SepangOnline

Saturday, March 05, 2005

Anwar Di Oxford Menggugat UMNO

(Anwar Ibrahim at Oxford menaces UMNO)
Oleh: MGG Pillai
--------------------------------------------------------------------------------

Mantan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim kini menetap di St. Anthony’s College, Oxford. Berita ini diketahui juga oleh salah seorang graduan universiti itu yang memihak kuat kepada kerajaan. Salah satu peranan beliau selepas bersara dengan kerajaan ialah menyekat pemberian dana kepada Anwar oleh Pusat Pengajian Islam di Oxford yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi. Sejurus mengetahui berita itu, si malaun ini termanggu setakat tidak terkena serangan jantung sahaja ketika itu. Namun dia bertenang semula setelah diberitahu bahawa pusat itu tidak akan diganggu-gugat oleh Anwar.
Kerajaan Malaysia tidak sedar betapa kuasanya tidak mencengkam melepasi sempadan negaranya. Walaupun ia mampu mencengkam kuasa daripada tampuk pusatnya, kuasa itu tidak berguna di Oxford. Kerajaan Malaysia berfikiran bahawa kalau Anwar mahu mendapat tempat terhormat di Oxford ia mesti melalui ehsan kerajaan Malaysia sahaja. Memang sudah beberapa minggu dahulu lagi saya dan beberapa ramai orang yang lain sekitar beberapa ratus orang sahaja yang sudah mengetahui rencana Anwar untuk menonjol di Harvard dan Oxford. Gabenor British di Hong Kong yang terakhir dan kemudiannya menjadi Pesuruhjaya European Union untuk urusan luar negara, Sir Christopher Patten telah memberikan sokongan untuk Anwar menetap di St. Anthony’s College. Di sana Anwar dijangka akan menulis sebuah buku mengenai pengalaman beliau semasa meringkuk dalam penjara. Inilah yang menjadi punca keresahan ramai malaun dalam UMNO gara-gara isi kandungan yang akan terdedah.

Ketika berada di London Anwar telah bertemu dengan mantan Naib Presiden Amerika, Al Gore. Mantan Naib Presiden ini sudah menjadi seorang pelopor satu kumpulan pemikir yang bergelar ‘Generations’. Kumpulan pemikir ini ditaja oleh beberapa bank pelaburan yang tersohor, dan salah satu pelanggan kumpulan ini ialah Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Anwar telah turut menemui tokoh lain seperti Mr. Gordon Brown bekas Chancellor Exchequer (setara dengan Menteri Kewangan) Britain, yang memang merupakan seorang sahabat lama Anwar semasa memegang jawatan dalam kerajaan dahulu. Kerajaan Malaysia sudah kerisauan kalau-kalau mahasiswa Malaysia yang menuntut di Oxford dan pusat pengajian tinggi yang lain akan menderu berbondong-bondong menemui Anwar. Memang sudah ada usaha menyekat gelagat itu, tetapi akhirnya nanti kerajaan sendiri akan terkejut dengan kesannya.

Anwar sudah mampu memulihkan kembali imejnya di peringkat antarabangsa dengan menyambung hubungan lama, sambil memberikan tonjolan betapa beliau memang seorang ahli politik yang sejati, tahu apa yang dilakukannya dan beliau memang banyak membaca. Sejurus beliau keluar daripada penjara, saya pernah berborak dengan beliau akan buku-buku yang pernah dibacanya. Jelas beliau memang terpaut kepada tulisan yang terkini dan beberapa banyak buku yang saya pernah membacanya sebelum itu telah dijadikan rujukan untuk beliau membetulkan kefahaman saya kerana saya mungkin terlupa ataupun tertinggal sebahagian yang patut benar-benar difahami. Kerajaan Malaysia pernah memperkecilkan keupayaan Anwar dengan sekatan hukuman Undang-undang untuk menyekat kemaraan beliau berpolitik semula. Namun, Anwar terus bersiap diri untuk menyertainya kembali, bukan semestinya pada pilihan raya yang akan datang ini, tetapi bila-bila masa sahaja.

Sebelum berlepas ke luar negara Anwar telah mengutuskan pesanan kepada Najib Tun Razak yang begitu melalak mengaib dan merendah-rendahkan kewibawaan Anwar. Anwar telah berpesan, seandainya Najib terus melalak lagi Anwar akan bertindak balas sehinggakan berita tindakan itu akan menjadi berita tajuk muka depan akhbar arus perdana The New Straits Times. Sungguh mengancam berita ini kerana NST adalah sebuah akhbar yang menaruh sikap benci tetapi rindu terhadap Anwar. Ada lagi satu sudut pesanan ini yang tidak didedahkan, tetapi amat jelas apa yang tidak disebut itu ialah kisah wujudnya seorang Tun Kepala Taik yang menjadi penyokong kuat kepada Najib. Memang jelas betapa hubungan politik antara Pak Lah dan Dato’ Najib sudah sampai menghampiri garisan berantakan. Memang kedua-dua pihak ini sudah tidak begitu selesa kalau melihat ke arah mana Anwar akan condong, pihak itulah nanti yang akan meraih untung. Sedangkan Anwar sudah jelas menyatakan sejak dahulu lagi yang beliau tidak akan rujuk semula menganggotai UMNO.

Gara-gara dipecat dan diaibkan pada 1998 dahulu, UMNO telah tinggal terkapai-kapai sehinggakan para pemimpinnya sudah berubah perangai laksana zombie dan polong tak bertuan, takut dan kecut bertindak kerana kegusaran apakah tindak balas Anwar seterusnya. Semasa perhimpunan tahunan UMNO pada September dahulu, Anwar baru sahaja dibebaskan. Baru sahaja dua minggu beliau merasa kebebasan, persidangan berkenaan telah meluluskan satu resolusi menyekat kemasukan semula beliau ke dalam UMNO. Namun demikian, Anwar yang tidak kelihatan ketika itu menjadi bintang berkerlipan di sidang tersebut. Walaupun secara rasminya beliau dianggap tidak wujud dan terus diserang dengan kata-kata retorik belaka, beliau tetap menjadi tajuk perbualan di mana sahaja orang bersua muka. Tidak ada yang berubah selepas itu. Semasa Anwar muncul di rumah majlis jamuan terbuka Hari Raya di kediaman Pak Lah di kawasan pilihan raya beliau, ketokohan beliau semakin menyerlah lebih-lebih lagi apabila Pak Lah tidak membalas kunjungan itu ke kediamannya pula.

Anwar tidak membuat kunjungan hari raya ke rumah kediaman Najib Tun Razak kerana alasan yang amat bernas. Najib pernah mengepalai satu Jawatankuasa khas untuk menyediakan satu rakaman video yang mendakwa Anwar bersenggama dalam perbuatan homoseks dengan seorang pondan Cina. Rakaman itu telah dibuat begitu tidak profesional sehingga tidak meyakinkan. Semasa ia ditayangkan kepada kumpulan Duta-duta Malaysia yang diterbangkan pulang secara khusus untuk bersama dengan pegawai tinggi tentera menontonnya, tidak ada sesiapa yang mempercayai perbuatan itu dilakukan oleh Anwar. Dalam sesi yang berasingan seorang Duta Malaysia dan seorang pegawai tinggi tentera telah membuat komen: “Bagaimana mungkin Anwar mempunyai rambut yang panjang semasa membuat aksi terkutuk itu tetapi kelihatan mempunyai rambut yang pendek ketika berehat?” Beberapa bulan yang lalu, seorang pegawai utama dalam konspirasi tersebut telah mendedahkan kepada Anwar bagaimana rakaman pita video itu telah dilaksanakan.

{Catatan: Seorang Duta yang sudah bersara telah mengirimkan komen ini sejurus membaca artikel saya dan membetulkan para di atas: “Saya baru sahaja membaca artikel saudara mengenai Anwar di Oxford dan ingin membetulkan kisah majlis pertemuan para Duta dengan Ketua Polis Negara ketika itu, kerana saya turut menghadirinya.. Kami tidak pun ditunjukkan gambar-gambar Anwar dengan gelagat homoseks dengan pondan Cina, tetapi telah diberikan begitu banyak gambar hotel dan bilik-bilik hotel yang dikira sebagai tempat Anwar melakukan kerja-kerja tersebut dengan lelaki. Ada juga rakaman apa yang dikatakan perbualan telefon Anwar dengan kekasih beliau. Semua itu tidak meyakinkan dan memang amat meloyakan.

{“Saya memang mengagumi Anwar kerana kepintarannya dan beliau bercakap dengan kami dengan lantang akan wawasannya terhadap mewujudkan sebuah negara Malaysia yang bertoleransi dan terbuka. Ini adalah kejadian sebelum perhubungan beliau dengan Mahathir menjadi retak. Katakanlah beliau biseksual dan walaupun ketiadaan buktinya, saya tidak kisah sangat akan perkara itu. Memang ramai pemimpin tinggi kita yang sebenarnya mempunyai perangai yang buruk-buruk belaka.” – MGG: Saya sedia ditegur akan kenyataan ini. }

Sejurus beliau dibebaskan, Dato’ Seri Anwar telah bercakap dengan saya betapa beliau enggan terpaut kepada kisah silam ataupun mengelaknya kecuali beliau diancam. Kalau musuhnya dalam UMNO membiarkan sahaja perkara itu, mujurlah begitu. Ramai pemimpin UMNO yang kehairanan betapa ramai sangat pemimpin UMNO yang lain yang tertarik kepada Anwar. Seandainya beliau menganggotai parti itu semula beliau akan diangkat untuk memegang tampuk kuasa dengan pilihan suara yang besar. Sudah tentu ini mencetuskan implikasi besar kepada mereka yang masih mengepalai UMNO dan rakus serta tidak sehaluan dengan Anwar. Mereka semakin gusar betapa walaupun Anwar masih berada di luar UMNO beliau masih mampu mengkucar-kacirkan kerjaya politik mereka.

Apa pun, sudah jelas betapa Anwar tidak ingin membazirkan masa dengan karenah UMNO, dan perbuatan ini amat berbeza dengan musuhnya dalam UMNO yang masih yakin bahawa Anwar akan cuba memusnahkan UMNO. Anwar menjawab betapa beliau tidak perlu menghancurkan UMNO kerana UMNO akan secara tersendirinya dimusnahkan daripada dalam, tanpa sebarang bantuan darinya. Sekarang ini UMNO sedang kekalutan dan pada persidangan 2007 nanti sudah pasti ramai pemimpin yang sedia ada akan tergugat dan disagat. Perpecahan sudah semakin kuat dan ketara sehingga sukar untuk diperbaiki semula. Segelintir ketua yang masih kelihatan perkasa waktu ini akan terkejut beruk juga.

Kewujudan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan menentukan fenomena ini. Beliau telah merombak Keadilan agar setiap Ketua Bahagian mesti menetap di negeri yang mereka pimpin dan tidak lagi di Kuala Lumpur. Beliau telah melakukan rombakan pada parti itu daripada peringkat akar umbinya. Namun beliau tidak layak bertanding pada pilihan raya 2008 nanti. BN terpaksa mengadakan pilihan raya sebelum tarikh itu. Inilah yang akan menggugat UMNO sehingga tidak dapat membaiki keadaannya. Tidak kiralah kalau pilihan raya itu diadakan sebelum ataupun selepas persidangan tahunan parti. Lebih-lebih lagi kalau buku tulisan Anwar mengenai kejatuhannya itu laris terjual untuk menjadi bahan bakar yang menghanguskan UMNO.

Tidak ada seorang insan pun dalam UMNO yang mempunyai kewibawaan untuk melupakan Anwar dan menjadikan UMNO sebuah parti yang mampu memperkecilkan ketokohan Anwar. Kekalutan dalam UMNO sudah menjamin perkara semacam itu sebagai satu ilusi sahaja. Kini, dengan beradanya Anwar di Oxford dan Harvard, kerajaan BN sedang dihantui satu ancaman yang lebih besar lagi. Satu ketika dahulu kerajaan mencetuskan pelbagai karenah semasa Anwar meminta bantuan dihantar ke luar negara untuk mendapatkan rawatannya. Kini, semua itu dilupakan kerana telah dibayangi oleh kegerunan kerajaan akan apa yang mampu Anwar lakukan untuk tahun hadapan. Tidak ada yang mampu dilakukan oleh BN dan UMNO mengenai perkara itu. Namun demikian inilah situasi yang akan terus menjadi mimpi ngeri mereka.

- MGG Pillai
pillai@streamyx.com

Komen Marhaintua: Kuasa Allah amat nyata: Anwar akan berada di Oxford dan Harvard bercakap kepada bakal pemimpin dunia. Tun Kepala Taik akan berada di Sri Lanka bercakap kepada siapa??? Takkan kepada bakal pemimpin Tamil Eelam??

0 Comments:

Post a Comment

<< Home