SepangOnline

Wednesday, March 30, 2005

Lagi isu kematian dalam tahanan - Angkatan Muda terus bawa ke Suhakam

Oleh: Faisal Mustaffa

KUALA LUMPUR 30 Mac - Sungguhpun banyak laporan polis yang telah dibawa oleh Parti Keadilan Rakyat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) mengenai kematian ketika dalam tahanan, masih lagi terdapat peristiwa sedemikian berlaku.

Kes kematian Rastam yang mati dipercayai dipukul oleh pegawai penjara di Sg Buloh tidak berapa lama dahulu, berlaku lagi satu kes di Rembau di mana seorang lelaki dipercayai mati akibat didera teruk oleh pihak polis ketika dalam lokap.

Mainimaran a/l Selvaraj, 33, telah diberitahu meninggal dunia hanya selepas isterinya datang ke Balai Polis Rembau untuk bertemu dengan suaminya yang ditahan kerana dituduh terlibat dalam kes kecurian.

Angkatan Muda Keadilan yang telah membawa isu ini untuk pengetahuan Suhakam memberitahu bahawa isu ini berpunca daripada satu motosikal curi yang telah dijumpai diletakkan di hadapan rumah mangsa, S. Manimaran.

Sebelum itu (9 Mac 2005), satu kejadian rompakan telah berlaku di Legong Jaya, Rembau pada awal pagi di mana seorang perempuan tua dan seorang remaja lelaki yang tidak dikenali telah melarikan motosikal kepunyaan remaja tersebut, Viji.

Remaja tersebut kemudiannya telah pergi ke rumah mangsa, S. Manimaran kira-kira jam 2 petang dan bertanya samada beliau mengetahui apa-apa mengenai kejadian rompakan tersebut. Manimaran menjawab tidak tahu.

Angkatan Muda yang diwakili oleh Naib Ketuanya, S. Manikavasagam memberitahu, pada awal keesokan paginya (10 Mac 2005), satu pasukan polis telah memberkas S.Manimaran bersama anak angkatnya, Magendran a/l Muniandy dan abang dan adik ipar mangsa, Kuppusamy a/l Arumugam dan Kalidass a/l Arumugam.

Keempat-empat mereka telah dibawa ke Balai Polis Rembau.

Kematian mencurigakan

Apabila isteri mendiang ingin menemui mangsa pada keesokan harinya, beliau telah diberitahu oleh pegawai polis bahawa suami beliau telah mati kerana mempunyai penyakit.

Selepas mayat tersebut dituntut, didapati terdapat kesan-kesan lebam dan luka pada keseluruhan badan S.Manimaran. Kesan lebam tersebut dipercayai berpunca daripada cucukan kuasa elektrik ke badan mangsa.

Dua laporan polis telah dibuat oleh ipar mendiang, pada 14 Mac dan 18 Mac mengenai kematian tersebut dan menganggap polis telah bertindak di luar bidang kekuasaan mereka.

Pesuruhjaya Suhakam, Prof Hamdan Adnan yang telah menerima memorandum itu diberitahu bahawa sehingga kini tiada apa-apa penyiasatan atau sebarang tindakan daripada pihak polis.

Ahli keluarga juga telah tidak dimaklumkan mengenai sebarang tindakan yang telah diambil malah, mereka telah didatangi pihak polis untuk menakut-nakutkan si pembuat aduan.

Tunututan

Sewaktu menyerahkan memorandum tersebut, Angkatan Muda telah merayu agar Suhakam mempertanggungjawabkan Ketua Polis Rembau, DSP Mazlan, Ketua Polis Negeri Sembilan dan ketua Polis Negara dan juga semua anggota polis yang teribat dalam penahanan dan pembunuhan S. Manimaran diambil tindakan.

Angkatan Muda juga meminta Suhakam membuat penyiasatan yang bebas lagi adil dan memberi cadangan kepada Peguam negara untuk mendakwa kesemua anggota polis yang terlibat dalam pembunuhan S. Manimaran.

Memandangkan Manimaran telah meninggalkan 13 anak yang masih kecil dan dua isteri yang mengandung dan tidak bekerja, Angkatan Muda Keadilan telah merayu kepada orang ramai untuk bersikap perihatin dan bantu mengurangkan bebanan keluarga itu.

Bagi pihak keluarga mangsa, Angkatan Muda merayu supaya pihak kerajaan menyediakan sebuah dana kecemasan sekurang-kurangnya RM20,000 dengan segera untuk keperluan seharian keluarga dan RM1,000 sebulan setiap bulan sehingga mereka bersalin dan mendapat pekerjaan.

Sebarang sumbangan boleh diberikan terus kepada isteri mendiang, Puan Lechemy a/p Arumugam di No 314 Blok 2 Taman Pertama, 43800 Dengkil Selangor atau hubungi terus ke Naib Ketua Angkatan Muda, Manikavasagam 016-2659511.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home