SepangOnline

Wednesday, March 16, 2005

Mulakan pilihan raya kerajaan tempatan di Kelantan

Oleh: Faisal Mustaffa

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat telah meyeru Kelantan untuk mulakan membentuk kerajaan tempatan yang membolehkan undang-undang pilihan raya kerajaan tempatan digunakan semula.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Badrulhisham Shaharin selaku Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda, pemberhentan pemilihan Kerajaan Tempatan sejak pilihan raya 1965 yang lalu, perlu dimulakan semula memandangkan pelbagai masalah seperti masalah denggi, pembaziran wang dalam pengurusan perbandaran, masalah sampah sehinggalah masalah perumahan setinggan semakin meruncing kini. Masalah berbangkit seperti ini dijangka dapat diselesaikan jika kerajaan tempatan yang diwujudkan mampu memainkan peranan yang sewajarnya.

"Tetapi hakikatnya kini tiada siapa boleh menafikan yang hampir semua kerajaan tempatan di seluruh negara gagal berfungsi dengan baik," jelas Badrulhisham.

Angkatan Muda melihat ini berpunca daripada ahli majlis yang dibentuk untuk
menganggotai kerajaan tempatan tersebut bukan dari mereka yang benar-benar layak.

Menurut Badrulhisham, mereka yang hanya dilantik dari kalangan pemimpin komponen parti pemerintah dilihat hanya memenuhkan kerusi untuk mendapat elaun atau untuk menjamin pengaruh mereka dapat dikekalkan menerusi pertolongan yang dihulurkan kepada orang-orang mereka.

"Biasanya ketua-ketua cawangan UMNO atau MCA atau MIC akan menduduki kerusi ahli majlis dan akan memudahkan permohonan contohnya, lesen perniagaan bagi penyokongnya, ataupun mereka hanya sibuk apabila tiba pembahagian kuota rumah murah atau tapak perniagaan demi memastikan kuota UMNO atau kuota MCA itu dapat kepada orang-orang mereka."

Dahulu kerusi yang mereka duduki dipertandingkan maka masyarakat setempat berhak untuk mengundi dan meastikan siapa yang benar layak untuk menduduki kerusi ahli majlis kerajaan tempatan tersebut. Tetapi malangnya Kerajaan menghentikan pilihan raya kerajaan tempatan pada 1 mac 1965. Walau apapun alasan yang diberikan oleh kerajaan yang berkuasa pada masa itu tetapi yang jelas ialah pilihan raya itu dibatalkan kerana banyak kerusi kerajaan tempatan ini dikuasai oleh mereka yang berlainan ideologi dengan penguasa.

Melihat permasalahan yang semakin gawat akhir-akhir ini maka ini mungkin masa yang tepat untuk kerajaan mengkaji semula untuk mengadakan kembali pilihan raya kerajaan tempatan ini. Mereka yang menduduki kerusi melalui proses pemilihan rakyat akan pasti lebih bertanggungjawab.

Badrulhisham berkata, usaha itu sudah pasti akan mendapat sokongan ramai kerana ia akan dilihat sebagai satu usaha mengembalikan semua demokrasi Malaysia yang telah dipijak oleh penguasa sekarang.

Semenjak merdeka, Malaysia menjamin hak rakyat dengan mengamalkan sistem demokrasi 3 peringkat iaitu Kerajaan Pusat (Parlimen), Kerajaan Negeri (Dewan Undangan Negeri) dan Kerajaan Tempatan (Majlis Kerajaan Tempatan). Namun, semenjak 1965 hak untuk memilih wakil untuk menguruskan hal ehwal perbandaran telah diragut oleh kerajaan Barisan Nasional sehingga kini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home