SepangOnline

Tuesday, March 15, 2005

Anwar: “Perlu keberanian untuk perubahan”

SEBERANG JAYA 13 Mac: “Jika korupsi telah menjadi barah dan merosakkan sistem, hendak 'repair' cukup susah. Di Malaysia, kontrak besar bekal senjata bernilai ratusan juta masuk poket sendiri daripada peringkat tinggi sampai ke bawah. Hendak cabar saya? Saya ada cukup bukti. Tapi, rakyat di bawah hendak minta lesen gerai Majlis Perbandaran pun cukup susah.” Ketika memberikan contoh korupsi dalam pentadbiran negara.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Majlis Perasmian IbuPejabat PKR Pulau Pinang, mahukan seluruh ahli PKR bersikap berani dan bekerja kuat untuk melakukan perubahan membetulkan segala kepincangan dalam negara. Sebab itu, katanya semua perlu ada keberanian untuk buat perubahan ke arah kebaikan. Kita mesti berubah, kita mesti bekerja untuk berubah dan yakin perubahan itu bukannya sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Menurutnya, ahli-ahli PKR perlu berkeyakinan dan bekerja kuat untuk melakukan perubahan. “Jika kita ada keyakinan, barulah kita berikhtiar. Saya minta rakan-rakan semua, kita mantapkan jentera untuk buat perubahan,” katanya.

Anwar mengulangi tekadnya menjadikan PKR sebagai parti berbilang kaum, sambil menyifatkan konsep kerjasama dalam BN sudah ketinggalan zaman. “Konsep BN sudah ketinggalan zaman. Untuk masa depan kita perlu bersedia berdepan dengan masalah Melayu, Cina dan masalah India sebagai satu agenda bersama. Belum ada percubaan ini secara cukup berkesan, kerana masih ada pemimpin hari ini termasuk Umno, MCA, MIC dan Gerakan lebih senang memainkan sentimen kaum di kalangan mereka untuk menimbulkan budaya takut di kalangan rakyat.” katanya. Beliau turut membidas sikap pemimpin negara yang kononnya bercakap soal kebebasan bersuara dan pendapat, menganjurkan dialog antara Islam dan Barat, tapi dalam masa sama menyekat penyaluran maklumat alternatif kepada rakyat. “Dialog apa, di sini orang yang tidak setuju, awak gam semua,” sindirnya. Katanya, “Saya berpendapat ini berlaku kerana mereka tidak boleh respon. Bolehkah mereka menjawab tuduhan saya, bahawa saya mendapat dokumen rasuah menteri yang mahu didakwa, saya hendak mendapat penjelasan, benar atau tidak, sah atau tidak dokumen dan tuduhan itu? Oleh kerana mereka tidak boleh jawab, mereka arah jangan sebut perkara itu, kerana salah dari segi undang-undang.”

Maknanya, kata Anwar rasuah tidak salah, yang sebut itu salah. Pada sidang media selepas majlis itu, Anwar menjelaskan beliau akan bekerjasama dengan Perdana Menteri, jika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi benar-benar hendak melakukan reformasi dalam pentadbiran negara.

“Saya akan menyokong tindakan Perdana Menteri jika beliau bersungguh-sungguh hendak membetulkan kepincangan dalam sistem perundangan dan pentadbiran negara termasuk masalah rasuah yang semakin membarah,” katanya. Tapi, soal Anwar, “Adakah berlaku perubahan dalam sistem perundangan dan keadilan dalam negara ini? Kita boleh melihat, sebahagian individu dan hakim yang tidak layak telah dinaikkan pangkat, bukan berdasarkan kriteria yang sepatutnya,” Ujarnya, seluruh dunia termasuk Majlis Peguam Antarabangsa, Pertubuhan Juri Antarabangsa dan sebagainya mengakui bahawa sistem perundangan negara ini telah rosak tulang belakangnya.”

Jelas Anwar, tindakan itu antara lain akan mendatangan kesan buruk masa depan negara. Impaknya, para pelabur akan menjauhkan diri kerana wujudnya kelemahan pengurusan sistem ekonomi serta prinsip-prinsip pentadbiran dalam pemerintahan negara. Anwar bersama Presiden PKR, YB Datin Seri Dr Wan Azizah dalam rangka lawatan singkat ke Pulau Pinang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home