SepangOnline

Thursday, March 03, 2005

Anwar minta Wolfowitz ambil pendekatan ‘constructive engagement’ dengan negara-negara Islam

Sebelum itu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Paul Wolfowitz, Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat di Pentagon pada 24 Februari 2005. Perbincangan selama satu jam ini memberi tumpuan kepada perkembangan pasca pilihan raya di Iraq, konflik di antara Barat dan Islam serta program pembangunan semula Acheh.
Walaupun perbincangan berjalan dalam suasana yang harmoni namun Dato’ Seri Anwar menegaskan perbedaan pandangan beliau mengenai pendekatan Amerika Syarikat dalam menangani persoalan keganasan global.

Anwar mahu Amerika Syarikat mengambil pendekatan “constructive engagement” dalam menjalin hubungan dengan negara-negara Islam; dan tidak dilihat sebagai angkuh dengan pendekatan keras dan mengenepikan muafakat dan tidak mengambil pendekatan unilateral yang menjadi amalan pentadbiran Bush hari ini.
Anwar memberikan contoh Indonesia di mana sebuah negara yang mempunyai kepadatan penduduk Islam terbesar di dunia mampu membuat transformasi dan reformasi ke arah penyuburan demokrasi dan kebebasan media dengan aman dan teratur. Justeru itu, Anwar bersetuju dengan dasar pentadbiran Amerika Syarikat yang menyokong prinsip kebebasan.

Anwar yakin bahawa sebarang kemajuan positif ke arah demokrasi yang berlaku dalam mana-mana negara Islam akan memberikan dampak kepada negara Islam yang lainnya.

Pada masa yang sama, Anwar juga menegur sikap sebahagian besar pemimpin negara-negara Islam yang tidak konsisten – lebih cenderung untuk menyerang Amerika Syarikat tetapi bersikap ganas terhadap rakyat negara masing-masing termasuk menyekat kebebasan media, menghalang usaha ke arah demokrasi dan mengekalkan undang-undang kuku besi seperti ISA. Sebagai contoh, kata Anwar, terlalu mudah bagi pemimpin-pemimpin negara-negara Islam membangkitkan kemarahan umat Islam mengenai kezaliman tentera Amerika Syarikat di penjara Abu Gharib di Iraq tetapi pada masa yang sama, pemimpin-pemimpin ini mengamalkan kekejaman di penjara negara masing-masing.

Anwar sekali lagi menegaskan pendirian beliau yang mahu tentera Amerika Syarikat segera meninggalkan bumi Iraq, mendukung desakan pengunduran tentera Syria dari Lebanon dan tentera Israel dari tanah jajahan Palestin.

Anwar juga menjelaskan kepada Paul Wolfowitz bahawa laporan yang mengatakan bahawa Sheikh Yusuf al-Qardawi pernah mengeluarkan fatwa membenarkan pembunuhan rakyat Amerika dan orang awam adalah tidak benar dan berniat jahat. Anwar mendesak Amerika Syarikat supaya membetulkan pandangan serong mereka terhadap Sheikh Yusuf al-Qardawi kerana beliau sendiri telah bertemu dengan Sheikh Yusuf al-Qardawi di Qatar beberapa bulan lalu untuk mendapatkan penjelasan. Anwar mempertahankan bahawa Sheikh Yusuf al-Qardawi adalah seorang ulama’ besar yang sentiasa mengambil pendekatan yang sederhana dan terbuka kepada dialog dan perbincangan. Anwar mengulangi pendiriannya bahawa sebarang perbedaan pendapat tidak wajar menjurus kepada ketegangan.
Anwar kini sedang giat mengadakan dialog dan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan di Barat dan Timur Tengah dalam usaha beliau untuk menggalakkan peningkatan kefahaman mengenai tamaddun dan agama.

Kenyataan akhbar dikeluarkan oleh Mohamed Azmin Ali, Oxford, 3 Mac 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home