tepukan gemuruh peserta lain.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home