SepangOnline

Thursday, March 10, 2005

Penghantaran kapal perang, cabar wibawa Pak Lah

TASEK GELUGOR- 7 Mac: Tindakan Indonesia yang telah menghantar 4 buah kapal perang dan dijangka sebuah kapal selam mereka ke perairan Malaysia ekoran bantahan negara itu terhadap tindakan Petronas memberikan konsesi minyak kepada Shell bagi kawasan yang dipertikaikan pemiliknya, melambangkan wibawa Perdana Menteri sudah tercabar. “Apabila Indonesia menghantar kapal perang ke perairan Malaysia, menunjukkan mereka tidak menghormati Perdana Menteri kita, wibawa PakLah sudah tiada di mata mereka, perkara sedemikian belum pernah berlaku sebelum ini.” Demikian dinyatakan Ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd Noor, di Markas Tarbiyah PAS, Tasek Gelugor, dalam lawatan beliau ke Pulau Pinang.

“Saya tidak nampak masalah ini tidak boleh diselesaikan, sekiranya pemimpin negara mengutamakan kepentingan negara. Kita bimbang ada kepentingan lain, iaitu kepentingan perniagaan peribadi yang menambat rundingan kedua-dua negara”. Katanya.

Menurut Ezam, kerajaan perlu bertindak cepat dan tegas supaya konflik itu dapat diselesaikan dengan segera sebelum menjadi lebih rumit. “Jika pemimpin negara cekap dan ikhlas, mereka mampu menyelesaikannya dengan segera.” ujarnya. Sehubungan itu, Ketua Angkatan Muda PKR turut menyarankan, Perdana Menteri mengenepikan persoalan politik dengan meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan pengaruh dan hubungan baiknya dengan kerajaan Indonesia untuk bersama-sama menyelesaikan masalah ini.“Perdana Menteri perlu mengenepikan persoalan politik dan meminta Datuk Seri Anwar bersama-sama membantu kerajaan menyelesaikan konflik ini.”

Media AFP bertarikh 3 Mac, melaporkan ketegangan antara Jakarta-Kuala Lumpur bermula sejak 16 Februari lalu apabila Indonesia telah membantah tindakan Petronas yang menyerahkan konsesi eksplorasi minyak kepada Shell di kawasan perairan yang dipertikaikan. Diberitakan, Kerajaan Indonesia telah menghantar nota bantahan kepada Kerajaan Malaysia.

Sebelum itu, dalam ceramahnya, Ezam menjelaskan Barisan Rakyat (BR) masih memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk menunaikan janji-janjinya bagi membanteras rasuah dalam pentadbiran negara.“Sebab itu kita masih menyokong Pak Lah untuk menentang rasuah, tetapi sekiranya beliau gagal mengotakan apa yang diucapkan, giliran kita pula untuk bertindak,” ujarnya. Dalam pada itu, Ezam mahukan jentera semua peringkat, sama ada PKR dan PAS diperkuat dan diperkukuhkan bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Menurutnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memimpin jentera pilihan raya BR. “Kali ini pertarungan pasti berbeza, kerana panglima kita telah bebas,” katanya disambut laungan takbir dan reformasi oleh ribuan hadirin pada malam itu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home