SepangOnline

Monday, May 01, 2006

Gaji minimum pekerja perlu dinaikkan - MTUC

Oleh Harakahdaily KUALA LUMPUR, 1 Mei (Hrkh) - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ingin sekali melihat tindakan yang akan diambil kerajaan untuk menjayakan agenda Rancangan Malaysia Ke sembilan (RMK9) terutama nya dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan.

Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud mengingatkan kerajaan bahawa negara mempunyai lebih 43 peratus keluarga yang gaji bulanannya (keseluruhan) kurang dari RM1500. "Gaji minimum para pekerja perlu dinaikkan menjadi sekurang-kurangnya RM900 untuk merapatkan jurang perbezaan pendapatan" katanya kepada wartawan semasa menghadiri perhimpunan hari pekerja di Dataran Merdeka pada malam sehari sebelum sambutan dibuat.

MTUC juga, katanya, akan terus memperjuangkan supaya dihentikan langkah `outsourcing' (menyumberluarkan) serta pengambilan pekerja secara kontrak, kerana ia menyebabkan pekerja tidak berasa yakin dengan masa depan mereka.

"Ia menjadi hak pekerja untuk mendapat jaminan pekerjaan dan jaminan sosial. MTUC menyokong dengan peningkatan produktiviti dan peningkatan daya saing, selagi ia membawa kebaikan kepada pekerja," katanya.

MTUC juga berharap kerajaan akan memberi peluang untuk berdialog dengannya pada masa terdekat bagi mengatasi beberapa masalah pekerja yang perlu diatasi segera, katanya.

Syed Shahir berkata, sesi dialog itu perlu membabitkan tiga pihak utama iaitu kerajaan, majikan dan kesatuan sekerja.

"Tak cukup kalau sekadar buat memorandum. Setakat ini, dialog memang pernah dibuat tapi cuma untuk berbincang soal isu tertentu sahaja," katanya.

Kira-kira 1,000 pekerja dari pelbagai kesatuan gabungan hadir pada majlis yang dianjurkan oleh MTUC sempena Hari Pekerja pada 1 Mei itu. - wn

0 Comments:

Post a Comment

<< Home