SepangOnline

Monday, February 28, 2005

Penduduk bantah surau mereka dirobohkan - Malaysia Today

AMPANG 28 Feb - Penduduk-penduduk Kampong Tasek, Ampang Campuran menggesa pihak kerajaan Negeri Selangor untuk campurtangan agar pihak pemaju serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tidak merobohkan Surau Baitul Ehsan yang terletak di kampong mereka.
Perkara tersebut telah disuarakan oleh sebahagian besar penduduk Islam di kawasan tersebut dalam perjumpaan tergempar mereka pada 27 Februari lalu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, YB Dato Ismail Kijo.
Dikhabarkan juga Adun telah merancang agar pihak penduduk dapat bersemuka sendiri dengan Menteri Besar Selangor, YB Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo di pejabat Menteri Besar di Shah Alam pada 07/03/2005 yang akan datang untuk mencari jalan penyelesaian.
Malaysia Today telah dimaklumkan bahawa surau tersebut sepatutnya dirobohkan oleh pihak pemaju/MPAJ pada hari ini tetapi telah ditangguhkan sehingga penduduk-penduduk dapat bersemuka dan berbincang dengan pihak Menteri Besar pada tarikh tersebut.
Dalam masa yang sama, dewan orang ramai yang terletak di kawasan berhampiran telah dirobohkan oleh pihak pemaju tidak berapa lama dahulu dan hingga kini tiada dewan baru dibina di kawasan tersebut bagi menggantikan dewan yang telah dirobohkan itu.
Mengikut fakta, surau tersebut telah digunakan oleh masyarakat setempat lebih 20 tahun yang lalu dan tapak surau tersebut telah digazetkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada tahun 1998. Kawasan tapak surau berukur hampir 3 ekar tersebut turut menempatkan kelas tadika Islam dan kelas fardhu ain.
Walaubagaimanapun, kawasan tersebut yang menempatkan surau dan sebuah dewan orang ramai tersebut telah diserahkan kepada sebuah syarikat pemaju, Keringat Global Development Sdn. Bhd untuk dibangunkan beberapa buah rumah pangsa kos rendah/sederhana serta kondominium.

Pada perundingan peringkat awal, masyarakat setempat dijanjikan sebuah surau baru dibina di kawasan berhampiran untuk menggantikan surau yang sedia ada. Tetapi, apabila surau baru tersebut siap dibina, penduduk mendapati bahawa surau yang dibina begitu kecil dan terpaksa dikongsi bersama jemaah-jemaah yang ramai yang menetap di rumahpangsa yang baru dibina di kawasan berdekatan. Apa yang lebih mendukacitakan ialah surau baru tersebut dibina begitu hampir dengan kolam loji najis kumbahan.
Dengan keadaan surau yang kecil dan sempit serta persekitaran bau yang sangat tidak menyenangkan itu telah menyebabkan penduduk merasakan bahawa mereka wajar mempertahankan untuk mengekalkan tapak surau lama tersebut memandangkan pihak pemaju telah tidak menepati janji mereka untuk membinakan sebuah surau yang lebih selesa dan sesuai untuk kegunaan masyarakat Islam setempat. Dengan keadaan surau yang sempit itu, ianya dikatakan tidak menyediakan kelas-kelas tadika Islam dan juga kelas fardhu ain.

Ketua Parti Keadilan Rakyat Bahagian Ampang Jaya, Hj. Rosli Ibrahim yang juga merupakan adik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa ditemuramah di lokasi surau menegaskan bahawa Keadilan komited untuk mempertahankan surau tersebut demi kepentingan umat Islam setempat dan atas prinsip itu, Keadilan tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik lebih-lebih lagi UMNO setempat dalam mempertahankan surau tersebut.

Menurut Hj Rosli, beliau telah diberitahu bahawa pihak UMNO serta pihak Jawatankuasa Kecil (JKKK) setempat telah menghantarkan beberapa memorandum bantahan disamping telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak MPAJ, JAIS Pejabat Daerah/Tanah, ahli EXCO Negeri Selangor, ADUN dan ahli Parlimen Ampang Jaya tetapi tidak mendapat sebarang maklumbalas dari pihak-pihak yang berkenaan.
Kata beliau lagi, walaupun pihak kerajaan begitu giat dalam kempen Setinggan Sifar 2005, pertimbangan yang wajar harus diambil kira terhadap sensitiviti masyarakat Islam terhadap isu merobohkan surau tersebut.

Tambah beliau lagi apakah ini konsep yang diwar-warkan sebagai Islam Hadhari dimana tempat ibadat/surau yang seharusnya berkedudukan tinggi dan mulia di sisi agama diletakkan bersempadanan dengan loji najis. Pihak JAIS juga ditegur kerana tidak ambil peduli tentang perkara ini.

Beliau turut disertai di lokasi surau oleh EXCO Angkatan Muda Pusat, Faisal Mustaffa dan Sdra Syed Nazarudin Syed Aziz

Thursday, February 17, 2005

Angkatan Muda Desak FINAS Dibebaskan Dari Politik

KUALA LUMPUR, 16 Februari - Angkatan Muda Malaysia Parti Keadilan Rakyat menggesa ahli politik tidak campurtangan dalam urusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dalam usaha reformasi industri perfileman negara.

Exco Angkatan Muda PKR, Zarerah Hanim Md Zaki berkata, pihaknya bangga di atas kejayaan filem Sanctuary yang dibuat oleh Pengarah, Ho Yu Hang, 32. Kata Zarerah, filem yang menggunakan format kamera digital ini telah berjaya meraih Kepujian Istimewa Juri dan Anugerah Rangkaian Penggalakkan Cinema Asia (NetPAC) di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam ke-34 di Belanda baru-baru ini.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya kepada Harakahdaily semalam.

Menurut Zarerah, ketika mengulas filem ini juri telah menyatakan filem tersebut layak kerana stailnya yang berani dan tidak mengikut kebiasaan seni filem.

Bagi Angkatan Muda PKR, kejayaan tersebut dilihat penting untuk direnungi semua kerana filem ini pernah ditolak permohonannya untuk mendapatkan bantuan kewangan dari Finas.

Ketika rakyat seharusnya berbangga dengan kejayaan filem anak Malaysia ini Finas seharusnya malu dan mengakui kesilapan mereka ketika menolak permohonan bantuan kewangan untuk filem ini.

Ujar Zarerah, Ho Yang telah membuktikan bahawa Finas telah benar- benar melakukan kesilapan kerana anugerah di Belanda itu bukan pengiktirafan pertama yang dimiliki Ho Yang.

Sebaliknya, filem ini juga telah mendapat Penghargaan Istemewa Juri di Pesta Filem Antarabangsa di Pusan, Korea tahun lalu.

Menurut Zarerah, kejayan–kejayaan ini perlu dijadikan contoh kepada seniman negara supaya segera menuntut pembebasan industri dari pengaruh politik yang tidak memberangsangkan perkembangan industri itu sendiri.

Kata Zarerah, sebenarnya banyak penggiat filem kita yang berjaya mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa tetapi dipandang sepi oleh pihak berkenaan dalam negara sendiri.

Contohnya, Pengarah, James Lee telah memenangi anugerah Filem Asian Terbaik di Bangkok di mana turut disertai filem Putri Gunung Ledang (PGL) yang pulang dengan tangan kosong.

Manakala projek filem khas Fireword yang bakal diarahkan oleh lima pengarah islam berbakat termasuk U Wei Hj Saari terpilih untuk menerima anugerah Arte France Cinema di CineMart 2005 dengan mendapat bantuan kewangan penerbitan filem.

Angkatan Muda melihat perkembangan ini sebagai satu satu seruan jelas untuk mereformasikan Finas atau agensi terbabit.

Menurut Zarerah, badan-badan perfileman perlu bebas dan dikendalikan sendiri oleh mereka yang benar-benar layak dari kalangan mereka yang terlibat dengan industri perfileman.

“Ini bukan tuduhan tetapi jelas sesuatu perlu dinilai semula apabila filem–filem yang diberikan ruang melalui geran tajaan kerajaan ditewaskan oleh satu golongan aktivis seni yang sering dikesampingkan dari kemewahan dunia seni negara,"tegas Zarerah.

Contohnya filem PGL yang menelan belanja jutaan ringgit diberi liputan meluas oleh media telah ditewaskan oleh The Washing Machine yang dihasilkan oleh sekumpulan penerbit filem bebas Malaysia.

Menurut Zarerah, bagi Angkatan Muda PKR, ‘budget’ yang besar bukanlah jaminan kejayaan filem tersebut tetapi jalan cerita yang mantap, olahan, mesej dan bakat merupakan elemen yang lebih penting dalam kemajuan sesebuah filem.

Kata Zarerah, kelemahan ini belum mengambil kira jutaan ringgit yang telah dihabiskan oleh sebuah filem yang masil gagal disiapkan Pasir Salak di bawah YB Senator Jins Shamsudin.

Banyak wang telah dihabiskan namun filem ini masih gagal diselesaikan kerana alasan tidak cukup buget.

“Perkembangan-perkembangan ini telah menimbulkan bisikan adakah perlu untuk mendapat ‘endorsment’ politik atau hanya boleh menghasilkan idea yang jumud dan beku tetapi syaratnya perlu sealiran dengan pemegang tampuk untuk mendapat layanan wajar dalam industri ini?,"soal Zarerah.

Justeru bagi Angkatan Muda PKR, telah tiba masanya masyarakat seniman bangkit untuk mereformasikan badan–badan yang bertanggungjawab ke atas mereka dan yang paling penting bebaskan industri ini dari pengaruh politik.

Wednesday, February 16, 2005

Kenyataan Media PAGER: TANGKAP DAN SIASAT MUSTAPHA KAMAL ABU BAKAR

PUSAT AKTIVIS GERAKAN REFORMASI (PAGER) MALAYSIA
Tingkat 1-A, Wisma Anwar Ibrahim,
No. 4 & 5, Taman Sri Puteh, 70400 Seremban
Tel / Fax : 06 631 3232
15 Januari 2005

Tangkap Dan Siasat Mustapha Kamal Abu Bakar Untuk Bongkar Sindiket Bawa Masuk Pekerja Asing

Pada 7 Februari 2005, yang lalu saya bersama beberapa aktivis reformasi dan pemimpin Angkatan Muda Malaysia telah mengiringi Saharuddin Adnan yang membuat laporan Polis bagi pihak Labour Resource Centre (LRC).

Laporan Polis dengan No Report Sg. Buluh/001311/05 yang dibuat jam 2.39 petang ini dibuat ke atas Pengerusi Eksekutif, MK Land Holdings Berhad, Tan Sri Datuk Haji Mustapha Kamal Abu Bakar kerana dalam keadaan sedar dan mengetahui telah terlibat mengambil sekurang kurangnya 90 orang pekerja Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk melakukan kerja pembinaan di Tapak Pembinaan Damansara Damai.

Ini jelas bertentangan dengan Akta Imegresen 1959/63 (Pindaan 2002). Di mana jika sabit kesalahan akan didenda hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan dan jika kesalahan melibatkan lebih 5 buruh asing maka majikan juga boleh disebat tidak lebih 6 sebatan.

Perkara ini merupakan perkara serius, kemasukan buruh asing di negara ini merupakan masalah yang lama berlarutan, ia kelihatan seperti sindiket yang begitu terancang. Maka ini peluang pihak berkuasa mungkin boleh menyelesaikannya. Tangkap dan siasat penama di atas, cari dari mana beliau mendapatkan sumber tenaga asing tanpa permit tersebut dan mungkin ini dapat mendedahkan sindiket dan dalang di sebaliknya.

Kes ini juga menjadi kayu pengukur adakah kerajaan benar-benar serius dalam melaksanakan hukum seperti hukuman sebat ke atas majikan. Adakah hanya pekerja asing yang perlu didakwa, ditangkap dan di hukum (sebat), bagaimana dengan majikan yang terlibat yang jelas lebih mengaut keuntungan dalam perkara ini.

Dilaporkan juga perkara ini terbongkar apabila tenaga buruh asing yang diambil oleh penama di atas telah tidak dibayar upah dan setelah kerja mereka hampir siap, mereka dihalau dan kediaman (rumah kongsi mereka dipecahkan). Ini satu bentuk kezaliman yang bertentangan dengan hak asasi manusia. Jika kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap perkara ini maka kerajaan seolah olah membenarkan Malaysia dilabel masih mengikhtiraf aktiviti penghamba abdian.

Di sini juga saya ingin membidas kenyataan Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri di mana beliau mempertikaikan mengenai pekerja asing yang mahu mengambil tindakan Undang–undang terhadap majikan yang tidak membayar gaji pekerja asing ini. Najib tidak boleh membela majikan semata–mata dalam perkara ini, sememangnya pekerja ini bersalah kerana bekerja tanpa izin dan melanggar undang–undang negara, tetapi bagaimana dengan majikan mereka adakah mereka tidak melanggar undang–undang? Dan dari sudut kontrak manusiawi setelah diperas tenaga kerja seseorang mengapa pula tidak mahu dibayar upah seperti yang dijanjikan sebelum itu. Nampaknya Najib sendiri perlu mencerap kempen budi bahasa dan timbang rasa dari Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Jangan sampai negara–negara jiran melabelkan Malaysia tidak menghormati ketamadunan manusia.

Kami dengan ini menuntut agar laporan polis yang disebut di atas disiasat dan tindakan wajar seharusnya diambil.

Sekian, salam reformasi.

Keadilan untuk semua.

BADRUL HISHAM SHAHARIN
Pengarah
Pusat Aktivis Gerakan reformasi Malaysia
(PAGER Malaysia)
0163242564

Tuesday, February 15, 2005

Kesal MPN tidak endahkan keselamatan murid sekolah

Pada 20 Januari 2005, keADILan Bahagian Rasah telah turun membuat lawatan ke sebuah sekolah dalam Parlimen Rasah, DUN Senawang.

Lawatan ini berikutan laporan yang diterima oleh ibu bapa dan penduduk sekitar yang khuatir dengan keselamatan murid Sekolah menengah Seremban jaya dan sekolah rendah seremban jaya

Sekolah yang baru dibuka tahun 2005 dan terletak bersebelahan ini mengadap sebatang jalanraya yang sibuk, kereta dipandu laju. Ini menjadi risiko kemalangan kepada murid sekolah tersebut.

Hasil lawatan kami ketika waktu balik sekolah mendapati kebimbangan ibu bapa dan penduduk sekitar ada benarnya.

Jesteru itu pihak kami telah menghantar satu aduan kepada Yang di Pertua Majlis Perbandaran Nilai dan beberapa pihak termasuk Jabatan Pendidikan untuk melakukan beberapa perkara dengan segera sebelum sesuatu yang tidak di ingini berlaku.

Kami menuntut untuk ditempatkan tanda keselamatan seperti “Awas, murid sekolah melintas”, meletakkan bonggol untuk memastikan kenderaan dipandu perlahan taupun jika keperluan mendesak perlu ditempatkan pengawal trafik untuk membantu murid melintas.

Malangnya sehingga hari ini kami mengadakan sekali lagi lawatan keadaan masih sama, kereta lalu lalang laju, murid melintas dalam keadaan berisiko dan tiada sebarang peningkatan aspek keselamatan dilakukan oleh pihak berkenaan.

Kami cuba menghubungi semula Majlis Perbandaran Nilai untuk mengetahui perkembangan aduan kami, tetapi gagal untuk mendapat respon yang sepatutnya.

Kami menyesali kejadian ini, sesuatu harus dilakukan segera. Adakah aduan kami tidak mendapat layanan atau perhatian kerana dibuat oleh organisasi yang mempunyai idelogi yang tidak sealiran dengan pemerintah atau sesuatu hanya dilakukan sebagai susulan setelah sesuatu kejadian tidak di ingini berlaku?

Ke Arah Sebuah Kerajaan Reformasi

CHAI TONG CHAI
Naib Ketua
Parti Keadilan Rakyat
Bahagian Rasah

016 6313232
Kiriman Penerangan Keadilan

Sebutan semula Kes DPP vs Mohamad Sabu

Mahkamah Mejesteret Kuala Klawang telah menetapkan Sebutan semula kes ini dilakukan pada 4 Febuari 2005 tetapi malangnya ia ditunda sekali lagi dan mahkamah menetapkan 24 Febuari 2005, 9.00 pagi sebagai tarikh baru sebutan kes ini.

Kes ini melibatkan Mohamad Sabu (AJK Pusat PAS), Dr. Rosli Yaakop (Pesuruhjaya PAS NS) dan Sdr. Badrul Hisham Shaharin ( Bekas Ketua Penerangan Pemuda keADILan) serta 4 yang lain yang dituduh melakukan kesalahan berceramah tanpa permit di dalam Markas PAS Kawasan Jelebu.

UMNO PERMATANG PAUH: TIADA APA NAK DIBUKTIKAN

Mesyuarat Agung UMNO Permatang Pauh telah mendapat perhatian luar biasa dari media dan beberapa tokoh politik negara begitu berminat sekali untuk memberi komen terhadap perkembangan pemilihan melalui mesyuarat tersebut.

Ramai juga yang meminta saya atau bertanya apa komen Angkatan Muda Pulau Pinang atau pun teman keADILan dari Permatang Pauh sendiri.

Saya dengan jelas menyatakan Angkatan Muda keADILan sama sekali tidak berminat dengan apa juga perkembangan ataupun keputusan pemilihan tersebut. Apa yang jelas ia sama sekali tidak akan memberikan kesan besar kepada pengundi di Permatang Pauh.

Ia jelas tidak membuktikan apa – apa.

Cuma apa yang dibuktikan ialah keadaan UMNO yang tidak berubah berebut jawatan, politik wang dan memperkudakan jentera kerajaan.

Contoh yang paling jelas bagaimana Mesyuarat Agung Putri dan Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh boleh diadakan di dalam Maktab Perguruan Tunku Bainun? Adakah seruan Pak Lah untuk kakitangan kerajaan mempertingkatkan profesionalisma dan seruan politik harus dijauhkan dari institusi pendidikan khususnya pegawai dalam institusi pendidikan harus menumpukan kepada tugas mereka, merupakan seruan kosong atau Pak Lah tidak di hormati sebagai presiden UMNO………..

Bagi kami (Angkatan Muda) pemilihan itu tidak membuktikan apa – apa, cuma yang terbukti ialah UMNO tetap sama seperti ungkapan ;

“cakap tak serupa bikin, bikin tak serupa cakap, cakap tak bikin – bikin asyik bercakap sahaja”

Angkatan Muda Pulau Pinang akan sentiasa menumpukan perhatian membantu berkhidmat terhadap masyarakat pengundi Permatang Pauh khususnya untuk mempertahankan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan YB Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku ahli Parlimen Permatang Pauh.

Salam Reformasi ;

REZAL HUZAIRI HJ MOHD ZAKI
Exco Angkatan Muda Malaysia
(juga merangkap Ketua Penerangan Angkatan Muda Pulau Pinang)

Kenyataan Media PKR - Pekerja Asing - Perlu Penyelesaian Adil

PEKERJA ASING: CARILAH PENYELESAIAN YANG ADIL
Mulai hari ini, Isnin, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono memulakan lawatan rasminya ke Malaysia. Sudah tentu dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, hak dan nasib pekerja migran Indonesia akan merupakan agenda utama.

Baru-baru ini tiga buah akhbar arus perdana di Indonesia melaporkan ramai pekerja telah ditipu dengan tidak dibayar gaji berbulan-bulan oleh beberapa buah syarikat, sebelum mereka dipaksa pulang ke Indonesia, akibat peraturan yang dikenakan oleh Malaysia.

Berikutan pengumuman bahawa kerajaan Indonesia akan mengmbil tindakan undang-undang ke atas syarikat-syarikat tersebut, beberapa orang menteri Malaysia menekankan bahawa pekerja-pekerja tersebut adalah pendatang haram dan melanggar undang-undang.

Kami bersetuju bahawa undang-undang negara perlu dihormati, walaupun kami berpendapat ia patut dan boleh dimansuh atau diubah jikalau jelas tidak adil dan mencabul hak asasi manusia.

Ramai pekerja asing yang bekerja dengan syarikat-syarikat tempatan, salah sebuahnya syarikat binaan kroni terkenal, telah diambil bekerja dan dijanjikan akan mendapat permit. Malangnya, apabila tenaga mereka telah diperas dan syarikat sudah selesai dengan projeknya, pekerja tidak dibayar gaji mereka.

Bahkan, acap kali ada kerjasama rapat antara syarikat berkenaan dengan pegawai-pegawai yang berkuatkuasa untuk menyerbu tempat kediaman pekerja dan menghantar mereka pulang. Selain itu ribuan pula yang dikenakan sebatan.

Isu ini harus dipandang berat, selain dari soal status pekerja yang tidak memiliki dokumen sah itu. Kalau pekerja begitu mudah boleh dihukum, mengapakah majikan yang mengambil mereka bekerja dan gagal membayar gaji mereka dipandang ringan?

Kami berharap para pemimpin Malaysia tidak memihak kepada kepentingan para majikan dan agen-agen mereka. Sebaliknya, mereka harus menujukkan sikap lebih prihatin dan berperikemanusiaan terhadap pekerja-pekerja yang menjadi mangsa itu.

Begitu juga para pemimpin Indonesia harus pastikan pekerja migrant menghormati undang-undang negara.

Parti Keadilan Rakyat menggesa supaya (a) siasatan teliti tetapi terbuka dibuat ke atas syarikat-syarikat yang didakwa melakukan penipuan dan dihukum sewajarnya jika didapati bersalah, dan (b) segala undang-undang dan peraturan yang zalim dan mencabul hak sasi pekerja hendaklah dikaji semula dengan tujuan segera dimansuhkan.


Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat
PKR News

Monday, February 14, 2005

Kenyataan Media Angkatan Muda Malaysia PKR - Ambil Tindakan Terhadap MK Land

Biro Antarabangsa Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat telah berpendirian atas nama keadilan dan kemanusiaan agar pihak Kerajaan Malaysia mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Imigresen Pindaan 2003 (A1154) ke atas:
1. MK Land terutamanya Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Datuk Haji Mustapha Kamal Abu Bakar,
2. Plato Construction (M) Sdn Bhd (No Sykt: 580017-K)
3. Syarikat Sri Mega Jaya (M) Sdn Bhd (N0 Sykt: 655594A)
Kami berpendapat, Syarikat Sri Mega Jaya (M) Sdn Bhd telah menggaji pendatang tanpa izin, jika sabit kesalahan, didenda di antara RM10,000 RM50,000 bagi setiap pendatang tanpa izin atau dipenjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Menurut Akta Immigresen: Jika didapati majikan menggaji lebih daripada 5 orang pendatang tanpa izin pada masa yang sama, jika sabit kesalahan, dipenjara di antara 6 bulan hingga 5 tahun dan dikenakan sebatan tidak lebih daripada 6 sebatan.

Kami juga berpendapat Plato Construction (M) Sdn Bhd telah melakukan kesalahan berikut:

a) Dengan sengaja menawarkan sub-kontrak kepada majikan yang menggaji pendatang tanpa izin, jika sabit kesalahan, didenda di antara RM10,000-RM50,000 bagi setiap pendatang tanpa izin atau dipenjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali. Jika didapati majikan menggaji lebih daripada 5 orang pendatang tanpa izin pada masa yang sama, jika sabit kesalahan , dipenjara di antara 6 bulan hingga 5 tahun dan dikenakan sebatan tidak lebih daripada 6 sebatan.
b) penghuni atau tuanpunya premis yang membenarkan mana-mana pendatang tanpa izin masuk atau berada di mana-mana premis, jika sabit kesalahan, penghuni atau tuanpunya premis tersebut boleh di denda di antara RM5,000-RM30,000 atau dipenjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pendatang tanpa izin yang dijumpai di premis tersebut. Bagi kesalahan yang dilakukan buat kali kedua, penghuni atau tuanpunya premis tersebut boleh didenda di antara RM10,000-RM60,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap pendatang tanpa izin yang dijumpai di premis tersebut.

c) orang yang melindungi pendatang tanpa izin, jika sabit kesalahan, boleh didenda di antara RM10,000-RM50,000 bagi setiap pendatang tanpa izin yang dilindungi. Jika di dapati pelindung melindungi lebih daripada 5 orang pendatang tanpa izin pada masa yang sama, jika sabit kesalahan, dipenjara di antara 6 bulan hingga 5 tahun dan dikenakan sebatan tidak lebih daripada 6 sebatan.

Kami percaya pihak pengurusan tapak Plato Construction telah bersubahat dengan Syarikat Sri Mega Jaya (M) Sdn Bhd untuk menipu pekerja-pekerja yang bekerja di tapak pembinaan Medan Prestasi (anak syarikat MK Land Holdings Bhd) seramai 90 orang itu yang terdiri daripada pekerja Indonesia tanpa izin dengan tidak dibayar sebarang kadar upah atau gaji.
Kami dapati kedua-dua pihak tersebut tidak pernah mengeluarkan sebarang surat bantahan kualiti kerja secara bertulis sekiranya alasan untuk tidak dibayar gaji berpunca daripada kualiti kerja mereka.

Sri Mega Jaya (M) Sdn Bhd pula tidak pernah cuna mengarahkan kesemua 90 pekerja itu untuk berhenti kerja kerana bantahan terhadap kualiti kerja mereka.

Kami percaya kes ini bukan sahaja bertuntutan sivil tetapi berunsurkan jenayah penipuan. Kes ini juga meliputi kesalahan melanggarundang-undang Imigresen A1154.

Angkatan Muda Malaysia berpendirian bahawa komuniti antarabangsa mula mempersoalkan dan mencabar Akta Imigresen, A1154. Sekiranya undang-undang itu diluluskan oleh penggubal undang-undang negara hanya untuk bertindak terhadap pekerja-pekerja tidak berdokumen, mengapa klausa penalti serupa diambil terhadap majikan dan tuanpunya premis yang membenarkan mana-mana pendatang tanpa izin ini masuk atau berada di premis mereka.

Kami merayu kepada seluruh komuniti dunia yang perihatin untuk menghantar rayuan supaya menghentikan MK Land Holdings Bhd untuk menghentikan pencabulan hak pekerja tidak berdokumen ini kepada Perdana Menteri Malaysia di alamat:

YAB Dato¹ Seri Abdullah Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia
Bangunan Perdana Putra
Putrajaya, MALAYSIA
Faks: 603-8888 3344

Disediakan oleh:
Faisal bin Mustaffa
Pengerusi Biro Antarabangsa
Angkatan Muda Malaysia
Parti Keadilan Rakyat
#019-2232002

PKR News

Sunday, February 13, 2005

Kenyataan Media PKR - Hormati Hak Asasi Pekerja Asing

PARTI KEADILAN RAKYAT (Keadilan) mahu kerajaan menangani beberapa masalah pendatang tanpa izin (PATI) dengan mengambil kira isu hak asasi pekerja asing, kepentingan majikan dan syarikat agar tiada pihak yang tertindas.
Sekalipun Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa PATI; melalui kerajaan Indonesia mempunyai hak untuk menyaman beberapa syarikat di Malaysia; tetapi dalam masa yang sama beliau turut menyatakan bahawa tindakan itu “akan timbul masalah” di samping “akibat yang tidak diingini.”

Kenyataan Perdana Menteri adalah merujuk rancangan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Saudara Fahmi Idris yang dilaporkan melantik sepuluh peguam untuk menyaman beberapa syarikat di negara ini yang tidak membayar gaji kepada PATI yang pulang ke republik berkenaan sejak tamat proses pengampunan, 30 Januari 2005.

Dalam masa yang sama, terdapat keluhan daripada banyak syarikat yang kini terjejas operasi kerana kekurangan pekerja.

Kerajaan langsung tidak menumpukan perhatian kepada isu hak asasi yang selama ini menjadi isu pokok sehingga banyak pihak yang tertindas dan teraniaya tidak terbela. Pemerhati Hak Asasi Manusia (Human Right Watch: HRW) telah beberapa kali mendesak agar kerajaan mengubal akta imigresen 2002 yang mengenakan hukuman sebat dan denda ke atas PATI. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) pula merekodkan keadaan yang penuh sesak di kem-kem tahanan.

Memetik daripada HRW, pada 2003 sehingga Disember tahun lalu, ada laporan yang menyebut seramai 18 ribu PATI dihukum rotan. Sejak itu timbul kebimbangan bahawa akan ada syarikat dan majikan di negara ini yang akan mengambil kesempatan tidak membayar gaji kepada PATI yang akan dihantar pulang.

Dengan Islam Hadhari yang ditonjolkan kerajaan, Keadilan menggesa supaya prinsip pembelaan terhadap para pekerja yang tertindas harus berasaskan maksud hadis iaitu membayar upah kepada pekerja sebelum keringnya peluh mereka.

Dr. Wan Azizah Wan Ismail,
Presiden,
Parti Keadilan Rakyat (Keadilan).

PKR News

Wednesday, February 09, 2005

BANTUAN KEADILAN KE ACEH NYARIS DISEKAT

Salah satu bantuan yang diselenggarakan di bawah Parti Keadilan Rakyat untuk rakyat Aceh yang dilanda malapetaka tsunami nyaris-nyaris lagi tidak dibenarkan masuk. Ada pihak di kalangan tentera Indonesia (TNI) yang cuba menyekatnya. Tetapi dengan campur tangan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, kebenaran akhirnya diberikan.

Bantuan itu berupa sebuah alat jentera penapis air, yang bernilai hampir RM10 juta (USD2.5 juta). Alat ini dihadiahkan oleh General Electric (GE) hasil usaha Penasihat Keadilan Datuk Seri Anwar, dan dikirim dari Doha. Apabila pihak tentera cuba menyekat, Anwar meminta Ezam Mohd Nor, Ketua Angkatan Muda, menemui Naib Presiden Indonesia, yang segera memberikan jasa baiknya.

Selain itu, dua buah kapal terbang yang penuh sarat dengan ubatan serta makanan kering, sebuah dari Afrika Selatan dan sebuah lagi dari Emiriah Arab Bersatu, telah juga sampai melalui Jakarta. Nilainya melebihi RM5 juta. Bantuan dari negara-negara ini, yang diperolehi melalui usaha dan hubungan baik Anwar dengan pemimpin mereka, juga disampaikan atas nama Keadilan.

Satu rombongan parti, termasuk Ezam dan Tian Chua, Ketua Penerangan, telah sampai ke Banda Acheh baru-baru ini. Mengikut Tian, bantuan tersebut mendapat sambutan yang baik. Katanya Keadilan telah bersedia untuk membina sebuah pusat anak-anak yatim. Tetapi perkara ini ditangguhkan dulu kerana pihak pimpinan Indonesia lebih memerlukan bantuan untuk membina hospital. Ezam telah menjanjikan Keadilan akan cuba berusaha mendapatkan bantuan setakat mana yang boleh.

Sekarang ini hubungan kerjasama Keadilan ialah dengan MerC Indonesia, satu kumpulan doktor-doktor sukarelawan, dan juga segolongan siswazah dari Universiti Islam Antarabangsa. Kerjasama ini “erat, ikhlas dan sangat baik”.

PKR News