SepangOnline

Thursday, May 18, 2006

Cahaya perubahan kian cerah: Anwar Ibrahim

Malaysia Today

Anwar Ibrahim, penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), berkata, dia terharu dengan sambutan yang memberansangkan ketika lawatan kempen pilihan rayanya di luar Kuching.

"Rakyat sudah jemu dengan perniagaan besar yang dikuasai oleh ahli-ahli politik dan rakan-rakan mereka.

"Saya berjalan selama tujuh jam dan sepanjang perjalanan tersebut, orang ramai faham, sebaik saja kami bercakap mengenai isu-isu tanah.”

"Kami hanya perlu sebut 'CMS' (Cahaya Mata Sarawak), 'RHB' (Rashid Hussein Bank) dan orang ramai jelas dan tanpa berbelah bagi menentang korupsi dan nepotisme," katanya.

Anwar menambah, "Kami yakin, rakyat akan berikan pembangkang sokongan kuat di Sarawak kali ini."

Anwar Ibrahim telah dipetik berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, selepas kembali dari Miri.

Apabila bercakap mengenai lawatannya ke Belaga dan kem penempatan semula Bakun, Anwar jelas kelihatan kecewa dengan apa yang telah disaksikannya di tapak penempatan tersebut.

"Saya memberitahu mereka bahawa mereka akan dapat tanah dan kemudahan ketika saya pengerusi jawatankuasa Kabinet mengenai Empangan Hidroelektrik Bakun, sepuluh tahun lepas..

"Saya telah memujuk mereka supaya berpindah, tetapi sehingga hari ini, mereka hanya diberi 3 ekar tanah dan masyarakat pribumi ini yang sudah sedia miskin, kini dipaksa membayar untuk rumah mereka."

Anwar berkata, beliau mempunyai bukti berlakunya korupsi besar-besaran kerana beliau mendapat akses kepada fail semasa berada dalam JK Kabinet mengenai Bakun.

"Saya tahu siapa mahu apa dan siapa yang telah diaugerahkan kontrak walaupun kami membantah."

Mengenai persoalan rakyat Sarawak akan terima parti politik dari Semenanjung, Anwar menjawab, "Wan Zainal rakyat Sarawak; BBS (Barisan Bersatu Sarawak) ialah parti Sarawak."

"Tetapi mereka yang korup dan mereka yang mencuri beribu-ribu ekar tanah adalah rakyat Sarawak juga, dan mereka menyalurkan kepada rakan-rakan Sarawak mereka," tambahnya.

Anwar juga berkata dia menjangka serangan ke atas peribadinya akan lebih hebat.

"Ini kerana mereka tidak dapat menjawab soalan-soalan kita, sebagai contoh, mengapa berjuta-juta ekar tanah telah diambil oleh ahli-ahli politik dan rakan-rakan mereka tetapi tidak diberikan kepada rakyat."

Mengenai soalan bahawa terdapat ramai Mak Nyah di lapangan terbang menyambut ketibaannya, dia menjawab, “Saya gembira dengan mana-mana kumpulan yang menyambut saya tetapi bukan dengan niat bagi memfitnah saya untuk tujuan politik, seperti apa yang telah berlaku di masa lalu.

"Mereka yang korup akan sentiasa cuba mencari jalan mengalihkan isu," tambahnya.

Anwar juga memberi komen mengenai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa, badan tersebut masih belum bebas dan adil. Sebagai contoh, dari segi media, SPR gagal menegakkan standard yang minima.

"Mereka yang kaya dan berkuasa menggunakan media untuk mengelirukan rakyat..dan kita tidak punya ruang untuk menjawab tuduhan-tuduhan palsu mereka."

Pada sidang media yang sama, Wan Zainal Wan Senusi, pengerusi perhubungan negeri
KeADILan Sarawak, mencabar ADUN Norodin Majais yang telah menuduh ahli-ahli KeADILan menduduki tanah di Gedong dan Simunjan secara haram.

"Kira-kira seratus orang yang merupakan petani dan pekebun kecil yang berjaya, sudah mengusahakan tanah di situ bertahun-tahun lamanya.

"Norodin Majais telah berohong kepada orang ramai dengan mengeluarkan saham kosong daripada dua syarikat yang tidak beroperasi untuk beribu-ribu ekar tanah.

Anwar tetap optimistik akan perubahan di Sarawak.

"Harapan untuk perubahan sangat cerah, tetapi tetap akan berlaku, ketika di mana peti-peti undi akan hilang dan berjuta-juta ringgit akan bertukar tangan.

"Saya merayu kepada rakan-rakan di Sarawak untuk memastikan pilihan raya kali ini bersih, bagi melindungi Sarawak," kata Anwar.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home